KONSEP KEMERDEKAAN HOLISTIK
Selangor mahu kemerdekaan holistik
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Hajah Halimah Ali menegaskan kemerdekaan yang dihajatkan Kerajaan Negeri Selangor adalah merdeka holistik yang menggabungkan kesejahteraan fizikal, mental dan spiritual.
Kerana itu, ujarnya, kerajaan negeri tetap meneruskan gerakan memantapkan spiritual rakyat Negeri Selangor bagi mencapai matlamat Negeri Idaman, Maju dan Sejahtera yang menjadi tonggak perjuangan siasah Pakatan Rakyat sejak menerajui negeri pada 8 Mac 2008 lalu.
“Ini merupakan gerakan jihad akhbar yang dimajukan oleh Generasi Idaman Selangor (GeMS) dan memerlukan pengembelengan kemahiran dan pengalaman aktivis sosial yang bersinergi dalam usaha membersihkan Selangor dari gejala sosial,” tegasnya.
Ketika bercakap di sebuah stesen radio bernuansa Islam yang disiarkan ke seluruh negara pagi tadi, beliau yakin dengan konsep success mentality dan bersemangat dengan firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 110.
Dr Halimah yang juga Adun Selat Klang menyatakan hasratnya meneruskan usaha murni tersebut meskipun sedar ianya merupakan perkara baru dalam masyarakat.
Sambil berkata, ‘jika tidak kita memulakannya siapa lagi?’ yang baginya, untuk membawa satu perkara besar ini memerlukan kerjasama banyak pihak yang berkemahiran dan berpengalaman yang terdiri daripada aktivis sosial yang sudi bekerjasama.
Dr Halimah dalam siaran itu bercakap lanjut tentang program Semarak Merdeka dan Penghayatan Ramadhan peringkat Negeri Selangor di I-City, Seksyen 7, dekat sini yang akan diadakan pada malam ini (30 Ogos Isnin).
Menurutnya, orang ramai berhimpun sejak 6.30 petang nanti dan majlis dimulakan dengan Iftor Jamaie (berbuka puasa secara ramai), Solat Tarawih Perdana, setelah itu diadakan Konsert Amal Kemerdekaan, Mengingati Peristiwa Mavi Marmara LL4Gaza.
Tepat jam 12 malam, sambutan kemerdekaaan dimulakan dengan perasmian oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim termasuk pelancaran Kempen Anti Zina dan Ekspedisi Dakwah GeMS.
Selain itu, pertunjukan bunga api dan cabutan bertuah diadakan dengan kemasukan secara percuma.
Antara artis popular tanahair yang turut serta adalah Ramli Sarip, Mawi, Ringgo termasuklah juara Imam Muda, Ustaz Mohd Asyraf, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan Ustaz Zamri Zainuddin.
Ismail Hashim/Harakahdaily
RAMADHAN DIHAYATI HARI KEMERDEKAAN DIINGATI
PENGHAYATAN RAMADHAN SEKALIGUS SAMBUTAN KEMERDEKAAN
Lazimnya sambutan hari kemerdekaan di Malaysia sejak 53 tahun yang lalu dipenuhi dengan aktiviti yang bukan sekadar adat, bukan juga ibadat malah maksiat.
Pada tahun ini, sempena sambutan hari kemerdekaan yang juga jatuh pada malam-malam terakhir Ramadhan Al Mubarak yang sewajarnya membawa berkat, penuh mulia dan syahdu, Kerajaan Selangor mengambil pendekatan berbeza iaitu mendidik generasi muda berhibur, bergembira tetapi pada waktu yang sama tidak lagha, tidak berunsur maksiat serta berfaedah duniawi ukhrawi.
ADAKAH ANDA MENGIMPIKAN GENERASI IDAMAN SELANGOR
Kerajaan Negeri Selangor serius merancang mahu menjadikan Selangor negeri idaman, maju, selamat, sejahtera dan berkebajikan. Diantara teras pembangunan lestari negeri ialah memacu pembangunan modal insan. Perancangan rapi yang mengambilkira input daripada pelbagai pakar pembangunan insan yang mempunyai pengalaman dan ahli akademik serta pakar motivasi dan telah dibentang kepada wakil warga pendidik, pimpinan masyarakat, siswa, belia dan NGO serta akitivis masyarakat. Maka, lahirlah satu model pambangunan modal insan sebagai satu dasar kerajaan baharu negeri Selangor iaitu S.P.I.E.S tm.
Pembangunan insan secara menyeluruh dan sepadu ini digagaskan bagi melahirkan modal insan berkualiti sebagai agen yang akan menyokong dan mendokong pembangunan negeri Selangor hingga tercapai visi menjadi Selangor baldatun tayyibatun wa robbun ghafuur iaitu negeri yang baik dan diampuni serta dirahmati oleh Allah swt.
Namun, usaha pembangunan insan ini perlu diseimbangkan dengan program mitigasi insan liabiliti yakni meminimakan jumlah insan yang merugikan diri, keluarga, masyarakat dan negeri. Golongan yang dimaksudkan insan liabiliti ialah mereka yang terjebak dalam gejala sosial seperti penagihan dadah, penagihan arak, jenayah dan vandalisme.
Gejala social yang melanda masyarakat terutama yang melibatkan golongan remaja dan belia seperti buang bayi, sumbang mahram, video lucah,lumba haram dan sebagainya telah memporakperandakan institusi kekeluargaan dan mengancam keutuhan dan keharmonian masyarakat dan Negara. Fenomena ini dijangka akan bertambah teruk jika tiada tindakan yang drastik dan efektif dirangka dan dilaksanakan segera.
Kerajaan wajib melakukan dua perkara ini serentak bukan terasing atau terpisah-pisah seperti yang telah dilakukan oleh pihak berwajib dahulu. Inilah yang dimaksudkan dengan pendekatan amar ma’ruf nahi mungkar atau mengajak kepada perkara kebajikan dan mencegah kemungkaran.
Justeru, untuk mempastikan keberkesanan ikhtiar menangani gejala sosial maka kerajaan negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan mewujudkan Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial di peringkat negeri yang melibat pelbagai jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Pelajaran, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan, JAIS, PDRM, AADK, semua Pegawai Daerah, semua Datuk Bandar/YDP PIHAK BERKUASA TEMPATAN,NGO, pimpinan masyarakat, pertubuhan wanita dan belia, PIBG, Majlis Permuafakatan Tadika Selangor, pimpinan tertinggi IPT negeri dan aktivis masyarakat.
Jawatankuasa ini akan di wujudkan di daerah-daerah yang melibatkan komposisi ahli AJK yang sama dan juga penghulu. Segala program yang dirancang bagi membendung penularan gejala sosial dan jenayah akan di jalankan adalah diberi nama Program GeMS(Generasi Idaman Selangor).
Kaedah pelaksanaan GeMS menggunakan pendekatan 5P iaitu Pembangunan, Pencegahan, Pencelahan, Penguatkuasaan dan Pemulihan ke atas golongan sasaran secara bersepadu dan bersifat jangka panjang.
Ingin saya tekankan di sini, pendekatan yang diperlukan ialah pendekatan holistik dan inklusif. Strategi yang memungkinkan kejayaan mengatasi gejala social ialah kolaborasi sinergistik di antara pelbagai jabatan dan agensi kerajaaan serta badan-badan NGO, pimpinan setempat masyarakat serta keluarga dan rakan taulan. Sudah tentu polisi kerajaan dan pelaksanaan program berimpak tinggi yang sentiasa dipantau dan diberi penambahbaikan. Kajian & Penyelidikan perlu di utamakan.
Adalah harapan saya semua penduduk di Selangor memainkan peranan proaktif bagi melahirkan generasi idaman Selangor yang bersifat positif, berakhlak mulia dan mara ke depan melahirkan budaya bantu membantu, prihatin dan sentiasa peka kepada keadaan sekeliling dan kebajikan keluarga sekeliling.
GEJALA SOSIAL DI SELANGOR: SIDANG AKHBAR
Oleh
Dr. Halimah Ali
EXCO Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan Modal Insan
Kerajaan Negeri Selangor
Usaha Kerajaan Negeri Selangor Dalam Menangani Isu Gejala Sosial di kalangan Rakyat Selangor
Tarikh : 22 januari 2010
Masa : 11.00 pagi
Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor ingin menegaskan keprihatinannya terhadap aspek pembangunan modal insan rakyat Negeri Selangor dan akan secara berterusan mencari jalan terbaik dalam menjayakannya. Pihak kerajaan negeri juga telah mengenal pasti kekangan dan halangan yang timbul dalam usaha membentuk keperibadian mulia rakyat terutama yang melibatkan golongan remaja dan belia. Antara kekangan dan halangan ini ialah isu gejala sosial, yang banyak diperkatakan tetapi kurang diambil tindakan, bukan sahaja menjolok mata dan hati nurani kita tetapi turut juga serta mengganggu-gugat ikatan kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Gejala sosial yang melanda masyarakat terutama yang melibatkan golongan remaja dan belia seperti sumbang mahram, buang bayi, video lucah, lumba haram dan sebagainya telah memporak-perandakan institusi kekeluargaan dan mengancam keutuhan dan keharmonian masyarakat dan negara. Fenomena ini dijangka akan bertambah tenang jika tiada tindakan yang drastik dan efektif dirangka dan dilaksanakan segera.
Menyedari hakikat ini dan juga berdasarkan aduan dan rayuan daripada ibu bapa, pemimpin tempatan dan orang ramai, Kerajaan Negeri Selangor melalui EXCO Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan telah mengambil 3 pendekatan segera iaitu:
1) Menubuhkan Jawatankuasa Induk menangani isu gejala sosial Selangor yang dipengerusikan oleh EXCO Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan sendiri dan dianggotai beberapa ADUN, pegawai kanan kerajaan, Datuk Bandar dan YDP pihak berkuasa tempatan, pihak polis, JAIS, tokoh-tokoh yang berkaitan dan wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO). Jawatankuasa ini bertanggungjawab merangka polisi kerajaan negeri berhubung isu gejala sosial dan memantau pelaksanaan program-program susulan.
2) Melantik Pusat Kecemerlangan Umah (Ummah Centre), sebuah badan bebas bagi melakukan bancian berhubung ”Persepsi Pelajar-pelajar Di Selangor Berhubung Isu Gejala Sosial Dan Langkah-langkah Menanganinya”. Bancian ini bertujuan untuk melihat sejauh mana persepsi pelajar-pelajar di Selangor berhubung isu gejala sosial dan kesan terhadap kehidupan mereka.
3) Melaksanakan Program Generasi Idaman Selangor atau singkatannya GeMS, satu program khas bersepadu yang akan mengendalikan segala aktiviti berhubung isu gejala sosial di Selangor. Program GeMS akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Pelaksana GeMS yang dipengerusikan oleh YB Dr. Ahmad Yunus Hairi, Pembantu EXCO Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.
Bancian yang dibuat oleh Ummah Centre ke atas 1,905 responden yang terdiri daripada pelajar-pelajar tingkatan 1 hingga 5 di seluruh Selangor, yang ditemubual secara rawak antara 14 hingga 28 Disember 2009, mendapati:
I. 74.3% responden berpandangan bahawa gejala sosial adalah serius sementara 0.7% berpendapat bahawa ia tidak membimbangkan. Kajian mengikut etnik dan gender pula menunjukkan trend yang sama di mana lebih 70% berpandangan bahawa gejala sosial di kalangan mereka adalah serius.
II. 100% responden menyedari kewujudan isu gejala sosial di kalangan mereka dan 99.1% mengakui bahawa gejala sosial sememangnya mengganggu kehidupan mereka. Kebimbangan utama mereka ialah gejala sosial ini akan mempengaruhi diri mereka untuk terlibat sama (49.7%).
III. Responden Melayu memilih maksiat/pergaulan bebas, video lucah/pornografi dan lumba haram sebagai 3 jenis gejala sosial yang paling serius, manakala responden Cina dan India, mereka memilih gangsterisme/buli, disiplin pelajar dan dadah.
IV. Lebih 85% responden berpandangan bahawa masalah keluarga dan pengaruh rakan menyumbang kepada gejala sosial. Usaha Rehabilitasi, pada pandangan lebih 65% responden, adalah sukar kerana pengaruh rakan dan kegagalan mengawal diri sendiri.
V. 68.8% responden merasakan bahawa program kerajaan negeri setakat ini tidak berkesan dalam menangani isu gejala sosial dan hanya 14% yang berpendapat ia sangat berkesan. Lebih 60% responden berpandangan bahawa keluarga dan kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab menangani gejala sosial diikuti kerajaan negeri (52.6%). Hanya 12.9% responden berpandangan bahawa guru/sekolah bertanggungjawab dalam menangani isu gejala sosial ini.
VI. 56.3% responden memilih aktiviti luar (outdoor activities) sebagai aktiviti yang sesuai untuk menangani isu gejala sosial, jauh meninggalkan program motivasi dan pendidikan (kurang dari 25%).
VII. Pemerhatian sendiri, maklumat dari rakan dan televisyen adalah 3 penyumbang besar kepada sumber maklumat berhubung isu gejala sosial di kalangan pelajar. Peratusan yang rendah kepada guru dan ibu bapa (kurang daripada 8%) membayangkan masalah komunikasi antara manusia yang mempunyai pengaruh besar terhadap pelajar dalam perkara-perkara yang menjadi kepentingan hidup mereka.
Program Generasi Idaman Selangor (GeMS) adalah program khusus kerajaan Negeri Selangor dalam menangani gejala sosial di kalangan remaja dan belia negeri Selangor. Ia berteraskan kaedah ”5P” yakni Pembangunan, Pencegahan, Pencelahan, Penguatkuasaan dan Pemulihan ke atas golongan sasaran secara bersepadu dan bersifat jangka panjang.
Pihak kerajaan negeri telah melaksanakan Program GeMS di Shah Alam pada tahun 2009 sebagai program ujian dan akan mengembangkannya ke seluruh Selangor pada tahun 2010 dengan sasaran peserta seramai 12,000 orang. Golongan tersebut terdiri daripada golongan remaja dan belia yang terlibat dalam gejala sosial (dikenalpasti sebanyak 22 jenis gejala sosial) dan dari kalangan mereka yang berisiko tinggi yakni mereka yang berkawan dengan golongan yang terlibat dengan gejala sosial atau mempunyai keluarga yang bermasalah atau bermasalah di sekolah dan dalam pelajaran. Program GeMS juga akan melibatkan ibubapa dan guru golongan sasaran dalam aktivitinya.
Program GeMS juga akan memberi tumpuan khusus kepada kawasan fokus iaitu di Taman Flat Sri Perantau, Klang dan Desa Kasih di Sabak Bernam untuk pelaksanaan dan pemantauan aspek gejala sosial ke atas golongan remaja dan belia kawasan berkenaan.
Akhir kata, Kerajaan Negeri Selangor berharap, selain daripada program GeMS ini, kerjasama erat antara agensi kerajaan, pihak berkuasa, pihak keselamatan, jawatankuasa kampung, masjid dan surau, rukun tetangga, NGO dan penduduk setempat dalam membenteras gejala sosial amat diperlukan. Read More “GEJALA SOSIAL DI SELANGOR: SIDANG AKHBAR” »»
SAR BANTU WUJUDKAN GeMS
Kerajaan Negeri Peruntuk Enam Juta Bangunkan Sekolah Agama Rakyat (SAR)
Kerajaan Negeri memperuntukan enam juta ringgit dalam usaha menaiktaraf sekolah agama rakyat yang selama ini terpinggir.
Menyedari sumbangan besar institusi pengajian Islam kepada pembangunan masyarakat madani,Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali berkata peruntukan ini bertujuan menaiktaraf kualiti bangunan dan prasarana sekolah pondok yang usang. Menurutnya, Pondok Bustanul Arifin yang terletak di Banting ini antara pusat pengajian agama yang menerima peruntukan tersebut bagi tujuan membaik pulih bangunannya yang sudah daif.
Pusat pengajian yang diasaskan Ustaz Ahmad Ansori Murshid ini dibangunkan sejak tahun 2003 dan kini mempunyai bilangan pelajar seramai 130 orang.
Dr Halimah berkata demikian kepada TV Selangor selepas merasmikan Majlis Penutup Kem Bina Iman, di pusat pengajian itu petang semalam.
Dalam acara tersebut, seramai 160 pelajar lelaki seluruh Selangor dihimpunkan dalam program jati diri Kem Bina Iman di Banting Selangor.
Dr Halimah Ali berkata kem lapan hari tujuh malam dengan kerjasama Pusat Pengajian Pondok Bustanul Arifin bertujuan membangunkan potensi diri setiap pelajar selain mengenal pasti masalah mereka melalui modul SPIES.
“Program Generasi Idaman Selangor singkatnnya GeMS di mana kita cuba mencegah anak dari pelbagai latar belakang khususnya di kalangan remaja belia ini yang mana mereka ini datang daripada seluruh Selangor dan kita tempatkan disini 8 hari, ada yang sebulan, ada yang tiga hari dan ada di antara kalangan mereka ini anak-anak atau remaja yang telah terjebak dalam gejala sosial bahkan ada yang ditahan oleh polis untuk dihantar ke pondok ini”,katanya.
TVSelangor