Perutusan EXCO Pendidikan Selangor
Sempena Sambutan Hari Guru Tahun 2014
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan
Selamat Sejahtera
Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah
S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat menyambut Hari Guru sebagai tanda
pengiktirafan kita yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru
sekalian.
Selaku EXCO Pendidikan kerajaan
Selangor, saya ingin mengambil kesempatan pada hari yang amat bermakna ini
untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di mana sahaja mereka
berada dan di semua peringkat pendidikan. Saya bagi pihak kerajaan ingin merakamkan
ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan di atas segala pengorbanan
dan sumbangan besar guru-guru dalam meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa
bertujuan melahirkan modal insan berkualiti dan meminimakan insan liabiliti
demi keutuhan dan kecemerlangan negeri.
Guru Penjana Modal Insan Cemerlang
3. Sentuhan keramat guru telah
melahirkan ramai cendekiawan, golongan profesional, usahawan, dan seluruh warga
pekerja yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kemajuan
negeri kita selama ini.Namun di Selangor kita mahu lebih daripada itu. Pemilihan
tema Hari Guru untuk Selangor tahun ini
iaitu “Guru Penjana modal insan cemerlang atau khalifah
fil ‘ardh” adalah amat bertepatan dengan peranan guru
sebagai watak utama dalam proses menginsankan
pelajar dan membekalkan ilmu dan kemahiran yang mencukupi untuk mempastikan
beliau dapat mengurus hidupnya dengan berkesan dan dalam masa yang sama mampu
mengurus tadbir persekitarannya dengan baik untuk pastikan muka bumi tempat tinggalnya itu kondusif dan
sentiasa subur. Guru juga bertanggungjawab untuk membina dan memupuk keupayaan
hidup secara kolektif dan bersinergi dan menjadi rahmat untuk makhluk lain .Pendek
kata, produk yang mahu dihasilkan oleh guru adalah produk yang mempunyai
keupayaan serba serbi dengan menggunakan segala aset yang telah dianugerahkan
oleh Allah swt kepadanya bertujuan memakmurkan bumi, bukan untuk
menghancurkannya. Kepatuhan kepada tugas
ini dijanjikan oelh Allah swt dengan balasan yang baik serta disenangi oleh
manusia pelbagai bahkan makhluk yang
lain.
4. Maka, pada saat negeri kita
sedang berada di gelombang kerancakan menuju visi Selangor negeri idaman, maju,
sejahtera dan berkebajikan 2025, peranan guru menjadi lebih penting lagi. Di
pundak guru-guru letaknya harapan kita semua untuk melihat kualiti pendidikan
negari melonjak ke tahap yang terbaik yang dapat melahirkan modal insan yang
berkualiti untuk memacu transformasi negeri ke mercu kecemerlangan. Tidak
keterlaluan jika saya katakan bahawa seluruh harapan dan cita-cita Selangor
untuk menjayakan proses mengilmukan rakyat dipertaruhkan kepada saudara dan
saudari yang bergelar guru.
5. Kerajaan sememangnya telah
membuat perencanaan yang rapi untuk
menjayakan proses mengilmukan rakyat dengan merakyatkan ilmu(memberi akses
kepada sumber ilmu).Ini termasuklah pelaksanaan dasar Pendidikan berkualiti untuk semua yang
merupakan mekanisme utama untuk menjayakan agenda penting ini. Ini dijelmakan
melalui pengisytiharan HARI ILMU SELANGOR pada 26 Jun 2010 oleh DYMM Sultan
Selangor sebagai cetusan serius mahu membudayakan ilmu oleh Kerajaan Selangor.
Peruntukan tahunan untuk mempastikan persekitaran pengajaran dan pembelajaran
yang kondusif di setiap jenis sekolah, penjenamaan perpustakaan awam,
PTRS(program tuisyen rakyat Selangor untuk calon SPM, SKIM TUNAS untuk pelajar
tadika, Hadiah RM1 ribu untuk pelajar IPT, Pinjaman pendidikan tanpa riba
adalah di antara rancangan bantuan jangka panjang pendidikan khususnya bagi
rakyat berpendapatan rendah di Selangor.
JAIS juga telah disaran untuk mengenalpasti
keadaan sebenar premis persekolahan di bawah jagaannya agar tindakan menyediakan
prasarana yang kondusif boleh dijalankan dengan cekap dan berkesan demi kualiti
proses pengajaran dan pembelajaran khasnya di sekolah jenis integrasi dan
syumul.
Namun, kita juga akur bahawa
perencanaan yang rapi sahaja tidak menjamin keupayaan kita untuk mencapai
setiap sasaran yang ditetapkan. Lebih penting ialah pengorbanan dan daya juang
para guru dalam menjayakan setiap perencanaan yang dilakar oleh kerajaan. Untuk
itu, saya ingin mengambil kesempatan pada hari yang amat bermakna ini untuk
merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan tahniah kepada para guru di atas pengorbanan
tidak bertepi untuk mencapai sasaran-sasaran penting yang dalam mendidik anak
bangsa.
Berkat curahan jasa dan bakti
para guru kita menyaksikan rakyat berprestasi tinggi yang mampu mengangkat
Selangor sebagai negeri yang terkehadapan di bidang pencapaian ekonomi,
infrastruktur bahkan kualiti hidup.
Saya ingin mengambil
kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang telah bertungkus
lumus untuk menjayakan program mendidik rakyat. Walaupun telah banyak pencapaian yang
dihasilkan dalam bidang pendidikan, masih banyak lagi yang perlu dilakukan oleh
kita semua untuk memastikan supaya proses pemantapan kualiti pendidikan negara
dapat berlaku secara berterusan. Atas kesedaran inilah, saya selaku Exco
Pendidikan Selangor telah menggagaskan beberapa dasar penting untuk
dilaksanakan di setiap peringkat persekolahan.
Pertama, menyedari betapa
mustahaknya anak-anak kita mempunyai kerangka hidup yang jelas, bukan sahaja
tahap kesihatan dan kecergasan yang tinggi untuk membolehkan mereka menjadi
manusia yang cerdas bahkan membangunkan secara sinergistik segala potensi
intrinsik insani nya, maka saya telah memperkenalkan Dasar pembangunan holistik
modal insan SPIES. Dasar ini memberi peluang kepada setiap murid untuk mencapai
kejayaan terbaik dirinya atau ‘the best of him/herself’. Selain daripada
merancang untuk meningkatkan tahap kecergasan dan kecerdasan mereka seperti
kata pepatah Arab, “Al-‘aqlu al-salim, fi al-jismi al-salim”, yang bermaksud
akal yang sihat terletak pada badan yang sihat, jiwanya perlu diperkayakan
dengan nilai murni, emosinya perlu dilatih menjadi kuat dan stabil.Bahkan
kemahiran berinteraksi dan berkomunikasi secara berkesan menjaminkan hidupnya
harmonis dalam masyarakat. Budaya memberi dan sifat sukarelawan menjadi ciri
penting masyarakat cemerlang. Semua ini memerlukan komitmen pencorak utama
masyarakat yakni guru.
Kedua, saya juga telah
memperkenalkan dasar 15 minit membaca untuk
semua jabatan dan agensi kerajaan, swasta, semua kelompok dan agenda mengarusperdanakan
perpustakaan.
Ketiga, selaras dengan
keperluan untuk melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif untuk memacu
kemajuan negeri SPIES D’VILLAGE yang memberi penekanan kepada pemupukan
pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran
dengan menjelmakan budaya suka belajar di kalangan ahli masyarakat terutama
pemimpin dengan menggunakan isntistusi sedia ada seperti masjid, surau, dewan
orang ramai, padang selain daripada sekolah. Saya yakin pendekatan baru pendidikan
ke khalayak akan mendorong guru-guru untuk meneroka kaedah dan strategi
pengajaran dan pembelajaran yang lebih kreatif untuk mengasah bakat dan daya
kreativiti murid secara lebih berkesan dan membumi.
Kerajaan Selangor menyokong
dasar kementerian pendidikan untuk memastikan pendidikan negara mampu
melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dengan pelbagai usaha untuk
memperkasa pendidikan teknik dan vokasional berjaya meningkatkan peratusan pelajar aliran
teknikal dan vokasional daripada 10 peratus kepada 20 peratus menjelang tahun
2015 yang melibat 10,000 guru terlatih.
Kesemua dasar dan program yang
saya sebutkan ini memerlukan sokongan padu para guru. Tanpa sokongan guru-guru
sekalian, agak sukar untuk kita mencapai segala cita-cita murni yang
dihasratkan melalui pelaksanaan dasar-dasar ini. Dasar akan tinggal dasar,
perancangan akan tinggal perancangan. Untuk itu, saya berharap agar guru-guru
sekalian dapat berada dalam satu saf bersama-sama saya memartabatkan Profesion
Keguruan
Sungguhpun jasa dan bakti guru
sukar untuk dibalas, namun sebagai imbalan yang wajar kepada jasa-jasa guru,
kerajaan perlu sentiasa memberi perhatian kepada usaha untuk memartabatkan
profesion keguruan. Saya berharap agar pencapaian cemerlang ini akan menjadi
pencetus semangat kepada guru-guru untuk meneruskan usaha murni meningkatkan pencapaian
di peringkat sekolah.
Sukses Mentaliti:Kerjasama Guru dan Ibubapa, pimpinan masyarakat
setempat
Selain itu, dalam usaha kita
untuk menjayakan agenda pendidikan , peranan ibubapa tidak kurang pentingnya.
Malah, ibubapa adalah insan yang paling penting dalam menentukan kecemerlangan
pendidikan anak-anak. Justeru, saya juga ingin mengajak ibubapa supaya
menjadikan sekolah sebagai milik masyarakat. Ibubapa boleh memberikan sumbangan
secara langsung kepada sekolah melalui pelbagai kegiatan sukarela yang dapat
membantu melonjakkan prestasi sekolah. Dalam hubungan ini, Persatuan Ibubapa
dan Guru boleh memainkan peranan yang proaktif dalam menggalakkan ibubapa untuk
menyumbang secara langsung kepada pembangunan sekolah, pastinya akan membantu anak-anak untuk
meningkatkan pencapaian dalam pendidikan.
Saya yakin dengan adanya
guru-guru yang berdedikasi, kepimpinan kesatuan guru yang proaktif dan ibubapa
yang prihatin, InsyaAllah, kita akan dapat menjayakan proses pendidikan di negara kita dengan cemerlang.
Atas segalanya, guru-guru merupakan pemimpin dan penjana utama modal insan
cemerlang. Dengan keringat gurulah kita melahirkan insan yang mulia; dengan
kudrat gurulah kita membina masa depan yang sejahtera.Dengan ketawaan dan kejituan
guru kita melahirkan khalifah fil ardh. Dengan amanah besar ini, guru-guru
menduduki satu darjat yang paling dimuliakan dalam masyarakat, bahkan di sisi
Allah.
Saya mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan syabas dan tahniah kepada guru-guru yang telah terpilih sebagai
tokoh guru sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini. Kepada semua guru, sekali
lagi saya mengucapkan Selamat Hari Guru. Semoga kalian akan terus diberi
kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus menabur jasa kepada nusa dan bangsa.
“Terima Kasih Cikgu”.
YB DR HJH HALIMAH ALI
EXCO KERAJAAN SELANGOR
Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Pendidikan,
Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor
Comments :
Post a Comment