Dua strategi ‘tembusi’ Kelantan
JELI - UMNO Kelantan akan mengatur dua strategi dalam usaha menawan dan ‘menembusi’ Kelantan dari kekangan Pas yang memerintah hampir 15 tahun.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad berkata, strategi itu membabitkan usaha untuk meningkatkan semangat ahli-ahli UMNO selain memperkemaskan pengurusan parti.
Menurutnya, strategi yang diatur itu adalah usaha menawan semula Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
“Kelantan boleh ditembusi sekiranya semangat dan daya juang ahli-ahli UMNO ditingkatkan semaksimum mungkin.
“Pejuang parti tulen mempunyai semangat berbeza dengan orang Pas dan saya menunggu saat itu.
“Jentera-jentera parti perlu memulakan gerak kerja mulai sekarang dan Manek Urai adalah contoh untuk kita semua,” katanya selepas mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Jeli di Kompleks UMNO Bahagian, semalam.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, usaha untuk mencapai kemenangan itu juga memerlukan pengurusan yang cekap.
“Ini termasuk mendisiplinkan diri, menepati masa, melakukan sesuatu perkara dengan teliti dan teratur serta melaksanakan tugas tanpa menunggu arahan,” katanya.
sinat harian online
Comments :
Post a Comment