
Ekoran dari kemalangan yang melibatkan bas ekspres dua tingkat pada bulan April 2009 (Sila lihat di bawah), telah dicadangkan agar bas double decker digunakan dalam perjalanan dekat atau dalam bandar.
Banyak pihak mendakwa bas dua tingkat sangat selamat. Ada yang menyatakan bahawa banyak kajian telah dibuat tentang kegunaan bas dua tingkat. Kini LPKP disarankan oleh Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah agar dinilai semula permit bas dua tingkat.
LPKP Disaran Kawal Pengeluaran Permit Bas Dua Tingkat
IPOH, 27 Dis (Bernama) -- Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) disaran agar mewujudkan mekanisme
kawalan dalam pengeluaran permit bas dua tingkat kepada syarikat pengangkutan awam.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata selain faktor kesesuaian muka bumi, pengeluaran permit itu juga sewajarnya mengambil kira kemampuan pemandu sesuatu syarikat untuk mengendalikan bas dua tingkat.
"Kalau boleh kita adakan kawalan supaya pemilihan untuk bas dua tingkat bukan sahaja untuk memberikan pulangan dari segi lebih banyak tempat duduk, tetapi ia dikuti dengan tanggung jawab supaya pemandu yang memandunya diberi latihan yang mencukupi.
"Lokasi yang lebih sesuai untuk penggunaan bas dua tingkat juga perlu dikenal pasti supaya lokasi-lokasi yang memberi risiko yang lebih tinggi terhadap penggunaan bas dua tingkat ini boleh kita kawal dengan baik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan raya (JKJR) Datuk Suret Singh dan Pengarah Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Salim Parlan.
Ahmad Farhan berkata walaupun bas dua tingkat secara umumnya mempunyai kestabilan yang baik jika dikendalikan dalam keadaan biasa namun ia memerlukan pemandu yang lebih berkebolehan untuk mengendalikan bas sedemikian.
"Kita tahu bahawa untuk mengendalikan bas dua tingkat memerlukan pemandu yang lebih berkebolehan. Kelajuan, dia punya pergerakan pusingan adalah berbeza berbanding bas biasa," katanya yang mengakui bas dua tingkat lebih sesuai untuk kegunaan dalam bandar berbanding untuk perjalanan jarak jauh.
Sementara itu Ahmad Farhan berkata Miros tidak bersetuju terhadap cadangan untuk melaksanakan larangan perjalanan bas ekspres pada waktu malam atau selepas tengah malam seperti yang diutarakan sesetengah pihak.
Beliau berkata kajian yang telah dijalankan oleh Miros mendapati bahawa separuh daripada pengguna perkhidmatan bas ekspres ketika ini akan terjejas jika larangan itu dikuatkuasakan.
Katanya pengguna berkenaan sama ada akan menggunakan perkhidmatan bas ekspres pada waktu yang dibenarkan ataupun akan menggunakan pengangkutan lain untuk ke destinasi masing-masing.
Ahmad Farhan, Suret dan Salim turut memeriksa bas dua tingkat Sani Express yang terbabit dalam kemalangan di KM272.8 Projek Lebuh raya Utara Selatan (Plus) yang mengorbankan 10 nyawa.
-- BERNAMA
PERATURAN APA YANG AKAN DIBUAT SELEPAS INI
PEMANDU BAS EKSPRES DISAHKAN GUNA DADAH
Laluan Musibah/ Dangerous Routes
BAS DUA TINGKAT IBARAT KERANDA BERGERAK
PERATURAN APA YANG AKAN DIBUAT SELEPAS KEMALANGAN INI

London Double Decker Bus digunakan untuk perjalanan dalam bandar dan dipandu pada kelajuan yang rendah.
Selain menarik pelancong, ia mengalakkan warga kota menggunakan pengangkutan awam bagi tujuan membendung kesesakan lalulintas di ibu kota.
Di Malaysia, bas dua tingkat digunakan untuk perjalanan jauh contohnya KL ke KB. Apakah rasional menggunakan bas dua tingkat untuk perjalanan jauh? Penjimatan dan keuntungan syarikat.
Adakah kajian dibuat tentang kesesuaian bas dua tingkat untuk perjalanan jarak jauh? Tiada.
Kita maklum betapa pentingnya kestabilan pada kenderaan terutama tatkala mengambil selekoh pada kelajuan yang tinggi. Lagi tinggi sesebuah kenderaan beroda empat, lagi tinggi pusat gravitinya, makin ia menjadi tidak stabil dan mudah terbalik.
Telah dilaporkan bahawa banyak syarikat bas ekspres tidak menyelenggara kenderaan mereka dengan baik. Malah wujud desas desus bahawa bas-bas ini tidak dihantar ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan bagi tujuan pelesenan RIMV. Ada yang mengatakan bahawa number plet bas ditukar semasa pertukaran shift bertugas pemandu......
Bas Terhoyong-hayang Sebelum Terbalik: Penumpang
Bas ekspres yang terbalik di Lebuh Raya Utara Selatan di sini dekat Rawang pagi Isnin menyebabkan enam orang terbunuh, dipandu pada kelajuan biasa, kata seorang penumpang, Sulinda Mat Yasin.
Sulinda, 31, yang sarat mengandung tujuh bulan berkata, bas dua tingkat yang dinaikinya itu bagaimanapun terhoyong-hayang dan terbalik apabila terlanggar
pembahagi jalan.
"Saya terkejut, takut dan tergamam sehingga tak dapat nak gambarkan keadaan sebenar kejadian itu," katanya kepada pemberita di Hospital Sungai Buloh di sini sebelum dibenarkan pulang selepas menjalani pemeriksaan kandungannya.
Dalam kejadian pukul 5 pagi tadi, lima penumpang dan pemandu bas milik AB Ekspres itu terbunuh manakala tiga orang cedera dalam nahas yang berlaku di Km 443 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini.
Bas itu membawa 34 penumpang dalam perjalanan dari Changlun, Kedah, ke Kuala Lumpur. Ia remuk di bahagian hadapan akibat melanggar pembahagi jalan sejauh 20 meter sebelum menyusur ke bahu jalan lalu terbalik.
Kejadian itu menyebabkan kesesakan lalulintas sepanjang tiga kilometer di sepanjang lebuh raya itu ketika pihak bomba mengeluarkan mangsa kemalangan.
Ketua Polis Trafik Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof ketika dihubungi Bernama berkata kemalangan berpunca daripada kegagalan pemandu mengawal kelajuan.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
"Semakan mendapati pemandu yang cedera, Fauzi Mohamad, 37, mempunyai lapan saman atas memandu laju manakala pemandu yang terbunuh, Zulkhibri Md Saad, 35, mempunyai enam saman dan lima waran tangkap atas kesalahan yang sama," katanya.
Penumpang yang terbunuh dikenali sebagai Muhamad Ismail, 27, dari Kampung Lubuk Batu, Jitra; Mohamad Fauzi Awang, 57, Kampung Siam, Alor Setar; Md Jaheer Mohamad, 33, Kodiang; Mohd Yusril Zakaria, 27, Kuala Muda, Kedah; dan C.Magentharan, 26, dari Klang.
Seorang mangsa yang terbunuh Muhamad Ismail, dijadual melangsungkan perkahwinannya bulan depan, katanya abangnya Ismaida, 35.
"Muhamad balik kampung di Jitra untuk membuat persiapan terakhir perkahwinannya," katanya.
Wan Nor Akmar Wan Musa, 29, isteri kepada Zulkhibri, berkata suaminya sepatutnya pulang ke rumah di Padang Serai, Kedah, esok selepas lapan hari bekerja.
Di BUKIT MERTAJAM, datuk saudara Zulkhibri, Ismail Saad, 79, berkata beliau membesarkan Zulkhibri sejak dia berusia enam bulan selepas ibu bapanya bercerai sehinggalah dia mendirikan rumah tangga.
"Selepas berkahwin dia dan isteri serta dua anak lelaki berusia tujuh dan sembilan tahun menyewa di Padang Serai tetapi setiap minggu mereka sekeluarga akan mengunjungi saya kerana hubungan kami sangat rapat," katanya.
Ibu saudara Zulkhibri, Rashidah Ismail, 48, berkata kematian mengejut Zulkhibri terpaksa diterima sebagai satu suratan takdir.
BERNAMA/sun2surf photos


