Pemergian Ustaz Harun kehilangan yang dirasai - PUM
Dakwah: Jiwa Ustaz Harun sangat lembut
Belasungkawa: Perginya seorang ulama dan murabbi
Belasungkawa: Perginya seorang ulama dan murabbi
Jan 26, 2014
MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI/harakahdaily
Sabda Nabi sallallahualaihi wasallam:
"Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan tarikan sekaligus daripada manusia, akan tetapi ditarik ilmu dengan kematian ulama sehingga apabila tidak ada ulama, manusia akan mengambil daripada ketua-ketua yang jahil, orang bertanya dan mereka memberikan fatwa tanpa asas ilmu lalu mereka sesat dan menyesatkan orang lain." (Hadis sahih riwayat Imam Muslim)
Umat Islam di Malaysia pada hari ini menyaksikan pulangnya ke Rahmatullah seorang lagi tokoh ulama dan murabbi, Allahyarham Tuan Guru Datuk Harun Taib akibat keuzuran dari penyakit yang beliau hidapi. Al Marhum Tuan Guru adalah Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat dan ahli Majlis Syura Ulamak PAS.
Nama Al Marhum Tuan Guru begitu sinonim dengan tarbiyah dan perkaderan. Boleh dikatakan majoriti pimpinan yang mengisi saf kepimpinan jamaah pada waktu ini pernah merasa didikan tarbiyah secara langsung dari beliau. Buah fikiran Al Marhum, antaranya yang berkaitan siasah, qiadah dan wala' serta taadud jamaah melatari silibus usrah PAS.
Komitmen Al Marhum terhadap ilmu amat jelas. Seorang penulis karya dakwah yang prolifik, Al Marhum merupakan antara segelintir kecil anak Melayu ketika zamannya yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di Universiti al-Azhar yang memang diketahui umum sebagai sangat-sangat sukar. Keilmuan yang ada pada Al Marhum menjadikan beliau antara pakar rujuk utama penggubalan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan dan Terengganu.
Al Marhum juga terkenal dengan sikap tegas di dalam menjelaskan pendirian jamaah sehinggakan di dalam banyak isu, beliau dianggap sebagai menongkah arus. Ianya dapat disaksikan di dalam komentar beliau mengenai isu kerajaan perpaduan pasca PRU ke 12, penggunaan kalimah Allah dan peningkatan fahaman liberal dan plural di dalan masyarakat. Pada waktu ramainya ahli-ahli politik masa kini yang mengambil pendirian populis, Al Marhum tidak apologetik dan berani di dalam keyakinannya melahirkan pandangan yang boleh menjelaskan jatidiri Islam dan PAS.
Sesungguhnya pemergian murabbi agung ini adalah satu lagi tanda Allah swt sedang menjemput pulang mereka yang fakih akan agamaNya dan semakin dekat pula hari penentuan.
Al Marhum Tuan Guru Datuk Harun Taib meninggalkan seorang balu Datin Fatimah Ibrahim dan 5 orang anak. Anak al Marhum, YB Ustaz Hilmi Harun kini menyandang kerusi Dun Manir yang pernah disandang oleh Al Marhum.
Semoga roh beliau dilimpahkan dengan kebaikan dan ditempatkan di kalangan para syuhada' dan solihin. Al Fatihah.
23 Rabiulawwal 1435 / 25 Januari 2014
Penulis ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Dakwah: Jiwa Ustaz Harun sangat lembut
Jan 26, 2014
DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI/harakahdaily
Datuk Ustaz Harun Taib dalam kenangan - Siri 1
Tuan Guru Datuk Harun Taib telah kembali ke rahmatullah pada usia 71 tahun. Seluruh hayatnya sejak remaja diwakafkan untuk kerja Islam.
Beliau pergi dalam keadaan bertugas sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat. Moga pahala memimpin dewan ini terus kekal dinikmatinya sepanjang hayat barzakhnya.
Terlalu banyak cerita pengajaran yang boleh dikongsi tentang al-Marhum al-Fadhil Tuan Guru Datuk Harun Taib.
Selama 29 bulan menjadi Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat (Jun 2011 - Nov 2013) menjadikan saya terlalu rapat dan berkongsi begitu banyak rahsia dan perkara yang sangat manis untuk dikenang namun tidak semua boleh saya kongsikan dengan khalayak. Saya akan cuba garap pengalaman-pengalaman ini secara bersiri insya Allah.
Ramai yang melihat beliau sebagai garang dan tegas dalam menyampaikan pandangan tapi hakikatnya beliau seorang yang tersangat merendah diri meskipun berbicara di hadapan anak muda yang dilihat berilmu.
Terlalu banyak pengalaman sebegini saya lalui sendiri ketika pertemuan beliau dengan ilmuwan Islam yang lebih muda daripada beliau seperti Dr Asri Zainal Abidin dan Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.
Ini adalah akhlak yang sangat hebat pada diri Tuan Guru yang sebenarnya berilmu tinggi ini dan luas pembacaannya.
Pandangan saya si kerdil ini yang hanyalah seorang anak muda berjawatan setiausaha di kala itu tidak pernah ditolak mentah-mentah bahkan dibincang dan dimurnikan dengan cara yang sangat halus dan bijak menggambarkan ketinggian akhlak tawaduk beliau.
Di sebalik ketegasan beliau dalam perkara yang melibatkan prinsip namun hakikatnya berjiwa sangat lembut dan penyayang apabila berbicara tentang masyarakat yang menjadi sasaran dakwah.
Keramahannya apabila bertemu sesiapa sahaja terutama anak-anak muda sangat mengkagumkan walaupun mereka belum pernah dikenali beliau.
Beliau melihat seluruh masyarakat dengan rasa belas ihsan. Tiada kebencian dipamerkan buat mereka yang bergelar "mad'u" di sebalik ketegasannya menyatakan prinsip Islam.
Barang kali inilah rahsia beliau berjaya mengekalkan kemenangan di Dun Manir selama 5 penggal berturut-turut sejak 1990 hingga 2013 untuk tempoh yang panjang selama 23 tahun tidak termasuk kemenangan beliau yang sangat dibanggakan pada pilihanraya kecil Dun Teluk Pasu 1989.
26hb Jan 2014
Pemergian Ustaz Harun kehilangan yang dirasai - PUM
Jan 25, 2014 HARAKAHDAILY KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) turut merasa sedih di atas pemergian seorang tokoh ulama, Datuk Harun Taib.
“Hilangnya seorang ulama yang banyak berjasa dalam perkembangan dan pembangunan Islam di tanah air. “Beliau banyak memberi tarbiyah kepada generasi muda dan tegas dalam memberikan pandangan dalam sesuatu isu,” ujar Setiausaha Agung PUM, Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily.Katanya, Ustaz Harun adalah satu kehilangan dan dirasai di seluruh negara, semoga ruh almarhum dicucuri rahmat Ilahi. Dalam masa yang sama, ujar beliau didoakan agar Datuk Dr Haron Din diberikan kesembuhan dan kesihatan yang baik.
Comments :
Post a Comment