Pray For MH370

Pray For MH370

JOHAN ESEI POLITIK

Tuntutan Membentuk Kerajaan Yang Adil

Najah Nadiah binti Amran

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat ”. (Surah an-Nisa, ayat 58)

Saya pernah menyangka konsep Kerajaan yang Adil ataupun Negara Berkebajikan adalah konsep baru diperkenalkan oleh PAS setelah akur kepada desakan rakan sepasukan, DAP dan Keadilan (Parti Keadilan Rakyat – PKR). Pernah juga saya beranggapan konsep ini ingin menandingi slogan 1Malaysia Barisan Nasional. Rupa-rupannya, sangkaan saya meleset. Anggapan saya juga tidak betul. Ia bukan konsep baru. Bukan juga istilah terkini dalam kamus politik kenegaraan. Bahkan tuntutan membentuk kerajaan yang adil sudah terakam dalam al-Quran sejak 1400 tahun yang lalu melalui kisah Nabi Sulaiman dan Nabi Yusuf a.s.  

Ayat 58 dalam Surah an-Nisa ini mengetuk minda saya untuk membuka jendela sejarah Islam melihat runtuhnya sistem pemerintahan Jahiliyah secara rasminya pada hari pembukaan Kota Makkah. Menurut satu pendapat, ayat ini turun berikutan satu peristiwa pada hari berkenaan apabila seorang sahabat meminta Nabi SAW memberikan amanah kepadanya untuk membuka pintu kaabah. Melihat keinginan berkobar-kobar itu, Rasulullah SAW menegur serta mengingatkan bahawa urusan penyerahan amanah ataupun memberikan tauliah hanyalah untuk mereka yang ahli lagi dipercayai. Dalam peristiwa tersebut, Bani Syaibah dipilih oleh baginda SAW sebagai pemegang kunci kaabah. Ayat ini turut membawa saya meneroka lebih jauh peristiwa sebelum berlakunya Fathul Makkah. Catatan sirah membawa kita kembali menghirup iklim Madinah, mengkaji era kepimpinan yang adil dibentuk oleh Rasulullah SAW.

Kota Yathrib yang dihuni oleh masyarakat berbilang kaum telah mendapat limpahan rahmat Allah, apabila dua suku terbesar Aus dan Khazraj, asalnya seteru, telah berdamai dan bergabung membentuk kesatuan yang kukuh melebihi kekuatan dan monopoli kaum Yahudi Yathrib. Mereka telah menjemput Nabi Muhammad SAW, seorang yang paling amanah di Makkah sebagai pemimpin Madinah.

Jika di Makkah, baginda dimusuhi, disakiti serta ditentang dahsyat oleh pemimpin Quraisy yang merupakan darah daging sendiri, suasana di Madinah terlalu jauh bezanya. Sejauh jarak timur dan barat. Berbeza seperti langit dan bumi. Kepimpinan baginda yang inklusif untuk semua diterima mesra oleh golongan Islam dan bukan Islam sekalipun mereka tiada ikatan kekeluargaan.

Beberapa karya tafsir al-Quran memberikan huraian yang mengaitkan keintiman konsep amanah dengan akidah muslim. Contohnya al-Alusi (meninggal 1270 Hijrah) menyebut sabda Nabi SAW dalam mafhumnya: Sesiapa yang tidak amanah adalah natijah daripada tiada iman di dalam dirinya.

Sabda Nabi ini mendidik kita untuk melihat alam spiritual yang berkait rapat dengan dunia sosial dan fizikal. Kaitan amanah dengan akidah di dalam huraian ini dilihat dari aspek religiositi iaitu bagaimana amanah ini dilahirkan dalam diri manusia melalui pendidikan akidah Islam.

Kebimbangan Rasulullah SAW melihat lonjakkan semangat sahabat ada teladan yang harus kita ambil sebagai pedoman hidup bermasyarakat. Hal ini kerana, soal amanah kepimpinan bukan hanya berada dalam daerah perbincangan religiositi ataupun teologi tinggi dan rendah iman sahaja. Namun impak besar bakal menimpa seluruh masyarakat sekiranya pemimpin yang amanah tidak berjaya dilahirkan. Bukan menjaga amanah tetapi memecah dan memusnahkan kepercayaan rakyat.

Kita boleh memahami pedoman ini dalam konteks hari ini. Contohnya, negara yang dipimpin oleh mereka yang pecah amanah ataupun tiada integriti. Tempias keburukan perbuatan mereka akan menimpa seluruh alam. Pokok ditebang, bukit dan tanah dilapang, stadium dan bangunan sepatutnya bertahan, telah runtuh menyembah bumi setelah status projek ‘kroni’ diluluskan oleh mereka yang rasuah, pembekal bahan binaan penipu, mengurangkan kualiti dan kuantiti bahan semata-mata keuntungan lumayan. Kesan perbuatan mereka tidak hanya menjatuhkan indeks kepercayaan masyarakat terhadap sebuah kerajaan yang dipilih melalui sistem pilihan raya, malah risikonya melibatkan bencana alam seperti banjir kilat, pemanasan global, pembakaran dan kemusnahan hutan simpanan, kerosakan alam sekitar dan ekosistem, kerugian berganda melibatkan kehilangan nyawa dan kos pembaikian pembinaan semula bangunan runtuh. Semua akibat penyelewengan dan rasuah yang diamalkan.

Al-Alusi menyebut tentang amaran Ali k.w mengenai taklifan memimpin: ‘Anakku, awasilah kalian dalam memimpin, sesungguhnya Allah akan menyoalsiasat satu persatu pada hari akhirat’.

Nasihat ini memandu pemimpin hari ini untuk melihat ke jendela akhirat dari amalan mereka di dunia. Impak pengabaian amanah ini tidak hanya di dunia tetapi rakyat yang terabai akan mendapat pembelaan suatu hari kelak, sama ada di dunia ini ataupun di akhirat.

Huraian keintiman ikatan di antara amanah dan akidah ini bersambung di dalam tafsir Fi Zilal al-Quran. Sewaktu mentafsir ayat, “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)…” Sayyid Qutb (meninggal 1387 Hijrah) menekankan bahawa kepercayaan insan (di atas asas-asas iman/islam/ihsan) seharusnya diterjemahkan di dalam sebuah sistem yang paling asas untuk seluruh ummah bermula dengan melaksanakan amanah dengan melaksanakan sistem hidup berlandaskan titah perintah Allah.

Justeru, Sayyid Qutb berpandangan terdapat dua kewajipan yang harus dilakukan dalam bentuk tanggungjawab down-top (rakyat ataupun individu kepada pemimpin) dan top-down (pemimpin kepada rakyat). Pertama, rakyat memilih dan menyerah amanah kepimpinan kerajaan hanya kepada mereka yang berhak dan layak untuk menjadi pemimpin mereka. Kedua kewajipan pemimpin yang dipilih untuk memimpin secara adil untuk semua manusia tanpa ada perbezaan status dan prejudis.

Saya tinggalkan tafsiran al-Alusi dan Sayyid Qutb ini untuk kita fahami sendiri secara kritikal. Kini, saya ingin mengajak pembaca untuk melihat dengan lebih dekat ayat ini dalam konteks iklim sosial dan politik semasa di negara kita. Tariq Ramadan di dalam tulisan beliau berulangkali menegaskan kepentingan umat Islam hari ini, walau di mana mereka berada, untuk kembali kepada pedoman wahyu (nas) dan menghayatinya dalam kontek masa kini. Kegagalan memahami nas dalam konteks masa kini akan menyebabkan kita mengambil panduan nas secara literal dan paling malang kita tidak berupaya memahami realiti semasa. 

Permulaan ayat 58 menyebut: “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)”, merujuk kepada amanah kepimpinan dan tugas eksekutif iaitu setiap individu ataupun kumpulan organisasi memberikan amanah, kepercayaan serta hak kepada seseorang yang layak untuk melaksanakan sesuatu tugasan ataupun menjawat sesuatu jawatan.

Secara mudahnya Allah mengingatkan kita semua dalam sekecil-kecil urusan seperti mencari pembantu rumah ataupun pekerja gerai, melantik penghulu di kampung, memilih JKKK baru ataupun lama, guru besar ataupun para pendidik, ketika memilih pegawai yang bakal memegang amanah syarikat institusi, menemuduga dan memperakukan mereka yang layak mendapat tender, melantik pegawai kewangan untuk menguruskan baitulmal dan wang zakat, hartanah pekebun atau peneroka, pengurus sumber pendapatan carigali dan banyak lagi posisi eksekutif dalam institusi kerajaan ataupun agensi lain. Sehinggalah dalam urusan yang lebih besar yang melibatkan kepentingan lebih ramai pihak seperti membentuk sebuah kerajaan untuk mentadbir urus negara, maka hendaklah hanya mereka yang selayaknya sahaja dipilih.

Secara idealnya, arahan Allah ini merujuk kepada menempatkan seorang yang ahli ataupun pakar untuk menguruskan sesuatu tugas. Dalam konteks amalan pilihan raya, rakyat mengundi (memilih dan memberi kuasa) untuk menempatkan wakil rakyat di dalam dewan undangan negeri dan parlimen mewakili rakyat memutuskan keputusan dan membuat rancangan demi kemaslahatan mereka semua.

Soalnya ialah siapakah yang selayaknya dilantik. Mencari jawapan soalan ini bukan mudah namun ia menjadi kewajipan semua untuk mendapatkannya. Ayat ke-58 surah al-Nisa’ menggariskan dua ciri pemimpin berhak dipilih untuk dilantik. Pun begitu, terdapat ayat-ayat lain yang menyenaraikan ciri-ciri tambahan untuk ditekuni. Contohnya, di dalam ayat yang lain Allah gilirkan ciri amanah (amin) dengan ciri berkemampuan ataupun ada kekuatan (qawwiy). “Sesungguhnya orang yang paling baik untuk kamu ambil sebagai pekerja ialah yang kuat (berkemampuan) lagi amanah” (Surah al-Qasas, ayat 26).

Syarat pertama dalam ayat 58 ini merujuk kepada orang yang ahli, iaitu pemimpin yang berkelayakan (sama ada berpengetahuan, pakar, menguasai bidang/tahu selok-belok posisi tersebut) serta dipercayai untuk menanggung tugas tersebut. (Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya).

Manakala syarat kedua ialah adil kepada dan/untuk semua rakyat. (…dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil).

Dua perkataan ‘al-Amanah’ dan ‘al-Nas’ di dalam ayat ini amat ringkas tetapi signifikan. Ia memberikan gambaran hanya pemimpin yang punya integriti yang tinggi mampu memikul amanah Allah, rakyat dan negara. Kesan positifnya ialah mereka ini apabila menghukum dan mentadbir negara kelak bukan hanya berkhidmat untuk rakyat yang menyokong, mengundi ataupun hanya memberikan perhatian agenda bangsa mereka semata-mata tetapi mewakili seluruh masyarakat tanpa melihat kepada jurang perbezaan, status sosio-ekonomi, agama, perbezaan politik,  gender, usia ataupun tahap pendidikan. Ini sesuai dengan firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum (pihak yang lain) itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah, ayat 8).

Perkataan ‘al-Nas’ di dalam ayat ini seakan memberikan pukulan maut kepada konsep 1Malaysia Kerajaan Pusat bahawa seluruh rakyat tanpa mengira asal negeri mereka perlu ‘didahulukan’ tanpa sebarang prejudis, penganiayaan ataupun disebabkan oleh perbezaan politik.

Akhir-akhir ini kita dapati, kegagalan konsep ini dalam menyatukan rakyat telah timbul sedikit demi sedikit. Bermula daripada ketidakadilan pembiayaan kewangan kerajaan pusat kepada kerajaan negeri yang dipimpin pembangkang seperti pemberian wang bantuan untuk penduduk termiskin di Kelantan, isu wang ehsan dan royalti minyak di Terengganu dan Kelantan sehinggalah pendirian yang berbaur rasis kepada pihak yang tidak menyokong ataupun mengkritik kerajaan. Contoh terkini ialah kes pelajar UUM berketurunan India, Bawani yang telah mengkritik pengurusan kewangan pendidikan negara. Respon biadab yang beliau terima daripada presiden Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) tempohari menunjukkan kegagalan yang paling ketara konsep 1Malaysia yang asalnya untuk menyatupadukan rakyat berbilang bangsa.

Sepatutnya seorang pemimpin sebuah perkumpulan menjadi teladan menghormati orang lain. Malangnya, telah berlaku sebaliknya. Padahal Rasulullah SAW amat menitikberatkan hubungan antara kaum dalam masyarakat.

“Ketahuilah! Sesiapa yang menzalimi mu’ahid (rakyat non-muslim) ataupun mengurangkan haknya, ataupun membebankannya di luar kemampuannya, ataupun mengambil sesuatu (hak) daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian pada Hari Kiamat”. (Riwayat Abu Daud, sahih).

Sebenarnya ayat ke 58 al-Nisa’ bukan semata-mata melihat kepada seorang ataupun dua orang calon terbaik yang dilantik untuk memimpin masyarakat. Tetapi menuntut kita sebagai rakyat, memikirkan langkah berikutnya iaitu membentuk kerajaan yang terbaik dan adil untuk semua. Justeru, bukan semata-mata memilih calon paling layak sebagai pemimpin namun bagaimana kesemua calon daripada sebuah ataupun beberapa buah parti terbaik membentuk kerajaan yang akan menjadi nadi, suara dan benteng menjaga kebajikan seluruh rakyat.

Setelah mengkaji huraian kepada ayat ini dapatlah saya simpulkan bahawa pembentukan sebuah kerajaan yang adil ini bermula daripada rakyat. Kuasa rakyat memilih pemimpin ini amat penting diberikan perhatian yang serius. Bahkan, Allah menjelaskan isu kepimpinan ini di dalam banyak ayat al-Quran (berkaitan tugas Khalifah dan mereka yang diberikan amanah memimpin masyarakat). “Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu”.

Selain itu, dirumuskan bahawa kepimpinan sama ada pada peringkat eksekutif dan legislatif adalah elemen pelaksana yang penting menjadi enjin dan pemandu kerajaan. Mereka inilah yang bertungkus-lumus menjadi ‘khadam’ rakyat menggerakkan jentera negara. Sekiranya berlaku pengabaian, kecuaian ataupun kerosakan pada ‘enjin’ dan ‘pemandu’ sewaktu menjalankan amanah mereka akan diperbaiki ataupun ditukar ganti. Sebagai Khadam, pemimpin negara haruslah insaf bahawa kuasa mereka tidak bertahan. Rakyat boleh menukar mereka dan menggantikan dengan kepimpinan yang lebih diyakini.  Oleh itu, sedarlah wahai pemimpin di semua peringkat, kalian sentiasa berada dalam pengawasan dan tidak lepas daripada rekod audit semasa lebih-lebih lagi terdapat pengawasan yang lebih cekap dan efektif daripada para malaikat katibin dan Allah SWT. “Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat ”.

Jelaslah, konsep sebuah Negara yang Adil ini bukan baru timbul setelah munculnya Pakatan Rakyat. Malah telah dihidupkan kembali dengan nafas baru sesuai dengan konteks semasa dan iklim negara. Konsep ini menjelaskan kepada masyarakat bahawa PAS tidak tunduk kepada sesiapa dalam mengemukakan ataupun mempertahankan konsep negara bersifat Baldatun Tayyibah melainkan mematuhi perlembagaan parti yang sedia ada iaitu perlembagaan yang meletakkan nas al-Quran dan Sunnah sebagai asas tindakan dan keputusan mereka.

Kajian terhadap teks ayat ini juga mendapati untuk memahami nas al-Quran secara efektif, kita haruslah mengkaji wahyu ini secara menyeluruh dengan melihat kepada pentafsiran para ulama tradisi dan kontemporari, mengkaji latar turunnya ayat, ataupun sirah nabawiyah kemudian berusaha untuk mengaitkannya dengan pengalaman semasa ataupun kontek masa kini. Gabungan yang rapat tiga elemen ini iaitu gabungan fiqh al-Nas (teks wahyu), fiqh al-Sirah (sejarah/kisah yang berkaitan sewaktu zaman nabi) serta fiqh al-Waqi’iy (konteks semasa) akan memandu kefahaman kita untuk memahami tuntutan sebuah Kerajaan yang adil dan menterjemahkannya secara praktikal.

 pemenang tempat pertama peraduan menulis esei berdasarkan ayat al-Quran surah an-Nisa ayat 58.

Penulis berasal dari Kota Bharu Kelantan. Kini berada di Springvale, Victoria Australia dan sedang menyiapkan Ijazah Doktor Falsafah di University of Aberdeen, Scotland. United Kingdom. Sumber Harakahdaily

Comments :

0 comments to “JOHAN ESEI POLITIK”
 

x

Photobucket

e


Popular Posts

Followers


View My Stats

pautan lain

  • - Add caption *Relawan AMALNITA sedia bersama....*
    8 years ago
  • Shopping Back To School. - Oleh kerana 2 petugas kaunter demam dlm Program Jom Shopping Back To School DUN Meru, maka Yb Meru dan Dato Ketua Kampung membantu mengambil...
    9 years ago

Ab

zwani.com myspace graphic comments

x

Photobucket









Recent Comment

ISLAMICITY

SEARCH THE TRUTH

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com