Hanya Yang Layak Boleh Tawar Diri Bertanding - Nik Aziz
Ulasan berita sekitar pemilihan pimpinan PAS menjelang Muktamar PAS Pusat seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA. Dimuatkan 3 laporan untuk tatapan anda.
Nik Aziz ketika mengingatkan perkara itu berkata beliau tidak mahu anggota parti itu yang tidak mampu menjadi pemimpin yang baik, membuang masa menonjolkan diri menarik sokongan.
"Kalau yang ada kemampuan, tak ada masalah untuk mereka tawar diri untuk bertanding. Kalau yang ada kemampuan menonjol tak apalah, (tapi) kalau yang tidak ada kemampuan tapi menonjolkan diri, tak payahlah undi dia," katanya.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Loji Rawatan Air Merbau Chondong, sempena sambutan Hari Air Sedunia 2009 peringkat negeri di sini, hari ini.
Katanya, PAS turut memberi kebebasan kepada anggota akar umbi untuk memilih barisan pimpinan yang mereka mahukan dan menolak mana-mana pemimpin yang dirasakan tidak lagi diperlukan parti itu.
"Saya tak nak sebut apa-apa, nanti pengaruhi orang lain pula, biar saya senyap-senyap sudahlah. (Tetapi) kalau barang perlu diubah, ubahlah. Terserah kepada (anggota parti) dari peringkat cawangan untuk mengundi siapa," katanya.
Muktamar PAS dijadual diadakan di Shah Alam, Selangor Jun ini.
-- BERNAMA
------------------------------------------------------------------------------------------------
Hadi Sedia Dicabar Bagi Jawatan Presiden PAS
KOTA BAHARU, 18 April (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersedia menghadapi cabaran bagi pertandingan merebut jawatan nombor satu parti pada Muktamar PAS Jun ini berikutan desas-desus berlakunya pergolakan kuasa sehingga wujud dua pasukan di dalam parti itu.
Malahan beliau menyerahkan kepada ahli parti untuk memilih sama ada dirinya atau pemimpin yang lain sebagai presiden kelak.
"(Bagi) saya biasa saja, melihat sejauh mana kepercayaan ahli kepada saya. Saya tak akan buang pakaian (jawatan) kerana ia adalah amanah yang diberikan pengikut kepada saya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah maghrib perdana di Masjid Kota, di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya sama ada bersedia menghadapi pertandingan jika dicabar dalam pemilihan parti pada Muktamar PAS yang dijangka diadakan di Shah Alam, Selangor Jun ini.
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam kenyataannya sebelum ini berkata beliau menyerahkan kepada ahli untuk menentukan pemimpin yang akan dipilih dalam muktamar agung itu.
Nik Abdul Aziz juga menolak dakwaan wujud pergolakan kuasa peringkat kepimpinan sehingga terdapat dua pasukan dalam PAS iaitu Pasukan Tok Guru dan Pasukan Presiden.
Beliau berkata dakwaan yang mengatakan terdapat pasukan Tok Guru atau pasukan Presiden dalam PAS adalah tidak benar dan apa yang penting ialah mengukuhkan parti bagi menghadapi pemilihan Jun nanti dan mencari pemimpin yang benar-benar layak menerajui parti itu.
Abdul Hadi berkata beliau tetap bersama PAS sama ada dipilih atau tidak untuk menerajui kepimpinan parti.
"Terpulang kepada pengikut sama ada nak tukar ke pakaian atau baju (pemimpin) kita. Namun saya (akan) terus bersama PAS, yang penting ialah pemimpin Islam. Siapa jadi pemimpin saya tak kisah," katanya.
-- BERNAMA
------------------------------------------------------------------------------------
Calon Ketua Pemuda PAS: Salahuddin Tiada Petunjuk
KOTA BAHARU, 18 April (Bernama) -- Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Salahuddin Ayub yang tidak akan mempertahankan jawatannya itu dalam pemilihan pada Muktamar PAS Jun ini berkata beliau tidak akan memberi petunjuk kepada ahli dalam menentukan calon bagi menggantikan tempatnya itu.
Anggota Parlimen Kubang Kerian itu berkata terserah kepada ahli untuk membuat penentuan.
"Saya tidak mempunyai petunjuk dalam menentukan calon jawatan Ketua Pemuda menggantikan tempat saya," katanya kepada pemberita di majlis mesyuarat perwakilan PAS Kawasan kubang Kerian, di sini, hari ini yang dirasmikan Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Pada 15 Feb lepas, Salahuddin mengumumkan keputusan tidak mempertahankan jawatan ketua Pemuda bagi memberi peluang kepada muka baru menerajui Dewan itu.
Salahuddin juga berkata beliau menyerahkan kepada ahli untuk mencalonkannya untuk jawatan naib presiden parti pada pemilihan nanti.
Katanya beliau yakin pertandingan merebut jawatan dalam parti akan berlangsung dalam suasana sihat dan demokrasi sebagaimana menjadi amalan PAS sebelum ini.
-- BERNAMA
PEMILIHAN PIMPINAN PAS DARI PERSPEKTIF BERNAMA
TIMBALAN PRESIDEN RASMI MUKTAMAR PEMUDA
Politik adalah alat, manakala PAS merupakan wadah untuk meneruskan kerja-kerja dakwah berasaskan al-Quran. Perjumpaan dengan UMNO bukan untuk kerusi atau jawatan.
Temui pemimpin Umno bukan di atas kepentingan peribadi - Nasharuddin
Mohd Nor Yahya | Foto Nasir Sudin
Harakahdaily
IPOH, 14 Ogos (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa sekali lagi menjelaskan perjumpaan pemimpin PAS dan Umno bukan di atas kepentingan peribadi.
Beliau berkata, tidak salah untuk PAS mengadakan perjumpaan dengan sesiapa sahaja termasuk pemimpin Umno sebagai medan dakwah.
Lagi pun katanya, pertemuan yang diadakan sebelum ini sudah diputuskan Majlis Syura Ulama yang bersidang pada April lalu.
"Pemimpin PAS bertemu dengan pimpinan Umno adalah restu daripada Majlis Syura Ulama. Dan rundingan yang diadakan bukan untuk mendapatkan kerusi atau jawatan.
"Tetapi apa yang kita lakukan untuk memastikan mereka menerima Islam," katanya pada perasmian muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat kali ke-49 di Stadium Indera Mulia, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat perlu didakwah sepanjang masa biar pun kita berada dalam satu bumbung dengan PAS sekarang.
Kata beliau juga politik adalah alat, manakala PAS merupakan wadah untuk meneruskan kerja-kerja dakwah berasaskan al-Quran.
"Perlukan kepemimpinan ulama hanya mengutamakan pandangan aspek politik semata-mata dan meninggalkan perkara sebenar dalam dakwah," ujarnya.
Beliau berkata, asas dakwah yang berpandukan al-Quran ialah perkara mutlak dalam perjuangan PAS.
Oleh itu beliau berharap setiap ahli hendaklah bertenang dan melihat apa yang berlaku dalam isu muzakarah dari pelbagai sudut.
Menurutnya, sikap Sayidina Omar yang menghunus pedang marah kepada orang yang mengatakan Rasulllullah saw wafat seharusnya menjadi iktibar.
"Sayangilah jemaah dengan panduan al Quran dan bukan sahaja dengan kepentingan politik.
"Pastikan segala langkah yang diambil oleh ahli mestilah berdasarkan panduan dari al-Quran," ujar beliau.
Sementara itu Ustaz Nasharuddin menyampaikan anugerah kepada Dewan Pemuda PAS yang berjaya mengumpul jumlah ahli teramai.
Zon Timur dimenangi Dewan Pemuda PAS Tumpat, Baling (zon utara), Lumut (tengah), Tampin (selatan) dan Petrajaya (Malaysia Timur).
Manakala bagi kategori pengurusan pejabat terbaik tempat pertama dimenangi Dewan Pemuda PAS Kedah, Terengganu (kedua) dan Johor (ketiga).
Pengurusan Pasti terbaik pula dimenangi Selangor bagi kategori A, Perak (B) dan Melaka (C).
Pada majlis itu Timbalan Presiden PAS juga melancarkan tiga buku terbaru karya terbaru beberapa pemimpin PAS. Read More “TIMBALAN PRESIDEN RASMI MUKTAMAR PEMUDA” »»
UCAPTAMA KETUA PEMUDA DI MUKTAMAR
Pemuda PAS telah memukul gendang perang untuk menggempur Permatang Pauh manakala Wanita UMNO menerima arahan berjihad. Kerjasama PR diperkukuhkan.
*Perluaskan kerjasama dalam negeri Pakatan
*Arahan Gempur Permatang Pauh
IPOH, 14 Ogos: Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub berkata, usaha-usaha memperteguhkan kemenangan dalam Pakatan Rakyat ini harus diperluaskan dengan kerjasama lebih erat di kalangan lima buah negeri yang dikuasai, khususnya dalam soal pentadbiran dan ekonomi.
"Saya mencadangkan supaya negeri-negeri ini mewujudkan koridor kuasa PR bagi memperteguh urus tadbir kerajaan dan pengurusan ekonomi," katanya ketika memberikan ucaptama di Muktamar Dewan Pemuda PAS ke 49 di Stadium Indra Mulia dekat sini malam tadi. Salahudin juga berkata, antara kekuatan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan untuk negeri ialah soal tanah dan agama yang mesti digemblengkan secara maksimum.
"Hasil bumi yang kaya ini mesti dimanfaatkan secara terancang untuk kebaikan bersama. Jaringan kerjasama ekonomi dan persefahaman politik mesti dibuat dengan segera.
"Saya menggesa supaya sebuah Jawatankuasa Pemandu PR di peringkat pusat diwujudkan supaya dasar-dasar kerajaan PR dapat diselaraskan, agihan sumber dan rancanganpembangunan bersama juga dapat diaturkan sehingga kita dapat menanganisekatan politik dan ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan Pusat ke atas limabuah negeri ini.
"Jawatankuasa Pemandu ini perlu berperanan agar lima buah negeri PR ini menjadi satu ’Persekutuan’ yang saling bahu-membahu dalam mengekalkan keyakinan dan kepuasan rakyat," tegas beliau dalam ucapan itu.
Beliau juga meminta agar hubungan rakan-rakan PR mesti diperkukuhkan.
"Kita mesti menghormati dasar dan tujuan perjuangan rakan-rakan kita, tetapi dalam masa yang sama mereka juga harus menghormati kita. Jika kita saling mempersoalkan dasar orang lain, maka selagi itu pakatan ini tidak akan kukuh.
"Islam yang didukung oleh PAS tidak pernah menzalimi atau menganiayai sesiapa, termasuk bukan Islam. Bahkan, Islamlah satu-satu sistem pemerintahan yang telah terbukti memberikan keadilan kepada semua manusia seperti yang terakam dalam sejarah Khulafa’," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan kepimpinan Pemuda PR agar memainkan peranan penting kearah menganjak paradigma pemikiran rakyat untuk memahami dasar perjuangan masing-masing dan mencipta satu era baru yang lebih kondusif untuk kita bekalkan kepada generasi akan datang.
"PAS berdiri tegak dan teguh sehingga hari ini kerana perjuangan Islam yang dilihat dan diyakini konsisten, DAP terus relevan di persada politik kerana nilai dan prinsip social democrat, socialistic inclination yang dipertahankan, manakala PKR terus mara dengan slogan keadilan untuk semua.
"Saya mengajak pimpinan Pemuda PR melangkah ke hadapan dengan nilai sejagat perjuangan ini serta membuktikan kepada Malaysia dan dunia bahawa kita mampu merealisasikan citi-cita perjuangan kita dengan penuh tanggungjawab.
"Saya tidak rela untuk terperangkap dan terjerumus dalam jebak dan konflikpermusuhan yang tak kunjung sudah yang mengheret kita Pemuda PR untukterus bersangka buruk dan membiarkan minda rakyat terus dibelenggu olehmomokan dan persepsi PAS dengan Islam yang ganas serta DAP dengan sikapchauvanisnya atau parti perkauman Cinanya.
"Telah sampai masanya kita Pemuda PR memulakan era baru dengan menamatkan konflik ini secepat mungkin," tegas beliau.
Katanya, segala konflik diantara mereka tidak akan dapat diselesaikan denganhanya mengambil perhitungan politik puak dan perkauman, sentimen untung rugipilihan raya semata-mata tetapi cara yang lebih bijak dan bertanggungjawabperlu diterokai.
"Gelanggang ilmu, persada pengetahuan dan pentas diskusiintelektual mesti disuburkan untuk kita mencambahkan politik berasaskan ilmu(k-politic) bagi kita mewajahkan semula perjuangan PR yang lebih menyakinkan.Politicians think for the next election, statesmen think for the next generation," kata beliau.
Pemuda PAS diarah gempur Permatang Pauh
IPOH, 14 Ogos: Seluruh jentera Pemuda PAS di semua peringkat diarahkan supaya menggempur Permatang Pauh bagi memastikan kemenangan yang lebih besar untuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Arahan ini dikeluarkan oleh ketuanya, Salahudin Ayub dalam Ucaptama beliau sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS ke 49 di Stadium Indra Mulia dekat sini malam tadi.
Lebih 150 perwakilan di samping beribu-ribu pemerhati menyertai muktamar itu. Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa telah merasmikan muktamar itu.
"Dewan Pemuda PAS akan membuka Markaz Besar untuk jentera pilihan raya kita dan Pemuda PAS hendaklah bekerja sepenuh hati untuk mempastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya ini, sekaligus merapatkan semula jentera PR dalam menghadapi BN," kata beliau diiringi laungan takbir oleh para perwakilan dan pemerhati.
Beliau mengambil kesempatan daripada muktamar ini untuk memetik pepatah Melayu Mekasar yang memperkatakan soal perjuangan pemuda.
Prof Hamka yang memetik pepatah ini menyebutkan:
”Anak laki-laki tidak boleh dihirau panjang, hidupnya ialah buat berjuang, kalauperahunya telah dikayuhnya ke tengah, dia tak boleh surut palang, meskibagaimana besar gelombang. Biar kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebihmulia daripada berbalik haluan pulang”2. Ibarat kata pepatah ”Daripada hidup bercerminkan bangkai biar mati bergalang tanah.” Read More “UCAPTAMA KETUA PEMUDA DI MUKTAMAR” »»
UCAPAN & KENYATAAN AKHBAR KETUA MUSLIMAT DI MUKTAMAR
Peranan Muslimat kian mencabar dan agenda terancang serta lestari untuk mengisi kemenangan.
#Pengundi Wanita Cerdik dan Berpendidikan
#Agenda Muslimat Terancang dan Lestari
Pengundi wanita kini makin cerdik dan berpendidikan
Roy Rasul & Nuha Rahim
Harakahdaily
IPOH, 14 Ogos (Hrkh) - Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh berkata, rata-rata pengundi wanita kini bertambah cerdik kerana mereka berpendidikan.
Justeru itu katanya, tanggungjawab Muslimat bertambah berat dan penting dalam mendidik masyarakat dan generasi masa depan.
Katanya, keterlibatan wanita yang mendominasi di institut pengajian tinggi, baik sebagai tenaga pensyarah mahupun pelajar perlu diambilberat oleh Muslimat PAS.
Begitu juga katanya, di sektor awam dan perkhidmatan mula menampakkan wanita memonopoli suasana tenaga kerja.
"Gambaran ini menunjukkan juga bahawa pada dekad akan datang wanita adalah kuasa penentu 'bargaining power' kepada suasana politik negara.
"Ini jelas ditunjukkan di dalam statistik Guna Tenaga Wanita Malaysia 2006 dan personel Sektor Awam mengikut Kumpulan Perkhidmatan dan Jantina 2006," katanya dalam ucap tema Muktamar Dewan Muslimat PAS ke 48 yang diadakan di Hotel Hillcity, Jalan Gopeng dekat sini hari ini.
Oleh itu, beliau mengajak Muslimat PAS dan seluruh wanita Malaysia yang prihatin dalam pelbagai sektor pekerjaan dan kerjaya, profesional, ahli korporat, cerdik pandai, tokoh politik dan akademik.
Dalam ucap temanya yang bertajuk 'Mengisi Kemenangan, Melestari Kebajikan' di hadapan kira-kira 700 hadirin, beliau memulakan ucapannya dengan topik mengisi kemenangan dengan ruh Islam.
Ucapan beliau setebal 22 muka surat itu mengandung 27 topik dengan menyentuh isu-isu terkini antaranya, peranan Muslimat berganding bahu melaksanakan amanah, kesedaran dan penghayatan beragama, sektor institusi keluarga, sektor kesihatan, pendidikan, ekonomi, media, hubungan luar, sektor ICT, Gelagat pemimpin Umno yang terdesak kini dan muqabalah PAS - Umno.
Turut mendapat sentuhan dalam ucapannya ialah, melestari kebajikan, melebar sokongan dan menggiatkan konsep 'PAS for All' serta ketrampilan dan imej remaja Islam.
Sementera itu, Nuridah berkata, Dewan Muslimat menyedari peranan media begitu hebat dalam membentuk minda dan hala tuju rakyat negara ini.
Namun, katanya, pengamal media yang hanya mementingkan keuntungan niaga dan juga kepentingan tuan punya pemegang-pemegang saham mereka akan merosakkan kesejahteraan masyarakat.
Dalam ucapannya itu beliau juga berkata, Muslimat PAS akan turun ke Permatang Pauh untuk membantu jentera pilihan raya Pakatan rakyat untuk membantu kemenangan Dato Seri Anwar Ibrahim yang bertanding dalam pilihan raya kecil bagi parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.
Sehubungan itu katanya pada hari penamaan calon yang akan diadakan pada 16 Ogos ini Dewan Muslimat akan menghantar wakilnya biarpun Muktamar PAS masih berlangsung.
Beliau juga berkata tindakan bekas ahli parlimen Permatang Pauh, Dato Seri Dr Wan Azizah Ismail yang melepas jawatan tersebut bagi memberi lauan kepada Anwar adalah satu tindakan yang terpuji dan menepati tuntutan semasa.
Dalam pada itu semasa mengakhiri ucapannya Nuridah menyeru ahli di seluruh peringkat supaya beristiqamah dengan perjuangan serta melaksanakannya bersungguh-sungguh.
Muslimat atur agenda bertindak yang terancang dan lestari
Roy Rasul
IPOH, 14 Ogos (Hrkh) Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh berkata, Muktamar Dewan Muslimat ke 48 kali ini memfokoskan keteguhan komitmen serta memenuhi setiap ruang yang ada bagi mengisi kemenangan kerajaan Pakatan Pakyat dengan agenda bertindak yang terancang dan lestari.
Oleh kerana itu katanya, dalam sidang media di Muktamar tersebut yang diadakan di Hotel Hillcity, dekat sini, hari ini, bermuktamar dalam suasana PAS berjaya membentuk kerajaan bersama-sama dalam gabungan Pakatan Rakyat di lima buah negeri di Semenanjung.
Gabungan ini adalah satu pemuafakataan yang merentasi batas-batas perkauman, agama dan ideology politik di atas dasar kesamarataan, kebenaran dan ketelusan serta keadilan, katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Dewan Muslimat akan pertingkatkan komitmen dan daya usaha untuk untuk mencapai kemenangan di negeri-negeri yang belum menang dalam usaha-usaha yang memfokoskan kebajikan rakyat.
Sementara itu ketika ditanya mengenai pertemuan antara Dewan Muslimat dengan Wanita Umno beliau berkata, sememangnya Naib Ketua Wanita Umno, Dato Seri Sharizat Jalil ada menghubungi untuk mengadakan pertemuan.
Namun katanya, beliau masih menanti surat hitam putih daripada wanita Umno.
Semasa beliau menghubungi saya, saya minta beliau menghantar surat secara rasmi dan Sharizat berkata, tunggu selepas pilihan raya Permatang Pauh dulu, katanya.
Menurut Nuridah yang turut dtemani Timbalannnya, Wan Hasrina Wan Hassan, pertemuan itu sangat baik dan banyak perkara boleh dibincang berhubung wanita.
Antaranya beliau berkata ialah kepincangan wanita itu sendiri seperti masalah rumahtangga dan keruntuhan akhlak.
Bahkan katanya, Shahrizat sendiri berkata pertemuan itu nanti adalah untuk membincangkan mengenai isu wanita Islam.
Namun katanya, walaupun dalam pertemuan nanti banyak perkara ditimbulkan tetapi kerajaan Barisan Nasional selalu bercakap dengan cantik hanya atas kertas tetapi apabila tiba kepada pelaksanaannya akan menjadi huru-hara.
MAT SABU RASMIKAN MUKTAMAR DEWAN MUSLIMAT DI IPOH

Antara jentera parti yang sanggat komited dalam kerja-kerja pilihanraya seperti merayu undi dan lawatan rumah ke rumah ialah Muslimat. Mereka melakukan kerja pilihanraya tanpa menghiraukan penat lelah serta keselamatan diri mereka.
Muslimat terus mantap pamerkan komitmen pilihan raya
Nuha Rahim & Roy Rasul
Harakahdaily
IPOH, 14 Ogos(Hrkh)- Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata walaupun muslimat kadang-kadang di maki hamun, dikejar dengan parang mereka tetap menjalankan tugas terutamanya untuk kempen pilihan raya.
"Bukan sahaja sanggup berkorban tetapi juga sanggup berkongsi," guraunya sambil menjeling pada isterinya yang turut berada di atas pentas.
Malah, jelasnya, tuduhan golongan sekular bahawa wanita sebagai masyarakat kelas kedua dan hanya mampu berperanan di dapur adalah tidak benar.
Sebaliknya muslimat PAS hari ini membuktikan dengan kembali menjadi lebih cemerlang. Mereka sudah berada di parlimen dan berperanan hebat di Dewan Negara.
"Pada kali ini, tanggapan negatif terhadap PAS telah dikikis apatah lagi terhadap muslimat kerana tidak pernah kita bermimpi calon muslimat kita menang di kawasan majoriti bukan Islam. Malah, pada pilihanraya umum yang lalu, muslimat kita yang bertudung labuh menang majoriti yang besar tanpa mengubah identiti. Hanya ubah minda dan fikiran, " ujarnya semasa merasmikan muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat ke-48 di Hotel Hillcity,dekat sini hari ini.
Tambahnya, tanpa pengorbanan mereka, parti tidak akan boleh ke mana-mana dan jelas ini menggambarkan peranan muslimat cukup penting.
"Saya sendiri apabila ada demonstrasi pada mulanya berasa takut.Mahu ke bilik air kadang-kadang berkali-kali, bagaimanapun apabila ke tempat demonstrasi?
"Namun,apabila saya lihat wajah-wajah muslimat, seperti Ketua Wanita Parti KeADILan Rakyat, Zuraidah Kamaruddin, Peguam Latiefa Koya dan Setiausaha Muslimat PAS, Aiman Athirah Al-Jundi, semangat saya terus datang. Mereka yang selalu menjaga saya, katanya sambil disambut gelak ketawa para hadirin.
Hakikatnya kita tidak akan menganiayai wanita seperti mereka (Umno) setelah digunapakai diletup, dibuang begitu sahaja, katanya berseloroh.
Seterusnya beliau menyarankan agar kaum muslimat sewajarnya mencontohi isteri Rasulullah saw, Saidatina Khadijah yang hartawan, jelitawan tetapi masih tetap sanggup berkorban untuk perjuangan.
Tentang Masalah Pakatan Rakyat
Berkaitan masalah dalaman yang dihadapi dalam Pakatan Rakyat, beliau mengiakannya. Namun, katanya,masalah yang timbul boleh diselesaikan melalui meja rundingan.
"Masalah kita tidak besar seperti dalam Umno. Bahkan hari demi hari kita bertambah kasih. Kami, rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, bercerai kasih, talak tiada. Bagaikan rambut tersimpul mati. Inginku mati di hujung kuku, inginku berkubur di tapak tangan. Begitulah kasih sayang dalam Pakatan Rakyat," katanya bermadah sambil mendapat tepukan yang gemuruh daripada sidang hadirin.
Mengambil alih kerajaan dari tangan Barisan Nasional
Menyentuh mengenai perjuangan asal Parti Islam SeMalaysia, Mohamad menjelaskan bahawa perjuangan PAS bukan mengambil alih Barisan Nasional.
Menurutnya, kalau mahu mengambil alih kerajaan tapi masih mengamalkan perangai yang serupa seperti rasuah, nepotisme, membina kekayaan, tidak mengikut peraturan dan sebagainya, itu bukan perjuangan yang berdasarkan pada Islam.
"Perjuangan Islam ialah meruntuhkan jahiliyah dan menegakkan Islam atas keruntuhan jahiliyah itu,"tegasnya.
Beliau berkata,khususnya PAS bukan hanya untuk mengambil alih bagi menukar Menteri Besar, Exco, wakil rakyat, ahli majlis, tok penghulu.
Kalau itu yang berlaku,tegasnya, ia memburukkan lagi Islam dan nama baik Islam.
Bagaimanapun, beliau berkeyakinan lima buah negeri yang diperintah Pakatan Rakyat tidak sekali-kali sama dengan ketika di bawah pemerintahan Barisan Nasional.
Katanya, PAS dan Pakatan Rakyat akan bertahan dengan islah dan muhasabah termasuk 'check and balance' dari semasa ke semasa supaya kerajaan terus kukuh.






