Pray For MH370

Pray For MH370
Showing posts with label DYMM Sultan Selangor. Show all posts
Showing posts with label DYMM Sultan Selangor. Show all posts

SELANGOR AKAN KUATKUASA ENAKMEN KAWALAN PENGEMBANGAN AGAMA BUKAN ISLAM

Mais dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pihak polis akan menguatkuasakan segera Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam.

Sultan titah Selangor teguhkan pendirian

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar Kerajaan Negeri teguh dengan pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain bagi memelihara akidah umat Islam.

Baginda menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membincangkan dengan teliti mengenai keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh gereja Katolik.

Pengerusi Mais, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, baginda bertitah demikian ketika beliau, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Peguam, Datuk Salehuddin Saidin menghadap Sultan berhubung isu itu, 5 Januari lalu.

“Baginda turut menitahkan supaya Mais memaklumkan kepada rakyat bahawa terdapat undang-undang yang menghalang penggunaan kalimah Allah dalam memerihalkan agama bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Mais bagi membincangkan keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan di sini, semalam.

Terdahulu 4 Januari lalu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan Kerajaan Negeri boleh menghalang pihak yang menggunakan nama Allah bagi merosakkan Islam.

Sehubungan itu, Mais berharap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk campur tangan dalam isu penggunaan kalimah Allah itu.

“Mais merafak sembah Seri Paduka Baginda untuk menggunakan kuasa di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk merujuk isu ini.

“Campur tangan Raja-raja Melayu dalam urusan ini amat diperlukan kerana ia bukan saja menyentuh bidang kuasa raja-raja dalam agama Islam tetapi sensitiviti umat Islam,” katanya.

Mohamad Adzib berkata, Mais dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pihak polis akan menguatkuasakan segera Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam.

Sinar harian

Read More “SELANGOR AKAN KUATKUASA ENAKMEN KAWALAN PENGEMBANGAN AGAMA BUKAN ISLAM”  »»

PERASMIAN PERSIDANGAN AKADEMI SAINS ISLAM ke 17 DI SHAH ALAM






















\
















Sebanyak 32 kertas utama dan 35 kertas tambahan akan dibentangkan. Dua contoh kertas untuk renungan dimuatkan di bawah bertajuk "Landskap Sains dan Teknologi di negara OIC: Negara Arab Sebagai Fokus" oleh Mantan Perdana Menteri Jordan-Presiden Petra Universiti Amman DAN "Pertumbuhan Sains di IRAN" oleh Mohammad Abdullahi dari Tehran University Of Medical Sciences. Kertas kedua memberi gambaran kepada kita bagaimana IRAN mampu mencapai antara negara ke 20 di dunia dalam ranking Essential Science Indicators oleh Thomson Reuters ISI Web Of Knowledge and Scimago Journal and Country Rank oleh Scopus.

Read More “PERASMIAN PERSIDANGAN AKADEMI SAINS ISLAM ke 17 DI SHAH ALAM”  »»

DIRGAHAYU TUANKU




DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ

IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ

D.K.,D.M.N.,D.K.(Terengganu).,D.K.(Kelantan).,D.K.(Perak).,

D.K.(Perlis)., D.K.(Negeri Sembilan)., D.K.(Kedah).,S.P.M.S.,S.S.I.S.,S.P.M.J.


Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan

Serta Segala Daerah Takluknya

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor ke 9 pada 22 November 2001 bersamaan dengan 6 Ramadhan Tahun 1422 Hijrah. Pemasyhuran Baginda adalah berikutan kemangkatan Padukan Ayahanda Baginda Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 21 November 2001. Baginda kemudiannya ditabal dan dimahkotakan dengan penuh Adat Istiadat Diraja di Balairung Seri,Istana Alam Shah, Klang dalam Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan pada 8 Mac 2003 bersamaan dengan 5 Muharram 1424 Hijrah.

Baginda adalah putera sulong D.Y.M.M. Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan Y.M.M Paduka Bonda Raja Selangor, Raja Saidatul Ihsan binti Tengku Badar Shah. Baginda diputerakan di Istana Jemaah, Klang yang kini dikenali sebagai Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang pada 24 Disember 1945. Pada September 1960 ketika Baginda berusia 15 tahun, Baginda telah diisytiharkan sebagai Raja Muda Selangor. Istiadat Mengangkat Sumpah dan Menjunjung Duli sebagai Raja Muda ke 8 telah diadakan pada tahun 1970 di Istana Alam Shah.

Baginda telah dikurniakan dengan dua orang Puteri iaitu Y.A.M Tengku Zerafina dan Y.A.M Tengku Zatashah, dan seorang Putera, D.Y.T.M. Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor.

Baginda telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Raja Muda, Kuala Lumpur dan St.John Institution, Kuala Lumpur dari tahun 1954 hingga 1959. Pada tahun 1960, Baginda melanjutkan pelajaran ke Perth, Australia hingga tahun 1964 dan meneruskan pelajaran Baginda di England hingga ke tahun 1968. Pada tahun yang sama Baginda kembali ke tanah air dan berkhidmat di dalam Pentadbiran Kerajaan di mana perkhidmatan pertama Baginda di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Baginda juga pernah berkhidmat di Pejabat Daerah Kuala Lumpur dan Jabatan Polis Diraja, Kuala Lumpur yang membolehkan Baginda memperolehi pengalaman dan pengetahuan yang begitu kuas di dalam bidang pentadbiran.

Baginda telah dilantik buat pertama kalinya sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Raja pada 23 Februari hingga 20 September 1969 semasa Paduka Ayahanda Baginda berangkat ke England. Baginda telah beberapa kali dilantik sebagai Pemangku Raja Selangor dari masa ke semasa, dari tahun 1972 hingga tahun 1997. Pada 24 April 1999, Baginda telah dilantik sebagai Pemangku Raja Selangor sekali lagi apabila Paduka Ayahanda Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-11.

Baginda telah membuat beberapa lawatan rasmi ke Daerah-daerah untuk melihat pembangunan dan juga masalah-masalah setempat yang dihadapi oleh rakyat Baginda dan beramah mesra dengan mereka. Baginda juga telah beberapa kali merasmikan Mesyuarat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada tahun 1972, 1974, 1989, 1997, 2000, 2001, 2002, 2003, 2004 dan 2005.

Baginda telah dianugerahkan Darjah Kerabat (Yang Amat Dihormati) Selangor pada tahun 1973 dan Darjah Kebesaran Pertama, Seri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J.) pada tahun 1975. Baginda juga telah dianugerahkan Darjah-Darjah Kerabat dari Negeri Terengganu, Kelantan, Perak, Perlis, Negeri Sembilan dan Kedah.

Baginda adalah pemegang pertama Darjah Kebesaran Dato' Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) yang Baginda zahirkan pada tahun 2002. Baginda telah dianugerahkan Darjah Kebesaran-Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa Pertabalan dan Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia sebagai Sultan Selangor ke 9 pada 8 Mac 2003.

Dalam bidang ketenteraan, Baginda telah ditauliahkan sebagai Mejar Kehormat Tentera Darat (Wataniah) Malaysia pada tahun 1974 dan Komander Kehormat Sukarelawan Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia pada tahun 1998. Pada tahun 2002, Baginda telah dilantik sebagai Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia.

Baginda amat berminat di dalam aktiviti sukan termasuk sukan lasak seperti mendaki gunung, memandu kereta antik jarak jauh dan belayar mengelilingi dunia dengan kapal S.Y.JUGRA. Baginda mendapat pengiktirafan sebagai Putera Inspirasi dan banyak lagi pengiktirafan yang dianugerahkan kepada Baginda berkaitan dengan "maritime". Baginda dilantik sebagai Penaung kepada Persatuan-Persatuan Sukan dan Seni.

Hobi Baginda adalah membaca, belayar, fotografi, mengumpul setem serta sampul surat Hari Pertama, mengumpul "vintage cars" dan mengumpul senjata tradisi orang-orang Melayu. Pada 9 November 1998, Baginda telah berjaya melancarkan buku pertama Baginda iaitu "Peking to Paris". Pada tahun 1976, Baginda telah dilantik sebagai "Honorary Member Of The Philatelic Society" di Malaysia. Yayasan Antarabangsa Rotary telah menganugerahkan "Paul Harris Fellow" kepada Baginda. Pada tahun 1998, Baginda telah menerima anugerah tertinggi dari Persatuan Pengakap Malaysia iaitu "Pingat Semangat Padi". Pada tahun 1989, Baginda telah dilantik sebagai "Honorary Life Commodore" oleh Pelayaran Diraja Selangor "Royal Selangor Yacht Club". Baginda berminat di dalam bidang seni dan telah mengumpul banyak lukisan-lukisan tempatan dan Baginda telah dilantik sebagai Pengerusi Galeri Shah Alam pada tahun 1991. Pada tahun yang sama juga Baginda telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan. Pada 11 Mei 2000, Baginda telah dilantik sebagai "Fellow of The Chartered Institute Of Transport". Pada 25 Mei 2000, Baginda telah dilantik sebagai "Pro Canselor" UiTM dan pada 31 Mac 2001, Baginda telah dianugerahkan Darjah Kehormat Doktor Pentadbiran Awam. Pada 1 April 2002 Baginda telah dilantik sebagai Canselor Universiti Putra Malaysia.

Pencapaian tertinggi di dalam kegiatan sukan lasak ialah apabila nama Baginda telah terukir di dalam "Malaysia Book of Records" sebagai "The First To Sail Around The World" dan "The First To Complete Peking-Paris Motor Challenge"pada tahun 1998.


Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor adalah seorang insan yang peka di dalam perkembangan semasa. Baginda selalu memberi idea yang bernas di dalam mengatasi masalah-masalah kemanusiaan. Di dalam bidang agama pula Baginda sering bertitah di masjid-masjid menasihatkan rakyat jelata agar benar-benar mengikut ajaran Islam dengan penuh keyakinan. Baginda adalah seorang Raja yang berjiwa rakyat dan menitikberatkan kemajuan rakyat Baginda dalam semua bidang termasuklah ekonomi, sosial dan alam sekitar.


SUMBER:http://www.penerangan.gov.my/selangor

Read More “DIRGAHAYU TUANKU”  »»

SULTAN SELANGOR SELAMAT BERANGKAT PULANG

Alhamdulillah DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj hari ini selamat pulang ke tanah air
setelah selamat menjalani pembedahan jantung di USA. Semoga dikurniakan iman yang sejahtera, kesihatan yang baik, dilanjutkan usia dan dijauhkan musibah.
Sultan Selangor Selamat Pulang Ke Tanah Air

SEPANG, 25 Mei – Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj hari ini selamat pulang ke tanah air kira-kira 3.30 petang tadi di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah selamat menjalani pembedahan jantung (Mitral Valve Repair) di Pusat Perubatan Universiti Stanford, California, Amerika Syarikat pada 1 Mei lalu.

Kepulangan Sultan Selangor ini disambut oleh Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan diiringi oleh Ahli Exco dan Ketua Jabatan Kerajaan Selangor.

Keberangkatan pulang Sultan Selangor diiringi dengan bacaan doa selamat oleh Mufti negeri, Dato’ Setia Hj Mohd Tamyes Abdul Wahid sebelum baginda mencemar duli bersalaman dengan Tan Sri Abdul Khalid serta beberapa orang kenamaan.

Dalam pada itu, baginda kelihatan beransur pulih dan berjalan sendiri ketika tiba di Balai Ketibaan, Kompleks Bunga Raya, KLIA di sini.

Selain itu, Baginda juga dinasihatkan doktor pakar supaya berehat serta tidak melakukan tugas rasmi dan aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatannya untuk sekurang-kurangnya enam minggu atau tiga bulan sehingga pulih sepenuhnya.

M.SAHRULNIZAM M.ZAIN/selangorkini online

Read More “SULTAN SELANGOR SELAMAT BERANGKAT PULANG”  »»

TITAH UCAPAN D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR DI MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT PERTAMA (PEMBUKAAN) PERSIDANGAN PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI SELANGOR KE12

Bismillahirrahmannirrahim

Segala puji dan sanjungan hanya berhak kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala yang melimpahkan kasih sayang-Nya yang maha luas hingga tidak terbatas ruang dan waktu.

Selawat dan salam semoga senantiasa tercurah kepada junjungan kita Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam, dan melimpah kepada segenap keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada seluruh umatnya yang berketetapan mengikuti tuntunannya hingga akhir zaman.

Assalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera;
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat Beta sekali lagi bertitah di Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-Dua Belas pada pagi yang mulia ini.

Beta menggunakan kesempatan yang berharga ini bagi mengucapkan tahniah kepada semua wakil rakyat yang berjaya mentadbir negeri ini genap satu tahun. Beta berharap semua yang berhormat terus menjalankan amanah dan kepercayaan rakyat Beta dalam kepemimpinan negeri yang diketuai oleh Memanda Beta Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Bin Ibrahim.



Beta pasti semua yang ada di sini berbangga menjadi warga Negeri Selangor, negeri terkaya di dalam negara, yang mempunyai kemajuan sosio-ekonomi yang mengagumkan dan merupakan nadi penggerak kepada Malaysia. Meskipun ada kelemahan yang mesti diatasi, namun negeri Beta ini telah meneruskan usaha mencapai matlamat masyarakat yang maju dengan prinsip-prinsip tadbir urus yang baik. Namun, prinsip yang paling penting ialah demokrasi. Demokrasi bermakna rakyatlah yang menentukan halatuju masyarakat mereka. Pandangan rakyat merupakan petanda terbaik berjaya atau tidak pentadbiran sesebuah negeri. Sudah semestinya prinsip ini dilengkapkan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang semua seharusnya sudah sedia maklum.

Beta menekankan kepentingan dasar prinsip tadbir urus yang baik, (good governance) dalam semua pelaksanaan tugas dan proses membuat keputusan bagi Negeri Selangor. Ini termasuklah sistem integriti dan akauntabiliti yang sedia wujud dalam kepimpinan Negeri Selangor ini dan Beta berharap sistem ini hendaklah terus diamalkan. Oleh itu, Beta dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Khas Kewibawaan, Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan (Select Committee Competency, Accountability And Transparency) atau “SELCAT”, terus bergerak ke hadapan bagi memastikan tercapainya piawai kebertanggungjawaban tertinggi. Pada masa hadapan, Beta menaruh keyakinan kerajaan negeri akan melaksanakan secepat mungkin Pengisytiharan Aset semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam usaha meletakkan Selangor di hadapan daripada aspek pelaksanaan tadbir urus yang baik. Pengisytiharan aset ini sewajarnya boleh dicapai orang ramai secara ‘online’.

Beta memandang tahun 2009 merupakan tahun yang paling mencabar dalam usaha negara kita mengharungi senario ekonomi global yang tidak menentu kesan kejatuhan ekonomi kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Negara-Negara Eropah, China Dan Jepun. Beta amat memandang serius terhadap permasalahan rakyat terutamanya dalam usaha mengekalkan keamanan, kemakmuran dan kebajikan. Sehubungan dengan itu, kerajaan Beta perlu memberi tumpuan lebih bagi memastikan prestasi ekonomi yang terus stabil, meningkatkan kualiti hidup rakyat Beta, memberi perubahan kepada pembangunan, modal insan dan pendidikan yang cemerlang serta kesihatan yang baik untuk rakyat Beta.

Sekarang Beta menyentuh keadaan prestasi ekonomi bagi tahun 2009. Beta sedikit gusar, namun Beta tetap berpuas hati dengan prestasi ekonomi Negeri Selangor sebagai sebuah negeri maju yang memperlihatkan satu pertumbuhan menyeluruh yang sederhana tetapi konsisten seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara.

Pada tahun ini, ekonomi Negeri Selangor bakal terus dipengaruhi oleh suasana ketidaktentuan ekonomi dunia akibat masalah hutang subprima yang berpunca daripada kejatuhan harga hartanah di Amerika Syarikat yang memberi kesan terhadap institusi kewangan terkemuka seperti Bear Stearns, Lehman Brothers, Royal Bank Of Scotland dan beberapa institusi kewangan lain. Krisis kewangan global ini dijangka berpanjangan sehingga tahun 2010. Timbalan Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan pada 18 Januari 2009 yang lalu bahawa unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak tiga perpuluhan lima peratus (3.5%) sebelum ini mungkin perlu dikaji semula sekiranya pertumbuhan di negara-negara lain turut menguncup.

Justeru, kerajaan Beta menganggarkan pertumbuhan ekonomi tahun 2009 bakal menguncup. Nilai tambah KDNK negeri pada harga malar tahun 2000, dianggarkan sebanyak Ringgit Malaysia Seratus Lapan Belas Perpuluhan Dua bilion (RM118.2 bilion) pada tahun 2009 berbanding dengan hanya Ringgit Malaysia Seratus Sebelas Perpuluhan Lapan bilion (RM111.8 bilion) pada 2008. Manakala Pendapatan per kapita rakyat Beta diramalkan meningkat dari Ringgit Malaysia Dua Puluh Dua Ribu Enam Puluh Satu (RM22,061) pada tahun 2008 kepada Ringgit Malaysia Dua Puluh Dua Ribu Lapan Ratus Dua Puluh Empat (RM22,824) pada tahun 2009..KDNK per kapita Pariti Kuasa Beli (PPP) pula dijangka meningkat kepada U.S. Dollar Sembilan Belas Ribu Tujuh Ratus Sembilan Puluh Lapan (USD19,798) pada tahun 2009 berbanding U.S. Dollar Lapan Belas Ribu Lapan Ratus Tiga Puluh Enam (USD18,836) pada tahun 2008.

Beta berharap prestasi ini dapat dipertingkat dan diterjemahkan terhadap pembangunan menyeluruh kepada rakyat Beta. Beta berharap angka ini perlu dipantau dan disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan prestasi ekonomi negeri berada pada landasan yang betul dan realistik. Beta ingin memastikan Negeri Selangor terus maju dan kemakmuran terus dikecapi oleh rakyat. Justeru itu, marilah kita bersama-sama bersatu padu dan berdiri teguh dalam usaha menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran yang bakal mendatang agar berhasil membawa kesejahteraan dan kebajikan kepada seluruh rakyat.

Sehubungan dengan ini, walaupun status ekonomi Negeri Selangor agak stabil, ia tidak menolak kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi seiring dengan impak negatif yang diterima Malaysia pada tahun ini. Memandangkan Selangor merupakan pemacu pertumbuhan ekonomi negara, maka kesan kemelesetan atau kegawatan ekonomi turut memberikan impak besar kepada Negeri Selangor. Justeru itu, Selangor sebagai negeri termaju di Malaysia mestilah mengenal pasti implikasi mendalam terhadap kemelesetan ekonomi dan bertindak dengan sewajarnya. Sesungguhnya, dasar kerajaan sudah semestinya bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

Kerajaan juga bertanggungjawab untuk mempedulikan keperluan rakyat dan memastikan bebanan yang mereka hadapi diringankan sebanyak mungkin. Kerajaan Negeri Selangor seharusnya menyedari peranan mereka bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan dalam perkara ini, dengan memberi tumpuan kepada dua strategi utama: Memacu pertumbuhan ekonomi dengan matlamat ekonomi yang makmur dan efisyen, dan seterusnya memperkenalkan sistem jaringan membantu rakyat menghadapi ekonomi yang semakin mencabar. Objektif utama ialah bagi ekonomi yang mapan (‘sustainable economy’) sejajar dengan dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor. Kerajaan mengimpikan agar tidak seorang pun rakyat akan ketinggalan menikmati kekayaan Negeri Selangor.

Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan jawatankuasa menangani masalah pemberhentian pekerja pada bulan Januari 2009 untuk mencadangkan cara membantu meringankan beban pekerja-pekerja di Selangor yang telah diberhentikan. Beta dimaklumkan bahawa mesyuarat yang diadakan seminggu sekali ini telah berjalan dengan lancar, di mana maklumat dapat dikongsi di antara pihak-pihak yang hadir dalam mesyuarat itu, khasnya meningkatkan tahap kesedaran berkaitan impak kemelesetan ekonomi di kalangan rakyat serta impak kelesuan ekonomi terhadap pekerjaan di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor telah bertindak dengan cepat, di mana Selangor Retrenchment Helpline di Laman Web Selangor telah dilancarkan online pada bulan Februari 2009, di mana sesiapa pekerja yang diberhentikan boleh mencari pekerjaan baru dengan majikan yang ada jawatan kosong. Selain daripada itu, program pendaftaran pekerja yang diberhentikan juga telah dilancarkan pada setiap hari Sabtu di lapan buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor. Maklumat yang mereka perolehi akan disampaikan kepada Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Selangor.

Untuk tindakan seterusnya, sambil Kerajaan Negeri Selangor mendaftarkan informasi mereka dalam Retrenchment Helpline, “Job Fair” dan “Job Clinic” juga akan dilancarkan untuk tujuan membolehkan pekerja yang diberhentikan mencari pekerjaan baru dan diberi latihan kaunseling sedemikian, dan senarai pusat dan institusi latihan diberikan kepada mereka yang memerlukan latihan vokasional dalam bidang-bidang tertentu seperti elektronik, telekomunikasi, automotif, pembuatan, dan lain-lain lagi.

Beta seterusnya ingin menghuraikan dengan lebih lanjut tentang tiga sektor ekonomi utama di negeri ini, iaitu Sektor Perindustrian, Sektor Perkhidmatan dan Sektor Pertanian:

Dalam Sektor Perindustrian, Beta sedia maklum bahawa Sektor Perindustrian merupakan penyumbang utama ekonomi Negeri Selangor dan merupakan nadi pertumbuhan ekonomi negara. Beta amat berharap sektor ini dapat terus dipacu bagi meningkatkan lagi prestasinya. Beta menjangkakan sumbangan sektor ini mampu menyumbang lebih Lima Puluh Lapan Peratus (58%) kepada KDNK negeri pada tahun 2009. Berdasarkan anggaran pertumbuhan Sektor Perindustrian negara yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Sektor Perindustrian ini mampu mengalami pertumbuhan pada kadar Tiga Perpuluhan Tujuh peratus (3.7%) dengan nilai sumbangan KDNK negeri dijangka berjumlah sebanyak Ringgit Malaysia Tujuh Puluh Satu Perpuluhan Enam Bilion (RM71.6 bilion) sahaja.

Beta mahu memastikan negeri Beta tetap menjadi tumpuan utama pelabur-pelabur dari dalam dan luar negeri sebagai destinasi pelaburan yang menguntungkan. Ini terbukti apabila jumlah pelaburan dalam dan luar negeri yang mengalir ke Selangor kekal melebihi Ringgit Malaysia Lapan bilion setahun. Sehingga Oktober 2008, nilai pelaburan yang berjaya diperoleh oleh negeri selangor adalah sebanyak Ringgit Malaysia Tujuh Perpuluhan Tujuh Tiga bilion (RM7.73 bilion). daripada jumlah tersebut sebanyak Ringgit Malaysia Lima Perpuluhan Lima Lima bilion (RM5.55 bilion) iaitu Tujuh Puluh Satu Perpuluhan Tujuh Peratus (71.7%) merupakan pelaburan asing dan Ringgit Malaysia Dua Perpuluhan Satu Lapan bilion (RM2.18 bilion) iaitu Dua Puluh Lapan Perpuluhan Dua Peratus (28.2%) merupakan pelaburan tempatan. Malah, menurut Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Selangor telah menarik pelaburan sebanyak Ringgit Malaysia Sebelas Perpuluhan Lapan Tujuh bilion (RM11.87 bilion), meletakkan negeri Beta di tempat kedua di Malaysia. Ini merupakan nilai pelaburan terbesar dalam sembilan tahun kebelakangan ini.

Ini termasuklah Tiga Ratus Dua (302) projek pelaburan, Dua Ratus Dua (202) projek pelaburan baru bernilai Ringgit Malaysia Enam Perpuluhan Tiga Lima Tiga bilion (RM6.353 bilion) dan Seratus (100) perluasan dan diversifikasi projek bernilai Ringgit Malaysia Lima Perpuluhan Lima Satu Tujuh bilion (RM5.517 bilion). Negara Jerman membawa pelaburan terbesar, sejumlah Ringgit Malaysia Tiga Perpuluhan Dua bilion (RM3.2 bilion) pada tahun 2008. Industri logam dan fabrikasi logam menarik pelaburan terbesar di negeri Beta, sebanyak Ringgit Malaysia Tiga Perpuluhan Sembilan Tiga bilion (RM3.93 bilion) dengan lapan belas (18) projek pelaburan.

Dalam sektor perindustrian ini, Beta juga berharap Negeri Selangor menumpukan perindustrian terpilih sahaja seperti industri berasaskan teknologi maklumat dan bukan perindustrian yang menyumbang kepada risiko pencemaran alam. Kerajaan Beta perlu menyediakan prasarana pelaburan dan kawasan industri baru yang kondusif dan strategik di luar Lembah Klang bagi mewujudkan keseimbangan pembangunan di semua kawasan di Selangor seperti di kawasan Lembah Klang Ke-2 dan Selangor Science Park 2.

Dalam Sektor Perkhidmatan, Beta turut berkeyakinan Sektor Perkhidmatan mempunyai potensi besar dalam menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri. Sumbangan sektor perkhidmatan kepada KDNK negeri sebanyak tiga puluh lapan peratus (38%) telah membuktikan sektor ini akan terus memainkan peranan memangkinkan pertumbuhan ekonomi sebuah negeri maju. Negeri Selangor dijangka mencatatkan peningkatan nilai ditambah Sektor Perkhidmatan kepada Ringgit Malaysia Empat Puluh Tujuh Perpuluhan Lapan bilion (RM47.8 bilion) pada tahun 2009 berbanding Ringgit Malaysia Empat Puluh Lima Perpuluhan Dua (RM45.2 bilion) pada 2008.

Beta ingin menegaskan hakikat bahawa sektor perkhidmatan semestinya akan terus berkembang, memandangkan ekonomi di negara maju di seluruh dunia, sektor perkhidmatan merangkumi sehingga tujuh puluh peratus (70%) ke lapan puluh peratus (80%) ekonomi. Selangor, selaku negeri paling maju di Malaysia seharusnya meneraju perkembangan ini dengan meningkatkan peratusan sektor perkhidmatan sehingga mencapai tahap ekonomi negara maju. Agar hasrat ini menjadi realiti, kerajaan Negeri Selangor perlu pendekatan baru bagi menghadapi realiti ini dengan memperkenalkan cara-cara perniagaan yang inovatif.

Rakyat negeri perlu memahami sektor perkhidmatan secara menyeluruh, bagaimana menambah nilai terhadap aktiviti-aktiviti sedia ada dan perbezaannya dengan sektor pembuatan. Walaupun Kerajaan Persekutuan memainkan peranan utama dalam perkara ini, namun Beta menyarankan Kerajaan Negeri dan Persekutuan berbincang pada peringkat tertinggi bagi mendapat manfaat rakyat Beta dalam hal ini.

Beta mahu strategi yang tepat perlu dilakukan bagi menarik pelancong ke Negeri Selangor dengan memfokuskan kepada Pelancongan Kesihatan (Health Tourism), Pelancongan Pendidikan (Education Tourism), Membeli Belah (Shopping) dan Perkhidmatan Perubatan. Beta dimaklumkan pada sehingga Oktober 2008 seramai empat perpuluhan lapan juta pelancong telah melawat Negeri Selangor dan mensasarkan kedatangan pelancong pada tahun 2009 melebihi lima juta orang.

Kerajaan Beta perlu terus berusaha untuk mengikuti program-program promosi dalam dan luar negara yang dijalankan oleh Tourism Malaysia untuk menarik lebih ramai pelancong ke Negeri Selangor. Di samping itu juga, Tourism Selangor perlu memberi tumpuan kepada pasaran produk yang dapat menarik lebih ramai pelancong dengan memperkenalkan Selangor sebagai pusat pelancongan pendidikan dan kesihatan, meningkatkan pelancongan warisan dan kebudayaan, rekreasi seperti eko pelancongan serta menyelaraskan pakej pelancongan Homestay agar lebih menarik dengan pelbagai aktiviti dijalankan.

Beta berharap program-program penggalakan bagi Sektor Perkhidmatan yang berterusan dilakukan yang melibatkan sektor perkhidmatan baharu seperti berikut: (we should focus on just two or three of the below)

a) Perkhidmatan Perniagaan Dan Profesional
(Business And Professional Services);
b) Perkhidmatan Logistik Berintegrasi
(Integrated Logistic Services);
c) Perkhidmatan Pendidikan Dan Latihan
(Education And Training Services);
(d) Perkhidmatan Perubatan
(Medical Services).

Selain program-program sedia ada, perkhidmatan baharu dan penghasilan perkhidmatan baharu hendaklah dikenal pasti. Beta berharap, pemulihan Sektor Perkhidmatan bakal turut menyumbang terhadap rancangan Kerajaan Negeri untuk memajukan sumber manusia dan meningkatkan pembangunan kemahiran menerusi latihan. Meningkatkan kualiti modal insan adalah amat penting bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan yang bermanfaat di masa hadapan. Dalam perkara ini, Beta ingin menekankan kepentingan bahasa dan komunikasi dalam usaha memajukan mana-mana sektor kecil perkhidmatan di Selangor.

Dalam Sektor Pertanian, Beta juga sangat berharap Sektor Pertanian akan terus diperkasakan dengan konsep pertanian moden (modern agriculture) walaupun sektor ini hanya menyumbang pertumbuhan sebanyak dua perpuluhan tiga peratus (2.3%) pada tahun 2008 dan merupakan penyumbang terkecil KDNK negeri. Namun Beta percaya fungsi dan peranan Sektor Pertanian di Selangor amat penting sebagai penyedia sumber makanan dan sumber bahan mentah kepada perusahaan asas tani serta sumber pendapatan golongan petani khususnya di kawasan luar bandar. Nilai tambah sektor ini dijangka meningkat kepada Ringgit Malaysia Dua Perpuluhan Empat Lapan bilion (RM2.48 bilion) berbanding hanya Ringgit Malaysia Dua Perpuluhan Empat Dua bilion (RM2.42 bilion) pada 2008. Matlamat menjadikan pertanian sebagai satu perniagaan perlulah diteruskan dan berteraskan knowledge base yang boleh mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda kepada petani.

Beta berharap kerajaan Beta mencari alternatif untuk meningkatkan taraf hidup golongan petani kepada kehidupan yang lebih selesa dan hasrat pertanian satu perniagaan perlu dibuktikan hasilnya. Pertanian masa kini perlu memfokuskan pertanian berteknologi moden, berskala besar dan berorientasikan eksport bagi meningkatkan kualiti dan produk pertanian bermutu tinggi. Selain itu, kerajaan Beta amat serius meneruskan program bantuan kepada golongan petani, penternak dan nelayan yang berpendapatan kurang dari Ringgit Malaysia Seribu Lima Ratus (RM1,500) sebulan. Bagi golongan petani, penternak dan nelayan yang sedang memulakan usaha pertanian dan pendapatan mereka pula melebihi Ringgit Malaysia Seribu Lima Ratus (RM1,500) sebulan, maka mereka dibantu untuk meningkatkan produktiviti agar memperoleh pendapatan melebihi Ringgit Malaysia Tiga Ribu (RM3,000) sebulan.

Satu lagi inisiatif baru yang memperlihatkan kerjasama rapat kerajaan negeri dan persekutuan ialah “Pelaksanaan Program Meningkat Hasil Padi Negeri Selangor (2009-2010)”. Program ini akan membolehkan objektif Negeri Selangor mengeluarkan tujuh perpuluhan lima (7.5) tan sehektar menjelang 2012 daripada paras lima perpuluhan satu (5.1) tan sehektar hari ini. Program ini akan diwujudkan melalui tiga pendekatan, iaitu memperkasakan pembangunan modal insan, meningkatkan kecekapan pengairan dan saliran, dan memperkasa amalan teknologi tanaman padi terkini dan moden. MARDITECH telah dilantik sebagai agensi pemantau dan penasihat program ini kepada kerajaan Negeri Selangor. Jangkamasa program ini adalah dua tahun dari Februari 2009 hingga Disember 2010, dan proses pelaksanaannya telah bermula.

Selain program bantuan untuk golongan petani, penternak dan nelayan, keluarga pekerja ladang juga tidak diabaikan. Selama ini anak-anak pekerja ladang di seluruh Selangor sering ketinggalan dan diabaikan pelajarannya, maka tabung pendidikan anak-anak pekerja ladang turut diwujudkan. Program ini termasuk pelan untuk membina asrama penempatan untuk anak-anak dan pendidikan mereka juga akan dijaga selengkapnya. Beta amat gembira dengan keprihatinan kerajaan negeri dalam menangani peminggiran masyarakat pekerja ladang.

Program-program latihan, bantuan kewangan dan khidmat nasihat perlu diperbanyakkan dan diagihkan secara adil dan meluas, Beta mahu petani hidup selesa dan momokan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” perlu dihapuskan kerana Beta percaya pertanian mempunyai prospek yang baik dalam pembangunan Negeri Selangor.

Tentang hala tujuan perancangan dan pembangunan negeri selangor sehingga tahun 2025, Beta dimaklumkan hala tuju perancangan dan pembangunan Negeri Selangor 2025 dibentuk berdasarkan wawasan, pemikiran serta usaha yang bermatlamatkan pendekatan yang lebih komprehensif dan holistik iaitu pembangunan yang menggabungkan secara komposit faktor jasad, akal dan roh. Teras utama misi ini berintegrasi nilai afektif dan kerohanian dalam perancangan dan pembangunan. Nilai afektif dan kerohanian ini pula adalah hasil daripada jalinan hubungan yang menjadi asas sesuatu masyarakat iaitu hubungan manusia dengan pencipta, hubungan manusia dengan manusia; dan hubungan manusia dengan persekitaran termasuk alam sekitar.

Beta bangga Negeri Selangor dapat ke hadapan daripada negeri-negeri lain dalam memacu pembangunan dan dalam masa sama sentiasa dalam kedudukan teratas dalam persaingan untuk meraih kesejahteraan ekonomi. Pencapaian membanggakan ini perlulah disertai dengan komponen kerohanian, emosi dan sosiobudaya agar generasi dan masyarakat yang bakal dilahirkan mempunyai nilai kerohanian yang kental dan bersahsiah mulia. Jati diri dan maruah negara dan negeri akan dibina melalui ketabahan serta kejayaan dalam mengatasi pelbagai cabaran berdasarkan prinsip, nilai dan agama setiap rakyat di Negeri Selangor.

Beta berharap keazaman untuk menjadi sebuah negeri yang menjadi idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan akan kekal utuh walaupun pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi.

Beta difahamkan, Bajet Tahun 2009 Negeri Selangor ini juga merupakan bajet tahun keempat dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-9. Namun, Bajet 2009 ini berlainan daripada Bajet 2008 yang dibentangkan pada tahun 2007, kerana terdapat pelbagai program dalam agenda “Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor”. Antara program agenda mes ialah tabung warisan anak Selangor, bekalan air percuma, hadiah anak masuk universiti, tabung mesra usia emas, tabung pendidikan anak-anak pekerja ladang, pengendalian industri pasir untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan seterusnya memastikan sistem pengagihan dilaksanakan dengan cekap, adil, telus dan berhemah.

Sebanyak lima strategi ditetapkan dan mahu dilaksanakan dalam Bajet 2009, bersesuaian dengan tema bajet yang tertumpu pada agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor”.

Pertama: Merakyatkan Ekonomi Selangor (Mes);
Kedua: Mempertingkat Hasil Pendapatan Negeri;
Ketiga: Memperkasa Modal Insan;
Keempat: Menguruskan Perbelanjaan Dengan Cekap; Dan
Kelima: Memantapkan Pembangunan Negeri Selangor.

Konsep merakyatkan ekonomi Selangor berlandaskan premis ‘kediaman untuk semua’, di mana setiap warga Selangor sewajarnya dijamin kediaman sama ada perumahan ataupun tempat berteduh yang mencukupi. Kerajaan negeri berhasrat menerusi program ini untuk melahirkan rasa kekitaan yang sepatutnya setiap rakyat ada terhadap negeri mereka.

Satu lagi prinsip asas merakyatkan ekonomi Selangor adalah berdasarkan ekonomi rakyat, di mana keuntungan dan hasil negeri Beta akhirnya digunakan untuk manfaat rakyatnya. Justeru, ini akan mewujudkan negeri yang mesra perniagaan yang memastikan jaringan sosial wujud bagi kebajikan rakyatnya. Ini merupakan perbezaan drastik dari konsep lazim perniagaan, dan Beta amat berpuas hati kerajaan negeri Beta menjadikan pendekatan ini sebagai falsafah ekonomi Selangor. Management of the state that I am glad the state government is carrying out.

Beta merasakan perlu adanya pendekatan baru bagi menyelesaikan masalah kemiskinan bandar, yang mesti mengambilkira akses kepada peluang, sumber, pendidikan dan kemudahan yang mencukupi. Ini merupakan hak asas yang harus memperkasakan bagi golongan miskin. Kerajaan negeri seharusnya menjadikan matlamat jangka panjang mereka untuk mengembalikan kebolehan membuat keputusan dan melibatkan diri di dalam sosio-ekonomi negeri kepada rakyat Beta. Tiada maknanya hidup di negeri terkaya di Malaysia tetapi terasing dari keputusan yang menentukan kehidupan mereka dan keluarga mereka.

Dalam pembangunan perumahan, Beta sedar masalah rumah kediaman menjadi agenda utama kerajaan Beta bagi menyediakan rumah yang selesa dan kondusif, sesuai dengan pendekatan perumahan untuk semua kerajaan negeri Beta berharap program perobohan kawasan setinggan memerlukan sebuah pelan tindakan khas yang menggabungkan keupayaan PBT dan agensi kerajaan dalam menyediakan kediaman sementara.

Beta berpendapat peruntukan dana dan kawasan khas untuk pembinaan council home bagi tujuan penempatan sementara perlu disediakan dan diselaras dengan program penempatan semula setinggan dan dicadangkan dibina di dalam kawasan setinggan atau di kawasan berhampiran. Selain itu program Perumahan Rakyat Bersepadu (PPR) juga perlu difikirkan kerana ramai rakyat Beta yang tinggal di kawasan bandar amat tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi terutama untuk memiliki rumah.

Perumahan kos rendah di bandar seharusnya diberi perhatian yang lebih teliti. Selangor merupakan negeri dengan bilangan penempatan setinggan yang terbesar, dengan dua ratus empat puluh lapan (248) dari kira-kira seribu (1000) penempatan setinggan di seluruh negara. Masalah yang timbul termasuklah kekurangan bekalan air dan sistem kumbahan, atau akses kepada perkhidmatan perubatan.

Bagi memenuhi hak perumahan rakyat, Beta merasakan beberapa langkah perlu diambil. Pertama, perundingan dan dialog yang bermakna seharusnya ditekankan antara peneroka bandar mengenai isu dan masalah yang mereka hadapi. Kedua, penyelesaian konstruktif boleh diperolehi dari kerajaan negeri bagi membincangkan cara-cara terbaik dan munasabah bagi menyediakan perumahan yang mencukupi. Ketiga, perumahan alternatif yang disediakan mestilah memenuhi piawai kualiti yang ketat, dibekalkan dengan infrastruktur yang mencukupi seperti lampu jalan, kemudahan pembuangan sampah, jalan masuk, dewan masyarakat, tadika dan rumah-rumah ibadat bagi masyarakat pelbagai kaum.

Negeri Selangor sudah sampai ke satu peringkat di mana pengiktirafan hak semua warga Selangor merupakan prinsip asas kerajaan negeri Beta. Ini teramat penting dalam melibatkan tanah masyarakat Orang Asli. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, masyarakat orang asli melalui penghakisan identiti. Sudah tiba masanya hak asasi mereka sebagai manusia dikembalikan dengan menyelesaikan masalah tanah yang sudah wujud sekian lama. Beta ingin menekankan perlunya mengiktiraf dan memelihara tanah Orang Asli yang telah dirampas daripada mereka beberapa tahun kebelakangan ini. Kita mesti mempercepatkan proses mengenalpasti dan mengazetkan tanah mereka. Mereka mesti diberi tanah yang mereka berhak dan sepatutnya miliki.

Beta difahamkan kerajaan negeri telah berjaya mengadakan sesi perbincangan dengan masyarakat Orang Asli baru-baru ini dan Beta ingin menggalakkan perbincangan terbuka sedemikian diteruskan bagi memastikan persetujuan disamping kerjasama Orang Asli diperoleh sebelum apa-apa tindakan diambil kerajaan negeri. Masyarakat Orang Asli mempunyai sejarah yang kaya-raya dengan budaya, adat, nilai dan perspektif yang tidak seharusnya dikorbankan di atas nama pembangunan.

Dalam bidang pendidikan, Beta yakin pendidikan yang sempurna mampu mengubah kehidupan sesebuah keluarga seterusnya menyediakan modal insan yang kamil dalam mempertahankan negeri maju. Kerajaan Beta telah dilengkapi dengan infrastruktur kemudahan pembelajaran yang baik di tujuh ratus sembilan belas (719) buah sekolah bermula dari peringkat pra sekolah sehinggalah ke sekolah menengah. Persekitaran sekolah yang selesa dan selamat di samping para pendidik yang berdedikasi menjadi faktor penting kejayaan pembinaan modal insan cemerlang di peringkat sekolah. Beta mahu nisbah guru dan murid perlu munasabah dan tidak terlalu ramai di dalam satu-satu kelas membolehkan penyaluran ilmu pembelajaran lebih berkesan. Alhamdulillah, di Selangor nisbah guru dengan murid adalah amat baik iaitu satu nisbah lapan belas (1:18) kerana kesannya pasti murid-murid akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan yang diambil.

Kerajaan negeri Beta juga baru meluluskan program memberikan tuisyen percuma kepada kanak-kanak kurang bernasib baik daripada keluarga berpendapatan rendah. Sebanyak Ringgit Malaysia Tiga Perpuluhan Empat Lima juta (RM3.45 juta) diperuntukkan untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khusus kepada pelajar daripada keluarga pendapatan kurang Ringgit Malaysia Seribu Lima Ratus (RM1500). Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diminta mengambil seratus (100) pelajar ini sebagai anak angkat dan ini akan dipastikan berjaya. Laporan pencapaian akademik mereka patutlah dikemukakan kepada sekretariat EXCO pendidikan. Program ini berada pada peringkat akhir pelaksanaan, dengan mengenalpasti perunding dan penyelia tuisyen DUN. Beberapa kawasan sudah pun memulakan tuisyen ini, dan ia akan diserap ke dalam program kerajaan negeri misalnya DUN Selat Klang, Seri Setia, Taman Medan, Pelabuhan Klang, Meru, Hulu Klang, Cempaka dan Batu Tiga.

Beta juga amat menekankan pendidikan agama di peringkat awal lagi bagi meningkatkan ilmu Fardhu Ain dan kefahaman Islam yang mendalam kepada anak-anak umat Islam di Selangor. Beta berpuas hati dengan infrastruktur pendidikan agama dan sehingga kini Negeri Selangor mempunyai sejumlah dua belas (12) buah Pra Sekolah, dua ratus (200) buah Sekolah Rendah Agama, sepuluh (10) buah Sekolah Rendah Agama Integrasi dan dua ratus lapan puluh lapan (288) buah Sekolah KAFA Integrasi dan dua (2) buah Mahad Integrasi Tahfiz serta dua puluh tiga (23) buah Sekolah Agama Menengah.

Beta berharap konsep pendidikan yang menyeluruh dan seimbang antara ilmu, aktiviti kokurikulum serta agama diberi penekanan dan bukan hanya penekanan terhadap peperiksaan semata-mata bagi melahirkan rakyat pelapis yang berkualiti di negeri Beta ini. Beta mahu rakyat Beta mempunyai tanggungjawab menjaga negeri ini dan meneruskan kesinambungan kemajuan negeri.

Dalam bidang keselamatan, perkara yang amat merisaukan Beta ketika ini ialah masalah jenayah di Selangor yang sedang meningkat dan faktor pemberhentian kerja turut menyumbang kepada masalah ini. Kes-kes jenayah yang menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kadar jenayah di selangor ialah kes rogol, cabul kehormatan, samun berkawan senjata api, pemerasan, ugutan jenayah, merusuh, mencederakan, curi kereta / motosikal, ragut dan pecah rumah. Sehubungan itu, Beta memberi kepercayaan penuh kepada pihak polis untuk membendung masalah jenayah di Selangor dari terus meningkat. Rondaan pasukan polis secara kerap di kawasan-kawasan berisiko tinggi juga perlu dipergiatkan lagi di samping program Rukun Tetangga di kawasan perumahan diaktifkan semula sebagai usaha mengurangkan kejadian jenayah yang tidak diingini.

Beta juga dimaklumkan sehingga kini terdapat seratus enam (106) buah balai polis dan enam puluh tiga (63) buah pondok polis di Negeri Selangor. Bagi meningkatkan keselamatan dengan lebih berkesan, perancangan secara proaktif telah diambil dengan mewujudkan balai-balai polis baru di kawasan-kawasan taman perumahan secara berfasa. Seiring dengan itu, anggota polis juga perlu ditambah dalam mengimbangi nisbah penduduk Negeri Selangor yang paling ramai di Malaysia dalam menjaga keselamatan, keamanan dan kesejahteraan hidup rakyat Beta. Di samping itu, Beta turut menyarankan skim gaji dan upah polis dikaji semula, seiring dengan pengorbanan dan sumbangan mereka yang berkhidmat untuk negara kita yang tercinta. Mereka menggadaikan nyawa mereka setiap kali melaksanakan tugas bagi menjamin keselamatan kita semua.

Beta turut ingin mencadangkan pihak-pihak berkuasa tempatan mengkaji penubuhan polis bantuan bagi menyokong dan melengkapi inisiatif baik yang telah diambil oleh pihak Polis Di-Raja Malaysia dalam memerangi jenayah dan meningkatkan keselamatan, apatah lagi memandangkan mereka menghadapi kekurangan pegawai. Menerusi sebuah pasukan sokongan yang dilatih secara menyeluruh dengan kualiti yang tinggi, keselamatan rakyat Selangor akan menjadi semakin terjamin. Beta ingin menekankan peri pentingnya kerjasama antara kerajaan negeri Beta dengan Polis Di-Raja Malaysia. Beta difahamkan ada hasil positif dari pertemuan kedua-dua pihak dan Beta berharap interaksi membina ini akan diteruskan. Sememangnya penting bagi perhubungan yang baik dijalinkan agar kedua-dua pihak dapat menyokong satu sama lain bagi matlamat bersama. Mungkin ini masa yang sesuai untuk mengingatkan semua tentang falsafah kepolisan, serta peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh polis di dalam masyarakat. Pihak polis diberikan satu amanah yang cukup besar iaitu tanggungjawab penting bagi memastikan keselamatan rakyat.

Pihak polis juga perlu memelihara keamanan dengan memerangi jenayah selaras dengan undang-undang. Dalam menjalankan tugas tersebut, Beta merasakan perhatian harus diberikan kepada menegakkan keadilan, memelihara integriti, kebebasan, ketelusan dan bertanggungjawab. Apabila objektif-objektif ini dipenuhi, Beta yakin, kredibiliti pihak polis akan pulih dan rakyat akan memberi sokongan penuh bagi polis menjalankan tugas mereka.

Dalam usaha untuk meningkatkan hasil pendapatan, Beta difahamkan bahawa pelbagai usaha telah dibincangkan dalam meningkatkan hasil pendapatan negeri di pembentangan Bajet 2009. Beta mahu semua usaha itu dilaksanakan mengikut perancangan agar kewangan negeri tetap kukuh dan stabil. Kerajaan negeri telah menubuhkan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB) yang beroperasi sebagai syarikat kerajaan dan memberi penumpuan pada aktiviti perniagaan pasir. Dijangkakan royalti bahan batuan berjumlah Ringgit Malaysia Lima Puluh juta (RM50 juta) diperoleh oleh kerajaan negeri pada tahun 2009. Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak lebih dua kali ganda daripada jumlah Ringgit Malaysia Dua Puluh juta (RM20 juta) yang diperoleh pada tahun 2007 dan 2008.

Seterusnya, Beta difahamkan terdapat beberapa program yang dikenal pasti dapat memberi pulangan kepada kerajaan negeri. Antara program dan aktiviti tersebut, termasuklah:

a) Kajian Semula Kadar Caj Abstraksi Air Mentah, Yang Selaras Dengan Kenaikan Kadar Tarif Air Berawat;
b) Perlesenan Bahan Pencemar (Effluent Discharge) Dan Perlaksanaan Konsep “Let Polluters Pay!”; Dan
c) Program Rakan Pintar (Smart Partnership) Bersama PBT, NGO Dan Swasta.

Mengenai industri air Beta dimaklumkan bahawa kerajaan Beta sedang menyusun semula industri ini dan proses rundingan belum lagi selesai pada masa sekarang. Beta faham industri air ini teramat kompleks dan melibatkan banyak analisa kewangan. Oleh itu Beta berharap harga yang ditawarkan oleh Kerajaan kepada syarikat-syarikat konsesi air berpatutan dan sesuai bagi memudahkan rundingan. Beta ingin menegaskan disini bahawa air amat perlu dalam kehidupan seharian dan merupakan keperluan asas. Justeru itu Beta ingin mengingatkan supaya masalah air ini hendaklah diselesaikan segera, demi untuk kesejahteraan rakyat. Beta tidak mahu melihat rakyat Beta sengsara mengalami kekurangan air akibat daripada kelewatan menyelesaikan masalah ini.

Dalam usaha memperkasa modal insan, Beta mahu Pembangunan Modal Insan (PMI) dijadikan agenda penting dalam pembangunan dan kemajuan sesebuah negeri secara berterusan yang meliputi aspek jangka hayat, pengetahuan, taraf kehidupan masa kini, penyertaan sosial dan keupayaan yang membolehkan mereka mencapai matlamat hidup. Program PMI ini dapat melahirkan modal insan yang mempunyai kepakaran pelbagai bidang yang cemerlang, melahirkan modal insan yang kreatif ‘driving force’ perkembangan ekonomi negeri, membimbing sikap tolak-ansur dan saling memahami antara pelbagai budaya dan kaum. Sementara itu, lima teras dalam model pembangunan insan akan diperkenalkan iaitu; Spiritual, Fizikal, Intelektual, Emosi dan Sosial atau singkatannya program SPIES.

Beta mahu program SPIES dapat melahirkan insan yang cemerlang secara holistik dimanifestasikan secara zahir melalui keberkesanan atau kecekapan sosial, perhubungan interpersonal, mengurus konflik dengan baik, pemangkin perubahan atau dapat mendorong orang lain. Ciri-ciri ini tidak dapat dicapai tanpa kepintaran emosi, intelek dan keadaan fizikal yang baik. Keberkesanan peribadi ini harus berlandaskan nilai-nilai spiritual dan moral yang murni. Terdapat lima (5) golongan sasar yang perlu diberi perhatian dalam program SPIES iaitu

(i) Kanak-Kanak Dan Remaja
(ii) Institut Pengajian Tinggi
(iii) Belia
(iv) Masyarakat Dan
(V) Kepimpinan

Dalam pembangunan wanita dan ibu tunggal, Beta mahu golongan wanita dan ibu tunggal diberi perhatian kerana mereka ini menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri. Beta berharap pelan tindakan dirangka bagi meningkatkan penglibatan wanita-wanita Selangor dalam bidang keusahawanan dan kemahiran agar dapat meneruskan kehidupan tanpa terlalu bergantung pada bantuan semata-mata. Dianggarkan bilangan ibu tunggal melebihi tujuh ribu lima ratus (7,500) orang dan mereka ini perlu dilibatkan secara adil dan menyeluruh di dalam pembangunan dan kemajuan negeri selaras dengan kemajuan Negeri Selangor.

Beta difahamkan, pemberian elaun untuk golongan ibu tunggal di Negeri Selangor akan dilaksanakan di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor Fasa 2. Pangkalan data ibu tunggal atau lebih dikenali sebagai ‘Portal E-Bu’ juga telah diwujudkan bersama dengan Pusat Zakat Selangor, Jabatan Kebajikan Malaysia dan agensi-agensi lain bagi memudahkan penyelarasan dan pemantauan bantuan dapat dilaksanakan. Selain itu, Pelan Tindakan Wanita Selangor turut memberi fokus kesedaran wanita dalam bidang perundangan, kesihatan dan keluarga.

Beta berharap golongan kurang bernasib baik seperti orang kurang upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak tidak akan diabaikan. Pelan tindakan yang dirangka bagi membantu golongan ini termasuklah memberi bantuan yang sepatutnya mengikut jadual masa yang telah ditetapkan, menubuhkan perkampungan warga emas yang lengkap dengan segala kemudahan dan keperluan dan memperbanyakkan pusat-pusat asuhan kanak-kanak (child care centre) di jabatan-jabatan kerajaan dan swasta.

Beta mahu perpaduan antara kaum di Negeri Selangor ini hendaklah semakin kukuh. Majoriti penduduk Negeri Selangor ialah kaum Melayu iaitu seramai dua perpuluhan lima juta (2.5 juta), diikuti kaum Cina seramai satu perpuluhan tiga juta (1.3 juta), kaum India kosong perpuluhan enam juta (0.6 juta) dan lain-lain kaum seramai lima puluh ribu orang. Justeru itu, keharmonian dan perasaan muhibah perlu terus diperkukuhkan dalam kalangan penduduk Negeri Selangor dengan menerapkan semangat hormat-menghormati dan kerjasama antara kaum. Beta tahu, walaupun usaha mewujudkan perpaduan kaum merupakan satu tugas yang amat berat, namun dengan adanya komitmen dan contoh terbaik di kalangan pengurusan tertinggi kerajaan Beta dan kerjasama rakyat Negeri Selangor, perpaduan kaum bukanlah satu perkara yang mustahil untuk dilaksanakan.

Beta merasakan teramat malang isu perkauman telah dipolitikkan di Malaysia. Beta ingin menegaskan perlunya semua rakyat Selangor mengubah paradigma mereka dalam perkara ini. Bukankah lebih baik sekiranya kita menekankan tentang persamaan antara kita, bukannya asyik bertegang lidah mengenai perbezaan kita. Nilai-nilai, dan prinsip asas yang dikehendaki oleh semua bangsa dan budaya seperti sifat-sifat mulia, ketinggian akhlak, bertanggungjawab, jujur, amanah dan dedikasi hendaklah dijadikan amalan. Dasar-dasar yang menjurus untuk semua rakyat Selangor dan tidak meminggirkan mana-mana pihak hendaklah dilaksanakan. Dalam pengetahuan Beta, Kerajaan Negeri Selangor telah berusaha melaksanakan program-program yang dapat menyatu-padukan rakyat. Beta berharap rakyat di Negeri Selangor ini dapat menghormati antara satu dengan yang lain dan seterusnya mengukuhkan perpaduan di antara kaum.

Dalam pembangunan belia dan sukan, Beta amat berharap golongan belia menjadi penyambung generasi mendatang dan merupakan aset yang amat berharga kepada kerajaan Beta. Oleh itu, mereka perlu diberi pengiktirafan meluas bagi memainkan peranan sebagai pemimpin dan pembuat dasar. Dianggarkan, sehingga empat puluh empat peratus (44%) komposisi penduduk Negeri Selangor terdiri golongan belia.

Rakyat seharusnya mengubah persepsi mereka dan tidak lagi merendahkan ‘belia’ sebagai kategori individu tidak matang, yang tidak boleh membuat keputusan atau lebih teruk lagi, cuma sebagai sumber masalah. Beta merasakan generasi muda hari ini bersedia menghadapi perubahan sekiranya diberi bimbingan dan latihan yang sewajarnya. Kerajaan negeri Beta mesti menggalakkan dan tidak menghalang idea inovatif dan kreatif yang dihasilkan generasi belia di dalam membawa Negeri Selangor ke tahap yang lebih baik.

Buat pertama kali setelah sekian lama, Negeri Selangor dan Malaysia amnya mempunyai wakil-wakil rakyat muda di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Berada pada usia dua puluhan dan tiga puluhan, generasi pemimpin muda ini sedang melakar masa depan baru untuk masyarakat, membuktikan generasi belia hari ini mempunyai tempat di dalam masa hadapan negara. Semangat patriotisme yang mereka tunjukkan ini sememangnya positif di dalam menjadi contoh kepada generasi belia yang lain menerusi penglibatan mereka.

Beta mahu golongan belia yang tercicir dalam pembelajaran akibat masalah kemiskinan juga perlu diberi perhatian. Latihan kemahiran dan teknikal menurut bidang yang sesuai dengan pasaran buruh semasa sedang disediakan melalui kursus jangka pendek dan jangka panjang bagi memberi peluang kepada belia untuk bersaing mencari peluang pekerjaan di pasaran terbuka.

Bagi merangsang budaya kepimpinan di kalangan belia, kerajaan negeri Beta telah memulakan program penggerak belia tempatan. Objektif umumnya ialah untuk memantapkan institusi belia di Negeri Selangor serta membentuk kepimpinan yang dinamik supaya ianya sejajar dengan ketetapan Negeri Selangor sebagai sebuah negeri maju. Khususnya, ini memberi peluang dan ruang kepada golongan belia untuk menyumbang ke arah pembangunan komuniti dan masyarakat setempat. Ia juga berfungsi sebagai platform untuk melahirkan barisan pelapis kepimpinan sedia ada dan sebagai medium perantaraan di antara golongan belia dengan kepimpinan tertinggi kerajaan.

Selain daripada itu, belia sendirilah yang akan menggerakkan program-program / aktiviti-aktiviti belia, dan ini akan mendorong para belia untuk aktif berpersatuan dan seterusnya dapat mengurangkan risiko terlibat dalam gejala sosial. Harapan Beta ialah agar penubuhan dan pelaksanaan penggerak belia tempatan dapat mencapai matlamat dan misi kerajaan negeri untuk memantapkan institusi belia di Negeri Selangor serta membentuk kepimpinan yang dinamik supaya ianya sejajar dengan ketetapan Negeri Selangor sebagai sebuah negeri maju. Program ini diagar akan dilancarkan pada bulan April 2009.

Beta berbangga dengan pencapaian skuad Merah Kuning dalam sukan bola sepak tempatan. Semangat juang untuk negeri tercinta perlu disemat dalam sanubari dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor agar digeruni dan disegani pasukan lain. Beta berharap dan mencabar pengurusan dan atlet Selangor untuk merangkul kejuaraan dalam Piala Malaysia tahun ini.

Sekarang Beta mahu menyentuh sedikit peranan Ketua Kampung dalam sesebuah kampung. Peranan Ketua Kampung sangat penting dalam usaha menyampaikan dasar-dasar kerajaan di peringkat akar umbi agar matlamat sebenar dasar-dasar tersebut dapat tercapai sepenuhnya sepertimana yang dirancang oleh Kerajaan Negeri. Beta maklum Selangor mempunyai tiga ratus enam puluh lima (365) Ketua Kampung Tradisional dan tujuh puluh lapan (78) Ketua Kampung Baru/Bagan/Tersusun. Secara umumnya tugas Ketua Kampung adalah bertanggungjawab ke atas kemajuan dan keselamatan kampung yang dipimpin. Mereka perlu menggalakkan semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan penduduk tanpa ada perbezaan di samping memberikan bantuan dan kerjasama kepada pegawai-pegawai kerajaan yang menjalankan tugas di dalam kampung. Sehubungan itu, kebajikan dan keperluan asas mereka perlu diberi perhatian agar dapat menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat dengan cemerlang.

Seterusnya, Beta suka mengingatkan kepada pimpinan kerajaan Beta supaya mengamalkan sikap berjimat-cermat dan membelanjakan wang rakyat sebaik-baiknya. Biarlah setiap sen yang kita belanjakan memberikan keuntungan kepada rakyat dan bukannya kepada segelintir manusia yang rakus “menangguk di air yang keruh”. Ini kerana Beta amat bimbang kelembapan ekonomi yang teruk akan memberi kesan langsung kepada rakyat Beta.

Kerajaan negeri Beta juga mesti memastikan bahawa setiap Ringgit yang dibelanjakan dengan sebaiknya untuk manfaat rakyat. Misalnya, Beta dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sedang melalui proses penstrukturan semula industri air bagi memastikan orang ramai mendapat manfaat sepenuhnya. Walaupun Kerajaan Persekutuan yang telah memulakan langkah ini, proses perundingan dan jumlah akhir yang dipersetujui bagi pengambialihan syarikat-syarikat konsesi adalah teramat-amatlah penting bagi menentukan perbelanjaan kerajaan dan seterusnya.

Beta amat bersyukur kerana negeri Beta masih berada dalam keadaan kewangan negeri yang kukuh. Anggaran hasil kerajaan negeri Beta yang dikutip adalah kira-kira Ringgit Malaysia Satu Perpuluhan Empat bilion (RM1.4 bilion) pada tahun 2009. Ini merupakan peningkatan sebanyak empat perpuluhan empat lapan peratus (4.48%) berbanding anggaran hasil 2008 yang berjumlah Ringgit Malaysia Satu Perpuluhan Tiga Empat bilion (RM1.34 bilion). Daripada jumlah peruntukan ini, Ringgit Malaysia Enam Ratus Lapan Puluh Sembilan Perpuluhan Empat juta (RM689.4 juta) diperuntukkan bagi belanja mengurus dan Ringgit Malaysia Tujuh Ratus Sepuluh Perpuluhan Enam juta (RM710.6 juta) bagi belanja pembangunan. Dengan yang demikian, belanja mengurus dan belanja pembangunan pada tahun 2009 adalah pada nisbah yang hampir seimbang.

Kerajaan Beta meletakkan harapan yang tinggi kepada PBT selaku jentera pelaksana utama bagi melaksanakan dasar dan polisi pembangunan khususnya untuk mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan. Beta mengharapkan pembangunan perbandaran yang efisien dan mampan di samping pembangunan ekonomi bandar yang kukuh, dinamik dan berdaya saing. Penyediaan perkhidmatan bandar, infrastruktur dan utiliti yang berkualiti perlu disediakan serta mewujudkan persekitaran kehidupan bandar yang sejahtera dan beridentiti.

Dalam hal ini, Beta tetap menasihatkan supaya Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT terus memberi tumpuan kepada tanggungjawab asasnya iaitu dengan menyediakan kemudahan jalan dan longkang yang sempurna, perbandaran yang bersih dan indah, pengurusan sampah yang cekap, pemotongan rumput dijalankan secara berjadual serta lampu-lampu jalan yang sentiasa berfungsi. PBT perlulah pantas mengambil tindakan terhadap aduan-aduan yang diterima dan sentiasa bersikap inovatif dan proaktif dalam melaksanakan sebarang perubahan dan penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatannya.

Selaras dengan usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, isu tempat pelupusan sampah menjadi isu yang hangat diperkatakan dan perlu diselesaikan. Kerajaan Beta berusaha terus untuk memantau usaha-usaha meningkatkan kualiti pelupusan sisa pepejal di Negeri Selangor. Beta difahamkan satu tapak pelupusan sampah yang baru akan dibuka iaitu Tanjung Dua Belas Sanitary Landfill di Kuala Langat yang dijangka siap pada Jun 2009 bagi menampung pembuangan sisa pepejal yang meningkat setiap tahun. Selain itu, bagi mengurangkan masalah pembuangan sisa pepejal ini sebuah transfer station di Seksyen 21, Shah Alam diharap dapat beroperasi di samping memastikan kerja-kerja menaiktarafkan tapak dumpsite Pancang Bedena dilaksanakan pada tahun ini. Justeru itu, Beta suka menasihatkan PBT membuat kerja-kerja penyelenggaraan tapak-tapak pelupusan diteruskan dalam mengurangkan aduan penduduk.

Banyak kempen-kempen kitar semula telah gagal mencetuskan minat yang mendalam di kalangan pemimpin dan rakyat. Ini bukannya bermakna isu kitar semula patut dihentikan. Malah, konsep asas bagi memastikan persekitaran yang mampan mestilah diterapkan dalam cara operasi peniaga dan pengguna. Kerajaan Negeri mestilah meningkatkan penyediaan tong-tong kitar semula, mendidik pengutip sampah bahawa pengasingan sampah adalah wajib, di samping menyedarkan orang ramai tentang kepentingan pengasingan dan kitar semula sampah. Pembangunan yang mampan adalah penting untuk masa depan negeri Beta. Dalam jangka masa panjang, Beta berharap usaha pemeliharaan tenaga dan sumber tenaga alternatif diambil serius oleh Kerajaan Negeri.

Sudah tiba masanya kini Kerajaan Negeri memikirkan secara serius bagi membersihkan Sungai Klang, yang meliputi Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Projek jangkamasa panjang mestilah dipertimbangkan, di mana pembersihan menyeluruh dilaksanakan. Ini mungkin memakan masa sepuluh hingga dua puluh tahun, sepertimana pembersihan sungai yang pernah dijalankan di seluruh dunia. Beta mahukan Sungai Klang yang mampu menjadi kelebihan utama kepada Negeri Selangor. Bagi menjana pembangunan hartanah, meningkatkan pelancongan menerusi kemudahan rekreasi dan santai di tebing-tebing sungai, mempertingkatkan mutu alam sekitar sungai dan akhirnya mengurangkan beban pengangkutan yang menjadi masalah utama di Selangor masa ini. Semua agensi seharusnya bekerjasama bagi mencari penyelesaian yang sesuai. Dengan sikap yang positif dan ketegasan undang-undang, ia bukannya mustahil – walaupun projek sebesar ini.

Pembangunan pengangkutan perbandaran sememangnya masalah utama yang menjejaskan kualiti kehidupan rakyat Beta di Selangor khususnya di Lembah Klang. Kekurangan sistem yang diselaraskan telah menyusahkan rakyat. Beta mahu kita mengurangkan kadar pengangkutan awam-persendirian daripada 10-90 sekarang kepada 50-50, dengan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam. Kerajaan Persekutuan dan Negeri mestilah bekerjasama dalam melahirkan sistem awam yang lebih efisyen. Salah satu matlamat yang boleh dipertimbangkan ialah melahirkan “Modul Pengangkutan Satu Jam”. Dengan ini, setiap tempat di Selangor boleh dicapai dalam masa satu jam. Justeru, kita mestilah melihat pengangkutan awam merangkumi rangkaian yang mengintegrasikan bas, rel dan teksi. Ruang lingkupnya mestilah meluas dan diselaras dengan baik, dengan kekerapan yang lebih. Pengoperasi pengangkutan awam yang bertambah juga boleh membantu dengan konsolidasi dan penyeliaan undang-undang yang lebih baik.

Bagi mencapai matlamat ini, sebuah rombakan menyeluruh perlu dipertimbangkan bagi sistem pengangkutan awam Selangor. Kita memerlukan sistem perundangan yang lebih baik yang akan menyokong penambahbaikan untuk pengangkutan awam. Sebuah task force pengangkutan awam mungkin boleh dibentuk bagi memperbaiki perancangan dan operasi pengangkutan awam di Selangor. Adalah penting untuk melibatkan semua pihak dalam proses ini, seperti profesional pengangkutan awam, pengoperasi bas, ahli akademik, masyarakat madani dan pengguna. Pihak Berkuasa Tempatan juga mestilah bertanggungjawab melengkapkan usaha yang diambil oleh Kerajaan Negeri.

Dalam hal pembangunan institusi masjid dan surau, Beta amat berharap kecekapan sistem pentadbiran hal ehwal Islam dan prasarana ibadah serta pendidikan dapat terus ditambah baik. Institusi-institusi seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan dimantapkan seterusnya meningkatkan kecekapan pengurusan dan pembangunan harta Baitulmal. Pentadbiran dan Pengurusan Pejabat Agama Islam Daerah di seluruh Negeri Selangor akan diperkasakan melalui pembinaan Kompleks Islam yang serba lengkap dan kondusif.

Beta juga dengan sukacitanya mengambil kesempatan ini menyeru kerajaan negeri menyokong usaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memastikan penyaluran wang syubhah daripada mana-mana orang dan syarikat-syarikat yang beroperasi di Selangor ke akaun Baitulmal, MAIS. Wang syubhah ialah wang yang dihasilkan daripada aktiviti yang tidak diketahui status halal atau haram dan bercampur dengan perkara yang dilarang oleh syariah. Pengumpulan wang syubhah oleh MAIS ini akan digunakan untuk kepentingan umum masyarakat seperti pembinaan kemudahan awam yang manfaatnya kepada orang Islam dan juga bukan Islam. Keputusan untuk menyalurkan wang syubhah ini ke akaun Baitulmal telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal Kebangsaan Pada 19 Februari 2009 dan Majlis Penasihat Syariah (MPS). Suruhanjaya Sekuriti juga telah menyenaraikan Baitulmal sebagai badan penerima wang syubhah di dalam “Senarai Sekuriti Patuh Syariah Oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti” bertarikh 20 November 2008.

Beta amat bersyukur kerana infrastruktur masjid kita antara yang terbaik dan selesa. Beta dimaklumkan sehingga ini Negeri Selangor mempunyai tiga ratus enam puluh sembilan (369) buah masjid bertambah sepuluh (10) buah berbanding tahun lalu serta kemudahan seribu lapan ratus tujuh puluh (1,870) buah surau bagi memenuhi keperluan beribadat. Beta mahu pelbagai aktiviti dirancang dan dilaksanakan dengan menyediakan program-program mengimarahkan masjid seperti menyediakan kelas-kelas agama dan ceramah agama bagi menarik lebih ramai jemaah hadir ke masjid-masjid berhampiran.

Selangor merupakan contoh kepada masyarakat majmuk yang wujud di Malaysia. Malaysia pula mewakili masyarakat antarabangsa. Dilihat dari sudut ini, Kerajaan Negeri Selangor mestilah memberi gambaran yang sebenar tentang Islam termasuk kepada masyarakat bukan Islam.

Selaras dengan kemajuan Negeri Selangor Beta mahu penggunaan ICT terus diperkasakan dan dimantapkan melalui peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang berkonsepkan “bila-bila masa, di mana jua” melalui usaha:-
• Meningkatkan capaian pengguna kepada Sistem Kerajaan melalui Aplikasi-Aplikasi ‘Online’;
• Mempelbagaikan kaedah pembayaran hasil melalui Internet Banking
• Mempelbagaikan hasil melalui beberapa aplikasi seperti Tender Online;
• Mempelbagaikan medium capaian maklumat melalui teknologi multimedia dan alat komunikasi seperti Portal, Web TV/Radio, Emel Dan SMS; dan
• Memperkasakan infrastruktur rangkaian dan keselamatan capaian internet.

Selain itu, Beta mahu penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dipertingkatkan. E-kerajaan merupakan alat utama bagi mengurus pelbagai data dan urusan cabaran semasa melalui penyediaan perkakasan, perisian dan sumber tenaga manusia. Kemudahan kebolehcapaian seperti broadband akan terus ditingkatkan sekurang-kurangnya ke tahap apa yang ada di negeri maju tanpa mengira jurang penempatan, pendapatan dan usia.

Di samping itu, aspek kualiti seperti integrasi, fleksibiliti pengurusan data dan keupayaan menganalisis segala aplikasi yang telah dan sedang dilaksanakan perlu ditingkatkan supaya berupaya menjadi sebahagian dari Decision Support System (DSS) yang berkesan kepada pengurusan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

Beta berharap usaha-usaha dapat memupuk nilai kemasyarakatan dan sikap yang mengiktiraf kepentingan sains dan teknologi serta keperluan pembelajaran secara berterusan selari dengan pencapaian matlamat pembangunan Negeri Selangor.

Beta mahu tadbir urus dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor diperkasakan. Tadbir urus mempunyai perkaitan secara langsung dengan kecekapan dan keberkesanan, kepuasan pelanggan dan integriti kerajaan Beta. Justeru ukuran prestasi utama dalam aspek seperti kecekapan, keberkesanan, daya saing, integriti, ketelusan dan akauntabiliti perlu menjadi ukuran bagi menentukan tahap tadbir urus.

Pada tahun 2007, Indeks Persepsi Rasuah Transperency International bagi Malaysia ialah lima perpuluhan satu (5.1) iaitu berada pada kedudukan ke empat puluh tiga (43) terbaik dari seratus lapan puluh (180) buah negara. Walaupun indeks ini mengukur hanya persepsi atau pandangan mengenai rasuah, namun ia penting kerana mengukur pandangan orang luar terhadap negara kita.

Sebagai perbandingan, Singapura mempunyai indeks sembilan perpuluhan tiga (9.3) iaitu berada pada kedudukan ke empat terbaik. Ada juga beberapa indeks lain seperti the United Nations Human Development Index, The Open Budget Index, dan lain-lain lagi. Indeks-indexs ini memberi gambaran sama ada kita mengamalkan tadbir urus yang baik atau tidak. Beta berharap semua di dalam Kerajaan Negeri Selangor mesti tegas mempromosikan nilai-nilai tadbir urus yang akhirnya memenangkan rakyat, integriti, kebertanggungjawaban awam dan akses kepada maklumat dengan segala daya upaya mereka.

Beta mahu sistem tadbir urus merangkumi tadbir urus tanah, pengurusan ICT yang cekap, tadbir urus bandar serta meningkatkan kualiti hidup rakyat. Sistem tadbir urus sering dilabelkan dengan karenah birokrasi, salah guna kuasa, rasuah, ketirisan, nepotisme, kronisme, kurang sokongan kemudahan ICT, terlalu banyak menggunakan budi bicara dalam membuat keputusan, aduan awam yang tidak mendapat layanan sewajarnya, piagam pelanggan yang tidak dihormati dan sebagainya.

Beta juga mahu lihat penambahbaikan tadbir urus tanah dilaksanakan dengan lebih cekap dan cepat bagi memastikan transaksi dapat dilaksanakan. Justeru itu, penambahbaikan perlu dilaksanakan bagi memperbaiki tadbir urus seterusnya rakyat dapat menikmati perkhidmatan yang cekap dan efisien.

Beta juga merasakan bagi menambah baik tadbir urus di Negeri Selangor, pandangan rakyat harus diambil kira. Apakah gunanya Kerajaan Negeri Beta melancarkan Merakyatkan Ekonomi Selangor jika pandangan rakyat tidak diberikan tempat sewajarnya? Oleh itu, proses perbincangan awam seharusnya diperbanyakkan untuk setiap keputusan dan kerangka utama pembangunan negeri. Masyarakat madani di negeri-negeri maju menyumbang secara aktif kepada pembangunan masyarakat, dan ini sewajarnya menjadi kebiasaan di Selangor. Beta dengan ini menyokong usaha kerajaan Negeri Selangor berkejasama dengan masyarakat madani untuk mencapai objektif bersama. Kerajaan negeri Beta mesti cuba menggunakan kepakaran yang ada pada pihak-pihak ini dalam objektif memajukan Negeri Selangor.

Sebelum Beta mengakhiri titah ucapan ini, Beta ingin menegaskan bahawa melalui pemerhatian serta pembacaan Beta, Beta dapati sejak kebelakangan ini telah banyak berlaku insiden-insiden yang melibatkan perbalahan yang dicetuskan oleh segolongan kelompok masyarakat dan demonstrasi-demonstrasi jalanan yang telah menjejaskan keamanan, keharmonian serta perpaduan kaum di Negara yang kita cintai ini. Justeru itu Beta ingin menyeru kepada semua pihak agar memberhentikan segala tindak-tanduk yang boleh menjejaskan imej Negara ini dan menumpukan perhatian ke arah memupuk perpaduan yang erat di kalangan semua kaum. Sikap hormat-menghormati di antara kaum di Negara ini perlulah sentiasa diamalkan bersama bagi menjamin perpaduan yang erat di kalangan masyarakat dan melahirkan satu bangsa Malaysia yang bersatu-padu.

Beta juga ingin menyeru kepada semua pihak khususnya rakyat di Selangor agar menghormati sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Undang-Undang Negara serta akur kepada setiap peruntukan yang telah sedia termaktub di bawah undang-undang berkenaan. Janganlah hendaknya ada pihak yang menyalah tafsir peruntukan undang-undang tersebut ke arah kepentingan dan manfaat sesuatu golongan tertentu sahaja. Kita perlu sentiasa mengangkat martabat Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Undang-Undang Negara ke tahap tertinggi mengatasi segala kepentingan peribadi dan politik masing-masing. Beta yakin kita semua akan terus menikmati keamanan, keharmonian dan kesejahteraan hidup sekiranya sikap hormat-menghormati antara kaum dan mematuhi undang-undang dijadikan amalan dalam kehidupan seharian.

Kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekelian, sebagai Ahli Dewan Negeri yang mulia ini hendaklah mematuhi Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri semasa bersidang supaya perjalanan sidang Dewan Negeri berjalan dengan teratur dan sempurna, serta dengan penuh rasa hormat-menghormati antara satu dengan lain tanpa mengambil kira ideologi politik masing-masing. Ini adalah kerana, matlamat setiap ahli Dewan Negeri adalah sama iaitu untuk memberi perkhidmatan yang terbaik demi kebajikan rakyat dan negeri.

Sebagai ahli Dewan Negeri bagi Negeri Selangor yang merupakan sebuah negeri maju dan bertamadun, apa jua tindakan dan perlakuan ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa menarik perhatian umum. Oleh yang demikian, ahli-ahli Yang Berhormat seharusnya mengamalkan nilai-nilai murni dalam setiap tindakan dan perlakuan ahli-ahli Yang Berhormat agar ianya menjadi contoh kepada masyarakat umum dan mencerminkan ketamadunan dan kemajuan Negeri ini.

Keputusan-keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli Yang Berhormat juga hendaklah disampaikan secara telus kepada rakyat supaya rakyat dapat memahami rasional di sebalik keputusan tersebut.

Beta menaruh harapan agar ahli-ahli Yang Berhormat dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negeri yang kita cintai ini. Ahli-Ahli Yang Berhormat juga hendaklah sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan memastikan segala tindakan dan keputusan yang diambil adalah tidak bercanggah dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan undang-undang lain yang berkuatkuasa.

Beta merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam termasuk angkatan tentera, polis dan bomba yang telah berusaha siang dan malam bagi menjamin kemajuan, kemakmuran dan keselamatan rakyat di negeri yang dikasihi ini. Ucapan Tahniah dan Selamat Maju Jaya Beta tujukan kepada Memanda Beta, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Bin Ibrahim, dalam usaha memandu kerajaan Beta serta semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam tempoh setahun ini. Sebagai Raja Pemerintah Negeri, Beta memberi titah nasihat kepada Memanda Beta, Dato’ Menteri Besar semoga bertugas dengan lebih tekun, gigih dan terus berusaha mempertahankan Negeri Selangor sebagai negeri termaju di Malaysia dan sentiasa di hadapan sepanjang masa.

Akhirnya, Beta berdoa semoga Negeri Selangor dan seluruh rakyat Beta terus mendapat perlindungan Allah dan sentiasa dilimpahi rahmat-Nya supaya rakyat Beta bersama berusaha menjamin keamanan dan kemakmuran yang dapat diwariskan kepada anak-anak dari generasi ke generasi. Beta turut berharap semua perancangan yang direncanakan dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam memastikan matlamat Selangor sebagai Negeri Idaman, Maju, Sejahtera Dan Berkebajikan, tercapai.

“Ahli-Ahli Yang Berhormat, Beta Mengucapkan Selamat Bersidang Di Dewan Yang Mulia Ini”.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Read More “TITAH UCAPAN D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR DI MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT PERTAMA (PEMBUKAAN) PERSIDANGAN PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI SELANGOR KE12”  »»

YAB DATO' MB SELANGOR DIWAWANCARA SEMPENA SETAHUN PEMERINTAHAN PAKATAN RAKYAT DI SELANGOR

Tanggal 8hb Mac 2009 menandakan genaplah setahun selepas pilihan raya umum ke-12 yang menyaksikan Selangor dikuasai tiga parti politik, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS yang akhirnya membentuk kesepakatan baru dengan nama Pakatan Rakyat (PR).

Ikuti temubual dengan Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berkongsi kejayaan melaksanakan dasar-dasar baru untuk rakyat dan perancangan beliau dalam membawa Selangor ke era yang lebih cemerlang.


Walaupun Baru Setahun, PR Bermula Dengan Cemerlang


Boleh Tan Sri komen mengenai prestasi Pakatan Rakyat (PR) dalam tempoh setahun ini?


Saya rasa kami bertuah kerana diberi peluang untuk mengurus Selangor. Pada peringkat bulan pertama, misalnya pada Mac, kami menggunakan sedikit masa untuk cuba membentuk satu pasukan yang diperakui kerajaan negeri dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebagai satu pasukan yang dipilih untuk menguruskan negeri.

Ini kerana kami terdiri daripada kombinasi tiga parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas yang membentuk majoriti. Pada masa itu (bulan Mac), konsep Pakatan Rakyat masih belum ada. Ia masih kumpulan tiga parti. Tetapi bila sudah ke bulan Mei, kemudian konsep yang menggelarkan kami sebagai Pakatan Rakyat (PR) mula timbul. Sudah tentu, kami tetap sebagai satu kumpulan.

Jadi PR adalah satu realisasi daripada konsep selepas pilihan raya. Apabila kami ke pilihan raya umum lalu, perjanjian kami untuk ada peluang menang pilihan raya itu ialah dengan cara satu lawan satu. Ini bermaksud, kumpulan kami mesti lawan satu sama satu dengan Barisan Nasional (BN). Kami bernasib baik strategi itu berhasil.

Ini kerana dengan satu lawan satu, orang ramai dapat membuat pilihan. Sama ada untuk memilih BN atau salah satu daripada tiga parti ini. Jadi selepas pilihan raya, kami menjadi satu kumpulan bersama yang dapat membentuk kerajaan negeri, membolehkan kami mentadbir negeri.

Apabila kami membentuk satu pasukan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), kami perlu membentuk strategi dalam mengurus negeri Selangor. Apa yang boleh kami katakan, memang Selangor mempunyai banyak sumber. Ini bermakna dalam banyak tahun, kerajaan negeri telah memperoleh pendapatan daripada cukai tanah atau cukai pintu. Kemudian, pendapatan ini bukan sahaja dapat membayar gaji kakitangan awam di negeri ini tetapi juga untuk pembangunan negeri. Jadi Selangor bertuah dalam erti kata ia mempunyai hasilnya sendiri. Tetapi ini tidak mencukupi.

Daripada pendapat kami, bagaimana kita hendak menukarkan sumber yang negeri ada dan rakyat pun tahu kewujudannya. Jadi kami membangunkan satu konsep yang dipanggil Merakyatkan Ekonomi Selangor (Mes). Mes ini bermakna kita menguruskan dengan baik segala sumber yang ada di negeri ini yang sememangnya menjadi milik rakyat.

Ini kerana mereka (rakyat) yang telah memilih kita, dan jika kita tidak dapat mengurus dengan baik, mereka akan menukar kita. Jadi kami bangunkan pelbagai program dalam Mes bagi memastikan rakyat Selangor mendapat faedah daripada sumber-sumber yang ada.

Tetapi bagaimana kita hendak tukarkan konsep itu menjadi sebuah program? Program pertama yang kita perkenalkan bagi memastikan rakyat berasa yang mereka dimiliki ialah pemberian air percuma. Kami terdiri daripada kumpulan yang menentang penswastaan kerana kami rasa mana-mana syarikat yang memiliki penswastaan akan mendapat keuntungan yang tinggi dan kos yang balik kepada rakyat juga meningkat.

Jadi kami menggunakan pendekatan memberi air percuma sebanyak 20 meter padu kepada pengguna meter individu. Ia adalah untuk semua tanpa mengira kaum atau pegangan politik.

Kemudian kami mula berbincang langkah seterusnya. Bagaimana kita hendak memaksimumkan sumber yang kita ada. Kita sasarkan kepada mereka yang memerlukan. Selangor adalah negeri pertama di Malaysia yang tidak mengiktiraf pendapatan RM750 satu keluarga terletak dalam garis kemiskinan. Ini kerana kita berpendapat jumlah itu tidak mencukupi.

Apa yang kami buat ialah dengan menaikkan garis kemiskinan itu kepada RM1,500 ke bawah. Jika kita menggunakan pendapatan RM750 ke bawah sebagai miskin, ia hanya mewakili 2 ke 3 peratus sahaja rakyat Selangor yang miskin. Hakikatnya, jumlah itu sebenarnya lebih tinggi apabila kita menaikkan garis kemiskinan itu iaitu sekitar 30 peratus penduduk Selangor yang termasuk dalam kategori itu.

Daripada tanda aras itu, kita akan memberi keutamaan kepada mereka yang layak menerima bantuan seperti rumah dan pelbagai bentuk kebajikan yang lain.

Kami merasakan ini satu langkah yang baik kerana sekurang-kurangnya kita ada perimeter untuk membuat ukuran tersebut. Tetapi bagaimana kita hendak memastikan rakyat Selangor berasa yang mereka sebahagian daripada negeri ini.

Jadi kita memperkenalkan satu program iaitu Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) yang mana semua anak yang baru dilahirkan disediakan dana khas sehingga umur mereka mencecah 18 tahun. Ini bermakna apabila kita mengurus Selangor, kita juga mengurus generasi baru ini.

Kemudian, timbul persoalan bagaimana kita hendak menjana dana tabung ini. Kita tidak boleh gunakan hasil pendapatan daripada cukai dan sebagainya untuk tabung ini. Kemudian kita melihat kembali kepada sumber yang ada. Kita dapati ada sumber tertentu yang tidak diuruskan dengan baik, misalnya pasir. Kerajaan negeri mempunyai kuasa ke atas pasir dan penjualannya. Apa yang kita buat pada asasnya ialah memberikan lesen untuk menguruskan pasir. Akhirnya kita akan dapati yang terdapat banyak permintaan untuk pasir di negeri ini. Jika kita hitung kembali, setiap penjualan satu tan pasir, mereka perlu membayar royalti tertentu.

Kami dapati terdapat 50 juta tan pasir tetapi kita hanya mengumpul sebanyak 6 juta tan. Ada yang bertanya ke mana pergi yang selebihnya. Kemudian kita menyedari yang pentadbiran tidak begitu cekap untuk mengutipnya atau kemungkinan adanya ’side dealing’ yang kononnya dilaporkan hanya mengumpul 500 atau 1,000 tan tetapi hakikatnya mungkin mencecah 5,000 tan.

Kami kemudian bertanya, bagaimana kalau urusan pasir ini kita uruskan sendiri. Ini kerana sebelum ini kerajaan negeri hanya mendapat hasil kira-kira RM18 juta daripada penjualan pasir ini padahal ia boleh mengutip sebanyak RM100 juta setahun jika dinilai daripada pasaran.

Jadi kami mengambil keputusan untuk menghentikan pemberian lesen ini sebaliknya menjalankan sendiri secara komersial bagi mendapat hasil yang terbaik. Kami fikir yang hasil daripada pasir ini boleh kita gunakan untuk menjana Tawas. Berdasarkan kiraan, kerajaan negeri boleh mendapat pendapatan tambahan RM50 juta setiap tahun - yang tidak termasuk dalam bajet negeri bagi kita menjalankan Tawas ini.

Bercakap mengenai Tawas, ia merupakan satu skim bagi anak kelahiran Selangor, ibu atau bapanya warga Selangor, layak menyertai skim ini. Secara asasnya, pendaftaran adalah percuma. Kita akan menabung bagi mereka sehinggalah pelabur ini berusia 18 tahun yang akan menerima paling kurang RM2,500. Seperti yang kami katakan, sumber-sumber negeri akan dijana bagi menjalankan program untuk generasi akan datang.

Sekiranya, kita memperolehi pendapatan RM100 juta, RM50 juta digunakan untuk Tawas, dan kita ada RM50 juta lagi untuk kita jalankan Skim Mesra Usia Emas. Keahlian dibuka kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

Ia seperti khairat kematian yang mana waris warga emas ini akan menerima buat permulaan RM1,000 sekiranya berlaku kematian dan RM1,500 lagi selepas semua dokumen berkaitan diserahkan.

Tan Sri, adakah semua polisi ini polisi baru yang tidak pernah dibuat oleh kerajaan yang lepas?

Ya, Tawas adalah program baru tetapi Skim Warga Emas, mereka (kerajaan yang lepas) tidak buat seperti yang kita buat. Ini kerana mereka berikan kepada orang tertentu sahaja. Tetapi kita berikan kepada semua orang.


Polisi mana yang Tan Sri paling berpuashati?

Selain Tawas dan Skim Mesra Usia Emas tadi, kita juga ada program Pusat Khidmat Sehenti Krisis (OSCC) dan hadiah anak masuk universiti. Kita mempunyai beberapa siri program yang lain.

Saya fikir program yang banyak memberi kesan ialah program untuk warga emas. Mereka rasa yang kita mengambil berat mengenai mereka.

Bagaimanapun, timbul persoalan juga apabila ada warga emas yang bertanya yang kenapa mereka hanya dapat faedah tersebut selepas berlaku kematian.

Jadi sekarang kita sedang memperbaiki program itu dan tidak menolak untuk melihat semula peruntukan yang kita ada untuk disalurkan dalam pelbagai program lain untuk warga emas ini. Misalnya program pengurangan kos rawatan perubatan melalui skim insuran. Ia antara program yang sedang kita fikirkan.

Selain itu juga, kita mahu memberikan diskaun kepada warga emas untuk pembelian buku-buku pendidikan untuk anak-anak atau cucu mereka. Kerajaan negeri akan bayar 80 peratus daripada kos itu. Ini bermakna jika mereka membeli buku-buku dengan harga RM1,000, kita akan semak bil mereka dan mereka boleh tebus semula RM800 daripada kami. Idea di sebaliknya, adalah untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.

Secara asasnya, kita mahu merapatkan hubungan dalam keluarga. Selain itu ada juga pihak yang mencadangkan kepada kita untuk memberi kupon makanan.

Kita akan cuba untuk mewujudkan lebih banyak program kebajikan untuk mereka, jadi nanti tidaklah mereka tanya kepada kita kenapa kerajaan negeri hanya menjaga kebajikan mereka setelah mereka sudah tiada.
Tan Sri bila program ini akan dilaksanakan?

Kita sudah laksanakan Skim Mesra Usia Emas. Saya fikir kita sudah ada kira-kira 40,000 warga emas yang mendaftar. Kita sasarkan sekurang-kurangnya 100,000 berdasarkan statistik yang kita ada, jumlah warga emas adalah kira-kira 300,000 orang. Jumlah ini agak besar kerana ia termasuk warga emas yang tinggal di Kuala Lumpur. Ini kerana mereka yang lahir di Kuala Lumpur sebelum 1974 dikategorikan sebagai rakyat Selangor. Jadi mereka juga perlu kita beri perhatian.

Kita mahu mereka mendaftar dahulu dengan kita. Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini kepada mereka, sekurang-kurangnya kita sudah mempunyai rekod. Kita mahu daftarkan kesemua mereka agar kita dapat merancang untuk program-program yang akan datang.

Kita juga sudah mulakan banyak program kebajikan. Pada tahun lalu, kita telah belanjakan lebih kurang RM2 juta untuk memberi bantuan keperluan asas seperti beras, gula dan kasut sekolah kepada keluarga yang berpendapatan RM1,500 ke bawah.

Ini adalah sebahagian program yang kita laksanakan di bawah Mes.


Kerajaan PR sudah mencapai umur setahun. Tetapi sama ada bernasib baik atau tidak, kita fikir ekonomi akan meningkat, tetapi situasi ekonomi dunia kini sedang dalam kemelesetan.

Jadi, kerajaan negeri perlu mengatur program. Tahun lalu, kita juga mengadakan pelbagai perancangan agar pelaburan di Selangor meningkat.

Hasilnya, kita telah mencapai jumlah pelaburan sebanyak RM10 bilion pada tahun lalu di mana pada tahun-tahun sebelum ini di sekitar RM4 bilion. Tetapi mungkin ada yang menganggap hasil kerja keras tahun-tahun yang lalu mungkin membuahkan hasil pada tahun 2008.

Kenyataan itu mungkin tidak betul. Jika tidak, sudah tentu jumlah pelaburan hanya RM4 juta setiap tahun, tetapi ada perubahan tiba-tiba pada 2008.

Pada tahun ini, kita akui yang kemelesetan ekonomi itu benar-benar berlaku. Jadi daripada kita hanya bercakap berkenaan dengan Foreign Direct Investment (FDI), lebih baik kita tumpukan untuk merangsang ekonomi negeri.

Untuk itu, kita akan laksanakan beberapa program yang akan merangsang ekonomi negeri Selangor. Walaupun kita sedar dengan situasi ekonomi ketika ini, tetapi kita perlu mencipta peluang perniagaan yang akan dapat meningkatkan aktiviti ekonomi di dalam negeri dan memastikan pelaburan yang berterusan.

Adakah Tan Sri berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan, bagaimana Tan Sri gambarkan prestasi itu.Saya fikir, sebelum ini kami semua tidak ada pengalaman dalam menguruskan negeri. Lainlah kalau kita sudah ada pengalaman dan bekerja mengikut dasar yang sedia ada.



Tetapi kalau kita gunakan dasar daripada kerajaan sebelum ini, bermakna kita tidak ada dasar sendiri. Saya fikir kita menunjukkan prestasi yang lebih baik. Saya tidak fikir yang mereka (kerajaan lepas) mempunyai agenda MES seperti kita. Termasuk juga dalam pelaburan, kita lebih baik.

Begitu juga dari segi kutipan hasil. Tetapi ada juga kawan-kawan saya yang sedikit nakal berkata ‘jika tidur pun Selangor akan tetap membangun seperti ini’.

Tetapi jika dibandingkan dengan pentadbiran yang lepas, saya rasa kita lebih baik dalam semua indikator. Tetapi itu bukan cara yang betul untuk mengira.

Cara terbaik ialah kita tanya bagaimana prestasi kita selepas setahun dalam membangunkan pelbagai program yang memberi kesan terus kepada pendapatan rakyat.

Selepas kita memahami tentang sumber-sumber dan pentadbiran kerajaan negeri, kita fikirkan pula program-program yang akan meningkatkan pendapatan negeri.

Persoalan pada masa ini yang membimbangkan kita ialah ramai yang diberhentikan kerja dan hilang pekerjaan. Ada juga juga beberapa syarikat elektrik dan elektronik yang terpaksa ditutup. Sementara syarikat pengeluar kereta utama mengurangkan jumlah pekerja dan pelaburan. Begitu juga berlaku di bank-bank.

Tetapi jawapannya ialah lebih baik kita membuat sesuatu yang akan merangsang ekonomi kita. Jadi itu sebabnya kita perkenalkan lima bidang utama yang akan merangsang ekonomi Selangor yang mana Kerajaan Persekutuan sendiri tidak buat lagi.

Salah satu daripada bidang itu ialah kita membersihkan Sungai Klang. Walaupun memerlukan perbelanjaan yang besar, tetapi potensinya sangat hebat. Tetapi sesetengah orang melihat bukan kepada sungai semata-mata tetapi juga tanah rezab di sepanjang sungai yang sangat bernilai.

Terdapat banyak negara yang mahu meningkatkan lagi ekonomi mereka memandangkan mereka juga mempunyai banyak peralatan yang boleh digunakan untuk membersihkan sungai ini. Dengan ini, perniagaan di syarikat mereka bertambah baik dan hasilnya kita juga mendapat nilai tambah apabila sungai kita menjadi bersih.

Manfaatnya bukan sahaja dari segi alam sekitar bahkan juga dalam industri pelancongan. Selain itu ia juga dapat membantu meningkatkan lagi aktiviti pengangkutan. Misalnya jika dari Klang hendak ke Kuala Lumpur, kita mungkin boleh menaiki bot dan tidak perlu lagi menaiki kereta.

Jadi bagaimana Tan Sri boleh gambarkan prestasi kerajaan PR?

Prestasi tidak boleh dilihat secara total. Pertama dari segi idea. Saya fikir kita berada di tahap yang cemerlang. Kedua dari segi kecekapan implementasi kita berada atas dari tahap sederhana, contohnya kita ada 1,000 pekerja tetapi ada di antara mereka yang hanya menggunakan kapasiti 60 atau 70 peratus sahaja.

Dari segi kepimpinan pula, kita hampir berada di tahap antara atas sederhana dan cemerlang. Tidak terlalu cemerlang dan tidak terlalu di bawah sederhana. Dari segi komunikasi pula berada di antara sederhana dan atas sederhana. secara keseluruhannya kita berada atas dari tahap sederhana.

Markah cemerlang kita boleh katakan daripada 80 hingga 100 peratus. Atas daripada sederhana ialah 60 hingga 79 peratus. Sederhana pula ialah antara 40 hingga 59 peratus. Gagal pula apabila mendapat markah di bawah 30 peratus.

Tan Sri, ada ahli majlis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mengadu kakitangan kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) enggan memberi kerjasama. Apa komen Tan Sri?

Isu ini berkait dengan persoalan bagaimana kita membiasakan diri dengan persekitaran seperti ini. Kita perlu membentuk kepimpinan yang dapat mengurus dalam situasi seperti ini. Kebanyakan orang fikir apabila kita jadi pihak berkuasa, orang akan ikut kita. Jawapannya tidak. Anda harus menguruskan mereka, memberi mereka motivasi, memberi panduan dan kemudian mereka akan mengikut anda.

Jadi ada ahli majlis yang fikir dengan menjadi ahli majlis, kita mempunyai kuasa penuh..tidak. Pengaruh kita hendaklah dilihat melalui idea atau dengan cara kita bekerja dengan mereka.
Tan Sri, apa perkara yang paling mencabar bagi Tan Sri dalam setahun ini?

Saya fikir ialah dalam memahami keperluan penyokong-penyokong parti. Mereka rasakan yang apabila kita dapat sebuah negeri, parti mempunyai kelebihan berbanding orang lain. Tetapi saya fikir kebenarannya ialah kita harus bersikap adil kepada semua orang dan melayani semua orang dengan cara sama. Kerana mereka adalah pembayar cukai. Tidak kiralah jika orang itu daripada parti yang berlainan, kita tidak boleh diskriminasi mereka.



Misalnya mereka kata ‘kenapa bagi air percuma kepada orang Umno?, mereka tidak mengundi kita’. Tetapi saya beritahu mereka, kita tidak boleh buat macam itu kerana air adalah milik semua.

Mereka kata lagi ‘bukankah kuasa ada di tangan, sebelum ini mereka diskriminasi kita, kini masanya kita pula buat macam itu’.

Pada saya, tindakan seperti itu tidak boleh dibuat. Pendapat saya, kalau kita dapat memerintah dengan baik, mereka akan datang kepada kita. Tetapi ia mengambil sedikit masa.

Sekarang mereka (penyokong parti) sudah bertoleransi?

Ya, mereka semakin memahami. Sudah tentu mereka mempunyai peluang baik untuk beritahu Menteri Besar buah fikiran mereka. Tetapi ia tidak bermakna mereka boleh dapat kontrak dan sebagainya. Mereka harus buat kerja dengan baik. Mereka tidak boleh kata ‘boleh saya dapatkan ini kerana saya adalah ahli parti?’ Saya kata kita tidak boleh, kerana ia adalah wang pembayar cukai. Siapa pun mereka, mereka adalah pembayar cukai. Jadi kita harus seimbang.



Ada ahli parti yang meminta sesuatu daripada Tan Sri?

Tidak secara terus, tetapi dari bayangan fikiran. Kadangkala mereka anggap saya sebagai pengurus korporat berbanding seorang pengurus politik. Pengurus korporat akan kata tidak boleh. Pengurus politik pula akan kata ‘kita akan pertimbangkan kerana ini bukan masa yang sesuai’. Tetapi jawapan saya ialah tidak boleh.


Tetapi pengurus politik, walaupun dia tidak beri, orang itu akan bangun pagi dengan rasa yang seronok. Tetapi pengurus korporat akan kata ‘jangan buang masa saya, awak tidak akan dapat’. Jadi ini satu proses pembelajaran.

Tan Sri pernah sebut perkara ini dalam mesyuarat tahunan parti sebelum ini. Adakah Tan Sri merujuk kepada pemimpin tertentu atau..?

Tidak…tidak. Saya cuba hendak memastikan dalam kita hendak mengubah Malaysia, pada saya parti politik ialah agen kepada perubahan untuk semua orang. Apa yang saya terangkan kepada mereka kalau ekonomi berkembang, semua orang akan mendapat faedah.


Bagaimana Tan Sri melihat keserasian ketiga-tiga parti yang berlainan fahaman?

Saya fikir bertambah baik. Lebih lama kita kenal antara satu sama lain, hubungan lebih baik. Saya masih ingat sewaktu mesyuarat Exco pertama kami. Semua orang kelihatan agak formal. Tetapi sekarang kami ada juga berjenaka, tetapi tetap serius dalam membincangkan hal negeri. Kami lebih memahami antara satu sama lain.

Tetapi anda harus ingat, kami datang dari dua kumpulan yang berbeza. Mungkin lima tahun lalu, kita tidak akan jangka rakan sepasukan DAP ialah PAS. DAP juga mungkin tidak tahu kewujudan sebenar Keadilan. Lima tahun lalu, Keadilan hanya ada satu wakil dalam Parlimen.

Saya fikir kita berkembang dengan begitu cepat. Mereka kata harus bekerjasama kerana rakyat sudah memilih mereka.
Bagaimana dengan pengharaman, kawalan arak?

Sekarang ini PAS, DAP dan Keadilan kata biar kita panggil orang bisnes, ulamak dan pekedai untuk kita berbincang. Objektif kita ialah untuk melihat masyarakat tidak bergelumang dalam masalah minuman keras. Apa yang harus kita buat ialah dengan menghormati budaya dan kaum lain.

Kita sudah capai ke tahap (persefahaman) seperti ini.
Tetapi PAS dalam masa setahun ini dikatakan menimbulkan masalah kepada kerajaan negeri, adakah ini mencemarkan imej kerajaan negeri?

Tidak..tidak. Ia menguatkan imej. Kita tidak beroperasi dengan vakum. Ini ialah parti. Misalnya kita bermain dalam satu permainan melawan satu kumpulan lain. Begitu juga dengan politik, ia seperti satu permainan, yang kita hendak baling apa yang kita hendak. Sudah tentu yang kelakarnya, kedua-duanya akan tercedera tetapi mereka tidak kisah. Jadi isunya mereka akan bertambah matang. Parti lebih matang dan (ia lebih baik) daripada berpisah atau menjadi satu ikatan yang longgar. Ia sebenarnya menguatkan pakatan ini.


Berkenaan isu Elizabeth Wong, adakah Tan Sri fikir ada agenda di belakang isu ini atau ada konspirasi politik?

Pertama, kita biarkan isu ini selesai. Jika ada lagi kita biar ia selesai. Kedua, kita sedang menanti laporan daripada pihak polis. Setakat ini tiada lagi laporan.



Sama ada jika polis beritahu ada penemuan baru atau mereka kata tidak ada lagi (penemuan) yang lain, jadi ini menjadi asas kepada keputusan yang akan dibuat nanti.

Perkara ketiga ialah mangsa sendiri. Bagaimana mangsa sekarang ini dapat berdepan dengan masyarakat. Bagaimanapun saya fikir Elizabeth Wong seorang individu yang kuat. Beliau tidak datang dari latarbelakang yang lembut, tetapi seorang reformis.

Kemudian dalam masa satu atau dua minggu, kita akan dapat selesaikan perkara ini.

Adakah benar dakwaan yang mengatakan ada ahli parti Keadilan menggunakan kempen ini untuk memaksa beliau meletak jawatan?Tidak…dalam setiap perbincangan, orang akan melihat banyak kemungkinan. Tetapi saya tidak fikir yang Keadilan akan meminta seseorang itu melepaskan jawatannya dengan cara yang tidak rasional. Tetapi saya tidak pernah dengar dakwaaan itu.


Kenapa Tan Sri memilih selepas Mac?

Kita beri masa beliau berehat sebulan dan pada 14 atau 15 Mac ini sudah cukup sebulan.

Bagaimana jika selepas tarikh itu, beliau hendak letak jawatan dan kemungkinan ada satu lagi pilihan raya kecil di Bukit Lanjan?

Saya tidak akan jawab soalan berdasarkan satu andaian.

Tan Sri, adakah Elizabeth ada menghubungi Tan Sri?

Tidak, saya juga tidak hubungi beliau. Kita hendak beri beliau ruang.


Tan Sri, apa projek besar kerajaan negeri selepas ini?

Pakej rangsangan ekonomi, ia satu projek besar. Satu, mengenai projek air. Kita sekarang beritahu orang ramai yang industri air perlu diurus oleh kerajaan negeri. Ini kerana kita rasakan yang kita adalah institusi yang tepat untuk melaksanakannya dan rakyat akan mendapat faedah. Lupakan tentang penswastaan, semuanya sudah berakhir.

Kita mahu menyusun semula industri ini, bermakna penswastaan sebelum ini tidak mencapai matlamat. Jadi kita perlu kembali semula kepada asasnya. Asasnya ialah sebelum penswastaan, semua urusan air terletak di bawah Jabatan Kerja Air, dan orang kurang buat aduan. Apabila diswastakan, bukan sahaja orang mengadu tetapi mereka perlu bayar lebih. Inilah masalahnya.

Kedua, kita bercakap mengenai pembangunan pengangkutan awam di Selangor yang mana benar-benar diperlukan memandangkan ketidakcekapan yang berlaku sekarang. Bukan sahaja, kesesakan jalan raya, tetapi pengguna dibebankan dengan bayaran tol yang terlalu banyak.

Pemahaman saya ialah pada ketika ini 90 peratus pengangkutan adalah
hak milik persendirian. Hanya 10 peratus sahaja kenderaan awam. Tetapi seperti di Hong Kong, yang pesat membangun, nisbah peratus sistem pengangkutan awam dan persendirian ialah 90-10.

Di sini kita mahu mengubahnya menjadi 50 peratus awam dan 50 peratus persendirian. Ideanya ialah jika kita dapat seimbangkan antara keduanya kita dapat mengurangkan pergantungan kepada pengangkutan persendirian.


Tetapi bagaimana hendak lakukannya, ia nampak satu tugas yang sangat sukar?

Bagaimana Hong Kong boleh buat dan Singapura juga boleh buat?. Kita perlu luaskan capaian pengangkutan ini misalnya sistem LRT ke kawasan-kawasan lain seperti Kuala Kubu Bharu, Klang, Kajang dan seterusnya.

Mungkin anda ingin tanya bagaimana pula hendak menjana kewangan projek ini? Ada beberapa firma seperti firma dari Jepun dan Jerman yang menyatakan keinginan mereka untuk menjadi sebahagian daripada projek ini. Apa alasannya? Alasannya ialah ketika ini firma-firma itu memang mempunyai syarikat, pekerja-pekerja dan gerabak. Tetapi dengan keadaan kemelesetan ekonomi ketika ini mereka tidak boleh menjualnya, sebaliknya perlu membayar jika mahu membuang pekerja mereka.


Jadi bagaimana jika kita kata kita mahu membuat tempahan. Jika kita beli (gerabak), ini bermakna mereka tidak perlu buang pekerja dan pengeluaran mereka akhirnya meningkat.

Kemudian kita tingkatkan mutu pengangkutan awam kita. Dan mereka kata bagaimana jika anda bayar dalam tempoh jangka masa yang panjang. Ini untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua pihak. Jadi ia antara yang telah dicadangkan kepada kita.

Sesetengah negara, mereka hendakkan bisnes. Cuba bayangkan syarikat pengeluar kereta Toyota. Sebelum ini mereka mampu mengeluarkan sebanyak 2 juta unit kereta. Sekarang mereka hanya mampu menjual 750,000 unit sahaja. Jika anda mahu kereta, mereka kata mereka boleh buat, tetapi anda perlu bayar. Mereka kata lagi, jika anda bayar kemudian, kita boleh buat kereta dan dalam masa sama menggaji lebih ramai pekerja.

Itu sebabnya mereka sedia datang kerana mereka perlukan kerja dan tahu keupayaan negara kita untuk membayarnya.
Tan Sri, berkenaan situasi politik semasa di Perak, adakah Tan Sri bimbang ia mungkin berlaku di Selangor. Ada perbezaan antara Perak dengan Selangor?

Perbezaannya ialah 36-20 ialah 16. Itu sebab saya panggil 8 kerusi. Jika anda lihat formula, anda perlu ambil satu parti, tidak boleh bawa pergi satu orang sahaja. Saya tidak dapat bayangkan yang DAP akan tidur sebantal dengan Umno. Kenapa pula Keadilan hendak pergi kepada Umno jika parti itu terbaik untuk mereka. Tidak semua orang Pas suka kerja dengan Umno. Jadi apa kemungkinannya? Apa yang boleh saya kata, ia (lompat parti) agak tidak mungkin terjadi.


Adakah Umno selalu cuba..?


Umno akan berterusan mencuba, ia seperti orang kata seseorang itu sudah menceraikan isterinya tetapi hendak kembali semula. Dia buat perkara macam-macam untuk tawan hati bekas isterinya, tak kiralah menyanyi di bawah rumah dan sebagainya. Walaupun bekas isterinya dah curah air kepada dia, dia tetap hendak nyanyi. Jadi situasinya macam itu.

Tetapi sudah tentu keadaan di Perak berlainan. Saya tidak fikir keadaan seperti itu akan mudah berlaku di Selangor.

Tan Sri berkenaan isu lembu, kereta, adakah Tan Sri rasa dakwaan itu macam hendak jatuhkan Tan Sri atau Tan Sri anggap ia satu cabaran?

Satu cabaran pada saya. Saya kata pada diri saya, saya lakukan perkara yang betul dan saya mempunyai tanggungjawab kepada rakyat. Bukan kepada semua orang ini (yang melemparkan dakwaan). Saya langsung tidak ada mengeluarkan arahan, sebaliknya hanya nasihat kepada orang yang menderma lembu, kalau hendak beri, boleh juga bagi kepada penduduk di Kuala Lumpur. Dan penduduk yang saya kenal ialah di Bandar Tun Razak. Saya tidak fikir yang ia akan memberi faedah kepada saya.

Tetapi sudah tentu ia menjadi isu umum. Mungkin ada yang kata, Tan Sri ini pilih kasih, dia perlu beri kepada orang lain. Saya kata lebih baik beri rakyat yang saya kenal, daripada yang saya tak kenal.

Tetapi adakah dengan beri lembu, orang akan mengundi untuk saya? Saya sendiri tidak tahu akan masuk bertanding untuk Bandar Tun Razak dalam pilihan raya akan datang. Jika saya mahu meraih undi mereka, sudah tentu saya akan bagi beratus-ratus lembu. Jadi logiknya, ia tidak berlaku.Saya tidak lihat faedahnya. Kalaulah dengan memberi air percuma seperti apa yang saya buat sekarang ini jadi kes, satu aktiviti korup, tetapi tidak ada pula orang Umno mahu SPRM siasat saya sama ada saya ada dapat faedah atau tidak daripada dasar pemberian air percuma ini.

Sudah tentu, ada rakan-rakan saya - rakan akademik yang kata mereka betul-betul hendak mencemarkan awak. Tetapi rakan-rakan saya kata lagi, jika awak tak suka dengan semua ini, kemas barang dan kembalilah mengajar. Saya kata, (dengan usia ini) sudah terlewatlah.

Itu cara yang rakan-rakan saya lihat. Mereka kata kenapa saya membazirkan masa kepada orang-orang seperti ini yang langsung tidak ucap terima kasih atas apa yang telah saya buat. Saya beritahu rakan-rakan saya, bukan semua orang seperti itu. Yang lain-lain agak normal.
Tan Sri nampaknya seorang yang berkata-kata lembut, tetapi Tan Sri juga marah apabila berdepan dengan dakwaan-dakwaan seperti ini khasnya yang dilemparkan Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo?

Saya juga ada perasaan marah, tetapi saya tidak mahu marah kerana saya rasa, saya mempunyai akal fikiran yang lebih baik sikit jadi saya tak patut marah dengan orang yang berfikir menggunakan hati bukan dengan akal.

Jadi, saya rasa lebih baik saya luangkan sedikit masa baca buku-buku dan lupakan hal-hal seperti ini. Saya tidak fikir saya perlu terganggu. Lainlah jika saya sudah buat sesuatu yang tidak betul.

Secara peribadinya, saya tidak perlukan kerja ini. Saya juga dapat gaji yang lebih semasa di Guthrie berbanding kerja sebagai Menteri Besar. Saya dapat kereta yang lebih baik, penerbangan kelas pertama dan saya juga beri lembu. Tetapi tiada siapa cakap apa pun.

Saya boleh tinggal di rumah dan bergembira. Tetapi saya ‘berhutang’ kepada mereka-mereka yang telah mengundi saya. Dan saya tidak perlu lari.

Tan Sri, jika dibandingkan antara kehidupan bisnes dan kerjaya sekarang, yang mana Tan Sri lebih seronok?

Seronok itu bukan satu perkataan yang sesuai. Agak melucukan jika anda kata anda seronok dengan kehidupan dalam politik. Saya fikir dalam sektor swasta, anda perlu capai sesuatu mengikut prosesnya dan hanya fikirkan berapa pulangan keuntungan yang dapat dan sebagainya.

Tetapi dalam politik, tidak. Ini kerana orang akan menilai dari segi penyampaian perkhidmatan kita, komunikasi kita dan sebagainya. Dalam dunia korporat atau swasta, kita hanya terhad dalam satu ruang lingkup sahaja dan dalam masa sama kita juga jalankan tanggungjawab sosial-korporat.

Tetapi bahagian yang penting dalam politik ialah ia mengubah orang, sesuatu yang dia tidak pernah jangka akan capai, dia akan capai. Jadi politik ini satu alat yang hebat dan penuh cabaran. Tetapi sudah tentu jika kuasa yang ada itu tidak digunakan dengan baik, ia akan memusnahkan masyarakat.

Jadi untuk cakap yang saya seronok dalam politik, tidak juga. Tetapi jika lihat semula apa yang telah kita sumbangkan, sekurang-kurangnya kita beritahu dia sendiri yang kita telah lakukan sesuatu. Saya fikir kepuasan itu nanti akan kita rasai selepas apa yang kita buat.

NOOR ALLIA KASSIM/Selangorkini Online

Read More “YAB DATO' MB SELANGOR DIWAWANCARA SEMPENA SETAHUN PEMERINTAHAN PAKATAN RAKYAT DI SELANGOR”  »»
 

x

Photobucket

e


Popular Posts

Followers


View My Stats

pautan lain

  • - Add caption *Relawan AMALNITA sedia bersama....*
    10 years ago
  • Shopping Back To School. - Oleh kerana 2 petugas kaunter demam dlm Program Jom Shopping Back To School DUN Meru, maka Yb Meru dan Dato Ketua Kampung membantu mengambil...
    10 years ago

Ab

zwani.com myspace graphic comments

x

Photobucket









Recent Comment

ISLAMICITY

SEARCH THE TRUTH

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com