Perhimpunan 13 Mei, Warga Kerja Diseru Hadir Kemuka Masalah
– May 8, 2012SHAH ALAM 8 MEI : Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali menggesa warga pekerja untuk hadir beramai-ramai di Majlis Himpunan Pekerja pada (Ahad)13 Mei ini bermula dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam.
Majlis tersebut akan disertai pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat(PR) seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Lim Kit Siang, selain kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurut Dr Halimah, gesaan tersebut dibuat selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menyampaikan dasar PR dalam memartabatkan golongan pekerja.
“Pakatan Rakyat dari dulu hingga sekarang komited untuk melaksanakan dasar-dasar bagi membela nasib pekerja kerana kita yakin apabila pendapatan rakyat meningkat, pengaliran ekonomi juga sama meningkat dan begitu juga dengan taraf hidup rakyat.
“Kita juga berharap dengan adanya program ramah mesra bersama rakyat Ahad ini, dapatlah kita mendengar luahan pekerja sambil berbincang secara lebih terbuka dasar-dasar yang boleh diketengahkan demi kepentingan warga pekerja,” jelas beliau yang ditemani Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid sewaktu mengadakan Lawatan Program Ramah Mesra Bersama Warga Industri di Kilang Pokka Ace (M) Sdn. Bhd di sini pagi tadi.
Mengulas tawaran Kerajaan Pusat untuk menyelaraskan gaji minimum sebanyak RM900 bagi pekerja di Semenanjung sementara RM800 bagi Sabah dan Sarawak, Dr. Halimah menegaskan tawaran itu sama sekali tidak relevan.
“Ramai yang tidak setuju dan tidak gembira dengan pengumuman Perdana Menteri itu kerana dengan kos sara hidup yang tinggi, kos sebegitu tidak lagi sepadan untuk perbelanjaan bagi seisi rumah hari ini.
“Sebaliknya Pakatan Rakyat komited untuk menyelaraskan pendapatan minimum sebanyak RM 1,500 dan itu sesuatu yang kita mampu dan pasti lakukan jika berjaya menawan Putrajaya nanti,” jelas beliau.
Selain Abdullah Sani, lawatan pagi tadi turut disertai pemimpin dan wakil dari 16 kesatuan sekerja dengan menaiki bas persiaran yang dilepaskan Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK) di sini pagi tadi.
Comments :
Post a Comment