SINGAPURA, 11 Ogos (Bernama) -- Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia Datuk Seri Ramli Sha'ari Selasa dikurniakan Pingat Jasa Gemilang Singapura
atas peranannya dalam mewujudkan hubungan yang semakin kukuh antara Cawangan Khas dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura (ISD).
Majlis bersejarah itu diadakan di Kementerian Dalam Negeri di sini di mana Menterinya Wong Kan Seng, yang juga Timbalan Perdana Menteri, mewakili Presiden republik itu S.R. Nathan menyampaikan anugerah itu.
Dalam satu kenyataan di sini, kementerian itu berkata Ramli begitu aktif memperkukuhkan hubungan antara Cawangan Khas dan ISD, dan di bawah kepimpinan beliau, hubungan antara dua cawangan polis itu semakin rapat dengan pertukaran risikan penting anti-keganasan dan operasi bersama terhadap Jemaah Islamiah (JI) dan sasaran lain yang ada kaitan dengan keganasan.
Sejak beberapa tahun lepas, kementerian itu berkata kerjasama antara Cawangan Khas dan ISD telah membawa kepada penangkapan beberapa anggota JI Singapura yang melarikan diri dan bersembunyi di Malaysia oleh polis Malaysia.
Kementerian itu berkata paling penting, Cawangan Khas menumpukan kepada usaha untuk menyiasat kemungkinan pemimpin JI Singapura Mas Selamat Kastari bersembunyi di Johor selepas melarikan diri dari Singapura tahun lepas.
Penangkapan Mas Selamat pada April lepas merupakan satu bukti sikap profesional dan kecemerlangan operasi Cawangan Khas dan pimpinan yang cekap oleh Ramli dalam menangani keganasan, katanya.
Kementerian itu berkata usaha-usaha anti-keganasan dan kejayaan Cawangan Khas telah membantu menjadikan Singapura dan rantau ini lebih selamat.
-- BERNAMA
BERITA MENARIK
Labels:
CAWANGAN KHAS,
INTERNAL SECURITY DEPARTMENT,
PDRM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Comments :
Post a Comment