Pray For MH370

Pray For MH370

KURSUS BTN SATU SENJATA BN

Masih pada tajuk kursus BTN. Tiga laporan dari Selangorkini. Keratan sebelah menyenaraikan kandungan atau silibus BTN. Sila klik pada imej untuk dibesarkan.

*Selangor Lindungi Penjawat Awam Dari Brainwash BTN

*Khalid : BTN Tolak Sistem Demokrasi Berparlimen

*Henti Penyertaan ke BTN, Exco Sokong Tindakan Kerajaan Negeri


Selangor Lindungi Penjawat Awam Dari Brainwash BTN

SHAH ALAM, 25 Nov - Dalam usaha melindungi penjawat awam Selangor dari tarbiyah ekstrem Biro Tata Negara, kerajaan negeri menghentikan penyertaan pegawai agensi kerajaan negeri dan penuntut di institusi pendidikan milik kerajaan negeri dari menyertai kursus biro itu.

Exco Pendidikan Dr Halimah Ali berkata keputusan ini berkuatkuasa serta merta hari ini selepas siasatan mendapati tarbiyah yang diterapkan BTN mengajak kepada perpecahan dan ketegangan kaum.

“Mereka yang telah melalui kursus Biro Tata Negara ini kebanyakannya adalah satu proses indoktrinasi oleh Kerajaan Barisan Nasional dan ia menimbulkan satu fenomenan yang agak perkauman, di mana ia seolah-olah ingin memecahbelahkan di antara penduduk-penduduk yang pelbagai bangsa dan agama di Malaysia ini”, jelas Dr Halimah.

Terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri, BTN menawarkan kursus bina jati diri kepada penuntut universiti dan penjawat awam.

BTN diwujudkan bagi menanam semangat cintakan negara, namun umum kini melihat biro itu tidak lebih dari unit propaganda BN.

Minggu lalu, tujuh wakil rakyat Pakatan menggesa kerajaan Selangor menghalang kerahan anak-anak murid ke program tarbiyah BTN.

Bercakap dari pengalamannya sendiri, Adun Sri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad berkata peserta kursus diajar mengenai Ketuanan Melayu, PKR ejen Yahudi, DAP proksi Singapura dan Pas gerakan ajaran sesat.

Antara institusi pengajian tinggi milikan kerajaan negeri ialah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Universiti Industri Selangor (Unisel), Institut Kemahiran Yayasan Selangor dan Kolej Antarabangsa INPENS.

“Kita akan memberikan satu surat arahan formaliti kepada institusi-institusi yang telah saya sebutkan jabatan dan agensi kerajaan negeri Selangor bersama dengan IPT tentang perkara yang saya sebutkan tadi”, tegasnya.

- MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN/Selangorkini

=================================================================================
Khalid : BTN Tolak Sistem Demokrasi Berparlimen


Shah Alam, 26 Nov-Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan Biro Tata Negara (BTN), kursus yang akan mewujudkan sentimen perkauman dan menolak sistem demokrasi berparlimen.

Katanya sistem ‘check and balance’ tidak lagi menjadi amalam dalam BTN kerana ia tidak memberi peluang kepada rakyat untuk menilai.

BTN juga dikatakan melahirkan sikap prejudis kepada pembangkang sehingga dianggap musuh negara.

“ Kalau digambarkan pembangkang sebagai musuh negara maka itu akan menjejas peranan pembangkang dalam usaha melakukan semak dan timbang ini. Dan ianya akan memberikan gambaran, rakyat yang patriotik, mesti patuh kepada semua kehendak pihak yang memerintah” ujar Khalid.

Semalam kerajaan negeri Selangor mengumumkan akan melindungi penjawat awam di negeri itu dan penuntut-penuntut di institusi pendidikan milik kerajaan negeri.

Bercakap kepada TvSelangor, Khalid berkata, beliau sebulat hati menyokong keputusan yang diambil oleh kerajaan negeri.

Ujarnya BTN adalah platform kepada kerajaan untuk menyemat prinsip kepada generasi muda dan kaki tangan kerajaan tentang keburukan parti pembangkang dengan melabelkan parti-parti ini sebagai agen negara asing.

“ Maka segala kritikan dan sebagainya tidak akan dilihat dari sudut yang positif, tetapi dilihat sebagai seolah-olah agen kuasa asing dan sebagainya. Dan inilah yang dilakukan oleh BTN sekarang ini”.

Malah ujar beliau, masyarakat di negara ini dipinggirkan hak mereka dari dahulu lagi untuk menilai mana yang benar dan salah.

“Masalah kita ini, negara Malaysia ini ialah kita mewarisi satu sistem satu pemerintahan tanpa memahami selok belok dan rasional di sebalik sistem tersebut”.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Shah Alam, Ahmad Sayuti Bashiron turut menceritakan pengalaman beliau ketika menyertai BTN suatu ketika dahulu.

“ Pernah suatu ketika dahulu, pada awal dahulu sewaktu saya di sekolah menengah, selain daripada lagu anak kecil main api, apa yang paling saya ingat apa yang ditanamkan ialah benci kepada Cina. Suatu ketika kami berlari-lari dari pusat pendidikan di Shah Alam, ketika kita berjumpa sahaja Cina seperti peniaga-peniaga Cina, fasilatator mengatakan ‘lihat itu adalah Cina, dia adalah orang yang merempat di negara kita. Apabila besar nanti,kamu nanti bila sudah besar, mesti ada perasaaan tolak mereka dari negara kita”.

Selangorkini
====================================================================
Henti Penyertaan ke BTN, Exco Sokong Tindakan Kerajaan Negeri


SHAH ALAM, 26 Nov - Senada dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Exco kerajaan negeri menyokong tindakan menghentikan penyertaan pegawai agensi dan institut pendidikan milikannya dari menyertai Biro Tata Negara (BTN).

Menyifatkan tindakan berkenaan sebagai wajar, Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, kursus BTN banyak merosakkan pemikiran mereka sebagai pelajar.

“Kita mahu pelajar-pelajar Selangor seimbang pada masa yang sama mereka berjaya, cemerlang dalam lapangan pelajaran dan kita tidak mahu pelajar-pelajar ini dikotori pemikiran mereka dengan pemikiran-pemikiran yang berunsur politik kesukuan iaitu akan menjejaskan pembentukan minda mereka dan juga pembentukan peribadi sifat sahsiah mereka”, kata Datuk Hasan Ali.

Sementara itu, Exco Pendidikan Tinggi, Dr Halimah Ali berkata kerajaan negeri mempunyai kuasa penuh ke atas pegawai jabatan yang dibayar kerajaan negeri, mahasiswa institusi pengajian milik kerajaan negeri serta anak-anak syarikatnya.

Katanya, mana-mana kakitangan kerajaan negeri yang berdegil mengikuti kursus Biro Tata Negara ini, mereka tidak terlepas daripada dikenakan tindakan sewajarnya.

“Kerajaan Negeri mempunyai kuasa di atas segala peraturan-peraturan, apa kursus yang mereka perlukan, apa latihan yang mereka perlu lalui. Kita mencari jalan macam mana, apa tindakan akan kita ambilkan”, kata Halimah Ali.

Beliau turut menyarankan supaya kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang lain mengambil tindakan sama.

MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN/selangorkini
===================================================================================
Kursus BTN

Read More “KURSUS BTN SATU SENJATA BN”  »»

BILA KECIL MAIN API SUDAH BESAR JUAL TANAH

Lirik lagu: ANAK KECIL MAIN API


Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap diarus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ketangan yang lain
Peribumi merintih sendiri

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayukan gagah dinusantara



LIRIK DIUBAHSUAI




Lagu Warisan dan Politik Perkauman


MITOS, KONSTRUKSI SOSIAL DAN KEMUNCULAN INTELEKTUAL ORGANIK DALAM SEJARAH NEGARA

Read More “BILA KECIL MAIN API SUDAH BESAR JUAL TANAH”  »»

JANGAN BUNUH INTELEKTUALISME DI KALANGAN WAKIL RAKYAT

Syabas Datuk Timbalan Menteri. Satu pengamatan yang kritis dan ilmiah. Apa kata Datuk terjemahkan tulisan yang baik ini kepada realiti politik semasa di mana wakil rakyat Pakatan Rakyat tidak dibenarkan masuk dan melawat sekolah rendah, menengah serta IPTA/IPTS. Mari kita berhujah secara intelektual dan rasional kenapa kami dihalang masuk ke IPTA dalam program yang bersifat ilmiah? Adakah kami bukan rakyat Malaysia? Adakah kami bukan pembayar cukai?

Adakah kehadiran kami di pentas politik tanahair tanpa diundang? Kami dilantik oleh Rakyat pada PRU ke 12 tahun 2008 secara sah di sisi undang-undang? Kenapa rampas hak kami dalam rangka melaksanakan tugas serta tanggungjawab kami?

Jangan bunuh intelektual


Datuk Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi)

Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Perlis dan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) intelektual. Namun, sebagai manusia biasa, beliau tidak bebas daripada kelemahan. Begitu juga intelektual lain. Justeru, mereka boleh dikritik. Tetapi, cara beliau diserang baru-baru ini adalah tidak adil. Begitu juga dengan cara intelektual lain yang pernah diserang.

Islam meletakkan intelektual/ulama di tempat tertinggi, iaitu sebagai pewaris para Nabi (Hadis riwayat At-Tirmidzi). Kita memerlukan intelektual untuk mendefinisi, meneroka, membentuk, membangunkan, mempertahankan dan meneruskan tamadun dan peradaban.

Membina intelektual yang hebat, kelas pertama dan bertaraf dunia bukanlah mudah. Kita melakukan segala-galanya untuk melahirkan dan memperkukuhkannya. Antaranya, ialah menyediakan pensyarah universiti berkelulusan PhD atau setaraf.

Kita juga berusaha mewujudkan iklim yang kondusif untuk membangunkan intelektual dan meningkatkan peranannya. Antaranya ialah melonjakkan budaya ilmu, menggalakkan debat, merancakkan penyelidikan dan memperbanyakkan penulisan.

Menurut Syed Hussein Alatas (1977), dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun, definisi intelektual ialah "orang yang memusatkan diri untuk memikirkan idea dan masalah, bukan kebendaan, dengan menggunakan kemampuan akliahnya".

Menurutnya lagi, "Pengetahuan tentang suatu pokok permasalahan tertentu atau memiliki sesuatu gelar tertentu belumlah membuat orang menjadi intelektual, walaupun hal ini sering kali berdampingan: banyak didapati pemegang gelar dan profesor yang tidak memusatkan diri untuk mengembangkan bidang mereka atau berusaha menemukan pemecahan atas masalah tertentu dalam bidangnya. Sebaliknya, orang yang tanpa kelayakan akademik dapat menjadi intelektual apabila dia memanfaatkan kemampuan berfikirnya dan memiliki pengetahuan yang cukup mengenai pokok bahasan yang diminatinya."

Intelektual diharapkan memikul amanah tamadun dan peradaban dengan sebaik-baiknya. Mereka perlu mengelakkan diri daripada menjadi fenomena di US, iaitu yang disebut oleh Frank Furedi (2004) dalam bukunya Where Have All the Intellectuals Gone?, di mana pemikir seperti Betrand Russel, Raymond Williams atau Hannah Arendt, iaitu tokoh yang mempunyai ilmu yang tulen, visi yang luas dan prihatin terhadap isu-isu masyarakat telah diganti oleh peramal yang dangkal, pengkaji yang apologis dan pakar pemutar isu.

Intelektual subur dalam masyarakat yang menghayati budaya ilmu, yang menurut Wan Mohd Nor Wan Daud (1991) dalam bukunya, Penjelasan Budaya Ilmu, ialah masyarakat yang meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat tertinggi, sentiasa menuntut, mengembang dan mengongsi ilmu serta setiap keputusan adalah berasaskan ilmu.

Malangnya, dalam sejarah, berlaku beberapa tragedi intelektual dibunuh. Di barat, ada intelektual dibunuh kerana bertentangan pendapat dengan pihak berkuasa agama. Di timur, ada Revolusi Kebudayaan yang mengorbankan satu generasi intelektual. Di sini, intelektual Kaum Muda dihentam Kaum Tua.

Antara ciri-ciri lazim intelektual dan penentangnya ialah:

1. Intelektual berusia muda, walaupun ada yang berumur. Penentangnya lebih tua, atau kalaupun muda, tetapi tua pemikirannya.

2. Intelektual rajin menulis buku dan rencana, membentang kertas kerja di seminar ilmiah, menjadi kolumnis, sering diundang media elektronik serta ada laman web, blog dan sebagainya. Penentangnya kurang rajin.

3. Intelektual aktif mengeluarkan pendapat tanpa ragu atau ampu. Penentangnya kurang aktif.

4. Intelektual kritis, progresif dan adakalanya berbeza dengan pemikiran arus perdana. Penentangnya jumud, sering bersama arus perdana, manakala arus perdana adakalanya tidak mempunyai apa-apa pemikiran pun.

5. Intelektual artikulasi. Penentangnya tidak mampu berhujah.

6. Intelektual menggunakan pendekatan bijaksana, dinamik dan sesuai dengan keperluan kontemporari. Penentangnya terikat dengan pendekatan lama yang ditolak kumpulan sasar.

Antara cara penentangan yang lazim terhadap intelektual ialah:

1. Tuduh pendapat intelektual bukan idea baru tetapi idea lama yang dikitar semula. Sebenarnya, penentangnya tidak mengikuti atau memahami idea baru yang disampaikan intelektual. Kalaupun ada idea lama yang diungkap semula, bukankah sentiasa ada manusia baru yang perlu diulangkan ajaran yang sama? Contohnya, guru yang sama perlu mengajar subjek yang sama setiap tahun kerana menerima murid baru.

2. Tuduh intelektual bincang perkara ranting dan bukan fundamental atau prioriti. Sebenarnya, penentangnya tidak mengikuti atau memahami ketika banyak perkara fundamental dan prioriti dibincangkan intelektual, lalu diambillah perkara ranting itu untuk ditonjolkan.

3. Tuduh intelektual membawa faham yang salah. Sebenarnya, penentangnya tidak tahu pun apa yang dikatakan salah itu, tidak tahu bahawa apa yang dikatakan salah itu tidak salah pun, dan tidak sedar bahawa dirinya sendiri pun menggunakan apa yang dikatakan salah itu.

4. Tuduh intelektual mengelirukan. Sebenarnya, penentangnya tidak selesa dengan tradisi ilmu yang menggalakkan debat dan lebih suka menggunakan kuasa untuk menutup mulut orang lain.

5. Tuduh intelektual menonjolkan diri. Sebenarnya, penentangnya yang tidak berbuat apa-apa dan iri hati melihat orang lain lebih.

6. Tuduh intelektual rapat dengan orang yang dianggap kurang baik. Sebenarnya penentangnya bersifat prejudis, menganggap dirinya sempurna.

7. Tuduh intelektual mencerca ulama. Sebenarnya intelektual bukan "mencerca", tetapi "mengkritik", yang digalakkan tradisi ilmu. Kecualilah jika ulama maksum lalu tidak boleh dikritik. Masalahnya, ada yang mendakwa ulama itu bukan pun ulama.

Tetapi, apa yang lebih penting ialah mengapakah dibezakan antara "intelektual" dan "ulama"? Masihkah ingin diteruskan unsur sekularisme dalam menguruskan Islam dengan mewujudkan golongan penguasa dan pendominasi agama serta terus menerus memisahkan intelektual dengan ulama?

Lupakah kita pada usaha-usaha, contohnya, "pengislaman ilmu" oleh Ismail Faruqi dan "mengintelektualkan ulama dan mengulamakkan intelektual" oleh Mohd Natsir?

8. Tuduh intelektual muda kurang pengalaman atau tidak menghormati orang tua. Sebenarnya penentangnya lupa bahawa dunia telah berubah. Pengalamannya mungkin tidak lagi relevan, hormat perlu diusahakan bukan dipaksakan dan kini wujud konsep baru seperti penghakupayaan dan partisipasi orang muda.

9. Larang intelektual bercakap tajuk tertentu. Ini bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara.

10. Utamakan seniority dalam peruntukan penyelidikan atau lantikan jawatan hingga intelektual ketinggalan. Ini bertentangan dengan nilai kecemerlangan.

11. Cari, malahan cipta, kelemahan intelektual. Ini dendam peribadi.

12. Apabila berlaku pertelingkahan antara intelektual dan penentangnya, maka penentangnya mencadangkan agar berdamai. Tetapi, perdamaian perlu dilaksanakan dengan adil.

Apabila intelektual yang diserang mempertahankan haknya, penentangnya tidak mampu berhujah, lalu menyelamatkan diri dengan mencadangkan berdamai. Kalau perkara ini berulang, maka intelektual akan sentiasa menjadi mangsa penentangnya dalam fenomena pembulian intelektual.

Kesimpulannya, kita perlu memperkukuh, bukannya membunuh intelektual.

Read More “JANGAN BUNUH INTELEKTUALISME DI KALANGAN WAKIL RAKYAT”  »»

PROGRAM BTN ANTI 1MALAYSIA






Selangor rasmi boikot program BTN




Selangor melarang penyertaan kakitangan kerajaan negeri dan pelajar di institusi pengajian tinggi miliknya hadir di program anjuran Biro Tatanegara (BTN), kata exco pendidikan tingginya Dr Halimah Ali.

Keputusan yang berkuatkuasa serta-merta itu dibuat dalam mesyuarat exco kerajaan negeri susulan desakan sekumpulan ADUN Pakatan Rakyat di Selangor yang mendakwa program kendalian biro bawah Jabatan Perdana Menteri itu membangkitkan sentimen perkauman.

Empat buah pusat pengajian tinggi yang dimiliki kerajaan negeri itu: Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Antarabangsa INPENS dan Institut Kemahiran Yayasan Selangor.

Selain menghentikan penyertaan pelajar, seperti didesak, keputusan itu turut meliputi kakitangan kerajaan negeri dan pegawai semua anak syarikat kerajaan itu, tambahnya.

Dalam sidang medianya di Shah Alam selepas mesyuarat itu, Dr Halimah menyifatkan program BTN sebagai "indoktrinasi kerajaan (pusat) BN untuk menimbulkan fenomena yang agak racist (perkauman) seolah-olah ingin memecah belah penduduk pelbagai bangsa dan agama."

"Rata-rata (peserta BTN) termasuk anak saya sendiri, mereka kadang-kadang dibekalkan dengan buku kecil yang mengandungi pelbagai perkara yang menimbulkan kebencian kepada (pihak) yang dikatakan pembangkang kepada kerajaan Malaysia,” kata wakil rakyat PAS itu.

"Oleh kerana ia tidak memberi satu perkara yang positif, tambahan pula kepada minda yang begitu muda ini, maka kita rasa ia tidak perlu dan menghabiskan wang rakyat."

Minggu lalu, sekumpulan wakil rakyat muda tiga parti dalam Pakatan menulis surat kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuat desakan demikian.

ADUN-ADUN yang terlibat: Amirudin Shari (PKR-Batu Caves), Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia), Jenice Lee Yin Ha (DAP-Teratai), Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP-Subang Jaya) dan Gan Pei Ni (PKR-Rawang).


Abdul Rahim Sabri/malaysiakini


Selangor boycotts Biro Tata Negara programmes

Read More “PROGRAM BTN ANTI 1MALAYSIA”  »»

TAKIYUDDIN PENOLONG S/U AGUNG PAS BARU

Antara tugas dan tanggungjawab Dato Takiyuddin ialah hal-hal berkaitan pendaftaran ahli baru PAS, pendaftaran pertubuhan berkaitan PAS dan hal ehwal pakatan rakyat

Takiyuddin Hassan dilantik Penolong Setiausaha Agung PAS

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat baru baru ini telah bersetuju melantik Datuk Takiyuddin Hassan sebagai Penolong Setiausaha Agung PAS.

Beliau akan membantu Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dalam hal-hal berkaitan pendaftaran ahli baru PAS, pendaftaran pertubuhan berkaitan PAS dan hal ehwal pakatan rakyat.

Di peringkat PAS negeri Kelantan, beliau adalah Timbalan Yang Di Pertua PAS kawasan Kota Bharu.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bunut Payung merupakan exco kerajaan negeri Kelantan memegang potfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan.

Harakahdaily

Read More “TAKIYUDDIN PENOLONG S/U AGUNG PAS BARU”  »»
 

x

Photobucket

e


Popular Posts

Followers


View My Stats

pautan lain

  • - Add caption *Relawan AMALNITA sedia bersama....*
    10 years ago
  • Shopping Back To School. - Oleh kerana 2 petugas kaunter demam dlm Program Jom Shopping Back To School DUN Meru, maka Yb Meru dan Dato Ketua Kampung membantu mengambil...
    10 years ago

Ab

zwani.com myspace graphic comments

x

Photobucket









Recent Comment

ISLAMICITY

SEARCH THE TRUTH

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com