Pray For MH370

Pray For MH370

Bersih hati, Bersih cara, BERSIH SPR ,BERSIH PUTRAJAYA

Bersih’ wajib berjalan dengan bersih — Dr Mohd Asri Zainul Abidin
June 22, 2011 Malaysian Insider

22 JUN — Banyak pihak bertanya pendirian saya tentang kempen NGO “Bersih” menuntut Pilihanraya yang adil bagi negara ini. berikut adalah pendirian dan pandangan saya;

Sesuatu tindakan dalam urusan kehidupan muslim khususnya dilihat kepada dua perkara; tujuan dan cara. Jika tujuannya baik, dan caranya juga baik maka itu adalah amalan yang baik.

Jika tujuannya baik, caranya salah, maka pelakunya tetap bersalah kerana mengambil cara yang salah seperti mencuri dengan tujuan hendak bersedekah. Jika tujuannya buruk atau dosa, segala langkah ke arah tujuan itu dinilai berdosa.

Setiap individu yang hendak menyertai sesuatu aktiviti, hendaklah memastikan tujuannya itu halal atau mulia, dan caranya juga halal.

Setelah saya mendengar taklimat Bersih dan menilainya, saya dapati tujuannya baik, menuntut hak yang sepatutnya diperolehi oleh rakyat seperti yang dijanjikan oleh perlembagaan.

Jika ia berjaya, pada pandangan saya bukan untuk kemaslahatan parti tertentu sahaja, tetapi untuk keadilan berpolitik sepanjang masa, untuk semua pihak tanpa mengira parti.

Maka, saya tidak mempertikaikan Bersih di sudut tujuannya. Cuma saya bimbang jika ada parti tertentu yang cuba menzahirkannya dalam sifat kepartian, bukan untuk rakyat secara umum. Sedangkan tuntutan itu untuk semua dan baik untuk memastikan keadilan dalam pengurusan pilihanraya.

Adapun cara yang hendak dicapai iaitu dengan melakukan demonstrasi, pada asasnya ia sesuatu yang harus melainkan jika diiringi dengan perkara-perkara haram seperti kerosakan harta benda awam, pergaduhan dan penonjolan akhlak yang buruk. Nabi s.a.w dalam hadis pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya untuk membuat bantahan di jalan.

Dalam hadis itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi s.a.w: “Sesungguhnya jiranku menyakitiku”. Sabda Nabi s.a.w: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”. Maka mereka berkata: “Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”.

Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih). Ini menunjukkan bahawa mengajak orang di jalan membantah kezaliman adalah dibolehkan. Dalam konteks politik hari ini, demonstrasi aman sebahagian dari cara pencegahan munkar politik yang telah terbukti keberkesanannya di banyak negara.

Namun, oleh kerana demonstrasi itu terdedah kepada bahaya dan porak peranda, maka demonstrasi hendaklah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan. Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di utamakan. Saya difahamkan hal-hal itu telah dilakukan.

Pihak SPR hendaklah menunai tuntutan yang adil itu bagi mengelakkan rakyat turut ke jalan yang mempunyai kemungkinan yang pelbagai.

Jika pihak SPR enggan, menjadi hak rakyat untuk menuntutnya secara aman. Aman adalah syarat utama, jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak.

Maka, sesiapa yang hendak menyertai demonstrasi Bersih hendaklah berazam bahawa mereka tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, tidak mencederakan sesiapa, tidak memaki hamun, sebaliknya melafazkan slogan tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati.

Adalah haram mana-mana pihak, samada peserta demonstrasi atau polis memulakan provokasi yang boleh menyebabkan berlakunya rusuhan. Sebaliknya, pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat.

Maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses situ berjalan dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera. Para peserta demonstrasi juga hendaklah sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan, maka hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas dengan betul menurut peratusan keselamatan. Sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa.

Cita-cita rakyat itu tidak akan tertunai melainkan adanya kerjasama yang baik dari semua pihak. Polis, rakyat dan golongan atasan. Semua pihak hendaklah berfikir untuk memastikan negara kita adil, aman dan teratur.

Menyertai Bersih merupakan salah satu dari usaha yang mulia itu, dan memastikan Bersih itu Bersih dari kekacauan dan provokasi adalah tanggungjawab setiap pihak yang terlibat.

* Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah ahli akademik dan bekas Mufti Perlis.

Comments :

0 comments to “Bersih hati, Bersih cara, BERSIH SPR ,BERSIH PUTRAJAYA”
 

x

Photobucket

e


Popular Posts

Followers


View My Stats

pautan lain

  • - Add caption *Relawan AMALNITA sedia bersama....*
    8 years ago
  • Shopping Back To School. - Oleh kerana 2 petugas kaunter demam dlm Program Jom Shopping Back To School DUN Meru, maka Yb Meru dan Dato Ketua Kampung membantu mengambil...
    9 years ago

Ab

zwani.com myspace graphic comments

x

Photobucket









Recent Comment

ISLAMICITY

SEARCH THE TRUTH

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com