Pray For MH370

Pray For MH370

PENGUNDI DUN PENANTI TOLONG TUNAIKAN TANGUNGJAWAB ANDA

Pengundi di Penanti diminta keluar mengundi beramai-ramai

Memandangkan hanya calon bebas yang lawan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam Pilihan Raya Kecil Penanti ini, ada kemungkinan segelintir pengundi rasa tidak perlu keluar mengundi. Kami ingin mengingatkan para pengundi Penanti bahawa pilihan raya kecil ini adalah amat penting dan bermakna.

Kami berharap semua pengundi Penanti akan keluar untuk mengundi calon KeADILan pada hari pengundian untuk menghantar isyarat yang jelas, bahawa rakyat mahu satu kerajaan Pakatan Rakyat yang kukuh di negeri Pulau Pinang untuk meneruskan agenda perubahan yang dicerminkan oleh pencapaian-pencapaian kerajaan negeri sejak bulan Mac 2008.

Kami juga berharap pihak Barisan Nasional, walaupun tidak bertanding, tidak akan cuba mensabotaj usaha kempen Parti kami sama ada dengan menggunakan pihak polis, media arus perdana mahupun cara-cara lain seperti memberi pelancongan percuma di luar kawasan Penanti pada hari pengundian.

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Pengarah Pilihanraya Pusat
Parti Keadilan Rakyat

Read More “PENGUNDI DUN PENANTI TOLONG TUNAIKAN TANGUNGJAWAB ANDA”  »»

KUIS MARA KE HADAPAN

KUIS Tandatangani MoU Bagi Program PhD Dan Membuka Pusat Kecemerlangan


Oleh Mohd Azhar Ibrahim dan Nabilah Saleh

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) baru-baru ini menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Markfield Institute of Higher Education (MIHE) di United Kingdom, yang akan membolehkan anggota fakulti KUIS meneruskan pengajian di peringkat ijazah doktor kehormat tanpa perlu mengambil cuti panjang daripada tugas akademik mereka.

Di bawah MoU itu, yang ditandatangani oleh Rektor dan CEO KUIS Datuk Mohd Adanan Isman dan Rektor MIHE, Profesor Dr Manazir Ahsan, para pensyarah KUIS yang mahu meneruskan penyelidikan mereka bagi ijazah doktor kehormat hanya perlu mengikuti enam bulan terakhir program PhD di kampus MIHE di Markfield, Leicestershire, England.

"Program penyelidikan ijazah doktor kehormat ini yang terbahagi kepada dua, dan akan bermula pada September, membolehkan kakitangan fakulti, akses kepada penyeliaan akademik dan kemudahan di MIHE dalam pelbagai subjek, terutama bidang pengajian Islam," kata Mohd Adanan.

Dalam ucapan beliau, pengarah KUIS Profesor Dr Sidek Baba menarik perhatian bahawa Islam menggalakkan perbincangan akademik antara pelbagai tamadun dan budaya.

"Pengajian Islam tidak boleh dilaksanakan dengan memencilkannya daripada masyarakat yang lebih besar," kata Dr Sidek.

Menurut Dr Sidek, kemajuan sering kali terhasil daripada idea-idea berlainan daripada yang lazim diterima. Kemunculan idea-idea baru dan yang membawa kemajuan bermakna kita perlu meninggalkan zon selesa kita dan meneroka apa yang tidak diketahui.

"Adalah sangat penting bagi institusi-institusi Islam untuk menjalin kerjasama dengan Barat. Selaras dengan itu, MoU harus dilihat sebagai permulaan visi dan wawasan kolej ini ke arah membangunkan kerjasama dengan Barat," kata Dr Sidek.



MENGHUBUNGKAN UMAT ISLAM DENGAN YANG LAIN

Dr Manazir berpendapat bahawa institusi pengajian tinggi Islam mempunyai tanggungjawab untuk dipenuhi, dalam cara mereka tersendiri, iaitu bagi keperluan masyarakat yang lebih besar di mana mereka berada.

"Jika anda benar-benar mahu menyaksikan perubahan, anda perlu mendekatkan diri dengan mereka yang berlainan dari anda," kata Dr Manazir kepada Bernama selepas majlis menandatangani perjanjian itu.

Markfield Institute of Higher Education, yang memiliki satu-satunya perpustakaan Islam di Eropah, dikendalikan oleh Yayasan Islam UK yang berfungsi sebagai sebuah pusat utama yang menggalakkan dialog antara agama antara warga Islam Britain dan rakyat bukan Islam.

MIHE berpotensi untuk muncul sebagai antara pusat terkemuka di Eropah bagi pengajian ijazah lanjutan mengenai Islam dan dunia Islam.

Dengan bekerjasama dengan University of Loughborough dan University of Portsmouth di United Kingdom, ini merupakan institut akademi Islam pertama yang mahu membina hubungan antara umat Islam dengan yang lain dengan menggalakkan persefahaman lebih baik mengenai Islam di Barat menerusi dialog-dialog proaktif antara agama dan budaya berlainan.

"Selepas insiden 11 Sept (2001), wujud persepsi negatif terhadap komuniti Islam di Barat. Kita perlu memastikan perspektif yang betul dengan melibatlan diri dalam dialog-dialog proaktif supaya mereka di Barat faham yang budaya kita bukanlah budaya konflik dan keganasan," kata Dr. Manazir.

"Krisis kewangan global semasa membawa peluang terbaik bagi umat Islam menunjukkan bagaimana sistem kewangan dan perbankan seperti yang diamalkan Islam adalah lebih adil dan saksama kepada masyarakat. Tetapi kita perlu melakukan ini dengan menggunakan istilah-istilah moden yang setara dengan istilah Arab, yang Barat mungkin mendapati mengelirukan," kata Dr Manazir.

"Sudahpun, mula wujud kesedaran dalam kalangan pihak tertentu di Barat bahawa, penyelesaian kepada krisis kewangan semasa yang dihadapi dunia ialah berdasarkan konsep perkongsian keuntungan dan risiko yang termasuk di dalam perbankan dan kewangan Islam," jelas beliau.



STATUS UNIVERSITI PENUH

KUIS, yang ditubuhkan sebagai sebuah kolej swasta pada 1995, merupakan sebuah anak syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Di kampus seluas 42.1-ha di Bandar Seri Putra dekat sini, lebih kurang 5,000 penuntut termasuk 180 penuntut antarabangsa dari negara-negara Asean dan juga dari Afrika dan China, sedang mengikuti 42 disiplin akademik daripada pengajian peringkat asas hinggalah program ijazah sarjana.

Dalam meneruskan dengan wawasannya untuk muncul sebagai sebuah Institut Pengajian Tinggi yang disegani di peringkat antarabangsa, KUIS juga mengadakan program bersama dengan universiti di Ireland, London, United Kingdom, Mesir dan Australia.

Menurut Mohd Adanan, KUIS sedang menuju ke arah menjadi sebuah universiti penuh pada akhir 2010.



KUIS LANCAR PUSAT KECEMERLANGAN

Sementara itu, KUIS hari ini melancarkan Pusat Kecemerlangannya (CoE).

Pengarah CoE KUIS Shaya'a Othman ketika ditemui Bernama berkata fungsi CoE ialah sebagai pemangkin pusat kecemerlangan ilmu KUIS dalam aspek pembangunan organisasi dan insani.

Shaya'a menjelaskan bahawa antara program yang bakal dilaksanakan CoE ialah memberi khidmat pakar runding dan latihan kepada organisasi luar - tempatan dan luar negara.

Ini sejajar dengan kelebihan KUIS yang menyediakan pelbagai kursus pengajian dalam bidang seperti perniagaan, teknologi maklumat, perundangan, kewangan, komunikasi dan pengajian Islam.

Disebabkan itu KUIS memperkenal agenda KUIS BEST - pelajar terbaik, pensyarah terbaik, kemudahan terbaik dan petugas terbaik.

"Sehubungan itu, CoE akan berusaha mempersiap KUIS ke arah itu dan agenda KUIS BEST merupakan antara sasaran awal yang akan dilaksanakan," katanya.

Bagi memastikan CoE ini efektif, sebelum penubuhannya unit kajian PPP mengadakan lawatan ke negara-negara seperti Indonesia, Kazakhstan dan Turki untuk mempromosi KUIS.

Katanya antara universiti yang bersetuju menandatangani MoU dengan KUIS ialah Universitas Gadjah Madha, Universitas Andalas, Universitas Sharif Hiyatullah dan Universitas Yafsir.

CoE yakin dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam menambah baik kualiti pendidikan di KUIS dengan adanya objektif yang jelas untuk mengubah dan membangun organisasi muslim dalam aspek sistem pengurusan, penyelidikan dan pembangunan.

"Pada masa akan datang, saya berharap KUIS tidak lagi hanya melahirkan graduan yang memenuhi pasaran pekerjaan tetapi sebaliknya melahirkan graduan yang mampu mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan," kata Shaya'a penuh optimis.

BERNAMA

Read More “KUIS MARA KE HADAPAN”  »»

KDNK MENGUNCUP 6.2%

Keadaan ekonomi negara kini berada ditahap kritikal dengan pengumuman Bank Negara bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menguncup sebanyak 6.2 peratus pada suku tahun pertama tahun 2009.

Kita boleh tuding jari kat sana sini, tetapi akhirnya siapa yang harus dipersalahkan? Ini penting AGAR perkara yang sama tidak berulang dilakukan oleh pihak atau individu yang sama. Biasanya "penjenayah atau crook" akan berasa hebat dan bangga jika kerja buruk mereka terlepas dari hukuman.

KDNK menguncup: Mahfuz tempelak Najib


Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar menempelak Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan 1 negara kerana berbohong kepada rakyat.


Najib, tegas Mahfuz, telah berbohong kepada rakyat bila sebelum ini membuat kenyataan negara tidak akan terkena tempias krisis ekonomi yang sedang melanda dunia.

Dalam satu sidang media yang diadakan di pejabat PAS kawasan Pokok Sena beliau mencadangkan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Nazri Aziz mengusulkan kepada parlimen yang akan bersidang pada 15 Jun nanti supaya menghukum Najib dengan memotong gaji Perdana Menteri itu sebanyak RM10.00.

"Parlimen perlu menghukum Najib yang telah berbohong kepada rakyat mengenai keadaan ekonomi negara.

"Dato' Nazri yang menjaga hal ehwal parlimen perlu membawa usul tersebut bila Dewan Rakyat mula bersidang pada 15 Jun nanti," tegas Mahfuz.

Keadaan ekonomi negara kini berada ditahap kritikal bila Bank Negara mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menguncup sebanyak 6.2 peratus pada suku tahun pertama tahun ini.

Malah, tegas Mahfuz, Perdana Menteri telah mengakui KDNK negara akan mengalami pengucupan sebanyak 4 hingga 5 peratus sepanjang tahun ini.

Sebelum ini Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), menjangkakan ekonomi negara akan mengalami kemelesetan teknikal.

Keadaan ini jelas beliau membuktikan slogan Satu Malaysia Najib gagal kerana pencapaian negara telah meleset.

Mahfuz juga mendesak supaya kerajaan menyediakan satu kertas putih untuk dibahaskan di Parlimen mengenai keadaan ekonomi negara kerana apa yang dijelas oleh Najib hari ini tidak dibahaskan secara khusus.

Mengulas kenyataan Najib yang mengatakan KDNK negara akan mengalami peningkatan pada suku terakhir tahun ini, Mahfuz menegaskan perkara tersebut mustahil akan berlaku.

"Bagaimana ia akan pulih jika suka pertama dan kedua sudah mengalami pengucupan yang teruk?" soal Mahfuz.

Mahfuz juga bersetuju jika ada cadangan supaya menteri kewangan ditukar.

Beliau menegaskan perlunya seorang menteri kewangan yang bersifat terbuka dan bersedia menerima pandangan pihak lain.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan agar tidak mengharapkan ekonomi dunia pulih sebaliknya perlu berusaha sendiri bagi mengatasi masalah ini.

mns/Irwan Muhammad Zain/harakahdaily

Read More “KDNK MENGUNCUP 6.2%”  »»

HEBAHAN MENGENAI MUKTAMAR PAS KE 55

Beberapa hebahan untuk makluman dari SU Agung PAS.

Wakil Hamas antara kenamaan di Muktamar PAS


Wakil kerajaan Hamas, pemimpin-pemimpin Pakatan rakyat serta beberapa orang bekas pimpinan Umno merupakan antara tetamu kenamaan yang akan hadir pada Muktamar PAS yang ke-55 nanti.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaafar yang mengesahkan perkara tersebut menyatakan PAS berbesar hati di atas kesudian pihak tersebut untuk hadir mengikuti perasmian serta mendengar ucapan dasar Presiden.

Sementara itu katanya, pihaknya telah menerima cadangan usul-usul untuk dipertimbangkan bagi permbentangan sewaktu perbahasan nanti.

"Dijangka seribu orang perwakilan akan menyertai Muktamar nanti.Perbahasan dijangka hangat kerana Pilihan Raya Kecil Dun Penanti akan diadakan sewaktu Muktamar berlangsung. Begitu juga dengan Pilihan Raya Kecil Dun Manik Urai yang akan berlaku bila-bila masa. Kita menjangkakan perwakilan akan memberi perhatian terhadap tugas-tugas jentera pilihan raya PAS bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya tersebut.

"Selain itu, pergolakan yang berlaku dalam Barisan Nasional termasuk perpecahan dalaman PPP serta Gerakan merupakan satu kesempatan untuk kita bincangkan dalam Muktamar nanti,"katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily lewat semalam.

Sepanjang Muktamar tersebut katanya, negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak ketinggalan mengadakan pameran berkaitan pencapaian serta pentadbiran masing-masing.

Mengenai penempatan para perwakilan, beliau menjelaskan ia akan diuruskan oleh pemimpin kerajaan negeri Selangor. Manakala bagi negeri-negeri yang memerlukan bantuan seperti penginapan, ia akan diuruskan oleh PAS Selangor.

mks/Nyza Ayob/HARAKAHDAILY

Read More “HEBAHAN MENGENAI MUKTAMAR PAS KE 55”  »»

SENARAI MUKTAMAD CALON

Senarai muktamad ahli yang menerima pencalonan untuk jawatan-jawatan dalam parti sebelum pemilihan pada 4 Jun nanti, Insya ALlah.

Terkini: Mustafa Ali umum senarai akhir calon bertanding


Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Muktamar PAS kali ke-55, Dato' Mustafa Ali telah mengumumkan senarai akhir calon yang akan bertanding bagi jawatan dalam PAS diperingkat Pusat dan Dewan-dewan.

Pengumuman itu dibuat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut oleh Mustafa pada 26 Mei.Turut serta ialah ahli jawatankuasa pemilih, Mohammad Diah dan Khairul Anwar Mat Zuki.

Mustafa menyifatkan pertandingan kali ini akan hebat di peringkat AJK PAS Pusat yang mana seramai 54 orang calon akan bertanding bagi mengisi 18 kekosongan.

Beliau berkata, pertandingan AJK PAS Pusat dilihat 'fight' berikutan nama-nama yang menawarkan diri sangat popular dan juga mereka yang memegang jawatan itu sebelum ini.

Di peringkat dewan pemilihan akan berjalan ketika dewan-dewan bermuktamar, dan di peringkat pusat juga semasa muktamar yang akan bermula 4 Jun 2009.

Keputusan katanya bakal diumumkan secepat mungkin.

Berikut adalah senarai penuh nama-cama calon di peringkat pusat dan dewan-dewan:

Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2009/2011


PENGERUSI TETAP

1. Abu Kasim Bin Abdullah, Ustaz Haji

TIMBALAN PENGERUSI TETAP


1. Hussin Bin Haji Ismail, Haji
2. Ishak Bin Surin, Haji
3. Tengku Puji Bin Tengku Abd Hamid, Hj

PRESIDEN

1. Abdul Hadi Hj Awang , YB Dato' Seri Tuan Guru Haji

TIMBALAN PRESIDEN


1. Husam Musa, YB Dato' Haji
2. Mohamad Sabu, Haji
3. Nasharudin Mat Isa, YB Ustaz Haji

NAIB PRESIDEN


1. Mahfuz Omar, YB Dato' Haji
2. Mujahid Yusof Rawa , YB Dr.
3. Nik Mohd Amar Nik Abdullah, YB Dato' Ustaz
4. Salahuddin Ayub, YB
5. Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato' Ustaz

AHLI JAWATANKUASA KERJA


1. Ab Ghani Abdul Rahman, Ustaz Haji
2. Abdul Ghani Samsudin, Ustaz Haji
3. Abdul Halim Abdul Rahman, YB Dato' Ustaz Haji
4. Mohd Abdul Wahid Endut, YB Hj
5. Abu Bakar Chik, Dato' Ustaz Haji
6. Ahmad Sabki Yusof ,
7. Ahmad Rusli Ibrahim , YB Dato'
8. Aiman Athirah al-Jundi, Sdri
9. Amiruddin Hamzah, YB Dato' Ir.
10. Anuar Tan Abdullah, YB Dato' Haji
11. Asmuni Awi, Haji
12. Azizah Khatib Mat, Ustazah Hajjah
13. Azizan Abd Razak, YAB Dato' Seri Ustaz
14. Azman Shapawi Abd Rani, Ustaz
15. Dzulkefly Ahmad, YB Dr.
16. Halimah Ali, YB Dr. Hjh
17. Hamzah Abdullah , Hj
18. Hamzah Jaaffar, Dr
19. Hasan @ Abd Rahman Abd Razak, Ust
20. Hasan Mohd Ali , YB Dato' Dr Hj
21. Hashim Jasin, YB Ustaz Haji
22. Idris Haji Ahmad, Ustaz Haji
23. Iskandar Abdul Samad, YB Ir
24. Kamarudin Jaffar , YB Dato'
25. Khalid Abd Samad, YB
26. Khalil Idham Lim, YB Drs.
27. Lo' Lo' Haji Mohamad Ghazali, YB Dr.
28. Mahfodz Mohamed, Dato' Dr. Haji
29. Mazlan Aliman, Sdr
30. Mariam Abdul Rashid, Hjh
31. Misbahul Munir Masduki,
32. Mohamad Taufek Abdul Ghani, YB
33. Mohamad Nizar Jamaluddin, YAB Dato' Seri Ir
34. Mohamad Noor Mohamad, Haji
35. Mohamed Hanipa Maidin, Sdr
36. Mohd Anuar Tahir, Hj
37. Mohd Apandi Mohamed, Hj
38. Mohd Hatta Md Ramli, YB Dr. Haji
39. Mujahid Yusof Rawa, YB Dr.
40. Mumtaz Md Nawi, YB
41. Nik Mohd Amar Nik Abdullah, YB Ustaz
42. Nik Muhammad Zawawi Salleh, Ustaz Haji
43. Omar Mohamed, YB Dato'
44. Osman Sabran, Dr.
45. Saari Sungib , YB
46. Shafie Abu Bakar, YB Dr
47. Siti Mariah Mahmud, YB Dr. Hajjah
48. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, YB Dr.
49. Taib Azamudden Md Taib, YB Ustaz Haji
50. Takiyuddin Hassan, YB Dato'
51. Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato' Ustaz
52. Wan Abd Rahim Wan Abdullah, YB Dato'
53. Wan Hasrina Bt Wan Hassan, Hjh
54. Zulkefly Mohamad Omar, Hj

PEMERIKSA KIRA-KIRA


1. Mohd Rashidi Bin Hassan
2. Musaniff Abd Rahman

Dewan Ulama PAS Pusat


PENGERUSI TETAP

1. Hamdan Mohamad, Ustaz Hj

TIMBALAN PENGERUSI TETAP

1. Abd Manaf Othman, Ustaz

KETUA

1. Harun Taib, YB Dato' Ustaz Haji

TIMBALAN KETUA

1. Ahmad Yaakob, YB Dato'

NAIB KETUA

1. Mahfodz Mohamed, Dato' Dr

AHLI JAWATANKUASA KERJA DEWAN


1. Abdullah Abd Razak, Ustaz
2. Abdullah Husin, Ustaz
3. Abdul Ghani Samsudin, Ustaz
4. Abu Bakar Abdullah, Ustaz
5. Azhari Yakob, Dr Ustaz
6. Azizan Mohd Desa, Ustaz
7. Hasan Mohamad, Dato' Ustaz
8. Hassan Alias, Ustaz
9. Husin Awang , Dato' Ustaz
10. Ismail Noh, Ustaz
11. Jaliluddin Haji Abdul Wahid, Ustaz
12. Khirul Muntanazar Ismail, Ustaz
13. Md Suaid Din, Ustaz
14. Mohd Zain Abdul Rahman, Ustaz
15. Mokhtar Senik, Ustaz
16. Muhammad Daud Iraqi, Dato' Ustaz
17. Muhammad Mustafa, YB Ustaz
18. Nik Mohd Zawawi Salleh, Ustaz Haji
19. Salleh Sani Haji Harun, Ustaz
20. Taib Azamuddin Md Taib, YB Ustaz
21. Zulkarnain Abidin, Ustaz

PEMERIKSA KIRA-KIRA


1. Ibrahim Omar, Hj
2. Md Isa Jantan
3. Mohamad Noor Hj Zain

Dewan Muslimat PAS Pusat


PENGERUSI TETAP


1. Noraini Hussin
2. Nor Hashimah Deraman

TIMBALAN PENGERUSI TETAP


1. Faizah Ismail
2. Wan Hamidani Wan Ahmad

KETUA


1. Asiah Ali, Dr Ustazah
2. Nuridah Mohd Salleh, Ustazah

TIMBALAN KETUA


1. Siti Zailah Mohd Yusoff, YB.
2. Wan Hasrina Wan Hassan, Hajjah

NAIB KETUA

1. Mumtaz Md Nawi, YB.

AHLI JAWATANKUASA KERJA


1. Aiman Athirah Al Jundi
2. Amizan Baharuddin
3. Azizah Khatib Mat, Ustazah
4. Fatimah Wan Teh
5. Fatimah @ Zainab Ibrahim, To' Puan
6. Halimah Ali, YB. Dr.
7. Khadijah Mahmud
8. Kintan Osman
9. Mastura Hj Mohamad
10. Madznah Talib
11. Najihatussalehah Ahmad, Dr.
12. Norhayati Bachok
13. Norhanim Ismail
14. Nurul Huda Yusof Rawa
15. Salamiah Mohd Nor
16. Rosiah Salleh, Ustazah
17. Rosni Adam, Dr.
18. Salbiah Abd Wahab
19. Siti Mariah Mahmud, YB. Dr.
20. Siti Mariam Othman
21. Wan Ubaidah Omar, YB.
22. Wardatul Jannah As Sofea
23. Zaroni Othman

PEMERIKSA KIRA-KIRA


1. Basmatul 'Uyun Yusof
2. Wan Hasna Wan Ismail

Dewan Pemuda PAS Pusat

PENGERUSI TETAP

1. Misbahul Munir Masduki, Ustaz

TIMBALAN PENGERUSI TETAP

1. Aris Awang

KETUA

1. Nasrudin Hassan, Ustaz

TIMBALAN KETUA

1. Azman Shapawi Abd Rani, Ustaz

NAIB KETUA

1. Ahmad Sabki Yusof

AHLI JAWATANKUASA KERJA DEWAN


1. Abdullah Abdul Karim
2. Adly Zahari
3. Ahmad Baihaki Atiqullah, YB Ustaz
4. Ahmad Izzat Shauki, YB Ustaz
5. Firdaus Masod
6. Herman Samsudeen
7. Kamal Ashaari, Ustaz
8. Kamaruzaman Mohamad
9. Khairul Faizi Ahmad Kamil
10. Mohd Adram Bin Musa
11. Mohd Firdaus Jaafar, YB
12. Mohd Nazri Chik Zain , Ustaz Hj
13. Mohd Sany Hamzan
14. Mohd Sufian Ibrahim
15. Nasir Zakaria,YB Ustaz
16. Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, Ustaz
17. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob
18. Riduan Mad Nor, Ustaz
19. Rosli Allani Abd Kadir, Dr
20. Suhaizan Kaiat
21. Wan Sukairi Wan Abdullah
22. Mohd Yusni Mat Piah
23. Zuraidin Abdullah

PEMERIKSA KIRA-KIRA


1. Jamel Saring
2. Muzammil Hafiz

azm/Wan Nordin Wan Yaacob/Foto Wan Zahari Wan Salleh/harakahdaily

Read More “SENARAI MUKTAMAD CALON”  »»

SULTAN SELANGOR SELAMAT BERANGKAT PULANG

Alhamdulillah DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj hari ini selamat pulang ke tanah air
setelah selamat menjalani pembedahan jantung di USA. Semoga dikurniakan iman yang sejahtera, kesihatan yang baik, dilanjutkan usia dan dijauhkan musibah.
Sultan Selangor Selamat Pulang Ke Tanah Air

SEPANG, 25 Mei – Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj hari ini selamat pulang ke tanah air kira-kira 3.30 petang tadi di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah selamat menjalani pembedahan jantung (Mitral Valve Repair) di Pusat Perubatan Universiti Stanford, California, Amerika Syarikat pada 1 Mei lalu.

Kepulangan Sultan Selangor ini disambut oleh Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan diiringi oleh Ahli Exco dan Ketua Jabatan Kerajaan Selangor.

Keberangkatan pulang Sultan Selangor diiringi dengan bacaan doa selamat oleh Mufti negeri, Dato’ Setia Hj Mohd Tamyes Abdul Wahid sebelum baginda mencemar duli bersalaman dengan Tan Sri Abdul Khalid serta beberapa orang kenamaan.

Dalam pada itu, baginda kelihatan beransur pulih dan berjalan sendiri ketika tiba di Balai Ketibaan, Kompleks Bunga Raya, KLIA di sini.

Selain itu, Baginda juga dinasihatkan doktor pakar supaya berehat serta tidak melakukan tugas rasmi dan aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatannya untuk sekurang-kurangnya enam minggu atau tiga bulan sehingga pulih sepenuhnya.

M.SAHRULNIZAM M.ZAIN/selangorkini online

Read More “SULTAN SELANGOR SELAMAT BERANGKAT PULANG”  »»

PUASA SUNAT DAN MUNAJAT BAGI UMAT ISLAM

Jangan kita terperangkap dengan mainan media, bagi kita orang Islam, sudah tentu kita faham beza antara mogok lapar dengan berpuasa sunat. Kalau tak faham masuk SAR darjah satu.

Mogok lapar di Perak - Ustaz Ahmad Awang beri penjelasan


Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang menegaskan keputusan Badan Perhubungan PAS Perak untuk menganjurkan puasa sunat dan munajat sewaktu berhadapan dengan kemelut politik di negeri Perak adalah selaras dengan Islam.

Dalam kenyataannya sebentar tadi, Ustaz Ahmad berkata, hikmah berpuasa juga bertepatan dengan sunnah apabila umat Islam digalakkan berpuasa sunat tiga hari setiap awal bulan hijrah iaitu 1 Jamadil Akhir (esok).

Katanya, keputusan PAS selaras dengan hasrat parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang mahu menganjurkan mogok lapar tiga hari mulai esok sebagai membantah kezaliman Barisan Nasional terhadap rakyat di negeri itu.

"Saya sudah bertanya kepada rakan-rakan bukan Islam daripada DAP dan KeADILan, mereka mengatakan mogok lapar yang dianjurkan tidak dibuat sehingga menyeksa diri.

"Lagi pun mereka menyediakan khidmat doktor yang akan sentiasa memantau keadaan," katanya.

Sekaligus Ustaz Ahmad menolak kenyataan Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria yang mengatakan umat Islam haram melakukan mogok lapar.

"Jangan kita terperangkap dengan mainan media, kita orang Islam, sudah tentu kita faham beza antara mogok lapar dengan berpuasa sunat.

"Oleh itu kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasaruddin Hassan dalam sebuah akhbar harian hari ini yang menolak mogok lapar, saya fikir tidak sesuai," tegasnya.

Ustaz Ahmad memberitahu, beliau sudah mengarahkan PAS Kawasan-kawasan seluruh Perak untuk menganjurkan puasa sunat dan pada Khamis (hari ketiga berpuasa) malamnya diadakan solat hajat dan munajat.

Tegasnya, matlamat utama berpuasa sunat dan munajat diadakan ialah untuk memohon kepada Allah agar digerakkan hati pihak yang berkuasa bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.

"Kita tidak mahu terlalu hampa dengan kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan, kita masih ada peluang di Mahkamah Persekutuan, apa yang kita mahu, sebagai orang Islam, kita mesti sentiasa dekat kepada Allah dan memohon pertolongan dari-Nya," tegas beliau.

Sehubungan itu beliau mempelawa umat Islam yang berpuasa di Perak untuk menyertai majlis berbuka puasa yang akan diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Perak selama tiga hari berturut-turut mulai esok.

mks/HARAKAHDAILY/ Mohd Rashidi Hassan

Read More “PUASA SUNAT DAN MUNAJAT BAGI UMAT ISLAM”  »»

AHLI PAS SILA GUNAKAN SEMUA MEDIA

Peringatan untuk Ahli PAS yang lalai dan lupa. Sila teruskan membaca.


Jentera Penerangan Umno Diaktifkan Kembali: Ahmad Maslan

Semua jentera penerangan Umno, dengan lebih 63,000 anggota, pada pelbagai peringkat akan digerakkan kembali ke arah mendekatkan parti itu kepada rakyat, kata Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan.

Katanya ketika ini terdapat 18,000 ketua penerangan Wanita Umno, 15,000 ketua penerangan Pemuda dan 7,000 ketua penerangan Puteri.

"Kita ada Biro Penerangan di 191 bahagian dan kita ada Jawatankuasa Penerangan Negeri dan Pusat yang akan digerakkan dengan aktif," katanya selepas membuat lawatan kerja ke ibu pejabat agensi berita Bernama di Jalan Tun Razak di sini, pagi ini.

Beliau yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Felda dan Biro Tatanegara, berkata media maya akan giat untuk membantu Umno dan Barisan Nasional memberi kefahaman kepada rakyat berhubung isu-isu semasa.

Ahmad yang dilantik mengetuai Biro Penerangan Umno selepas Perhimpunan Agung Umno Mac lepas, berkata setakat ini beliau telah menjelajah ke 10 buah negeri untuk berbincang dengan ketua penerangan mengenai strategi mengerakkan jentera penerangan di negeri masing-masing.

Semasa lawatannya, Ahmad meninjau operasi pemberitaan di pejabat Rangkaian Berita Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NNN), Radio24, Bernama TV dan Jabatan Pengarang Bernama.

Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong dan Timbalan Ketua Pengarang Bernama Zulkefli Salleh.

-- BERNAMA


Anggota Umno Digesa Guna Semua Media Untuk Raih Semula Sokongan Melayu

Anggota-anggota Umno digesa agar menggunakan semua bentuk media sebagai alat untuk meraih kembali keyakinan dan sokongan orang Melayu terhadap parti itu.

Ketua Penerangan Umno Malaysia Ahmad Maslan berkata anggota Umno perlu menggunakan kelebihan-kelebihan pada media cetak dan elektronik dalam mendekati rakyat untuk seterusnya mencapai objektif mengukuhkan semula parti itu.

"Ini adalah strategi permulaan. Kita kena bermula pada tapak tertentu. Jika tidak berjaya, kita akan 'revise' semula strategi kita," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan taklimat kepada lebih 30 orang ahli Jawatankuasa Penerangan Umno Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata selain berusaha bersungguh-sungguh dalam menyampaikan agenda perjuangan parti itu, pemimpin Umno juga perlu kreatif bagi menarik minat rakyat terutamanya golongan muda terhadap parti itu.

BERNAMA

Read More “AHLI PAS SILA GUNAKAN SEMUA MEDIA”  »»

UST DAUD IRAQI BUAT PENJELASAN ISU POLITIK WANG DALAM PAS

Kita diingatkan supaya berpegang teguh pada tali ALlah, jangan berpecah belah dan jika datang suatu berita dari golongan fasik maka hendaklah diperiksa dengan teliti. Kita juga disarankan agar bersiap siaga dengan perancangan jahat musuh serta diingatkan agar menambahkan lagi darjah ketakwaan kita pada setiap masa.


Isu politik wang hanya mainan media

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Muhammad Daud Iraqi menafikan membuat kenyataan wujudnya politik wang dalam PAS menjelang Muktamar Tahunan PAS Pusat Jun ini.

Apa yang pasti, kenyataan beliau hanya berbentuk nasihat serta peringatan agar tidak berlaku kejadian seumpama itu dalam PAS.

Menurutnya, pihak media sengaja membuat laporan yang menggambarkan seolah-olah wujud politik sogokan dalam PAS.

"Saya tidak buat kenyataan. Saya tidak pernah membuat kenyataan bahawa ada sogokan wang. Cuma saya telah menasihatkan kawan-kawan dalam (Dewan) Ulama jangan jadi ada (sogokan) seperti bagi baju atau bagi apa-apa dalam masa pemilihan menjelang Muktamar Tahunan PAS akan datang," jelasnya ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Terengganu di Dewan Darul Bayan Pinang Merah, Paka, Dungun baru-baru ini.

Menurutnya, aktiviti kurang sihat itu amat tidak wajar diamalkan terutama dalam kepimpinan Ulama PAS yang berteraskan Islam.

Katanya, ulama juga adalah tonggak, contoh dan teladan kepada rakyat.

"Kita minta jika ada hentikan dan jika tidak ada tinggalkanlah. Ulama ini merupakan tonggak, contoh dan teladan kepada rakyat," ujarnya.

Sehubungan itu, Ustaz Muhammad menjelaskan pihaknya tidak menerima sebarang bentuk laporan atau aduan tentang wujudnya gejala tersebut.

"Laporan atau aduan tidak ada cuma laporan surat khabar (media) tulis macam itu. Saya hanya beri peringatan sahaja dan saya tidak buat kenyataan akhbar seperti orang lain," jelasnya terhadap kekeliruan yang timbul.

Beliau yang menarik diri daripada mempertahankan jawatan Ketua Ulama PAS Pusat menjelaskan bahawa dasar Kepimpinan Ulama yang diperjuangkan PAS wajar diteruskan.

Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Yahya Ali dan Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Dato' Husin Awang.

mks/Khairul Azlam Mohamad/harakahdaily

Read More “UST DAUD IRAQI BUAT PENJELASAN ISU POLITIK WANG DALAM PAS”  »»

PESURUHJAYA PAS SELANGOR PERJELAS PRESTASI EXCO PAS DALAM KERAJAAN PAKATAN RAKYAT SELANGOR

Mungkin Exco serta ADUN PAS harus dinilai prestasi mereka secara objektif seperti yang diwar-warkan oleh Menteri Pusat dalam bentuk ?KPI, Balanced Scorecard dan sebagainya.

Warga Selangor kian selesa di bawah Pakatan


SELEPAS setahun dua bulan kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir negeri Selangor, rakyat dapat menilai prestasi Exco dan Adun menjalankan khidmat masing-masing. Ikuti penjelasan Exco Kanan Kerajaan Negeri, Dato' Dr Hasan Mohamad Ali ketika ditemu bual wartawan SAIDAH HAIRAN di pejabatnya, di Tingkat 2, Bangunan SUK, Shah Alam.


HARAKAH: Dato' selepas setahun lebih pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat, bagaimana Dato' melihat pencapaian Exco PAS dalam potfolio masing-masing?

DR HASAN: Pada saya pencapaian kalau dibandingkan di kalangan Exco, saya sebagai ketua daripada PAS merasakan pencapaian kita peringkat A dengan kesungguhan yang ditunjukkan. Kedua, kebolehan menguasai portfolio mereka, sokongan daripada tenaga bantu. Misalnya peringkat Exco, di pejabat SUK dan di Pusat Khidmat Masyarakat yang ditubuhkan para Exco dan Adun-Adun, saya merasakan sambutan begitu baik. Sehingga kini saya tidak menerima komplain mengenai prestasi Exco Iskandar (Abdul Samad), Dr Halimah (Ali) dan saya sendiri.

Saya merasakan Menteri Besar sendiri pun nampak gayanya berpuas hati setakat ini tentang prestasi yang ditunjukkan oleh Exco-exco PAS.

Selain itu, kita tahu Exco-exco PAS diberikan portfolio yang agak berat, portfolio yang penting, macam pendidikan (Dr Halimah) itu 'kan penting, perumahan (Iskandar) itu 'kan penting bagi, saya pula ... memanglah Islam itu penting, begitu juga infrastruktur.

Kita mengetuai berbagai-bagai jawatankuasa di peringkat negeri. Saya jawatankuasa Perancangan Negeri, jawatankuasa yang melibatkan hasil sungai dan sebagainya. Kita duduk dalam jawatankuasa tersebut.

Dato' dalam pilihan raya umum ke-13, rakyat Selangor khususnya orang Melayu menaruh harapan tinggi kepada PAS supaya dapat menguasai Parlimen dan Dun di kawasan Melayu seperti di Sabak Bernam dan Sungai Besar, malangnya kita kalah.

Itu yang sedang kita perhatikan. Dun yang kita menang lapan yang kita kalah di bawah 1,000 undi rasanya ada enam. Kalau kita pertahankan yang sekarang dengan menang yang kalah di bawah 1,000 undi, kita sudah ada 14. Yang kalah di bawah 1,500 undi mungkin ada dua lagi. Jadi 14 campur dua sudah 16 kalau kita dapat 16 dalam pilihan raya ke-13, saya rasa kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat bertambah kuat.

Kedudukan PAS bertambah disegani, kedudukan PAS menyebabkan nanti Exco dan juga penyertaan PAS dalam kerajaan negeri bertambah mantap. Saya tidak menyatakan kita sekarang ini dihambat oleh kerana kita hanya lapan kerusi, 13 DAP dan 15 KeADILan.

Kalau misalnya kita boleh mencapai setara dengan teman-teman Pakatan Rakyat yang lain kenapa kita tidak boleh mencapai kesetaraan itu. Saya merasakan insya-Allah, dalam pilihan raya ke-13 ini, saya yakin gambaran sokongan rakyat melalui pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Dengan deretan kekalahan Rakyat sudah hilang kepercayaan kepada Umno-BN. Jadi Umno-BN tidak mahu itu terus berlaku, hingga Perdana Menteri mengambil keputusan tidak mahu bertanding di Dun Penanti.

Insya-Allah dalam pilihan raya ke-13, persediaan kita lebih mantap.

Dulu kita tidak boleh menggunakan kemudahan bangunan misalnya, yang berada di sekolah sudah boleh. Kalau dulu tidak boleh datang ke masjid, dulu tidak boleh bagi khutbah sekarang sudah boleh. Jika dulu kita tidak ada Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sekarang sudah ada.

Kalau dulu kita tidak menguasai masjid, sekarang mulai 1 Jun akan datang kita sudah boleh menguasai masjid. Jika dulu kita tidak mempunyai pusat khidmat masyarakat sekarang semua Adun kita sudah mempunyai pusat khidmat masing-masing.

Insya-Allah dengan usaha berlipat ganda, tidak mustahil kita boleh dapatkan 16 kerusi.

Tentu PAS sudah merangka strategi tertentu untuk menawan kawasan majoriti Melayu?

Kita sudah mendapat sokongan kuat daripada masyarakat India dan Cina. Cuma sokongan yang tidak setara ialah daripada masyarakat Melayu sendiri. Dalam kawasan aliran daripada Melayu Sabak Bernam sampai Kapar kita cuba. Bahkan melalui kerajaan Negeri kita jalankan satu projek yang melibatkan penanam padi.

Di mana penghasilan padi kalau sekarang 4.5 tan satu ekar kita naikkan pada 7 atau 8 tan satu ekar. Ini menyeluruh. Menteri Besar dan Exco-exco akan turun ke kawasan ini bagi meyakinkan rakyat bahawa satu proses reformasi dari segi pertanian sedang berlaku di kawasan Sabak Bernam sampai Kapar.

Kita harap dengan meningkatnya pendapatan rakyat, rakyat bertambah selesa di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat dengan bantuan-bantuan yang dinamakam MES - 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' yang ada tujuh hingga lapan program. Bagi saya ini satu strategi yang paling ampuh untuk kita melebar-luaskan lagi punya pencapaian politik kita.

Kita kena faham Dato' Seri Najib Tun Razak menjaga Umno Selangor. Sudah tentu ada dalam kepala Najib, sesuatu dalam Perhubungan Umno Selangor untuk merampas kembali negeri ini.

Saya rasa letak siapa pun dalam keadaan Umno sudah menurun, Umno sudah tidak ada kepercayaan lagi. Pergolakan dalam Umno tidak habis-habis, rasuah dalam Umno tak habis, plan untuk menggantikan generasi pengganti dalam pimpinan pun tidak habis-habis. Saya rasa sukar bagi Umno untuk kembali seperti zaman Tun Razak, Tun Hussein Onn bahkan pada zaman awal Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kita juga galakkan pendaftaran pengundi. Jadi kita akan gunakan sepenuhnya, PAS dapat 22 Penolong Pendaftar jadi kita akan lantik mereka, beri keyakinan kepada mereka supaya melakukan pendaftaran sehebat-hebatnya.

Kita juga membanyakkan cawangan meramaikan ahli. Alhamdulillah saya kalau tengok diari ada saja merasmikan cawangan PAS baru. Ada saja pembubaran cawangan Umno masuk PAS. Kita tahu Dato' Zahar Hashim masuk PAS; banyak lagi seperti Dato' Zahar itu, hanya kita tidak mengumumkan atas beberapa sebab.

Saya sendiri terlibat secara langsung menerima kedatangan ahli baru daripada Umno masuk PAS. Jadi, yang lain kita hendak mengekalkan hubungan baik dengan masyarakat Cina dan India. Masyarakat Cina dan India sudah nampak parti yang bersih, jujur yang boleh digantung harapan ialah PAS.

Selama setahun tiga bulan ini orang-orang PAS, Exco PAS tidak terlibat pun dengan perkara yang saya rasa menghambat orang lain. Kita tidak terlibat dengan lompat parti, salah guna kuasa, hal-hal mengenai moral. Rakyat melihat dan rakyat cerdik. Penilaian mereka lebih objektif berbanding 10 tahun lalu.

Ada orang mendakwa apabila PAS sudah banyak kerusi yang menang, mereka hanya menjaga kebajikan masyarakat Cina, India dan orang atas pagar. Manakala ahli PAS dibiarkan ...

Oh ... tak betul, tak betul. Kena tengoklah. Orang kita, saya selalu ingatkan turun padang. Pergi surau, masjid, majlis keraian, kematian dan sebagainya. Memanglah saya sebagai Exco kadang-kadang kematian itu kebetulan mesyuarat Exco tapi saya pastikan esok saya pergi. Saya dekati mereka, saya tengok lelehan air mata suami dan anak-anak yang kehilangan isteri, suami dan sebagainya.

Kita pergi. Kita ada hubungan dengan rakyat. Turun padang, turun padang inilah slogan kita. Dari segi rakyat saya rasa turun padang kita ini nampak lebih asli daripada turun padang orang Umno. Orang Umno tinggalkan kereta mewah di rumah dan turun padang dengan kereta buruk di kampung-kampung.

Kita itulah kereta kita yang mewahnya itu dan yang buruknya itu. Jadi nampak orang Umno apabila turun padang lima enam kereta ikut mereka. Ini saya rasa lakonan yang dimainkan oleh Umno. Orang PAS turun ke masjid bagi kuliah, berceramah, ikut basuh pinggan.

Apakah Dato' sudah mengecapi kejayaan melaksanakan portfolio Dato' selama setahun tiga bulan ini?

Saya ambil yang infrastruktur ya. Saya jaga JKR, JPS, Jais dan sebagainya. Memang nampak banyak benda yang perlu dibaiki terutama daripada segi perkhidmatan. Ini bukan salah sesiapa. Perkhidmatan ini jika banyak diguna banyak kerosakan. Jika terlalu banyak tempat rosak jadi JKR pun tidak mampu hendak pergi betulkan, ada lubang-lubang jalan tidak mampu dengan tenaga yang ada. Kalau ada 20 jalan di Sabak Bernam serentak berlubang dengan sebab banjir jadi kita tidak mampu untuk menyelesaikan semua masalah.

Ok. Kemudahan awam saya rasakan tinggal perkhidmatan sajalah dengan telefon awam gangang jatuh tidak dipasang. Kita mengatakan sudah berlaku perubahan. Pengguna kita sudah ada kesedaran sivik. Walaupun tidak sampai peringkat orang Eropah, Korea, Australia tetapi sudah ada pergerakan ke arah itu. Hanya kebersihan masjid, bangunan awam yang ini masih lagi saya nampak. Kita mungkin dekat 20 tahun tertinggal daripada Australia, Amerika dan sebagainya.

Ini kita kena usaha sebab Selangor sudah pun jadi negeri maju. Selain itu tentang agama. Saya rasa terlalu banyak yang kita lakukan. Perubahan jawatankuasa yang mentadbir masjid dan kariah. Saya rasa kita gunakan 8,000 orang yang akan dilantik ini untuk menggerakkan pembangunan semangat keagamaan sama ada di bandar dan luar bandar.

Kita sudah ada JKKK yang diberi taklimat khas untuk menggerakkan surau dan masjid. Kita hendak menjadikan masjid dan surau betul-betul sebagai institusi yang berfungsi. Saban masa hijau, mengerlip, berapi semangatnya begitu, diimarahkan.

Masjid negeri setiap bulan minggu kedua hari Sabtu malam Ahad kita ada forum perdana Ehwal Islam. Ada Dato' Haron Din, Dato' Ismail Kamus, Dr Roslan Mohamad, Dr Sharifah Hayati. Orang-orang ini memang diminati. Dua puluh tahun dulu diminati dan seterusnya diminati.

Mereka diberikan ruang dan peluang untuk pergi masjid negeri. Ustaz Haron Din setiap bulan minggu pertama hari Jumaat malam Sabtu ada kuliah Tasawur Islami iaitu tentang hal-hal Islam.

Yang ini kita hendak kembangkan di tempat-tempat lain. Saya minta ada teman saya Ustaz Osman Ibrahim turun sebulan sekali buat qiamulail di kawasan yang akan ditentukan. Kita hendak 'beranak-pinakkan' idea qiamulail ini. Semoga subur orang tua, orang muda. Subur rohnya.

Kalau dulu Maahad Tahfiz ada satu pelajar 45 orang saja. Sekarang dalam masa setahun kita sudah ambil 300 orang. Kita ada dua Maahad Tahfiz satu di Jugra (Banting) dan Kampung Jawa (Klang). Mungkin tahun depan jika tidak ada aral melintang akan ada satu lagi Maahad Tahfiz.

Inilah sekolah-sekolah agama biasiswa dulu tertahan-tahan. Sekarang ini kita perluaskan, kita bagi kepada mereka yang cemerlang.

Satu lagi yang kita hendak bangunkan Sekolah Agama Rakyat yang Pak Kiyai buat. Di kampung di pinggir bandar ini yang tidak pernah dijenguk. Ini yang kita hendak bina.

mks /SAIDAH HAIRAN/HARAKAHDAILY

Read More “PESURUHJAYA PAS SELANGOR PERJELAS PRESTASI EXCO PAS DALAM KERAJAAN PAKATAN RAKYAT SELANGOR”  »»

IBU PEJABAT DAP DIGELEDAH POLIS

Sekurang-kurangnya 11 orang pegawai polis berpakaian preman telah menggeledah ibu pejabat DAP di Petaling Jaya baru-baru ini.

Video 1/3 IBU PEJABAT DAP DISERBU POLIS



Video 2/3 IBU PEJABAT DAP DISERBU POLIS





Video 3/3 IBU PEJABAT DAP DISERBU POLIS

Read More “IBU PEJABAT DAP DIGELEDAH POLIS”  »»
 

x

Photobucket

e


Popular Posts

Followers


View My Stats

pautan lain

Ab

zwani.com myspace graphic comments

x

Photobucket

Recent Comment

ISLAMICITY

SEARCH THE TRUTH

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com