MB- Wakil rakyat jangan mudah lupa diri
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan semua wakil rakyat supaya tidak mudah lupa dengan amanah rakyat setelah bergelar `Yang Berhormat' untuk melaksanakan dan mengutamakan tugas serta tanggungjawab membela nasib rakyat.
Dalam ucapan khas sempena sambutan 50 tahun Dewan Negeri di sidang Dewan Negeri Selangor, beliau berharap seluruh Adun dan exco kerajaan negeri tidak lupa dengan falsafah dan dasar perjuangan parti serta maksud kedudukan seorang wakil rakyat.
Ini kerana katanya, apabila wakil rakyat itu sudah disahkan bergelar `Yang Berhormat' kadang-kadang mereka mudah lupa dengan maksud kedudukan tersebut.
"Lebih parah jika terdapat sebilangan wakil rakyat terlupa falsafah yang lebih mendalam dan pengertian tanggungjawab kita tentang amanah yang besar ini," katanya dalam ucapan khas dalam sidang Dewan Negeri, pagi ini.
Menurut beliau, tugas untuk menangani masalah dan isu yang timbul satu persatu memerlukan tuntutan tanggungjawab yang tinggi serta komitmen daripada wakil rakyat.
Beliau mengharapkan semua wakil rakyat terus memperuntukkan masa dan ruang bagi melakukan penilaian terhadap tugas dan sumbangan dalam membela dan membantu rakyat.
"Kita jangan terleka dengan momokan yang diuar-uarkan sekarang `rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' sedangkan hakikatnya nasib rakyat tidak dibela dan diutamakan," tegasnya.
Dalam mesyuarat kedua penggal kedua sidang Dewan Negeri ke-12 itu, beliau mengingatkan tentang kepercayaan rakyat yang memilih wakil rakyat Pakatan Rakyat.
Beliau menegaskan, hal itu menunjukkan bahawa dalam pilihan raya rakyat yang berkuasa memilih wakil untuk menyuarakan suara hati mereka, mengetengahkan kehendak mereka dan mempertahankan milik mereka.
Justeru katanya, rakyat Malaysia mengetahui bahawa Pakatan Rakyat yang memperjuangkan wujudnya satu bangsa Malaysia yang menerima layanan adil dan sama rata dalam semua bidang pada kempen pilihan raya umum lalu.
Berikutan itu beliau bersyukur kerana majoriti rakyat Selangor khususnya mula menikmati limpahan pembangunan yang diagihkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat secara adil dan saksama tanpa perbezaan agama, kaum dan fahaman politik.
Saidah Hairan/SH/ harakahdaily
JANGAN KHIANATI AMANAH DAN LUPA PERJUANGAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Comments :
Post a Comment