Pray For MH370

Pray For MH370

DR ASRI dan sejarah 'MURTAD' di OXFORD

Murtad dan Bandar Oxford — Dr Mohd Asri Zainul Abidin

October 20, 2011
Lukisan menunjuk pembakaran Tomas Cranmer, Nicholas Ridley dan Hugh Latimer.
20 OKT — Saya menganggap Bandar Oxford ini jauh lebih indah dari kebanyakan bandar lain di UK dan Eropah, termasuk London. Bahkan tiada bandar yang seumpamanya di dunia muslim kita. Ia sebuah bandar ilmu. Kebanyakan mereka yang sibuk berjalan pantas di jalan-jalan Oxford ini ialah pelajar, pengajar dan pengkaji. Lebih empat puluh kolej ilmu bersejarah lagi berprestij di bandar ini. Penuh sejarah, penuh sumbangan melahirkan tokoh-tokoh besar. Bandar ini penuh dengan aktiviti ilmu di sana-sini setiap hari; seminar, diskusi, forum dan pelbagai. Dalam pelbagai perkara dan bidang, yang mungkin sebahagiannya terlarang dalam negara kita disebabkan unsur ke’jais’an kita. Amat rugi jika ada sesiapa yang datang ke sini tetapi tidak mengambil peduli tentang aktiviti ilmu yang pesat.
Dari bangunan-bangunan bersejarah yang memenuhi bandar ini, kita dapat tahu bahawa di sini asalnya tempat pengajian Kristian. Sejak kurun ke-12, Oxford berkembang menjadi bandar ilmu. Ini terutama selepas tahun 1167 apabila Henry II melarang pelajar Inggeris melawat university di Paris. Pada kurun ke-13 bandar ini mula pesat dengan para penuntut ilmu. Antara tahun 1249 dan 1280 diasaskan universiti kolej yang tertua di sini; Merton dan Balliol. Ertinya bandar ini telah berkembang menjadi bandar ilmu sejak 800 tahun yang lalu.
Dalam tempoh yang panjang itu, Oxford melalui pelbagai sejarah. Agama Kristian yang menjadi teras pegangan dan pembinaan pusat pengajian di sini telah terbabit dalam pelbagai konfliks politik dan agama. Permusuhan dan pembunuhan berlaku dengan dahsyat sepanjang tersebut. Sehingga amalan kristianiti pun luntur di sini.
Dibakar Hidup-Hidup
Saya tinggal bersendirian di Broad Street. Di hadapan kediaman saya, di atas jalan ada tanda yang dibuat mengenang ‘shuhada’ Oxford atau Oxford Martyrs yang dibakar hidup-hidup. Tomas Cranmer, Nicholas Ridley dan Hugh Latimer. Mereka semua merupakan tiga orang paderi dan ilmuwan Kristian yang hebat pada kurun yang ke-16. Mereka telah mengkritik ajaran-ajaran Kristian yang dibawa oleh gereja Katholik yang dianggap tiada asas dalil yang sah dalam Bible. Terpengaruh dengan Martin Luther pengasas Protestan, mereka juga telah menulis pelbagai buku mengkritik amalan dan penghayatan agama yang diamalkan oleh pihak gereja Katholik. Seperti Luther, mereka berusaha agar agama Kristian tiada menjadi agama eksklusif untuk para paderi sahaja. Mereka menulis dan membahaskan pelbagai isu dalam ajaran Katholik yang mereka anggap tidak berasas.
Walaupun mereka berkelulusan tinggi dari pusat-pusat pengajian theology, diangkat memegang pelbagai kedudukan tinggi dalam ranking gereja seperti archbishop dan bishop, namun atas sikap anti-pembaharuan dan enggan mendengar pandangan lain yang berbeza, pihak mahkamah agama Katholik telah menghukum mereka sebagai heresy (murtad) dan derhaka (treason) kepada Queen. Mereka dibakar hidup-hidup di khalayak ramai di Oxford pada tahun 1555 dan 1556.
Sebenarnya, dalam sejarah gereja Katholik, begitu ramai yang dibakar oleh pihak gereja atas tuduhan murtad dan derhaka. Pihak gereja akan menggunakan nama Tuhan dan istana atas tuduhan murtad dan derhaka untuk menghukum para penentang mereka. Pihak Katholik juga ada privy council atau badan rahsia yang boleh menjadi kata putus. Pihak istana dalam usaha menjaga kepentingan dan kuasa mereka, maka akur atas segala tuduhan dan keputusan yang dibuat oleh pihak gereja terhadap musuh-musuh mereka. Golongan pembaharuan dalam Kristian terpaksa melalui pengorbanan yang terlalu hebat. Hukuman yang selalu mereka pakai kepada orang murtad ialah dibakar hidup-hidup cara pembakaran yang menyakitkan dan kejam.
Benarkah Murtad?
Persoalannya, benarkah murtad, ataupun murtad itu hanya menurut ukuran mereka yang jumud dan mempunyai kepentingan sendiri?! Semua tokoh-tokoh yang dibakar hidup-hidup itu tetap memanggil Tuhan sehingga ke akhir hayat. Cumanya, mereka enggan mengakui beberapa kepercayaan dan amalan Katholik yang mereka anggap tidak bersumberkan Bible. Pihak penentang pembaharuan sering menggunakan nama Jesus dan istana. Padahal mereka bukan mempertahankan istana atau Jesus, mereka mempertahankan kedudukan istimewa mereka sebagai golongan agama. Mereka menentang usaha pembaharuan menterjemahkan Bible yang berbahasa Latin ke dalam bahasa Inggeris. Mereka bimbang orang lain dapat menilai dan menembusi maklumat agama yang akhir menyebabkan mereka dipersoalkan.
Dikenang
Hari ini Oxford terus wujud. Namun, mereka yang dibakar dan dituduh murtad itu dikenang sebagai wira dan syahid oleh generasi kemudian. Demikianlah penilaian terhadap fakta sejarah selalu berubah dengan berubahnya cara fikir manusia. Wira boleh menjadi derhaka, derhaka pula boleh juga menjadi wira. Seseorang yang dihukum pada suatu masa, mungkin dihargai pada masa yang lain. Kemungkinan juga seseorang yang dihargai kini, akan dihukum pada masa yang akan datang. Sebab itu setiap kita hendaklah berpegang kepada asas-asas kebenaran yang disepakati oleh ad-din dan manusia sejagat. Bukan berpegang kepada sesuatu yang bersifat politik dan isu semata.
Penulis di tempat bekas tokoh-tokoh pembaharuan Kristian dibakar hidup-hidup.
Walaupun begitu dahsyat dan kejam pihak gereja Katholik berusaha mengekang pembaharuan, namun hari ini segala yang mereka takuti telah pun menjelma dalam rupa yang lebih ‘ganas’. Mereka cuba menentang kritikan terhadap amalan mereka, hari ini di Barat, bukan sekadar amalan mereka, bahkan Tuhan pun dinafikan kewujudannya. Pada era 1880, ahli falsafah Jerman Friedrich Nietzche telah mengistiharkan bahawa ‘God was dead’ (Tuhan telah mati). Walaupun 120 tahun kemudian agama terus hidup di dunia ini dan Tuhan terus dipuja, namun golongan atheist dan agnostic turut berkembang. Usaha menolak kewujudan Tuhan terus berjalan dan mendapat sambutan yang besar di seluruh dunia. Richard Dawkins umpamanya, pada 2007 menerbitkan buku God Delusion  atau penipuan Tuhan, buku yang menggambarkan bahawa tiada siapa yang boleh memberikan gambaran lengkap tentang agama yang sebenar. Tulisannya ini menggalakkan golongan anti-agama dan bukunya mendapat sambutan yang hebat. Di Oxford yang dipenuhi dengan gereja dan segala kesan sejarah perkembangan Kristian, turut menjualnya. Tuduh Murtad
Menjadi masalah besar apabila nama Tuhan sering digunakan untuk kepentingan kuasa dan diri sendiri. Orang lain dihukum atas nama Tuhan, padahal Tuhan kesalahan itu tidak membabitkan ajaran Tuhan. Akhirnya, Tuhan disalah ertikan dan agama dibenci. Di Oxford, walaupun bangunan dan bayangan gereja mengelilinginya, amalan kehidupan agama sudah tipis. Pengajian dijalankan tanpa berkait lagi dengan nama Tuhan melainkan sedikit. Ataupun, Tuhan itu difahami dalam pelbagai versi yang tersendiri.
Menuduh orang murtad sebenarnya memerlukan penelitian dan bukti yang kukuh tanpa kepentingan dan fanatik. Menghalang orang lain memberikan pandangan dan pendapat atas nama Tuhan adalah perbuatan yang menjauhkan manusia dari agama. Itu bukan usaha menguatkan agama.
Islam adalah agama dialog dan hujah. Ia bukan agama perhimpunan untuk membantah orang lain bersuara. Itu perbuatan gereja yang telah menghasilkan natijah yang buruk dan melahirkan sikap anti-agama. Menjerit di jalanan kerana kononnya ada orang murtad adalah tindakan yang tidak bijak. Padahal Allah telah memberikan panduan agar Islam ditegakkan atas hujah dan dialog. Firman Allah (maksudnya): “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125).
Menuduh orang lain murtad juga secara semberono hanya mengulangi apa yang dilakukan oleh gereja Katholik. Natijahnya, lenyap kekuatan istana yang dipergunakan dan lenyap juga keyakinan manusia kepada agama itu sendiri. Apakah kita ingin mengulanginya?
* Professor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah Visiting Research Scholar 2011-2012 di Oxford Centre for Islamic Studies, England.

Comments :

0 comments to “DR ASRI dan sejarah 'MURTAD' di OXFORD”
 

x

Photobucket

e


Popular Posts

Followers


View My Stats

pautan lain

  • - Add caption *Relawan AMALNITA sedia bersama....*
    8 years ago
  • Shopping Back To School. - Oleh kerana 2 petugas kaunter demam dlm Program Jom Shopping Back To School DUN Meru, maka Yb Meru dan Dato Ketua Kampung membantu mengambil...
    9 years ago

Ab

zwani.com myspace graphic comments

x

Photobucket









Recent Comment

ISLAMICITY

SEARCH THE TRUTH

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com