Selangor Sambut Ambang Tahun Baru Selama Tiga Hari
|
||
SHAH ALAM 27 DIS : Sambutan ambang Tahun
Baru di Selangor akan berlangsung selama tiga hari dengan pelbagai
program menarik ekoran sambutan hangat terhadap acara itu tahun lepas. Ia akan dimulakan dengan Seminar Gen Y pada 29 Disember dan diikuti dengan Karnival Pendidikan Selangor – EduSel Fair daripada 30 hingga 31 Disember bermula tujuh pagi hingga 12 malam di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam. Karnival tersebut akan diwarnai dengan pelbagai aktiviti positif antaranya ceramah santai daripada personaliti TV iaitu Ahmad Shukri Yusof dan Mohd Fauzi Mustaffa. Terdapat juga Tahnik bersama ilmuan, forum dan sembang santai bersama artis seperti Shamsul Ghau-Ghau, Kamal Adli, Malek Noor, Abby Abadi, Diana Amir dan Uztaz Azhar Idrus. Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata karnival pendidikan itu diharapkan akan menarik lebih ramai pengunjung berbanding tahun lepas. Karnival itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai ilmu dalam kehidupan seharian seiring dengan misi pendidikan negeri Selangor untuk menjadikan Selangor sebuah negeri Hub Ilmuan dan Hub Pendidikan. Selain itu, Seminar Gen Y yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Adat Melayu, Belia dan Sukan akan memberi fokus kepada memahami psikologi dan biologi Generasi Y. Seminar tersebut bertujuan membina generasi berwibawa, beriman dan bertaqwa kata exco Adat Melayu, Belia dan Sukan Dr Ahmad Yunus Hairi. Ia akan bermula seawal jam 8 pagi hingga 5 petang di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bagunan Setiausaha Kerajaan Negeri. Antara tetamu jemputanya ialah Ahli Majlis Fatwa Terengganu, Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri ; Profesor Universiti Malaya, Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman, jemputan artis antaranya, Yatt Hamzah, Diana Amir dan Mel Wings. | ||
EDUSEL FAIR 2012
PORTAL PROGRAM MODAL INSAN S.P.I.E.S DILANCARKAN
Selangor Lancar Portal S.P.I.E.S.
Kerajaan Negeri Selangor tidak ketinggalan dalam usaha memanfaatkan setiap perkembangan dan kegunaan teknologi bagi melancarkan serta menyebarluaskan maklumat kepada orang awam khususnya rakyat di negeri yang maju ini.
Antara perkembangan mutakhir teknologi internet dan web, termasuklah penggunaan konsep portal dan laman web yang lebih dinamik dan interaktif.
Tambahan pula, ketika ini semakin banyak aplikasi dan modul-modul laman web yang sofistikated dan serasi dengan letusan dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Malah konsep ICT itu sendiri kini semakin bersilih ganti dengan konsep Sains Teknologi dan Inovasi atau “STI”, bergantung pada peranan dan keperluan.
“Laman web S.P.I.E.S. merupakan antara contoh yang terbaik, yang dibangunkan berasaskan konsep portal dan laman web terkini yang lebih dinamik, interaktif, mesra pengguna dan mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih efisien, bersesuaian dengan kehendak semasa”, kata Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika majlis pelancaran laman web SPIES Negeri Selangor di Bilik Gerakan, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sini petang tadi.
Dalam pada itu, “S.P.I.E.S” merupakan singkatan bagi konsep-konsep Spritual, Physical, Intellectual, Emotional, dan Social (Kerohanian, Jasmani, Cendekiawan, Emosi dan Kemasyarakatan atau Sosial) yang juga diinspirasikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Hjh Dr. Halimah Ali.
Abdul Khalid berharap agar laman web S.P.I.E.S ini dapat berperanan sebagai pusat sehenti atau “One Stop Centre” terhadap pelbagai maklumat dan kandungan berkaitan dengan S.P.I.E.S. yang boleh dicapai dengan mudah.
Antara maklumat umum berkaitan S.P.I.E.S. yang boleh dicapai sekarang termasuklah berita-berita serta progam-program terkini yang berjaya dilaksanakan menerusi Standco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.
Laman web ini dilengkapi galeri gambar, multimedia, video-video menarik serta forum yang membolehkan masyarakat umum berinteraksi atau memberi maklum balas, berkongsi idea dan pendapat.
Di samping itu, dengan pelancaran laman web ini, secara tidak langsung dapatlah Sekretariat Program S.P.I.E.S. menampilkan dan menyebarluaskan pelbagai aktiviti yang berhubung kait dengan pembangunan modal insan.
Dan perkara yang lebih penting lagi ia membolehkan penyaluran maklumat dan penyertaan interaktif kepada pihak awam, khususnya rakyat negeri Selangor.
Justeru, diharapkan laman web S.P.I.E.S ini dapat memberikan pelbagai maklumat kepada masyarakat umum tentang tanggungjawab dan rancangan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor dalam usaha melahirkan insan dan masyarakat yang cemerlang secara holistik dan bersepadu melalui pelbagai program yang sedang dilaksanakan serta yang bakal direncanakan.
Golongan belia muda boleh mengikuti dan mendapatkan perkembangan semasa aktiviti dan program yang sudah diaturkan Kerajaan Negeri Selangor dengan melayari laman webnya di alamat spies.selangor.gov.my
MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN/selangorkini online
MODAL INSAN SETIAP DUN SELANGOR DAPAT RM40K
Tuisyen Rakyat bagi pelajar kurang mampu yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diperuntukkan sebanyak RM40k bagi setiap DUN di Selangor.
“Ini adalah peruntukkan lain untuk pembangunan kecemerlangan anak Selangor dalam pembelajaran tidak mengira perbezaan kaum, agama dan budaya sekali gus mengurangkan bebanan keluarga berkenaan." tegas YAB MB Selangor. MAIS juga telah menyusun program bantuan pendidikan di semua peringkat dalam negeri Selangor.
RM40,000: Mantap modal insan setiap DUN
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, RM40,000 yang diperuntukkan daripada dana RM3 juta melalui Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan itu bertujuan untuk menyara perbelanjaan kelas tambahan kepada semua pelajar yang tergolong keluarga miskin.
Menurutnya, jika peruntukan yang disalurkan dapat diuruskan dengan baik, tidak mustahil dapat membantu hampir 200 pelajar di negeri untuk mendapatkan kemudahan kelas tambahan untuk subjek dalam peperiksaan secara percuma.
“Ini adalah peruntukkan lain untuk pembangunan kecemerlangan anak Selangor dalam pembelajaran tidak mengira perbezaan kaum, agama dan budaya sekali gus mengurangkan bebanan keluarga berkenaan.
“DUN Ijok kini sudah memulakan pelbagai program melalui peruntukan yang disalurkan dan diharapkan semua DUN akan melaksanakannya pada April ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Stadium Tertutup Daerah Kuala Selangor semalam.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Asnaf Fakir Miskin Fasa II Lembaga Zakat Selangor (Mais) kepada 415 penerima sempena Sambutan Satu Tahun Pentadbiran Kerajaan Baharu Negeri Selangor.
Hadir sama, Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali; Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan ADUN Bukit Malawati, Ir Muthiah Maria Pillay.
Bantuan yang diberikan dalam majlis berkenaan adalah berbentuk wang tunai sebanyak RM200 seorang termasuk pakaian sekolah manakala bantuan material seperti basikal turut disumbangkan kepada yang layak.
Dalam pada itu Sinar Harian difahamkan bahawa LZS (Mais) menyusun 35 program bantuan pendidikan di seluruh negeri bermula 4 Mac lalu sehingga 31 Mac ini di Masjid Al Amaniah, Batu Caves melibatkan 25,714 pelajar dari peringkat tadika sehingga sekolah menengah.
Sinar Harian