Pray For MH370

Pray For MH370

BAJET 2016



 Ucapan Perbahasan Bajet 2016 Selangor  

YB DR HJH HALIMAH ALI
ADUN SELAT KLANG

Bismillahir rahmanirrahim.
Salawat dan salam keatas junjungan besar Rasulullah saw.
Saya mengucapkan setinggi tahniah kepada kerajaan Selangor  yang  telah menyediakan belanjawan yang baik dan mengemukakan 5 strategi belanjawan 2016 untuk mencapaikan matlamat  negeri Selangor yang maju yang bercirikan persekitaran teknologi maklumat atau SMART SELANGOR.
Saya tertarik dengan tema belanjawan tahun 2016 ‘ MEMBANGUN SMART SELANGOR YANG PEDULI’

Tuan Speaker dan ahli YB,

Strategi pertama iaitu ‘Menerajui Gagasan Smart  Selangor’ merupakan usaha kerajaan Selangor menyediakan prasarana  fizikal yang lengkap dan holistik d engan membentuk Majlis Perundingan Smart  Selangor dengan peruntukan RM10 juta bagi menyediakan roadmap atau blueprint Selangor sebagai Smart State. 

Saya berharap kerajaan Selangor terus istiqomah menggunakan belanjawan 2016 ini untuk membangunkan Selangor yang baik,makmur , aman, sejahtera serta diampuni dan diberkati oleh Allah swt, Selangor as a blessed state seperti yang diarahkan oleh ALLAH SWT dalam surah Saba ayat 15 , yang dikenali sebagai baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur. Saya yakin kerajaan Selangor juga memanfaatkan falsafah Tokoh ILMUWAN Islam terkenal Ibn Khaldun dalam perencanaan gagasannya. 

Usaha mahu membangunkan Selangor dengan kemajuan ilmu sains dan teknologi perlu disokong. Namun saya berharap kerajaan Selangor membangunkan negeri secara kaffah atau menyeluruh.  Rakyat Selangor perlu di persiapkan untuk menerima gagasan besar kerajaan Selangor. Ini  bermakna kemajuan teknologi mesti dikembarkan dengan pembangunan kekuatan minda, emosi dan rohani bagi melahirkan penyediaan benteng pertahanan individu, keluarga dan masyarakat. Perlu dirancangkan dalam peringkat ex-ante accountability  untuk menunjukkan keutamaannya. Perlu jelas  usaha amar makruf nahi mungkarnya. SMART Selangor mesti melahirkan lebih ramai insan yang beriman dan bertaqwa. Kita tidak mahu SMART Selangor mengundang kemurkaan daripada Allah swt dan membiakkan manusia durjana yang gemar merosakkan muka bumi dan mencetus huru hara dengan kepandaian teknologi. Penipuan skala besar, pemerdagangan manusia dan perhambaan manusia melalui hutang boleh berlaku melalui hujung jari.
Kebijakan Selangor perlu memikirkan dan bersedia menangani semua ini.

Persediaan( Preempt) kesan negatif
Saya mengharapkan pembangunan ini juga mengambil kira keberangkalian kesan negatif daripada kemudahan dunia tanpa sempadan ini kepada golongan yang mudah terpengaruh khususnya kalangan remaja/belia dan sindiket berangkai pemangsa berkaitan dadah, perjudian, jenayah dan ‘commercial crimes’. Blueprint Smart Selangor mesti mendepani isu ini.

Maqasid al syari’ah mestilah sentiasa menjadi paksi urustadbir . Kerajaan Selangor juga mesti sentiasa memelihara diri daripada sindrom KKN yang sinonim dengan kerajaan BN: korupsi, kronisme dan nepotisme  yang kita, ADUN daripada PAS, PKR dan DAP telah tentang bersama sebelum 2008. Ianya ciri penting sebagai tanda ukur kejayaan sebuah kerajaan yang bagus kerana berjaya mengamalkan  ‘good governance’. Biarlah rakyat yang memerlukan  bantuan diproseskan dengan adil dan saksama dan jangan ulangi kesilapan pihak kerajaan BN sebelum 2008 yang penuh dengan ugutan kepartaian, mendesak rakyat menyokong parti tertentu sebelum diproses dan diluluskan. Kerajaan yang peduli rakyat TIDAK BOLEH SAMA SEKALI mengamalkan budaya ini. 

PENERANGAN yang berkesan
Selat Klang mengharapkan kerajaan Selangor  yang  mahu memberdayakan rakyat dan mempunyai capaian kepada semua kelompok penduduk di mana jua mereka berada, mesti mempunyai sistem penerangan yang berkesan. Rakyat Selangor memerlukan sumber maklumat yang sahih dan lengkap. Bahan penerangan kerajaan mestilah menyeluruh.
Saya  menyarankan kerajaan Selangor merancang bagaimana menyalurkan maklumat yang tepat, pantas dan menyeluruh di semua DUN termasuk segala maklumat tentang peluang kursus dan kemahiran serta segala bantuan yang ada dipaparkan dan melibatkan semua DUN bukan hanya DUN  terpilih. Janji ketelusan kerajaan mestilah dikotakan. Maklumat mestilah sampai ke pejabat ADUN se awal mungkin (sekurang-kurangnya sebulan) bukan seperti yang berlaku sekarang ini, hanya beberapa hari. Rakyat jelata tidak sempat diberitahu.
Selangorkini perlu memuatkan lebih banyak berita mengenai rakyat supaya dilihat inklusif dan bukan ekslusif. Senarai jadual program kerajaan sepatutnya boleh diuar uarkan awal supaya ADUN dan rakyatnya boleh manfaatkan. Samada dalam bahan media cetak mahupun diruang siber.  Samada berkenaan dengan usahawan, generasi muda, wanita,sukan,PBT,JAIS  dll.

Saya menyokong falsafah pembangunan negeri Selangor yang dipandu prinsip akhlak dan kepedulian sosial:  al ‘adl wal ihsan bagi menjamin prinsip keadilan sosial. Kekuatan ekonomi perlu diperolehi daripada sumber yang halal dan baik dan memerlukan kebijaksanaan mengurus sumber terhad untuk menghasilkan pendapatan  optima. Penggunaan hasil pula mestilah  diagihkan secara adil bagi menjaga maslahah dan mafsadah. Inilah faktor kritikal mencapai  baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur.
Dasar kerajaan Selangor mempertahankan disiplin fiskal dan mengamalkan pengurusan kewangan berhemah harus dipuji dan disokong. Namun, kerajaan harus bersedia menerima dan bertindak atas aduan-aduan yang membayangkan ada penyimpangan daripada disiplin itu daripada mana mana peringkat.


 Golongan Marhaen
Selat Klang mengucapkan setinggi penghargaan kepada kerajaan negeri yang telah berjaya menaikkan elaun guru kafa ke RM1500 yakni ke garis kemiskinan Selangor dan sekaligus menepati janji manifesto PAKATAN RAKYAT PRU 13. Diharapkan cengkaman ekonomi yang ditambah buruk dengan dasar zalim GST kerajaan persekutuan akan melegakan guru KAFA Selangor.

Selat Klang menyambut baik keputusan kerajaan negeri mengambil tindakan berani mengecualikan  cukai taksiran bagi rumah kos rendah dan  rumah kampung( jumlah keseluruhan 220,247 buah)  dan fi lesen perniagaan kecil, pasar malam dan pasar tani yang seramai 67,804 pemegang lesen untuk tahun 2016. Begitu besar ertinya apabila kerajaan sanggup melepaskan sumber  pendapatan kerajaan daripada golongan marhaen yang insya Allah akan menyokong dan mendoakan kesejahteraan negeri ini agar dipelihara oleh Allah swt.

Cadangan peruntukan Sekolah Menengah Agama(Persendirian) RM4 juta setahun

Alangkah baiknya, sekiranya kerajaan Selangor juga boleh meninjau keadaan institusi pendidikan yang telah tumbuh dengan keringat dan poket rakyat Selangor yang memilih sistem pendidikan yang lebih baik, lebih berkesan melahirkan insan efektif yang menjadi qurrata ‘ayun yang boleh menjadi pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Sekolah menengah agama rakyat wujud bukan kerana ibubapa mereka kaya atau mampu tetapi kerana mahu mencari sistem pendidikan yang lebih meyakinkan dan dipelopori oleh insan tulus yang mahu menabur bakti membangun insan yang beriman dan bertaqwa. 

Maka, Saya  mencadangkan kerajaan negeri membantu SAR peringkat menengah yang mempunyai sistem pendidikan integrasi  dengan menyediakan peruntukan secara khusus  seperti kerajaan telah memperuntukkan RM2juta untuk 4 buah SM(Persendirian)Cina setahun. Nisbah tidak seimbang sekolah rendah JAIS( 200 lebih) dengan sekolah menengah aliran agama kerajaan yang  berjumlah hanya 25 buah menjadi faktor utama ibubapa terpaksa menghantar ke sekolah menengah agama integrasi. Maka dengan bantuan khusus sebanyak RM4 juta setahun kepada SMA(R) ini akan mendapatkan pengkitirafan dan penghargaan yang luarbiasa ibubapa yang telah dikesampingan selama ini.

BANTUAN KHAS SKUAD DENGGI PERINGKAT DUN

Kerajaan Selangor harus menjalinkan jaringan erat dengan pihak akar umbi melalui pejabat Adun terutama sekali di kawasan hot spot Denggi. Program intensif untuk melibatkan penduduk setempat secara optima perlu di wujudkan dan kerajaan Selangor perlu bersedia untuk menyediakan peruntukan khas untuk tujuan ini. Selat Klang telah melancarkan SKUAD DENGGI SELAT KLANG yang melibatkan 3 jkkk, persatuan penduduk dan ahli majlis, masjid, surau serta wakil wanita/belia serta NGO yang diketuai oleh Pejabat Kesihatan Klang dan Bahagian Kesihatan MPK. Saya berharap ada bantuan khas untuk menjayakan program inklusif dan holistik bersifat jangka panjang ini.

Budaya Menanam(self sustenance)
Bumi Selangor adalah subur. Dalam keghairahan kerajaan negeri mengambil tindakan bersifat mega, tidak salah sekiranya kerajaan negeri dalam keadaan tertentu mengambil tindakan ‘think small’. Terus kepada individu ibu tunggal, keluarga kecil, suri rumah. Perlu diingat sumbangan skala kecil yang cukup bilang boleh memberi impak yang signifikan kepada kestabilan ekonomi dan kesihatan tubuh badan keluarga rakyat Selangor. 

Kerajaan sepatutnya mengkaji bagaimana mahu memberi galakan kepada penduduk, atau insentif bercucuk tanam di sekeliling rumah seperti makanan keperluan asas yang penting untuk produktiviti keluarga terutama pelajar. Contoh terbaik adalah sayur dan buah buahan yang sesuai. Langkah praktikal ini boleh mengimbangi kegawatan ekonomi dimana keutamaan perbelanjaan keluarga adalah untuk membayar bil dan keperluan asas seperti beras, minyak dan susu bayi. Kawasan  yang tidak mempunyai tanah boleh menanam sayur dan buah buahan sesuai yang boleh dituai dalam masa seawal 3 bulan. Contoh terbaik penduduk Pulau Ketam berjaya menghasilkan buah delima, limau kasturi,papaya, mengkudu,serai, sayur-sayuran dll untuk keperluan sendiri.

Keadilan sosial

Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan yang akan menyempurnakan pembangunan SJKT Ladang Desa Coalfield. Ini satu kemajuan dalam meningkatkan komitmen kepada pelajar India khususnya. Saya harap kerajaan Selangor mengutamakan pelajar dari keluarga yang miskin agar mereka dapat menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif daripada rumah sendiri.

Saya melihatkan ada keperluan untuk kerajaan negeri memberi peruntukan yang lebih banyak untuk menjaga kebajikan golongan marhaen khususnya golongan miskin kaum India dan Cina. Alhamdulillah bagi fakir miskin beragama Islam, kita mempunyai Lembaga Zakat Selangor untuk menangani isu mereka. Namun, bagi peruntukan di bawah JKM adalah terlalu sedikit.

Rakyat-centrik: fleksible/customized

Sebagai kerajaan yang ‘people-centric’, saya berharap segala program yang dirancang untuk dijalankan perlu melibatkan wakil kepada rakyat setempat yakni ADUN dan pandangan serta teguran daripada ADUN setempat sepatutnya diambilkira dalam pelaksanaan program. Bagi saya ia sebahagian daripada ‘concurrent accountability’ yang diperkatakan oleh YAB Menteri Besar. Ini adalah penting untuk mempastikan wang rakyat yang dirancang untuk digunakan kepada mana-mana kelompok dalam kawasan DUN tersebut digunakan dengan cara yang tepat kepada sasaran dan memberi hasil yang diharapkan. Saya mengharapkan program melibatkan wanita, generasi muda, latihan dan sukan mengambilkira kepelbagaian dan keperluan berbeza DUN masing-masing. Adalah lebih baik sekiranya cadangan dan permintaan daripada ADUN setempat dilihat secara teliti bukan polisi stereotype, panacea for all ills. Permohonan ADUN menggambarkan keperluan rakyat bawah jagaannya.

Akhir sekali, saya mengingatkan kepada kerajaan Selangor agar bertaqwalah kepada Allah dalam menjalankan tanggungjawab menguruskan wang rakyat Selangor. Ingatlah , Intansurullaha yansurkum, wa yu thabbit aqdamakum. ‘Wahai orang yang beriman, sekiranya kamu menolong agama Allah, Allah akan menolong kamu dan mengukuhkan kedudukan kamu’: surah Muhammad    ayat 7.
Selat Klang menyokong belanjawan kerajaan Selangor 2016

YB Dr Hjh Halimah Ali
ADUN N45 SELAT KLANG
3 November 2015

Read More “BAJET 2016”  »»
 

x

Photobucket

e


Popular Posts

Followers


View My Stats

pautan lain

  • - Mesyuarat Agung Khas AMALNITA perihatin Pelancaran Tabung PDS AMALNITA dan anda
    8 years ago
  • "Paciaru" atau breakfast. - Yb Meru bersama Mr.Maniam turun padang memantau jalan2 berlubang di susur keluar highway Setia Alam ke Jln Meru dan Jln Korporat Kawasan Meru ...
    8 years ago

Ab

zwani.com myspace graphic comments

x

Photobucket









Recent Comment

ISLAMICITY

SEARCH THE TRUTH

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com