Syabas kerana rakyat tetap bersama Pakatan Rakyat
Alhamdulillah, saya panjatkan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T di atas kemenangan pilihanraya kecil pada 7hb April 2009.
Syabas saya ucapkan kepada pengundi di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai. Sokongan yang anda berikan menjadi bukti kekuatan rakyat untuk berani berhadapan dengan kekuasaan. Undi yang telah anda berikan untuk Pakatan Rakyat menjadi saksi akan kemahuan yang kuat menuntut Perubahan.
Tahniah saya ucapkan kepada para calon dan petugas Pakatan Rakyat kerana bekerja keras untuk memastikan kejayaan hari ini. Kemantapan kerjasama di antara Parti Keadilan Rakyat, PAS dan DAP semakin hari semakin utuh.
Kemenangan di Bukit Selambau dan Bukit Gantang serta sokongan pengundi Batang Ai membuktikan rakyat masih yakin terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat untuk terus menerajui perjuangan menuntut Perubahan bagi mencipta Malaysia Baru yang adil dan saksama.
Hari ini rakyat menghantar mesej yang jelas. Mereka mahukan perubahan yang nyata, bukan sekadar janji politik untuk terus kekal berkuasa.
Kemenangan Dato� Seri Nizar di Bukit Gantang merupakan satu referendum agar dikembalikan Kerajaan Perak yang sah. Rakyat menuntut agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan pilihanraya diadakan di seluruh Negeri Perak.
Kepada pendokong Pakatan Rakyat di Batang Ai, kita berhasil mengungkapkan isu tanah adat dan peminggiran rakyat yang terjadi di Sarawak. Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat akan terus berjuang membawa Perubahan kepada rakyat Negeri Sarawak.
Sekali lagi kewibawaan proses pilihanraya menjadi pertikaian. Pengiraan awal yang tidak dilakukan di tempat pembuangan undi serta penggunaan helikopter untuk mengangkut membuka ruang kepada penipuan.
Ini seharusnya menjadi pembakar semangat untuk terus bekerja keras membawa Perubahan, bukan sahaja di Batang Ai, tetapi juga di segenap pelusuk tanah air.
Walaupun berulang kali berhadapan dengan kekerasan, fitnah dan ugutan penguasa, ianya tidak akan menghambat kami dari menunaikan janji yang telah diberikan.
Pakatan Rakyat akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan berusaha melaksanakan agenda serta dasar untuk membantu sesiapa sahaja yang terpinggir tanpa berasaskan kaum. Pakatan Rakyat tidak akan sesekali mengkhianati amanah yang telah diberikan rakyat ini.
Saya menyeru rakyat Malaysia untuk tetap bersama-sama dengan agenda perubahan dan Pakatan Rakyat. Sudah tiba masanya kita meniup nafas segar kepada demokrasi dan memperkukuhkan kembali kedaulatan undang-undang di negara ini.
Dato' Seri Anwar Ibrahim
(Sidang Media 8 April, 11:30 pagi, Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat)
HARAKAHDAILY
KENYATAAN MEDIA DSAI MENGENAI KEMENANGAN DI DUA BUKIT
KENYATAAN MEDIA TN GURU DS HJ ABD HADI
Rakyat tolak politik kotor BN
Bersyukur kehadrat Allah SWT setelah kita semua bertungkus-lumus berusaha akhirnya dengan keizinan-Nya, Parti Islam SeMalaysia (PAS) dianugerahkan kemenangan dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang melalui calon parti, Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.
Sesungguhnya kemenangan ini adalah sangat bermakna buat PAS dan Pakatan Rakyat (PR) khasnya di Perak kerana ia membuktikan bahawa rakyat menolak sama sekali amalan kotor 'politik pintu belakang' yang direncanakan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) sehingga menjatuhkan kerajaan negeri yang dipilih dan diberikan mandat oleh rakyat dalam pilihanraya umum yang lalu.
Mudah-mudahan kemenangan ini akan menyedarkan semua pihak bahawa satu-satunya penyelesaian kepada konflik politik dan perlembagaan yang sedang dihadapi di negeri Perak Darul Ridzuan adalah dengan cara membubarkan Dewan Undangan Negeri dan seterusnya menyerahkan kembali mandat untuk diputuskan oleh rakyat dalam pilihan raya kerusi DUN di seluruh Perak.
Sehubungan dengan kemenangan ini juga saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua para petugas dan pekerja parti dari seluruh negara termasuklah rakan-rakan dari PKR dan DAP, pimpinan dan ahli Kelab Penyokong PAS, kelompok Media Baru, para NGO dan orang perseorangan yang telah bekerja tanpa jemu dalam menyumbang ke arah kemenangan ini. Mudah-mudahan segala pengorbanan dan kerja kuat itu akan dibalasi dengan ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT.
Kemenangan ini juga adalah menunjukkan keberanian suara rakyat yang mempunyai harga diri dan tidak mampu digugat oleh janji dan ugutan dari jentera Umno dan BN yang terus menerus berselindung di sebalik jentera kerajaan. Kehadiran serta kempen Tun Dr Mahathir dan pimpinan baru Umno yang kononnya melaungkan nada baru dalam pilihan raya ini juga bukan sahaja tidak mendatangkan kesan, malah memburukkan lagi keadaan.
Ternyata bahawa kegagalan Umno dan BN dalam pilihan raya umum yang lalu adalah bukan berpunca semata-mata dari kelemahan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi adalah suatu hakikat bahawa sememangnya parti Umno dan BN semakin lemah dan tidak mampu berhadapan dengan rakyat yang semakin celik di negara kita ini.
BN hanya berjaya mempertahankan kerusi di Batang Ai dan di lain-lain tempat yang rakyat sememangnya dinafikan hak untuk mendapat maklumat sahaja.
Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah kepada PKR kerana berjaya mempertahankan kerusi DUN Bukit Selambau melalui calonnya S.Manikumar. Sesungguhnya kemenangan ini memperkukuhkan lagi kedudukan Kerajaan PR Kedah pimpinan Dato' Seri Azizan Abdul Razak.
Kedua-dua kemenangan ini di samping kemenangan terdahulu di kerusi parlimen Permatang Pauh dan di kerusi parlimen Kuala Terengganu insya-Allah akan merubah lanskap politik tanahair dengan menempatkan PAS dan Pakatan Rakyat sebagi parti arus perdana baru yang disokong dan didokong oleh rakyat jelata.
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
mks/harakahdaily
PENGHAKIMAN PENGUNDI PRK 07/04/09 ISYARAT YANG JELAS
Wajah Wira Pakatan Rakyat (atas kanan) yang telah sanggup berkorban demi sebuah perjuangan menentang kezaliman dan menegakkan keadilan serta kesejahteraan dalam PRK pada 07 April 2009. Tahniah dan ucapan penghargaan dari kami semua KEPADA:
Rakyat Malaysia.
Tahniah dan syabas kepada Calon Pakatan Rakyat yang telah menang selesa dalam PRK di kawasan parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau, Para Pengundi, Petugas Pakatan Rakyat, Kelab penyokong PAS kaum India dan Tionghua, Pasukan Keselamatan, SPR dan semua pihak yang telah memungkinkan Pilihanraya kecil yang bersih, telus dan adil.
AGIK IDUP AGIK NGELABAN DEMI MENEGAK KEBENARAN DAN MENENTANG KEZALIMAN
Untuk Calon Batang Ai, En Jawah Gerang, kamik ucapkan simpati dan rasa sedih kamik kerana kitak belum berjaya merampas kerusi DUN tersebut dari BN. Kitak Cubak lagi lain kali, auk. Agik idup agik ngelaban 'Selagi hidup selagi tu berjuang.. selama masih hidup akan terus berjuang.
Kalau ibuh tidak mahuk jadi seperti mereka-mereka yang "Agik idup, agik makai . Apa mahu makai, mana mahu makai dan siapa mahu dimakai".
Sesungguhnya Rakyat merupakan HAKIM dalam Sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan.
BN Terima Keputusan P/raya, Tolak Ia Sebagai Referendum
KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) menerima keputusan tiga pilihan raya kecil sebagai keputusan pengundi namun menolak anggapan ia sebagai referendum terhadap kepimpinan negara, kata Pengarah Pilihan Raya BN bagi tiga pilihan raya kecil itu Tan Sri Muhyiddin Yassin."Ini bukan satu referendum soal kepimpinan. Mungkin 'feel good factor' soal kepimpinan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) agak baru, dan belum meresap ke dalam jiwa pengundi," katanya kepada pemberita di Hotel SSL Traders di Kamunting, Taiping selepas keputusan tiga pilihan kecil itu diumumkan Selasa.
Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita sama ada keputusan pilihan raya kecil itu merupakan referendum rakyat kepada kepimpinan kerajaan BN di Perak dan peringkat nasional.
Tiga pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang, Perak, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah dan DUN Batang Ai, Sarawak, berakhir dengan status quo dikekalkan apabila BN dan pembangkang yang terdiri daripada PAS serta PKR, masing-masing mengekalkan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya pada Mac tahun lepas.
BN mempertahankan kerusi DUN Batang Ai apabila calonnya Malcolm Mussen Lamoh, 49, memenangi pilihan raya kecil itu dengan majoriti 1,854 undi apabila beliau memperoleh 3,907 undi mengalahkan Jawah Gerang, 55, dari PKR yang mendapat 2,053 undi.
PAS pula mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang apabila calonnya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memenangi pilihan raya kecil kawasan itu dengan memperoleh majoriti 2,789 undi manakala PKR mempertahankan kerusi DUN Bukit Selambau melalui S.Manikumar yang memperoleh majoriti 2,403 undi.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, BN akan mengadakan post-mortem bebas bagi mengenal pasti faktor yang mempengaruhi pengundi pada pilihan raya kecil itu.
Katanya beliau akan mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri untuk mengadakan post-mortem yang akan dikendalikan badan bebas dengan segera bagi meneliti faktor yang membawa kepada keputusan pilihan raya kecil itu, terutama di Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau.
"Kami mahu sebuah badan bebas yang tidak dipengaruhi faktor politik supaya post-mortem itu lebih objektif," kata Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Ditanya sekiranya tarikh pilihan raya kecil itu tidak sesuai kerana diadakan selepas peralihan kuasa dalam Umno dan negara, Muhyiddin berkata perkara itu diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir berkata kekalahan BN di Parlimen Bukit Gantang tidak akan mematahkan semangat beliau untuk meneruskan agenda perubahan kepada rakyat seperti yang beliau nyatakan sebelum ini.
"Ini adalah proses demokrasi yang saya nyatakan sejak dari awal. Kita perlu akur dengan proses demokrasi di mana rakyat sudah membuat keputusan," katanya.
Beliau juga tidak bersetuju keputusan itu sebagai satu isyarat bahawa rakyat Perak menolak BN.
Sambil menyifatkan semua parti komponen BN bekerja keras sepanjang kempen pilihan raya kecil, Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu menerima kekalahan calon parti itu di Bukit Selambau.
"Walaupun kecewa, kami menerima keputusan rakyat. Kami akan terus bekerja keras untuk mendapat keyakinan rakyat. Kami ucapkan terima kasih kepada pengundi yang tampil, yang menyokong kami," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat pula dalam menerima keputusan itu turut meminta pemimpin-pemimpin BN supaya kembali ke akar umbi dan bekerja keras serta bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum berikutnya.
Beliau berkata keputusan adalah isyarat jelas daripada rakyat yang mahukan lebih lagi daripada pemimpin-pemimpin mereka, yang tidak mahu mendengar janji-janji sahaja, sebaliknya mahu menikmati perubahan yang dijanjikan.
"Masih jauh perjalanan di hadapan dan masih banyak perlu disempurnakan sebelum BN boleh mengatakan bahawa ia diterima oleh rakyat, dan tahu bagaimana untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Malam ini kami mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang sekali lagi beritahu kami supaya berubah, kembali ke akar umbi, membina negara dan lebih responsif untuk menggerakkan keterbukaan, urus tadbir yang baik dan lebih fokus kepada pembinaan satu Malaysia.
"Kami perlu merebut peluang untuk berubah atau lenyap selamanya," katanya semasa mengulas keputusan pilihan raya itu dalam blognya www.ongteekeat.net".
Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon pula berkata BN perlu menerima keputusan ini sebagai peringatan baginya untuk menggerakkan perubahan dengan lebih berkesan.
Beliau berkata walaupun keputusan itu menunjukkan BN masih belum dapat mengembalikan sokongan kepada mereka, terutama di kalangan pengundi bukan Melayu, keputusan itu mungkin memiliki hikmah tersendiri, di mana ia akan memaksa BN bekerja lebih keras untuk menawan kembali hati rakyat.
"BN perlu mengambil iktibar daripada pilihan raya ini dan menggerakkan kembali strategi dan pendekatannya. Ini akan menjadi cabaran besar yang perlu ditempuhi dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan.
Bernama Read More “PENGHAKIMAN PENGUNDI PRK 07/04/09 ISYARAT YANG JELAS” »»