Insiden perahu naga terbalik ini boleh dianggap kecuaian yang terburuk melibatkan pelajar sekolah selepas tragedi jambatan gantung yang runtuh di Kuala Dipang pada 26 Oktober tahun lalu.
Perahu terbalik: PAS ucap takziah
KUALA LUMPUR, 18 Jan: Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa perahu naga yang terbalik di Pulau Pinang pada hari Ahad, 17 Januari baru-baru ini.
Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dalam satu kenyataan beliau hari ini.
Insiden malang ini menyebabkan negara kehilangan enam warganegara muda melibatkan seorang guru berusia 20 tahun, Chin Ai Fang dan lima pelajar dari Sekolah Tinggi Chung Ling, Air Itam-Jason Ch’ng, Chin Aik Siang, Cheah Zi Jun, Koh Yizhiang dan Brandon Yeoh. Daripada 18 orang yang menaiki perahu naga tersebut, hanya 12 orang sahaja yang dapat diselamatkan.
Pastinya tragedi ini akan memberikan kesan yang mendalam kepada keluarga mangsa dan pelajar-pelajar lain, katanya.
Bagi beliau, insiden ini boleh dianggap kecuaian yang terburuk melibatkan pelajar sekolah selepas tragedi jambatan gantung yang runtuh di Kuala Dipang pada 26 Oktober tahun lalu.
"PAS mahu punca tragedi ini disiasat dan meminta Kementerian Pelajaran serta pihak sekolah bertanggungjawab sepenuhnya termasuk memberikan pampasan kepada keluarga mangsa kerana gagal mematuhi langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya," katanya.
Penggunaan jaket keselamatan adalah perkara wajib bagi aktiviti sukan khususnya yang melibatkan kawasan laut dan sungai. Maka adalah tidak wajar, pihak sekolah memandang remeh perkara ini hingga menyebabkan enam nyawa terkorban, katanya.
PAS, katanya, berharap agar pihak Kementerian mengambil iktibar dan dapat memastikan setiap sekolah dinegara ini mengambil langkah-langkah pencegahan dan keselamatan yang sewajarnya sebelum membawa mana-mana pelajar mereka menyertai aktiviti didalam atau diluar Sekolah.
"Penggunaan surat pelepasan tanggungjawab pada masa kini dilihat sudah tidak releven kerana pihak sekolah wajar bertanggungjawab termasuk memberikan jaminan insurans terhadap sebarang insiden yang berlaku sepanjang aktiviti dijalankan," katanya.
Menurut Idris, adalah menjadi tanggungjawab pihak Sekolah untuk memastikan setiap pelajar mereka dapat kembali dengan selamat ke pangkuan Keluarga masing-masing selepas menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.
Harakahdaily /sun2surf foto
TAKZIAH KEPADA KELUARGA MANGSA
EKRAN BHD DINYAHSENARAIKAN DARI BURSA MALAYSIA


Selepas dinyahsenaraikan, Ekran akan terus wujud tetapi sebagai entiti yang tidak disenaraikan di Bursa Malaysia.
Projek Empangan Hidro Bakun bagaimana?
Bursa Malaysia Nyahsenaraikan Ekran 28 Jan
KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Syarikat Nota Amalan, Ekran Bhd, akan dinyahsenaraikan dan dikeluarkan dari senarai rasmi Bursa Malaysia Securities Bhd mulai 28 Jan, 2010.
Dalam satu kenyataan di sini Isnin, Bursa Malaysia berkata Ekran gagal mengemukakan rancangan regularisasinya kepada bursa dan/atau pihak berkuasa relevan yang lain untuk kelulusan pada atau sebelum 4 Dis, 2009 dan penjelasan syarikat untuk lanjutan masa seterusnya telah ditolak.
"Sekuriti Ekran yang pada masa ini didepositkan dengan Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd (Bursa Depository) terus kekal meskipun dengan penyahsenaraian itu.
"Secara alternatifnya, sesiapa yang berhasrat untuk memegang sekuriti mereka dalam bentuk sijil fizikal boleh mengeluarkannya dari akaun Sistem Depositori Berpusat mereka dengan Bursa Depository, pada bila-bila masa selepas sekuriti itu dinyahsenaraikan," katanya.
Katanya selepas dinyahsenaraikan, Ekran akan terus wujud tetapi sebagai entiti yang tidak disenaraikan.
-- BERNAMA
SINGAPURA MEMANTAU SITUASI SERANG GEREJA DI MALAYSIA
Christians in Singapore constitute approximately 14.6% of the country's population; 4.8% (32.9% of Christians) being Catholics and the remaining 9.8% (67.1% of Christians) being of other mostly Protestant denominations and traditions.
Singapura Pantau Kejadian Serang Gereja Di Malaysia
SINGAPURA, 18 Jan (Bernama) -- Singapura turut memantau reaksi rakyatnya berhubung serangan ke atas rumah ibadat di Malaysia, tetapi setakat ini mendapati reaksi di peringkat bawahan secara umumnya adalah tenang, kata Timbalan Perdana Menteri, Wong Kan Seng.
"Saya fikir rakyat Singapura adalah berhati-hati tidak terlalu terbawa-bawa dengan masalah seperti ini," katanya yang dipetik oleh media tempatan semasa satu majlis kemasyarakatan di sini.
"Kita tinggal di dunia yang saling berhubung-kait, kita tidak boleh terpisah daripada apa yang berlaku di negara lain," katanya dan menambah, pada masa yang sama rakyat Singapura mesti rasional dan berfikir "apabila kita membawa masalah seperti ini ke dalam negara kita, apa yang kita cuba kita lakukan.
"Adalah kita sekadar cuba melahirkan rasa simpati, atau adakah dengan berbuat demikian, akan mendatangkan lebih banyak masalah kepada masyarakat kita sendiri," kata Wong.
Beberapa kes serangan ke atas gereja dilaporkan berlaku di Malaysia ekoran keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini membenarkan akhbar milik gereja Katolik, The Herald menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.
Singapura menganggap sensitif isu yang mempunyai kaitan dengan kaum dan agama dan menyifatkannya sebagi isu keselamatan.
-- BERNAMA/wikipedia
NAIB PRESIDEN PARTI PROGRESIF PENDUDUK (PPP) BERSUMPAH GUNA NAMA ALLAH
Tindakan bersumpah dengan nama Allah dibuat oleh Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff Naib Presiden Parti Progresif Penduduk(PPP) yang didapati bersalah oleh mahkamah. Ini kerana beliau telah menyembur bahan berbahaya terhadap Tun. Dr. Mahathir Mohamad serta dijatuhkan hukuman namun merasakan dirinya dianiaya.
Nik Sapeia bersumpah nama Allah, dakwa dianiaya
KOTA BHARU, 17 Jan: Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff yang didapati bersalah oleh mahkamah kerana menyembur bahan berbahaya terhadap Tun. Dr. Mahathir Mohamad hari ini tampil mempertahan dirinya dengan membuat akuan sumpah menggunakan nama Allah.
Beliau berbuat demikian di kediamannya di Pasir Tumboh pagi ini.
Menurutnya, tindakan bersumpah dengan nama Allah itu dibuat berikutan perbicaraannya telah selesai dan hukuman telah dijatuhkan namun merasakan dirinya dianiaya.
"Hari ini saya bersumpah dengan Nama Allah,Wallahi,Wabillahi,Wattallahi,demi Allah sesungguhnya saya dengan ini bersumpah tidak menyerang atau menyembur Tun Dr.Mahathir Mohamed sebagaimana yang dituduh kepada saya” ujar beliau yang juga Naib Presiden Parti Progresif Penduduk(PPP).
"Saya sedar akan sumpahan saya ini dan saya sudah mendapat pandangan daripada orang alim dan pimpinan parti demi menjaga maruah diri dan parti saya," katanya lagi.
Nik Sapeia juga berkata beliau akur dengan keputusan yang dijatuhkan oleh mahkamah dan kini sedang membuat proses rayuan ke mahkamah tinggi.
Mahkamah Majistret Kota Bharu baru-baru ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan selepas beliau didapati bersalah menyebabkan kecederaan dengan menyembur bahan berbahaya terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamed dan tiga yang lain dalam satu insiden di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini.
Majistret Azman Mustapha bagaimanapun membenarkan perlaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sehingga rayuan selesai di putuskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan nanti.
Mohd Nor Yahya/HARAKAHADAILY
PARTI MAKKAL SAKTI PULA BERGOLAK
RS Thanenthiran dibatalkan keahliannya, sekaligus dipecat dari jawatan Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP) hari kerana gagal menjawab beberapa tuduhan terhadapnya. Keputusan tersebut dibuat oleh 14 daripada 27 ahli jawatankuasa pusat selepas sejam bermesyuarat. Baki 13 ahli lagi tidak hadir
Presiden Parti Makkal Sakti dipecat
Jawatankuasa siasatan Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP) hari ini membatalkan keahlian presidennya, RS Thanenthiran selepas beliau gagal menjawab beberapa tuduhan terhadapnya.
Thanenthiran tidak hadir dalam mesyuarat yang diadakan di ibupejabat parti itu di Shah Alam.
Keputusan tersebut dibuat oleh 14 daripada 27 ahli jawatankuasa pusat selepas sejam bermesyuarat. Baki 13 ahli lagi tidak hadir.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, timbalan presiden MMSP, A Vathermurthy mendakwa enam daripada 13 ahli jawatankuasa yang tidak hadir itu, adalah atas pagar dan tujuh lagi menyokong presiden.
Di akhir mesyuarat tersebut, naib presiden, Ramesh yang juga saudara lelaki Thanenthiran, tiba di ibupejabat MMSP.
Menurutnya, mereka tidak mengiktiraf apa keputusan tersebut kerana keputusan muktamad hanya boleh dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan.
MMSP yang menyokong BN dilancarkan Oktober lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
Malaysiakini


