Pray For MH370

Pray For MH370

Dr Mahathir SUDAH LUPA

Surat terbuka kepada Dr Mahathir ― Faekah Husin  

13 MAC ― Kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed di Klang baru-baru ini saya kira telah melampaui batas dan lebih bersifat liabiliti kepada slogan 1Malaysia yang cuba dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Dr Mahathir menuduh kononnya masa depan dan hak keistimewaan orang Melayu serta kesucian agama Islam akan terancam sekiranya Pakatan Rakyat terus berkuasa di Negeri Selangor.

Kenyataan beliau menunjukkan bahawa beliau telah tertinggal jauh dari perkembangan politik tanahair. Dr Mahathir masih menyanyi lagu lama; lagu perkauman dan menakut-nakutkan orang Melayu serta mahu menyegarkan pertembungan kaum setelah bibit-bibit kebencian terhadap kaum dan penganut agama lain beliau tanam di kalangan rakyat di sepanjang 22 tahun pemerintahannya.

Dr Mahathir sepatutnya sedar ketika beliau mengungkapkan kata-kata penghinaan  mengenai agama Islam tersebut, beliau berada di Bandar Di Raja Klang, Bandar kebanggaan Sultan-Sultan di Selangor. Pentadbiran Pakatan Rakyat menyerahkan hal ehwal agama Islam kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tanpa campur tangan politik.

Sesungguhnya, Ketua Agama Islam di negeri ini adalah DYMM Sultan Selangor sendiri dan baginda begitu menjaga kesucian agama Islam serta sentiasa mempertahankan kepentingan umat Islam. Pentadbiran kerajaan negeri pula akur, patuh dan  menghormati apa sahaja keputusan DYMM Sultan Selangor berkenaan kesucian dan pembangunan agama Islam. Mana mungkin di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat kesucian agama Islam boleh terancam. Tohmahan Dr Mahathir ini merupakan keceluparan melampau hatta menghina Institusi Agama dan Raja di negeri ini.

Di Selangor, JAIS memperolehi peruntukan yang paling tinggi di dalam Belanjawan Negeri; melebihi RM130 juta setahun. Dari segi pembangunan, kita telah membelanjakan lebih RM405 juta untuk membina masjid dan sekolah agama dan lebih RM46 juta untuk baik pulih masjid dan sekolah agama sepanjang tempoh 2008-2012. Kita juga telah menaikkan elaun guru-guru Sekolah KAFA dari RM400 ketika pemerintahan Dr Mahathir kepada RM1,300 hari ini. Pengiktirafan yang kita berikan ini antara salah satu cara kita meningkatkan ilmu agama di kalangan anak-anak Melayu Islam sebagai pelaburan modal insan.

Sebaliknya pada zaman pemerintahan Dr Mahathir, Sekolah-sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Tahfiz seringkali diugut dengan pembubaran. Pelbagai alasan dangkal yang diberikan Dr Mahathir. Banyak juga kenyataan menghina yang dikeluarkannya ketika itu antaranya; anak-anak Melayu yang bersekolah kebangsaan waktu pagi dan ke sekolah agama sebelah petangnya akan keletihan dan lemah dalam pelajaran. Sedangkan tidak banyak faedah bersekolah agama di sebelah petang, sekadar menghafal doa makan dan masuk tandas sahaja.

Pada Dr Mahathir, amalan berjaga malam untuk berqiamulail hanya menjadikan anak-anak Melayu ini kurang tidur lantas melemahkan sel-sel otak mereka, lembab dan tercicir di dalam pelajaran. Rakyat di negeri ini masih belum lupa penghinaan tersebut dan jika mahu disebut satu persatu perlakuan Dr Mahathir terhadap agama Islam serta penghinaan terhadap umat Islam, kita sendiri yang akan terasa malu dengan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam kerana ada di antara kita bersikap jelek begitu. Tiba-tiba hari ini Dr Mahathir cuba menjadi jaguh agama.

Memang benar kata-kata seorang ulama terkenal di negara ini yang menyatakan jika seseorang itu telah bergelar “Mantan” ini bermakna kata-kata serta pandangannya sudah tidak relevan lagi. Jangan diambil pusing, elok sahaja dibiarkan melalak tanpa perhatian. Ini sangat bertepatan sekali dengan situasi Dr Mahathir ketika ini. Nampaknya beliau masih berilusi dan mengalami sindrom penafian bahawa beliau sudah menjadi mantan hampir 10 tahun lamanya.  

Dr Mahathir juga membuat tuduhan jahat kononnya nasib orang Melayu akan tergadai jika pembangkang memerintah Selangor. Mahathir perlu tahu Umno adalah pembangkang di Selangor; melatah dan tersasul sememangnya sifat seorang mantan 10 tahun yang gagal menerima hakikat bahawa kuasa sudah bukan miliknya lagi.

Kita tidak menafikan Dr Mahathir meneruskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang matlamat asalnya membantu orang Melayu. Malangnya dasar itu ternyata gagal dalam pelaksanaannya kerana agihan kekayaan yang tidak adil dan tidak telus. Amalan kronisme; memperkaya suku sakat sangat berleluasa dan “dihalalkan” atas dasar menjaga kepentingan Melayu. Sasaran 30 peratus ekuiti orang Melayu tidak tercapai kerana salah guna kuasa dan kecurangan yang diamalkan.

Hanya segelintir Melayu yang mempunyai hubungan dengan pemimpin Umno menikmati keistimewaan tersebut manakala masyarakat Melayu teramai ketinggalan dan kekal di takuk lama. Pada Dr Mahathir, Melayu bererti Halim Saad, Tajudin Ramli, Syed Mokhtar dan beberapa kerat nama lagi termasuk Mokhzani dan Mukhriz Mahathir. Adakah yang dimaksudkan Dr Mahathir menjaga kepentingan Melayu adalah untuk menjaga kepentingan segelintir nama di atas?

Bukan dasar kita membongkar apa yang telah dilakukan Umno sepanjang pemerintahan mereka di Selangor. Kita maklum kerana kerakusan mereka merompak hasil negeri ini maka mereka terhukum pada 2008. Namun, tuduhan melampau Dr Mahathir menjadikan saya teruja untuk mendedahkan sedikit apa yang dikatakan “menjaga kepentingan Melayu” itu. Melalui semakan rambang, kita dapati ratusan ekar tanah dimiliki Umno Selangor atas dasar Melayu dan Bumiputera. Apabila perkara ini didedah di Dewan Negeri Selangor baru-baru ini, mereka dengan angkuh mengatakan apa salahnya mereka mengambil tanah rakyat ini kerana kononnya merekalah yang telah membangunkan negeri ini !!

Ratusan ekar tanah mereka perolehi hanya dengan membayar premium paling minima RM100 setiap ekar. Kebanyakan tanah tersebut kini telah dimajukan dan dijual dengan harga ratusan juta kepada syarikat swasta yang bukan milikan Bumiputera. Saya tidak bermaksud mempersoal pemilikan tanah oleh bukan bumiputera tetapi sikap hipokrasi Umno begitu menjengkelkan. Peliknya, ketika menjual hartanah tersebut kepada syarikat swasta dengan keuntungan berlipat ganda, tidak pula mereka bertempek “Hidup Melayu”!! Mengapa Dr Mahathir tidak menghalang pimpinan Umno ini dari menggadai tanah-tanah orang Melayu ini kepada orang bukan Melayu? Mana perginya kedaulatan, maruah dan harga diri orang Melayu yang dilaung-laungkan?

Kita juga mendapati ketika pemerintahan Umno di Selangor, ribuan ekar Tanah Rezab Melayu yang terletak di bandar telah ditarik keluar dan dijadikan milikan bebas. Diganti pula dengan tanah di hujung kampong seperti di Panchang Bedena, Sabak Bernam serta di Hulu Selangor. Maka terletaklah Tanah Rizab Melayu jauh dari kota kerana pada Umno, orang Melayu layaknya hidup terperosok di kampung-kampung. Kerana itu jugalah, apabila kerajaan Pakatan Rakyat berusaha meningkat taraf hidup orang Melayu dengan memberi peluang memiliki aset bertaraf dunia seperti pembangunan Datum Jelatek, hiruk pikuk Umno membantah pembangunan tersebut. Umno mahu Melayu kekal berniaga di warung-warung dengan bermentaliti pemilik gerai.

Dr Mahathir juga antara manusia yang bertanggungjawab memperkenalkan konsep penswastaan di negara ini. Seperti DEB, penswastaan juga bermatlamat murni namun pelaksanaan tempang dan curang telah menjadi beban kepada rakyat tetapi syurga kepada kroni dan pimpinan Umno. Contoh terdekat bagi negeri Selangor ialah penswastaan konsesi air. Meskipun tidak mempunyai kepakaran dan kemampuan kewangan namun oleh kerana beliau adalah Bendahari Umno Selangor, seorang Melayu maka konsesi industri air yang bernilai berbilion ringgit diserahkan kepadanya. Akhirnya beliau menikmati kekayaan melampau di atas kesengsaraan rakyat menanggung bil air yang tidak setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan. Tidak terdengar satu ayatpun dari Dr Mahathir ketika rakyat Selangor berjuang berhabisan mempertahankan hak air mereka. Dr Mahathir berpura-pura seolah-olah hidup di dunia berbeza.

Mana pergi suara Dr Mahathir ketika kita membongkar pengkhianatan Umno yang memberikan ribuan ekar tanah serta ratusan juta ringgit kontrak kepada Tan Sri Chan Ah Chai melalui Syarikat Kumpulan Talam? Mengapa Mahathir senyap sunyi apabila kita dedahkan Talam berhutang RM392 juta kepada rakyat Selangor hampir sedekad lamanya dan gagal dituntut oleh Umno? Tahu atau tidak Dr Mahathir bahawa kerajaan Pakatan Rakyat yang mempunyai kekuatan politik untuk mengutip hutang-hutang tersebut? Sedarkah Dr Mahathir kerajaan Pakatan Rakyat telah pulangkan jumlah RM390 juta tersebut kepada rakyat miskin di negeri ini yang sebahagian besar adalah orang Melayu? Tidak terbayang di minda kita bagaimana beliau boleh menuduh Pakatan Rakyat akan menghancurkan orang Melayu kecuali kita menerima hakikat bahawa faktor usia telah melemahkan daya pemikiran beliau.

Seawalnya saya cuba untuk tidak mengingati kerosakan yang telah dilakukan Dr Mahathir pada kebanyakan institusi penting Negara selama 22 tahun pemerintahannya. Polis, Kehakiman, Perkhidmatan Awam menjadi kucar kacir dan hilang intergriti. Tetapi memandangkan beliau ghairah untuk beraksi selaku “de facto” Perdana Menteri mungkin kerana Perdana Menteri hari ini begitu lemah dan gagal maka rakyat terutama orang Melayu yang “mudah lupa” perlu diingatkan bahawa insan bernama Mahathir yang telah memporakperandakan kesatuan orang Melayu khusus ketika peristiwa hitam Badan Kehakiman 1988 dan insiden Mata Lebam 1998.

Ini belum lagi menyentuh bagaimana Malaysia kehilangan berbilion ringgit dalam permainan mata wang oleh orang kepercayaan beliau yang kini memegang jawatan Timbalan Menteri Kewangan. Pendedahan Barry Wain (mendiang) dalam bukunya bahawa ketika pemerintah Dr Mahathir, Malaysia kehilangan sekurang-kurangnya RM100 billion kerana rasuah dan salah guna kuasa masih gagal dijawab oleh beliau sehingga ke hari ini.

Malah perkara terbaru yang begitu serius ialah apabila Siasatan Suruhanjaya DiRaja Kewarganegaraan Sabah mendedahkan penglibatan langsung Dr Mahathir menjual kewarganegaraan kepada bangsa asing (yang pastinya bukan Melayu) semata-mata mahu kekal berkuasa. Tanpa rasa malu mahupun berdosa terhadap rakyat dan bangsa Malaysia Dr Mahathir mengakuinya dan sanggup pula mengheret Almarhum Tunku Abdul Rahman ke dalam isu tersebut.

Rasanya tiada perkataan yang sesuai dan layak diungkapkan terhadap insan bernama Mahathir ini apabila kita mengimbau segala kerosakan yang telah dilakukannya. Jauh di sudut hati saya terfikir, pastinya Dr Mahathir bersyukur Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dimansuhkan di negara ini. Kekadang terdetik juga, alangkah baiknya jika sebaliknya .. !!!

* Faekah Husin ialah setiausaha politik kepada mentri besar Selangor MALAYSIAN INSIDER

Read More “Dr Mahathir SUDAH LUPA”  »»

Bernilaikah diriku disisimu?!

 Orang glamour mudah dihargai dan selalu mendapat perhatian. Namun bagi insan yang memerah keringat untuk mencari rezeki halal untuk diri dan keluarga jarang diingati apalagi untuk di warnai dengan perhatian khusus orang bergelar VIP.
Menyedari hakikat tersebut, EXCO PEMBANGUNAN MODAL INSAN KERAJAAN SELANGOR mengulur sekuntum bunga, sekeping kad ucapan dan seukir senyuman salam ukhuwwah, salam penghargaan kepada pembersih laman sekolah, pekerja kantin, pengawal keselamatan selain, guru dan suri rumah serta penjawat awam.
 Semua riang tidak terkata. Ceria dapat bahagia yang tidak diduga.Ada yang mendakap dan mohon bergambar. Anak murid diminta pula mengucap " Selamat hari wanita Cikgu"

Read More “Bernilaikah diriku disisimu?!”  »»

HUKUM TAHALUF SIYASI DALAM KONTEKS GERAKAN ISLAM MASAKINI




                HUKUM TAHALUF SIYASI DALAM KONTEKS GERAKAN ISLAM MASAKINI

                                Disediakan oleh: Ahmad Fadhli bin Shaari, Pensyarah KIAS


Pendahuluan

Istilah tahaluf siyasi menjadi satu istilah yang semakin dikenali khususnya di kalangan pendokong gerakan Islam. Dengan kejatuhan khilafah Uthmaniyyah di Turki pada tahun 1924, gerakan Islam yang pertama ditubuhkan ialah Ikhwan al-Muslimin di bawah pimpinan Hassan al-Banna pada tahun 1928. Penubuhan gerakan ini di Mesir membayangkan hasrat untuk menegakkan Haikimiyyah Allah SWT. Idealisme ini berkembang ke seluruh dunia dengan penubuhan gerakan-gerakan Islam di hampir setiap negara di dunia. Matlamat dan konsep perjuangan mereka hampir sama antara satu lain iaitu ke arah menegakkan sebuah negara Islam dan lebih jauh dari itu menghidupkan semula sistem khilafah yang telah berkubur.

Dalam keadaan hari ini, amatlah disedari oleh gerakan-gerakan Islam bahawa mereka tidak mampu untuk berdiri sendiri dalam memperjuangkan aspirasi masing-masing. Di dalam sesebuah negara bangsa yang dibina pada zaman moden ini, tidak semua rakyat memahami inti kandungan Islam dan kebaikan-kebaikannya. Lantas, berlakulah keperluan untuk bekerjsama dengan gerakan lain samada di dalam menyertai politik pilihanraya atau sebagai pendokong di dalam pembentukan kerajaan. Perosalannya, adakah ia merupakan satu keharusan? Dalam erti kata lain, haruskah bagi sesebuah gerakan Islam untuk menjalinkan kerjasama dengan gerakan lain yang tidak mempunyai hasrat yang sama dengannya dalam membentuk kerajaan?

Pengertian Tahaluf Siyasi


Tahaluf Siyasi membawa makna kerjasama harakah Islam dengan mana-mana pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya. Kerjasama ini boleh terjadi di dalam apa jua bidang yang dipersetujui bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama. Tahaluf Siyasi juga kemungkinan boleh berlaku dengan gerakan yang pernah atau berpotensi untuk menentang ideologi harakah Islam. Dalam suasana hari ini, tahaluf siyasi yang dimaksudkan juga termasuk kerjasama dengan golongan bukan Islam untuk menghadapi musuh yang sama.

Hukum Tahaluf Siyasi

Para ulama haraki khususnya berbeza pandangan mengenai hukum melakukan kerjasama dengan gerakan yang tidak bermatlamatkan perjuangan Islam. Sebahagian daripada mereka dengan tegas menolak langsung sebarang usaha melakukan kerjasama ini serta menghukumkan bahawa kerjasama ini sebagai haram. Di antara mereka ialah Sheikh Muhammad Qutb dan al-Syeikh al-Imam Abu Nasr Muhammad bin Abdullah . Manakala di antara ulama yang mengharuskan tahaluf siyasi ialah Dr Yusuf al-Qaradhawi , Dr Mustoffa al-Tohhan , al-Syeikh Muhammad Ahmad al-Rasyid , Doktor Solah al-Showi dan Doktor Munir Ghahdban .

Dalil-dalil yang dipegang oleh ulama yang mengharamkan tahaluf siyasi ialah seperti berikut :

1. Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (51) فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَى أَنْ تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ فَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِنْ عِنْدِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَى مَا أَسَرُّوا فِي أَنْفُسِهِمْ نَادِمِينَ (52)

Yang bermaksud : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata: "Kami takut akan mendapat bencana". Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahasiakan dalam diri mereka.

Hujah : Kerjasama gerakan Islam dengan orang-orang kafir di atas dasar politik akan menjauhkan lagi orang-orang Islam daripada mereka. Ini kerana, Islam mengharamkan sebarang jenis wala’ kepada kepada ahli kitab yang mempunyai akidah yang hampir sama dengan Islam, apatah lagi wala’ kepada orang-orang kafir yang akidah mereka langsung tidak mempunyai persamaan dengan akidah Islam.

2. Firman Allah SWT :

فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

Yang bermaksud : Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya

Hujah : Ayat di atas berkenaan dengan pengharaman arak dan judi. Namun jika dilihat dari sudut tahaluf siyasi, kerjasama dengan musuh mungkin mendatang manfaat dari beberapa sudut, bagaimanapun dari sudut yang lebih jauh iaitu ke arah menegakkan hakimiah Allah SWT, ia tidak akan dapat dicapai. Lantas, kerjasama akan menyebabkan terbantutnya usaha gerakan Islam untuk menegakkan daulah Islamiah. Oleh yang demikian, kerjasama ini adalah haram kerana lebih banyak mendatangkan mudharat daripada manfaat.

3. Pertimbangan logik bahawa gerakan yang tidak berhasrat untuk menegakkan Islam ini pastinya hanyalah menjadikan gerakan Islam sebagai jambatan untuk mereka mendapatkan kuasa. Mereka sekali-kali tidak membiarkan gerakan Islam ini berkembang sehingga mengatasi diri mereka. Dan ini sekali lagi akan menghalang kepada tertegaknya daulah Islamiah seperti yang diperjuangan oleh Harakah Islamiah.

Manakala bagi golongan ulama haraki yang mengatakan tahaluf siyasi sebagai sesuatu yang diharuskan, mereka berpegang dengan hujah-hujah berikut :
 



1. Half al-Fudhul : Ia merupakan satu peristiwa yang berlaku pada zaman jahiliyyah iaitu perjanjian di antara beberapa qabilah untuk menolong golongan yang dizalimi. Perjanjian ini telah disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW. Inilah yang dimaksudkan oleh hadis baginda yang menyatakan :

وَأَيُّمَا حِلْفٍ كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَزِدْهُ الْإِسْلَامُ إِلَّا شِدَّةً

Yang bermaksud : Mana-mana perjanjian yang dilaksakanan ketika jahiiyyah tidak akan ditambahkan (diubah) oleh Islam melainkan semakin patut dilaksanakan - membawa makna mana-mana perjanjian di zaman jahiliyyah yang bermaksud kerjasama dan silaturrahim tidak akan berubah ketika Islam melainkan ia lebih patut untuk dilaksanakan. Ini kerana Islam tidak akan mengharamkan sesuatu perkara yang baik.

Hujah : Sekalipun Nabi SAW menyaksikan perjanjian ini ketika jahiliyyah, tetapi kerana Nabi telah memujinya semasa Islam, ia dianggap sebagai perkara yang baik. Ini menunjukkan bahawa sekalipun yang berada dalam ikatan perjanjian itu orang-orang yang berakidah salah, ia tetap dianggap perjanjian yang baik selagi mana tujuannya adalah baik.

2. Perjanjian Rasulullah SAW dengan bapa saudaranya Abu Talib untuk menjaganya serta memeliharanya dari ancaman kaum Quraisy. Tahaluf di antara mereka berdua berlaku dalam beberapa peringkat :

2.1 Ketika Abu Talib melihat bagaimana Nabi Muhammad SAW bertegas untuk melaksanakan dakwah sekalipun terpaksa mati untuk Islam, Abu Talib lantas menyatakan : “Teruskan wahai anak saudaraku, katakanlah apa yang kamu hendaki. Demi Allah, aku tidak akan serahkan kamu kepada sesiapa selama-lamanya” Kata-kata ini dibuktikan beberapa kali oleh Abu Talib di mana pernah beliau mengetahui tentang sekumpulan kaum Quraisy yang merancang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW, lalu dikumpulkan bani Abdul Mutalib dan Bani Hasyim untuk melindungi baginda SAW. Mereka semua berkumpul termasuklah yang masih kafir untuk melindungi Nabi Muhammad SAW.

2.2 Peringkat berikutnya ialah ketika kaum Quraisy melancarkan pemulauan kepada Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib sebagai tindak balas kerana mereka melindungi Rasulullah SAW. Lalu ditulis surat penguatkuasaan di mana tidak dibenarkan sesiapa pun menikahi atau dinikahi oleh kedua-dua kabilah ini. Juga tidak dibenarkan berlakunya urusan jual beli dengan kedua-duanya. Surat ini ditampalkan di dinding kaabah.

Hujah : Di dalam peristiwa-peristiwa ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa menjadi satu keharusan jamaah Islam untuk mendapat perlindungan daripada orang yang bukan Islam demi mencapai matlamat perjuangannya. Namun ia tidaklah sampai kepada peringkat tunduk dan patuh sehingga menggadaikan perjuangannya.

3. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Mut’im bin ‘Adi. Ia berlaku selepas kewafatan Abu Talib dan sekembalinya baginda SAW dari menyebarkan dakwah Thaif. Rasulullah SAW telah memasuki kota Mekkah dengan perlindungan seorang musyrik yang bernama Mut’im bin ‘Adi. Rasulullah SAW menghargai pertolongan Mut’im sehingga baginda pernah bersabda apabila memenangi perang Badar, “Sekiranya Mut’im bin Adi masih hidup lalu memintaku membebaskan tawanan ini, aku akan lakukan untuknya..”

Hujah : Mut’im di dalam peristiwa ini sekalipun tidaklah memberikan kebebasan dan pertolongan kepada dakwah Islam tetapi melakukan sesuatu yang lebih besar dari itu iaitu menjaga tubuh badan Nabi Muhammad SAW. Mut’im tidak pernah berniat untuk menjadi pengikut Rasulullah SAW dan pendirian ini jelas ketika ia menjawab soalan dari Abu Jahal . Ini menunjukkan keharusan mendapatkan kerjasama dari orang yang tidak berniat melaksanakan Islam di dalam urusan yang memberikan kebaikan kepada Islam dan umatnya.

4. Perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah SAW dengan kaum Yahudi ketika ditegakkan negara Islam Madinah. Perjanjian yang melahirkan Sahifah Madinah ini merupakan satu-satunya peristiwa besar dan terpenting yang menjadi hujjah keharusan kaum muslimin menjalinkan perjanjian dengan orang-orang bukan Islam di atas dasar memelihara kebajikan kedua-dua pihak.

Di antara isi kandungan perjanjian ini ialah, “Kaum muslimin mempunyai haknya dan kaum Yahudi mempunyai haknya. Dan di antara mereka hendaklah tolong menolong sekiranya diserang oleh sesiapa. Dan di antara mereka hendaklah saling menasihati dan bekerjasama. Dan janganlah sesiapa memungkiri janjinya. Dan hendaklah pertolongan diberikan kepada yang dizalimi. Dan sekiranya berlaku apa-apa kepada pihak yang menjalinkan perjanjian ini, maka tempat rujukan ialah kepada Allah dan Muhammad Rasulullah SAW…”

Hujah : Inilah sebesar-sebar hujah keharusan melakukan hubungan dengan non-muslim di dalam menegakkan negara Islam. Dan tidaklah menjadi dasar Islam mengenepikan kaum musyrikin daripada realiti kehidupan.

5. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Bani Khaza’ah. Ia berlaku apabila baginda bersama para sahabat ingin memasuki kota Makkah untuk mengerjakan haji namun disekat oleh kaum Quraisy. Lalu Rasulullah SAW mengutuskan pengintip dari bani Khaza’ah yang merupakan seorang musyrik dan mereka melaporkan kepada Rasulullah SAW mengenai pergerakan kaum Quraisy. Bani Khaza’ah sebenarnya telah mempunyai hubungan dengan Bani Hasyim semenjak zaman jahiliyyah dan mereka meneruskan hubungan baik mereka dengan Bani Hasyim sekalipun berbeza akidah. Rasulullah SAW mengiktiraf hubungan ini dengan memberikan syarat iaitu pertolongan tidak akan diberikan kepada golongan yang zalim.

6. Perintah Rasulullah SAW kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah semasa ditindas di Makkah untuk mendapatkan perlindungan dari Raja Najasyi yang merupakan seorang Nasrani pada masa itu turut merupakan dalil kepada keharusan untuk mendapatkan perlindungan dari orang yang bukan Islam di dalam menjaga kemaslahan umat Islam.

Jawapan Terhadap Golongan Yang Mengharamkan Tahaluf Siyasi

 
Di dalam memberikan jawapan kepada golongan ulama haraki yang mengharamkan tahaluf siyasi, beberapa pandangan telah dikemukakan. Antara lain :
 

1. Ayat yang digunakan iaitu dari surah al-Maidah, ayat 51-52 bukanlah merujuk kepada tahaluf siyasi tetapi merujuk kepada orang-orang munafik yang terus meletakkan kepatuhan kepada orang-orang Yahudi di Madinah. Ianya turun kepada ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai yang bertindak untuk menyokong kabilahnya Yahudi Bani Qainuqa’ di dalam berhadapan dengan Nabi Muhammad SAW. Ini menunjukkan bahawa ayat ini tiada kena mengena dengan tahaluf siyasi tetapi berkenaan dengan orang yang keluar langsung dari Harakah Islam untuk bekerjasama dengan musuh bagi melawan Islam.

2. Ayat 219 dari surah al-Baqarah pula bukan sahaja tidak menjadi hujah mengharamkan tahaluf siyasi bahkan menjadi peneguh kepadea keharusannya. Ini kerana daripada tahaluf siyasi yang dilaksanakan di beberapa buah negara seperti Mesir, Sudan dan Yaman, manfaat yang besar banyak diperolehi oleh kaum muslimin. Oleh yang demikian, di dalam masalah manfaat dan mudharat ini, pertimbangan berdasarkan senario semasa perlu diambil kira. Tahaluf Siyasi sebelum diputuskan hendaklah dipertimbangkan semasak-masaknya oleh pakar politik dan ahli-ahli strategi.

KESIMPULAN

Di dalam mendepani arus politik dunia pada hari ini, gerakan Islam perlulah bijak mengambil manfaat daripada ruang dan peluang yang ada. Tahaluf siyasi perlulah dilakukan dalam keadaan gerakan Islam mendapat keuntungan yang maksimum dalam usaha untuk menegakkan agama Allah SWT. Bagaimanapun, perlulah diingatkan agar penerangan demi penerangan hendaklah dilakukan dari masa ke semasa khususnya kepada masyarakat awam agar tidak terkeliru dengan langkah yang diambil.

Penyertaan gerakan Islam dalam mana-mana kerajaan seharusnya dilakukan dengen penelitian yang teliti terhadap senario politik setempat. Oleh yang demikian, pimpinan gerakan Islam perlulah sentiasa prihatin dan sensitif dengan perkembangan semasa serta kehendak masyarakat agar langkah yang diambil tidak menyebabkan kerugian di mereka nanti.

Maklumat Penulis :

Ahmad Fadhli bin Shaari
B.A (Hons) Dakwah Islamiyyah, Univ. Al-Azhar, Mesir.
Penulis merupakan Ketua Jabatan al-Dakwah wal Qiadah

Read More “HUKUM TAHALUF SIYASI DALAM KONTEKS GERAKAN ISLAM MASAKINI”  »»

BENARKAH KARPAL SINGH, LIM KIT SIANG ATAU GUAN ENG BAKAL PM


Menjelang Pilihanraya Umum  ke 13 ini, ditunggu seperti buah tak gugur, ditunggu saban hari pengumuman tarikh Parlimen akan dibubarkan sejak dua tahun kebelakangan ini, namun Rakyat Malaysia terutama pengundi muda dan mereka yang bakal keluar mengundi buat pertama kali telah membuat keputusan mereka.

Pengundi muda dan pengundi "first timer" masak dengan sepak terajang, fitnah memfitnah dan taktik memukul dari belakang atau di bawah tali pinggang. Sebagai contoh, isu DAP akan menerajui negara ini jika ia menang PRU13 dan seorang kaun Cina akan menjadi Perdana Menteri. BN dan konco- konconya menjaja dalam ceramah mereka bahawa Pakatan Rakyat terutama PAS akan jadi kuda tunggangan DAP.


Konco-konco dan budak suruhan BN seperti JATI, GAPS, Perkasa, Wira Malaya dan lain-lain dalam alam maya dan dunia nyata menonjolkan bahawa kaum Cina DAP  akan mengambil alih Malaysia dan menukar negara ini menjadi sebuah Republik seperti Singapura yang diterajui PAP.

Mari kita lihat kedudukan kerusi Parlimen Malaysia masakini. Dari 222 keseluruhan kerusi Parlimen, DAP menang 22 kerusi dari 47 kerusi yang DAP bertanding melawan sama ada calon MCA, gerakan atau PPP, SUPP ,LDP dan lain-lain.

Untuk PRU13, untuk memudahkan perbincangan DAP akan meletakkan calonnya di 50 kawasan Parlimen dan andaikata DAP menang kesemuanya, maka DAP hanya memperolehi 50 dari 222 kerusi Parlimen. Untuk menang dengan majoriti mudah di Parlimen sebuah parti politik atau gabungan parti-parti politik seperti BN atau Pakatan rakyat haruslah berjaya merangkul 112 kerusi.

Maka jika DAP sahaja mendapat 50 kerusi, ia masih jauh lagi untuk melantik Perdana Menteri dari ahli DAP. DAP hanya bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu atau di kawasan yang parti komponent BN bertanding merupakan parti berasaskan kaum Cina seperti Gerakan atau MCA. Dalam sistem pilihanraya, hanya seorang calon saja yang boleh menang. Dengan kata lain, jika DAP menang bertanding melawan MCA, bermakna MCA tidak dapat apa-apa, iaitu pemenang sapu semua.

Untuk penjelasan lanjut sila tonton video penerangan YB Ng Swee Lim, ADUN Sekinchan yang fasih pelbagai bahasa.








 

Read More “BENARKAH KARPAL SINGH, LIM KIT SIANG ATAU GUAN ENG BAKAL PM”  »»
 

x

Photobucket

e


Popular Posts

Followers


View My Stats

pautan lain

  • - Add caption *Relawan AMALNITA sedia bersama....*
    8 years ago
  • Shopping Back To School. - Oleh kerana 2 petugas kaunter demam dlm Program Jom Shopping Back To School DUN Meru, maka Yb Meru dan Dato Ketua Kampung membantu mengambil...
    9 years ago

Ab

zwani.com myspace graphic comments

x

Photobucket









Recent Comment

ISLAMICITY

SEARCH THE TRUTH

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com