Ahli PAS diminta bertenang, tunggu arahan rasmi
SEMUA ahli PAS diminta bertenang dalam menghadapi ujian yang begitu mencabar dalam kepimpinan parti. Semua ini akan menguji kematangan pemimpin untuk menguruskan krisis.
Insya-Allah PAS yang mempunyai bahtera yang kuat dan kukuh mampu untuk menghadapi semuanya ini. Kalau Umno-BN yang mempunyai bala tentera dan kewangan daripada "qarun-qarun" yang ada di atas muka bumi ini pun kita mampu hadapi.
Maka sudah barang pastilah masalah yang berlaku pada hari ini, insya-Allah dapat diatasi dengan baik dan elok.
Saya yakin bahawa ahli PAS yang matang dalam sepak terajang politik akan merasa tenang apabila kita tahu kekuatan yang ada pada PAS dan organisasinya.
Ini kerana PAS adalah milik kita semua. Ia tidak boleh dimonopoli oleh sesiapa pun. PAS ada peraturan dan perlembagaan yang kemas dan teratur.
Iltizam kita ialah bersama dengan Pakatan Rakyat dan berhadapan dengan Umno-BN dalam apa suasana sekalipun.
Media cuba memainkan isu bahawa PAS hendak mewujudkan perpaduan Melayu. Secara tidak langsung mereka cuba melontarkan fitnah bahawa PAS hendak meninggalkan Pakatan Rakyat. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato' Setiausaha Agung pada 17 Jun lalu telah menjelaskan kekeliruan ini.
Kerajaan Perpaduan hanyalah lontaran idea sahaja daripada Presiden PAS. Sebarang keputusan dan polisi parti yang hendak dibuat akan dibincang terlebih dahulu dalam parti.
Insya-Allah, segala keputusan yang diputuskan itu akan kita sampaikan kepada semua pihak sehingga ke peringkat akar umbi melalui majlis taklimat khas.
Yakinlah firman Allah SWT, yang bermaksud: "Hendaklah kamu bermesyuarat dalam urusan kamu." Dan maksud sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Berjamaah itu rahmat."
Oleh itu kita boleh berbincang untuk mendapat maklumat sahih melalui mesyuarat, muzakarah, usrah, liqa. Inilah mekanisme parti yang paling baik untuk kita menyuarakan masalah dan kritikan kepada parti. Sekarang zaman canggih, maka bolehlah kita hubungi pimpinan untuk mendapat penjelasan.
Bersandarkan nas syara'
Segala keputusan politik yang PAS buat selama ini semuanya bersandarkan kepada nas syara' dan fiqh siasi.
Kita bertahalluf dengan parti bukan Islam dan ideologi yang berbeza, semuanya merujuk kepada nas syarak. Bukan senang hendak meyakinkan ahli bagaimana kita dibenarkan mengundi calon bukan Islam yang bertanding atas tiket parti yang bertahalluf dengan kita.
Semua ahli PAS perlu berhati-hati dalam menghadapi isu ini. Ini kerana musuh sentiasa memasang perangkap untuk menjayakan misi mereka bagi memecah-belahkan di kalangan ahli dan pimpinan.
Dapatkan maklumat rasmi daripada akhbar rasmi Harakah, laman web Harakahdaily dan akhbar Siasah supaya tidak menimbulkan kekeliruan.
Tunggu dan sabarlah untuk mendapatkan penjelasan rasmi daripada pimpinan dalam isu ini. Rapatkan saf jamaah supaya syaitan tidak menyusup masuk ke dalam parti kita.
Harakahdaily
KETUA PENERANGAN PAS BUAT SARANAN
UMNO PATUT TUMPU PULIHKAN PARTI, JANGAN PROVOKASI PAKATAN RAKYAT
Ketua Penerangan PAS berharap Umno/BN dapat menghentikan tumpuan untuk merampas negeri di bawah Pakatan Rakyat, sebaliknya menumpukan perhatian memulihkan Umno yang kian nazak sekarang ini
"Umno kini sedang tenat, lantik barisan kabinet pun masih dipertikaikan oleh rakan mereka dari parti komponen lain, dalam krisis ekonomi yang melanda negara"
Hentikan provokasi terhadap negeri Pakatan Rakyat - Mahfuz
Kejayaan Pakatan Rakyat dalam beberapa pilihan raya kecil selepas Pilihan raya Umum ke-12 kini menggambarkan Umno/BN sedang menuju kehancuran dan akan dikuburkan pada pilihan raya umum akan datang, demikian dinyatakan oleh Ketua Penerangan PAS Malaysia, Dato' Mahfuz Omar di Ceramah Isu Semasa di Kawasan Perumahan Kadok, Ketereh malam tadi.
Turut hadir ialah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Pengerusi Perhubungan KeADILan Kelantan, Abdul Aziz Kadir, Yang Dipertua PAS Ketereh dan Timbalan, Wan Ismail Wan Jusoh, Haji Azemi Mohd Noor serta Senator Dato' Rosli Ibrahim.
Mahfuz juga berkata, Umno/BN sepatutnya sedar dan insaf bahawa zaman sekarang rakyat Malaysia tidak lagi boleh disogok dengan wang, hadiah dan janji kosong kerana rakyat di negara ini sudah tidak lagi menghiraukan budaya sogokan oleh Umno/BN. Kegagalan Umno/BN dalam pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau dengan penambahan majoriti yang besar kepada Pakatan Rakyat jelas bahawa rakyat di kedua-dua kawasan tersebut menolak politik sogokan yang dibawa oleh Umno/BN.
"Mereka kini sudah kehabisan cara untuk menawan Dun di bawah parti Pakatan Rakyat, malah kemelut dalaman politik mereka semakin jelas dan Timbalan Presiden Umno turut mengakui bahawa Umno memerlukan dua tahun untuk memulihkan parti mereka. Nampaknya parti Umno sekarang bagaikan Penagih Dadah yang dipulihkan di pusat serenti yang memakan masa dua tahun, itupun masih lagi gagal," ujar beliau dan disambut dengan laungan takbir oleh lebih 5,000 orang ramai yang membanjiri kawasan perumahan tersebut.
Mahfuz berharap Umno/BN dapat menghentikan tumpuan untuk merampas negeri di bawah Pakatan Rakyat, sebaliknya menumpukan perhatian memulihkan Umno yang kian nazak sekarang ini.
Beliau juga sekali lagi menegaskan bahawa kenaikan Najib sebagai Perdana Menteri pada masa sekarang dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong amat bertepatan kerana ia akan menyenangkan Pakatan Rakyat untuk menjelaskan kepada rakyat jelata tentang kepincangan peribadi beliau yang sampai sekarang masih lagi disangsikan oleh seluruh dunia terhadap tragedi pembunuhan gadis Mongolia, Altantuya Saariibuu.
"Saya berharap Dato" seri="" najib="" dapat="" membersihkan="" nama="" dan="" ini="" mengambil="" tindakan="" terhadap="" akhbar="" luar="" negara="" yang="" melibatkan="" beliau="" dengan="" beberapa="" kata="">
Tindakan Umno yang menyatakan bahawa sokongan kaum Cina terhadap PAS di Bukit Gantang menyebabkan kekalahan mereka jelas menggambarkan Umno sudah tidak diterima oleh masyarakat umum negara ini.
Politik perkauman sempit yang diamalkan oleh parti-parti BN sudah ketinggal zaman, malah pendekatan Pakatan Rakyat seperti PAS yang menerima sokongan bukan Islam telah menaikkan martabat PAS di mata masyarakat bukan Islam dan seterusnya mereka menyokong perjuangan PAS walaupun berlandaskan al-Quran dan Hadis.
"Kenapa baru sekarang timbul PAS mendapat sokongan lebih 80 peratus sokongan pengundi Cina, sedangkan kita tidak pernah membangkitkan hal ini ketika mereka menang dulu, kita tak marah pada mereka, mereka kini telah mengatakan Melayu dalam darurat pulak bila kita dapat sokongan kaum Cina dan India, masa mereka dulu Melayu tidak dalam darurat, inilah fahaman politik perkauman sempit yang diamalkan oleh Umno," katanya lagi.
Menyentuh tentang cadangan supaya Dun Perak dibubarkan bagi memberi hak mutlak kepada rakyat memilih kerajaan, Mahfuz berkata ia sepatutnya diadakan secepat mungkin dan pimpinan Umno/BN boleh mengadap Sultan Perak untuk memberi cadangan tersebut.
Ini adalah kerana rakyat sudah menunjukkan siapa yang sepatutnya mentadbir Perak dengan kemenangan majoriti besar di Parlimen Bukit Gantang baru-baru ini. Dato' seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang mendapat majoriti 2789 undi jelas menggambarkan penolakan budaya Umno/BN yang merampas kerajaan yang dipilih oleh rakyat pada PRU ke-12 dulu.
"Kita tidak halang BN untuk menawan kembali Perak tetapi ia mestilah melalui jalan demokrasi iaitu dengan mengadakan pilihan raya kecil bagi negeri tersebut dan kita lihat di antara BN dan Pakatan Rakyat,yang manakah akan menjadi pilihan rakyat Perak," kata beliau.
Mahfuz juga berkata teori RAHMAN bagi enam Perdana Menteri Malaysia kini akan berakhir dengan naiknya Najib sebagai Perdana Menteri ke-6 kerana ia bermaksud, Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak, Hussin Onn, Mahathir Muhammad, Abdullah dan kini Najib.
"Kita bukannya percaya teori ini, tetapi inilah yang berlaku sampai sekarang, nampaknya Najib adalah Perdana Menteri terakhir dari BN, lepas ni ia akan diterajui pulak oleh Pakatan Rakyat," katanya.
Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata Umno/BN kini sudah masuk zaman kehancuran kerana orang Cina dan India sudah tidak lagi bersama mereka dan jelas sekali dengan penerimaan kaum Cina dan India di kedua-dua pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau baru-baru ini.
"Kini kaum bukan Islam telah dapat menerima PAS dan mereka kini tubuh pulak kelab Penyokong PAS di seluruh negara, Islam adalah untuk semua bukannya milik satu-satu kaum sahaja," katanya.
"Umno kini sedang tenat, lantik barisan kabinet pun masih dipertikaikan oleh rakan mereka dari parti komponen lain, dalam krisis ekonomi yang melanda negara, mereka masih lagi tidak dapat menjalankan tugas dengan sempurna malah MIC yang menang beberapa kerusi dalam PRU ke-12 pun berani minta kerusi lebih," kata beliau.
mns/mks/Mohd Nor Yahya/harakahdaily
MAHFUZ BERI AMARAN PADA SHABERY CHEEK
Jikalau tidak menggunakan jentera kerajaan nak guna apa ya. UMNO bukan ada mekanisme atau kaedah sendiri untuk mencari penyokong dulu, kini dan selamanya melainkan tumpang kerajaan punya kemudahan seperti balai raya, kereta jabatan, NGO dan sebagainya.
Jangan guna KBS untuk raih sokongan belia kepada Umno- Mahfuz
Menteri Belia dan Sukan (KBS) yang baru, Dato' Ahmad Shabery Cheek dinasihatkan agar tidak menggunakan KBS sebagai platform meraih semula sokongan belia kepada Umno.
Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar kepada Harakahdaily sebentar tadi ketika mengulas kenyataan Shabery berhubung isu kelesuan sokongan belia kepada Umno.
Shabery dalam laporan televisyen semalam dipetik sebagai berkata, beliau akan bekerja keras bagi memastikan golongan belia kembali menyokong Umno.
Ujar Mahfuz, seharusnya tugas untuk menarik sokongan belia digalas oleh Ketua Pemuda Umno yang baru,Khairy Jamaluddin,bukannya KBS.
KBS adalah organisasi kerajaan yang sepatutnya menjalankan tugas membangunkan sahsiah dan akhlak belia hari ini yang semakin parah.
"Bukan tugas KBS untuk menarik sokongan belia yang secara puratanya menyebelahi Pakatan Rakyat dalam tiga pilihan raya kecil yang baharyu sahaja berlalu.
"Sepatutnya tugas ini digalas Khairy, dan Khairy sendiri akui beliau mahu menyahut cabaran Presiden Umno, Najib Tun Razak agar pemuda menarik kembali sokongan belia," kata Mahfuz.
Sambil menyifatkan kenyataan Shabery itu sebagai satu penyalahgunaan jentera kerajaan, Mahfuz menasihatkan Shabery agar berusaha membangunkan mutu sukan negara yang semakin merosot terutamanya di peringkat antarabangsa.
Wan Nordin Wan Yaacob/harakahdaily
KETUA PENERANGAN PAS BERHUJAH
Sultan dimohon tidak izinkan penubuhan "kerajaan kaki rasuah"
Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar memohon agar Sultan Perak tidak mengizinkan Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan di Perak dengan mengheret dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menghadapi tuduhan rasuah untuk mendapatkan majoriti mudah.
"Jika Sultan mengizinkan penubuhan kerajaan Perak dengan cara seperti itu, ia bukan sahaja dibimbangi akan mencemarkan nama baik istana malah ia akan memberi kesan kepada pertuduhan rasuah ke atas Jamaluddin (Mohd Radzi) dan Mohd Osman (Mohd Jailu).
"Sebagaimana yang diketahui Sultan Perak sendiri, Jamaluddin dan Mohd Osman akan menghadapi tuduhan rasuah dan tindakan mereka menyokong BN walaupun sebagai ADUN Bebas dilihat sebagai usaha untuk membolehkan tuduhan ke atas mereka digugurkan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Jika tuduhan ke atas mereka digugurkan, katanya, adalah dibimbangi rakyat akan melihat tuduhan ke atas mereka digugurkan berikutan persetujuan istana membenarkan BN membentuk kerajaan melalui majoriti mudah hasil penyertaan kedua-dua ADUN yang dituduh rasuah itu.
"Jika perkara itu berlaku, adalah dibimbangi rakyat akan melihat istanalah yang membebaskan kedua-duanya dari tuduhan rasuah.
"Semua pihak maklum, jika mereka masih berada dalam kerajaan Pakatan Rakyat (PR), tidak mungkin tuduhan ke atas mereka digugurkan," katanya.
Mahfuz memohon Sultan Perak agar tidak melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan baginda dituduh mengizinkan "penubuhan apa yang didakwa sebagai kerajaan kaki rasuah".
"Malah istana juga mungkin dituduh membiarkan dua orang yang dituduh rasuah berada dalam gerombolan yang memerintah Perak melalui apa yang dilihat sebagai tindakan merasuah juga - malah turut dilihat menggunakan ugutan untuk membentuk kerajaan.
"Tidak ada siapa pun yang dapat mahu melihat Sultan Perak dituduh membiarkan negeri di bawah naungan baginda dicengkam oleh gerombolan yang membentuk kerajaan melalui tindakan yang didakwa menggunakan ugutan dan rasuah," kata beliau.
Mahfuz juga tidak mahu melihat Sultan Perak dituduh merestui apa yang didakwa sebagai perancangan mengugut dan merasuah secara besar-besaran semata-mata kerana hendak menebus ego seseorang yang hendak menjadi Perdana Menteri ketika cita-citanya menerima tamparan hebat apabila indeks kepercayaan terhadapnya jatuh merudum.
"Jika Sultan terpalit dengan tuduhan sedemikian, ia merupakan satu detik hitam terhadap nama baik baginda yang selama ini merupakan Sultan yang sangat dihormati malah disanjung sebagai bekas Ketua Hakim yang begitu komited memelihara kedaulatan undang serta kesusilaan bangsa Melayu dan umat Islam.
"Kita tidak mahu sama sekali melihat Sultan Perak yang juga ketua urusan agama Islam di dalam negeri di bawah naungan baginda dituduh mencemarkan nama baik istana malah institusi Raja Melayu sendiri apabila didakwa mengizinkan penubuhan apa yang didakwa sebagai kerajaan perasuah," katanya.
Mahfuz juga mengecam Datuk Najib Tun Razak yang berharap sangat hendak menjadi Perdana Menteri Mac ini yang dilihat menjadi pengarah kepada konspirasi mengheret dua ADUN yang dituduh rasuah itu untuk membolehkan BN membentuk kerajaan di Perak.
"Kita tidak tahu berapa banyakkah wang terlibat dalam menjayakan konspirasi itu tetapi Najib dilihat tidak ada moral lagi untuk diterima oleh rakyat negara ini sebagai Perdana Menteri.
"Rakyat tidak akan menerima dan mempercayai Perdana Menteri yang dilihat mengotorkan nama negara" katanya.
Najib, katanya lagi, juga dilihat melaksanakan apa yang dibimbangi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Dr Mahathir bimbang Malaysia akan dipimpin oleh perasuah selepas pemilihan Umno Mac ini yang diakui oleh para pemimpin Umno sendiri sebagai begitu tercemar dengan kejijikan rasuah.
"Adalah amat malang apabila Najib dilihat mengeksport kejijikan rasuah yang memburukkan Umno itu ke dalam pembentukan dan keanggotaan kerajaan Perak ," katanya.
Indeks penerimaan terhadap Najib baru-baru ini jatuh merudum apabila hanya 41 peratus sahaja dari mereka yang ditinjau pendapat mereka yang percaya Najib akan menjadi Perdana Menteri yang baik.
Tinjauan tersebut dibuat ke atas 1,018 pengundi Malaysia di negara ini oleh Merdeka Centre bulan lalu
Abdul Aziz Mustafa / Harakahdaily
Kuala Lumpur
Thu | Feb 05, 09 | 4:34:12 am MYT