
Utusan
masih jahil tentang hukuman hudud yang terkandung di dalam Al-Quran dan
Hadis. Melalui artikel yang disiarkan dalam akhbar itu yang bertajuk
‘Polemik Hukum Hudud PAS’ menyerlahkan bagaimana akhbar itu telah
digunakan oleh pihak tertentu untuk memburukkan usaha PAS dalam
memberikan penjelasan berkenaan hudud.
Dalam artikel tersebut telah mempersoalkan bagaimana terdapat 2 versi
Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu, kita ingin
menegaskan bahawa pengarang tersebut telah hilang fokus dalam
perbincangannya, perbezaan versi ini adalah termasuk dalam bab teknikal
dan bukannya isu pokok, apa yang kita bahaskan sekarang ialah berkenaan
dengan pokok iaitu memberikan penjelasan berkenaan keindahan hukum hudud
dan Utusan tidak memainkan peranan ini selaku akhbar milik orang Islam.
Fakta-fakta yang dikemukakan oleh penulis tersebut juga cukup
mengelirukan para pembaca, sedangkan apa yang diusahakan oleh kerajaan
PAS Kelantan dan Terengganu berdasarkan pandangan para ulamak yang
muktabar yang diiktiraf keilmuan mereka, ianya bukan hudud PAS tetapi
ianya merupakan hudud yang berdasarkan disiplin ilmu Islam yang
berpaksikan Al-Quran dan As-sunnah.
Adapun berkenaan dengan dakwaan bekas Setiausaha Dewan Ulamak PAS
Kelantan seperti mana yang dilaporkan dalaman artikel itu bahawa Hukum
Hudud yang diperjuangkan PAS tidak berlandaskan Al-Quran dan Sunnah
adalah dakwaan yang tidak benar dan menyeleweng daripada hakikat yang
sebenarnya.
Pengarang artikel juga turut juga sudah tersasar daripada
perbincangan ilmiah apabila cuba mengelirukan pembaca dan
mencampuradukkan di antara perbincangan berkenaan manifesto dan enakmen.
Berkenaan isu liwat dan umur aqil baligh dalam enakmen tersebut,
ianya telahpun dijawab oleh Dewan Ulamak sebelum ini tetapi sebagai
manfaat bersama, ulamak tidak keberatan mengulanginya.
Adapun dakwaan Penasihat Agama Menteri Besar Terenganu, Mohd Kamal
Saidin yang mempertikaikan umur bagi mukallaf adalah 15 tahun dan
bukannya 18 tahun menggambarkan beliau jahil tentang perbahasan para
ulamak.
Berkenaan dakwaan bahawa had umur 18 tahun bercanggah dengan hukum
syarak, masalah berkenaan had baligh seseorang muslim itu, sebenarnya
ianya adalah perkara khilafiah, ianya bukan suatu yang qat’ie.
Ada ulamak dalam mazhab Syafie kata 15 tahun, barulah seseorang itu
dianggap baligh, kalau dalam mazhab Hanafi, mereka kata 18 tahun barulah
dikira sebagai mukallaf. Jadi dalam isu yang beliau bangkitkan ini,
maka kita mengambil had umur yang paling tinggi supaya tidak berlaku
masalah khilafiah.
Sebagai contoh, kalau diambil umur 15 tahun, nanti apabila
perbicaraan diadakan, mungkin pihak peguam tertuduh akan mendakwa bahawa
anak guaman bermazhab Hanafi, semata-mata untuk lari daripada hukuman.
Jadi kita ambil pandangan 18 tahun supaya tidak berlaku at-tahayul
atau helah dalam perbicaraan di samping ianya merupakan petunjuk kepada
tahap baligh dan kematangan atau dikenali sebagai 'sinnu rusyd', itu
hanya sebahagian sebab mengapa kita pilih 18 tahun dan di sana masih ada
sebab-sebab lain yang boleh kita rujuk kepada buku-buku feqah.
Berkenaan dakwaan meliwat isteri yang didakwa oleh seorang ahli
parlimen yang seolah-olah dilihat dibenarkan dalam enakmen hudud yang
dikemukakan oleh PAS, adalah dakwaan yang melambangkan kejahilan orang
yang membangkitkan isu ini.
Liwat di antara suami isteri tidak termasuk di dalam hukum hudud
tetapi bukan bererti perbuatan itu tidak salah. Perbuatan itu tetap
salah, cuma tidak termasuk dalam hukum hudud dan dari sudut hukuman
tetapi ia akan dikenakan hukum takzir.
Mengapa ianya dikenakan hukuman takzir dan bukannya hudud? Jawapannya ialah kerana berlaku syubhah di situ.
Untuk makluman beliau, dalam perlaksanaan hudud, seperkara yang mesti
diambil kira dalam pelaksanaan ialah pelaksanaan hukuman hudud mesti
meraikan satu kaedah yang penting iaitu
yudra’ul hudud bi syubhat iaitu hudud itu tidak boleh dilaksanakan sekiranya ada syubhah.
Persoalannya di mana syubhah itu dalam kes ini? Syubhahnya ialah
hubungan suami isteri itu sendiri atau dalam istilah feqahnya ialah
syubhatul milk iaitu syubhah kerana isteri itu adalah milik suami tidak
sepertimana dalam kes kesalahan hudud yang beliau nyatakan yang mana
pasangan yang bersalah tersebut tidak mempunyai hubungan yang sah dari
sudut syarak, ianya adalah berbeza dengan kesalahan liwat suami isteri.
Pengarang tersebut tidak sepatutnya membaca sepintas lalu dan terus
menjatuhkan hukuman tanpa merujuk kepada para ulama kerana pengetahuan
hukum syarak ada disiplinnya yang tersendiri, bukannya mengikut akal
fikiran manusia yang lemah.
Sebelum ini Dewan Ulamak telah memberikan penjelasan berkenaan
perkara tersebut secara rasmi. Dakwaan yang menyatakan Ulamak PAS gagal
memberikan penjelasan berkenaan dakwaan ahli parlimen tersebut adalah
dakwaan yang tidak benar sama sekali.
Isu hukum hudud yang hanya dilaksanakan ke atas orang Islam manakala
orang bukan Islam diberikan pilihan, Enakmen kelantan dan Terengganu
jelas menerangkan bahawa enakmen ini terpakai kepada orang Islam dan
orang bukan Islam secara mutatis mutandis iaitu mereka yang bukan
beragama Islam diberikan pilihan untuk memilih samada ingin diadili
dengan hukum Islam ataupun memilih untuk dibicarakan mengikut
undang-undang mereka.
Ini adalah berdasarkan ayat al-Quran daripada surah al-Maidah ayat 42
yang bermaksud: "Apabila mereka(orang yang bukan Islam) datang kepada
kamu untuk diadili, hendaklah kamu adili mereka (dengan Islam) atau
biarkan mereka (untuk membuat pilihan), sekiranya mereka enggan ianya
tidak memudaratkan kamu, apabila kamu mengadili manusia hendaklah kamu
berlaku adil seadil-adilnya”.
Ianya jelas berdasarkan peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah
s.a.w, apabila orang bukan Islam khususnya Yahudi yang datang bertemu
Rasulullah s.a.w untuk menyelesaikan kes mereka yang berkaitan hudud,
lalu Allah s.w.t memberikan pilihan kepada nabi sama ada mengadili
dengan hukum Islam atau sekiranya mereka enggan mereka boleh
menyelesaikan pertikaian itu berdasarkan undang-undang mereka sesama di
kalangan mereka. Ini nas al-Quran. Al-Quran memberitahu sekiranya kamu
mengadili mereka hendaklah berlaku seadil-adilnya. Mazhab Syafie
menyatakan adil di sini ialah hukum Islam.