DYMM Sultan Perak bertitah pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-81 baginda di Istana Iskandariah di sini, Ahad.
Raja Berada Atas Politik, Tidak Mampu Tangkis Tohmahan Secara Terbuka
Sultan Perak Sultan Azlan Shah hari ini bertitah bahawa seseorang raja sebenarnya berada di atas politik dan tidak boleh turun untuk berdebat dengan terbuka dalam memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan politik tertentu.
Baginda bertitah tindakan kumpulan politik berkenaan yang sampai ke peringkat menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain turut mencemar institusi raja dengan menyemai rasa benci rakyat terhadap raja merupakan satu perbuatan 'menyalakan api dalam sekam' yang amat berbahaya dan boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.
"Betapa perbuatan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini dibenarkan menghalalkan cara.
"Betapa kumpulan politk tertentu merasakan mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan. Betapa pula beberapa individu politik yang merasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang-undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa," titah baginda pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-81 baginda di Istana Iskandariah di sini, Ahad.
Sultan Azlan bertitah pada hemat baginda, negara kini telah terlalu berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.
"Dalam menghadapi kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini, aktiviti-aktiviti politik secara keterlaluan kerana perebutan kuasa ini tidak akan memberi manfaat kepada warga, malah rakyat biasa akan menjadi mangsa terpaksa bergelut untuk memiliki keperluan hidup harian," titah baginda.
Baginda bertitah oleh itu para pemimpin yang mewakili kumpulan politik yang berbeza perlu mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama di antara mereka demi kepentingan negara dan warga.
Sultan Azlan bertitah sepanjang perjalanan hampir 52 tahun kemerdekaan negara, diakui bahawa berlakunya kepincangan dan salah laku serta insiden penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir negara.
"Beta sendiri dari masa ke masa turut menzahirkan teguran, pandangan dan nasihat baik secara terbuka mahupun secara tertutup akan perkara-perkara yang tergelincir dari dasar dan garis perundangan.
"Namun kesilapan yang berpunca daripada beberapa indivIdu atau yang berpunca dari kumpulan tertentu jangan sampai ke peringkat mendorong warga dan bangsa berfikiran singkat mahu meruntuhkan sistem dan institusi sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak seimbang, hatta membawa kepada keadaan huru-hara.
"Barang dijauhkan Allah dari bangsa menghadapi nasib malang 'menang sorak kampung tergadai', akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri," titah baginda.
Sultan Azlan bertitah anggapan salah bahawa raja berperlembagaan adalah sekadar lambang tanpa sebarang kuasa merupakan tafsiran yang perlu diperbetulkan.
Titah baginda, raja pemerintah bukanlah daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan, bahkan segala perkara yang berlaku dalam negara ini adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan raja pemerintah.
"Perlu ditegaskan bahawa raja berpelembagaan itu memiliki tiga hak iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan dorongan dan hak untuk memberi peringatan dan teguran."
Sultan Azlan bertitah raja berpelembagaan bertindak tertakluk kepada kuasa yang termaktub di dalam perlembagaan tetapi adalah satu kesilapan untuk memikirkan bahawa peranan seorang raja pemerintah itu sama seperti seorang presiden yang terbatas semata-mata kepada apa yang tersurat.
"Peranan raja pemerintah adalah mengatasi apa yang tersurat dalam peruntukan perlembagaan. Raja pemerintah mempunyai tanggungjawab yang lebih luas dalam memastikan bahawa semangat perlembagaan , falsafah di sebalik setiap undang-undang yang tersurat, kepentingan negara dan warga negara perlu sentiasa dilindungi," titah baginda.
Baginda bertitah berlandaskan semangat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, raja-raja mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja, melindungi agama Islam, melindungi bahasa Melayu dan melindungi kepentingan sah kaum-kaum lain.
"Perkara-perkara ini adalah asas persefahaman yang telah tercapai dan merupakan resipi kejayaan terbentuknya sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat, membolehkan warganya hidup rukun lagi bersatu," titah Sultan Perak.
BERNAMA
Rulers Are Above Politics, Can't Answer Allegations Openly
KUALA KANGSAR, April 19 (Bernama) -- Rulers are above politics and as such they cannot participate in open debate to answer allegations hurled against them by political groups, the Sultan of Perak, Sultan Azlan Shah, said today. He said that the action of certain political groups in provoking the people and sowing seeds of hatred against the rulers, was akin to fanning "embers in the chaff" which, he said, was a dangerous act and could destroy the peace enjoyed by the people and the country.
"These groups are allowing the end to justify the means by condoning such acts.
"These groups and individuals feel that they are faultless and immune from any action, to the extend of disregarding the law for the sake of attaining power," he said at the loyalty pledge and Perak awards ceremony in conjunction with his 81st birthday at the Istana Iskandariah here today.
Sultan Azlan also said that he felt that there was too much politicking in the country at the moment and that this would affect economic productivity and the country's image in the eyes of the international community.
"In facing the global economic crisis, too much politicking is not helpful to the people who are struggling to make ends meet," he said.
He added that leaders of various political parties should find a meeting point from which they could work out ways to cooperate for the sake of the country and people.
Sultan Azlan Shah also spoke on the need to correct what he described as the misconception that the constitutional monarchy was just a symbol devoid of any power.
He said the rulers were neither blind, deaf nor mute. In fact, he added, they were fully aware of what was going on in the country.
"It should be stressed that the constitutional monarchy has three rights -- the right to give views and counsel, the right to encourage and motivate, and the right to remind and reprimand," he said.
Sultan Azlan Shah said that although the constitutional monarchy acted based on the power vested in it under the constitution, it would be erroneous to think that the role of a ruler was similar to that of a president whose functions had been pre-defined in the constitution.
"The role of the constitutional monarchy goes beyond what is stipulated in the constitution.
"The rulers have a far wider responsibility in ensuring that the spirit of the constitution, the philosophy behind the written law, and the interest of the country and the people are safeguarded at all times," he said.
He said that based on the spirit behind the formation of the Federation of the Malay States, the rulers were responsible in protecting the privileges and position of the Rulers Institution, Islam, the Malay language and the legitimate interest of other races.
"These are the basis of understanding and the ingredients which resulted in the formation of an independent and sovereign nation, enabling its people to live in peace and harmony," he said.
Sultan Azlan Shah said that throughout Malaysia's 52 years of nationhood, the country's administration had seen its ups and downs.
"I myself have been giving views and advice either openly of behind closed doors on matters which I think should be rectified," he said.
He called on the people to be wary of attempts to provoke them into dismantling the system and institution as this could create chaos in the country.
BERNAMA
Bedtime Reading 1
Bedtime Reading 2
DIRGAHAYU TUANKU SULTAN PERAK (DWIBAHASA)
HARON DIN BERI FORMULA SELESAI KEMELUT PERAK
Dato' Dr Haron Din seorang tokoh agama yang tidak asing lagi juga merupakan pengasas Darus Syifa' serta Persatuan Perubatan Islam Bandar Baru Bangi. Anak murid beliau antaranya ialah Dato' Ismail Kamus, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato' Amran Kasimin dan ramai lagi tokoh-tokoh agama serta pemimpin negara. Antara anak murid beliau yang tidak asing lagi bagi rakyat Perak ialah Tuanku Dr Raja Nazrin.
Ustaz Dato' Harun Din mempunyai banyak hobi antaranya ialah mengkaji bintang (astronomi) , memburu dan memancing. Beliau kerap pergi memburu bersama VVIP serta Raja-Raja Melayu. Oleh kerana Dato' Haron Din juga seorang pengamal perubatan Islam, beliau kerap dipanggil oleh Kerabat Diraja negeri-negeri di Malaysia untuk "membuang" makhluk halus di istana, memagar rumah orang kaya dan Kerabat Diraja serta merawat penyakit ganjil puteri dan putera Sultan-Sultan.
Begitulah sedikit kelebihan dan "authority" yang dikurniakan ALlah kepada Dato' Haron Din sehingga ditohmah oleh Tun Dr Mahathir sebagai menjual air jampi pada suatu ketika dahulu tatkala timbul isu Mahathir menyindir Nabi Saw menyimpan janggut dan tidak bercukur kerana zaman itu tiada pisau cukur. Ustaz Haron Din juga pernah difitnah membela jin dan mendapat bekalan jin dari Mekah setiap kali beliau pergi umrah dan Haji.
Di bawah ini merupakan preview wawancara Harakah mengenai kemelut di Perak. Saudara nilailah sendiri kebenaran kata-kata beliau bagi yang masih ragu-ragu mengenai jalan keluar dari krisis di Perak. Usah lihat kapasiti beliau sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS kelak saudara akan bersikap prejudis dan berkata "patut la dia cakap gitu, sebab dia orang PAS".
Nizar dan Sultan ada tafsiran sendiri, biar rakyat tentukan kata Haron Din
Bagi tokoh agama yang terkenal, Dato' Dr Haron Din menasihatkan agar kemelut yang berlaku di Perak ini diselesaikan dengan cara paling baik iaitu mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat keputusan melalui pilihan raya seluruh negeri.
Timbalan Mursyidul Am PAS itu juga berpendapat, perselisihan tafsiran undang-undang di antara Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan Menteri Besar Perak Dato' Seri Nizar Jamaluddin merupakan proses biasa dalam amalam demokrasi, dan bukan kali pertama berlaku di Malaysia dan mana-mana negara di dunia.
"Nizar tidak meletakkan jawatan kerana dia memegang amanah rakyat, dia hendak kembalikan semula kepada rakyat. Itu tafsirannnya.Saya tidak nafikan Tuanku Sultan ada tafsirannya. Jadi jika ada perselisihan tafsiran undang-undang, maka saya tidak fikir itu boleh dinamakan sebagai derhaka.
"Ini sepatutnya diselesaikan dengan cara paling baik iaitu, kembalikan kepada rakyat. Biar rakyat yang menentukan. Atau kita berlapang dada dan bersabar sedikit, biar Mahkamah Tinggi memutuskan kesahihan pelantikan menteri besar kedua," katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan Harakah baru-baru ini.
Dalam pada itu beliau menegaskan Raja-raja Malaysia perlu dikekalkan pada takhta yang sedia ada dan rakyat diseru supaya bersatu dan mengekalkan kedudukan mereka.
Beliau antara ulama yang dekat dan rapat hubungannya dengan istana menjelaskan istilah 'sembah derhaka' yang dimanipulasi oleh plebagai pihak khusunya media sedangkan ianya bukan satu bentuk tindakan derhaka yang sebenarnya.
"Sembah derhaka' bermaksud apa yang diminta oleh seorang Raja atau Sultan tidak dapat dipenuhi atau ditunaikan oleh seorang hamba rakyat. Sama ada kecil atau yang besar. Seorang rakyat akan menuturkan bahawa 'patik sembah derhaka'. Bukan yang kita fahami itu derhaka adalah melawan atau menyakiti Raja," katanya yang cuba membandingkan pelbagai perbuatan menderhaka yang dilakukan oleh pemimpin sebelum ini.
Katanya, yang tidak mahu mendedahkan secara terperinci, memang berlaku perbuatan menderhaka yang tidak diketahui umum.
"Ada pemimpin disuruh Raja untuk 'briefing' pada hari tertentu tentang perkembangan negeri, langsung tak datang. Ada yang Raja suruh buat projek untuk rakyat, tetapi pemimpin tak buat. Ada Sultan yang suruh hentikan projek tertentu kerana membazir, mereka terus buat.
"Ada raja suruh bantu ekonomi orang Melayu, dengan bantu projek tertentu tetapi beri pada kroni mereka pula malah ada Raja beritahu saya, ada pemimpin yang terajang pintu istana kerana tidak puas hati.
"Ini semua saya dapat tahu dan ada antara Raja-raja yang beritahu sendiri kepada saya. Inilah perangai mereka... ini jauh lebih derhaka lagi," katanya.
Azamin Amin /Foto Wan Zahari Wan Salleh/ harakahdaily
DYMM SULTAN SELANGOR BERTITAH ISU KEMELUT DI PERAK
KENYATAAN AKHBAR KHAS PENEGASAN TERHADAP PERGOLAKAN POLITIK YANG BERLAKU DI NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN
Perkembangan politik, peristiwa demonstrasi jalanan serta pertelingkahan antara pelbagai pihak, bersabit dengan pelantikan kerajaan baru negeri Perak baru-baru ini, yang sehingga membawa pada beberapa gelagat biadab terhadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, amat mendukacitakan dan mengecewakan Beta.
Perkara ini lebih-lebih lagi dirasai oleh Beta kerana DYMM Paduka Seri Sultan Perak adalah Ayahanda Saudara Beta. Malah, keluarga Diraja kedua-dua buah negeri ini mempunyai sejarah pertalian yang erat sehingga hari ini.
DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah yang Beta kenali adalah seorang tokoh yang tinggi ilmu serta pengalaman perkhidmatan perundangan dan kehakiman Baginda, sesuai dengan kedudukan Baginda sebelum ini sebagai mantan Ketua Hakim Negara.
Baginda dan keluarga Baginda juga mempunyai latar belakang serta kelayakan keilmuan yang cemerlang dan sangat peka pada kepentingan rakyat jelata, sehinggakan kebanyakan tindakan Baginda akan bersandarkan pada budaya ilmu, pertimbangan syumul serta amalan bermusyawarah bersama pakar-pakar dalam mana-mana satu isu yang bersabit.
Apa yang kita dapat saksikan yang telah dan sedang berlaku semenjak minggu lalu di negeri Perak amat membimbangkan sesiapapun yang mengaku mencintai agama, bangsa, negara Malaysia, kestabilan, kesejahteraan, kemajuan, keselamatan dan masa depan kita bersama.
Kejahilan terhadap peruntukan undang-undang negeri dan persekutuan, ketaksuban terhadap pihak-pihak tertentu, kehilangan pertimbangan ketika emosi terganggu, keangkuhan yang membutakan diri terhadap hak dan kuasa DYMM Paduka Seri Sultan Perak, kebiadaban sebagai anak watan negeri Perak dan warga negara Malaysia serta mudahnya golongan-golongan tertentu terpedaya dengan budaya "mob" amat memalukan.
Bak kata pepatah, ketika peristiwa sebegini berlaku, "barulah kita kenal siapa kaca siapa permata". Malah dapat juga kita menyelami jati diri pihak-pihak tertentu yang "marahkan nyamuk, kelambu yang dibakar".
Beta ingin menasihati dengan penuh keikhlasan dengan mengambil kira kepentingan masa depan agama, bangsa dan negara tercinta kita. Janganlah kita mudah terpedaya dengan gelagat serta tindakan yang hanya akan mencemarkan martabat kita, mengundang risiko yang tinggi terhadap kemajuan kita, serta menghakis asas-asas kedaulatan negara ini dengan sifat-sifat keji seperti biadab, derhaka, angkuh, jahil ilmu dan kemaruk kuasa.
Kegawatan ekonomi yang semakin meruncingkan di peringkat global dan serantau menuntut kita supaya memantapkan perpaduan sesama kita walaupun ada perbezaan pendirian. Jangan sehingga nasi menjadi bubur, di mana terlajak kata boleh dimaafkan, tetapi terlajak perbuatan mungkin akan mengundang bencana.
Kepada mereka yang telah berkali-kali mencabar hak, peranan serta kedudukan yang telah dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan, termasuk peranan institusi Raja-Raja, maka Beta ingin menasihatkan supaya rakyat menggunakan pertimbangan dari akal fikiran yang waras sebelum mengambil sebarang tindakan.
Beta terus mendoakan agar Allah SWT akan terus memelihara kita bersama dan menganugerahkan kita dengan hati yang terang, jiwa yang tenang, fikiran yang tajam, perjalanan yang mudah, tindakan yang betul, perhubungan yang harmonis serta waja diri yang unggul untuk mengemudikan negara kita secara bersama dalam mengharungi proses kemajuan seterusnya.
DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ
SULTAN SELANGOR
13 Februari 2009