Bahasa Melayu di Malaysia, satu gambaran kabur - Pak Samad
(Foto: Sasterawan Negara menerima
pengiktirafan dari PAS ketika berlangsung Muktamar PAS ke 55 di Shah Alam.)
Sungguhpun Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak berucap sepenuhnya menggunakan Bahasa Melayu pada majlis penganugerahan ijazah doktor kehormat oleh Universiti Kajian Luar Beijing (BFSU) kepadanya semasa kunjungannya ke China baru-baru ini , ia belum dapat diterjemahkan bahawa terdapat bayangan beliau bersedia mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu.
Demikian antara pandangan yang diutarakan Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said sebagai 'signal' yang boleh disampaikan kepada kerajaan Malaysia apabila Najib berucap dalam Bahasa Melayu di sebuah negara yang mengutamakan bahasa ibunda sebagai bahasa rasmi dalam segala urusan.
Jelas pejuang bahasa yang dianugerahkan Tokoh Bahasa pada Muktamar PAS ke-55 ini sewaktu dihubungi Harakahdaily, memandangkan Najib menerima ijazah doktor kehormat yang dikurniakan kepadanya, sudah tentu beliau menggunakan Bahasa Melayu dalam ucapannya.
"Penerimaan dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia belum lagi menentukan itu akan dilakukannya di Malaysia. Selain itu saya juga melihat gambaran yang agak kabur.
"Di Malaysia ini, Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri memberi kenyataan kadang-kadang kita dapati seolah-olah akan mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu. Tetapi kadang-kadang kita nampak seolah-olah ada keraguan akan menghapuskan PPSMI ini" tegasnya.
mks/Nyza Ayob/harakahdaily
LAKONAN DI LUAR NEGARA
WANITA UMNO LEDANG DAN K.LANGAT PRIHATIN MASALAH PPSMI
Terima kasih diucapkan kepada Wanita Umno Ledang, Johor dan Kuala Langat, Selangor kerana membawa usul tolak PPSMI dan diterima tanpa bahas.
Terima kasih kerana telah buat "kerja rumah" dan turun padang ke FELDA, estate dan kampung-kampung. Orang Bandar agak susuah nak faham isu PPSMI.
Tak lupa diucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Aminah serta ahli wanita UMNO Ledang sekembali ke rahmatullah ketua mereka.
Usul tolak PPSMI diterima tanpa bahas
Dua Wanita Umno bahagian mengesa kerajaan mengembalikan penggunaan bahasa ibunda dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPMSI) yang diamalkan di sekolah-sekolah.
Usul daripada Wanita Umno Ledang, Johor dan Kuala Langat, Selangor itu merupakan sebahagian usul pendidikan yang diterima tanpa bahas dalam perhimpunan Wanita Umno 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.
Wanita Umno Ledang membuat gesaan itu dalam kerana perlaksanaan PPSMI di sekolah kebangsaan didakwa "melemahkan minat murid, terutamanya daripada kawasan luar bandar".
Usul itu menyebut: "Menegaskan kerajaan menimbang semula kesan negatif pengajaran dan pembelajaran (Sains dan Matematik) dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah bagi mata pelajatan Sains dan Matematik."
Wanita Umno Kuala Langat pula menyifatkan bahasa Melayu perlu digunakan kembali berdasarkan ketetapan dan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaaan dan bahasa rasmi negara.
Perhimpunan Agung Wanita Umno hari ini turut menerima beberapa usul politik, ekonomi, agama dan sosial yang diterima tanpa dibahaskan.
Jawatan menteri
Beberapa bahagian didapati menyuarakan hasrat mereka supaya ketua Wanita diberi tempat sebagai menteri kabinet.
Cadangan itu dibuat oleh dua bahagian daripada Perlis (Padang Besar dan Kangar) dan dua bahagian lagi daripada Terengganu (Besut dan Kuala Terengganu).
Pasir Salak, Bagan Serai, Kuala Langat dan Bukit Katil pula mengusulkan supaya Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) dikekalkan dan dipertahankan.
Pasir Salak bagaimanapun menekankan perlunya akta kontroversi itu dilaksanakan secara profesional, adil dan tidak berlaku penyalahgunaan kuasa.
Setelah dirasmikan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak malam tadi, tiga sayap Umno - Pemuda, Putera dan Puteri - mula bersidang hari ini.
Pada masa ini sedang berlangsung pengundian untuk memilih pucuk pimpinan masing-masing.
Persidangan Wanita kali ini juga menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi bagi jawatan nombor satu pergerakan itu, antara penyandangnya Tan Sri Rafidah Aziz yang dicabar oleh Timbalannya, Datuk Shahrizat Abdul Jalil.
Jimadie Shah Othman/Malaysiakini
DEDICATED TO PROPONENTS OF PPSMI
We'll begin with a box, and the plural is boxes,
But the plural of ox becomes oxen, not oxes.
One fowl is a goose, but two are called geese,
Yet the plural of moose should never be meese.
You may find a lone mouse or a nest full of mice,
Yet the plural of house is houses, not hice.
If the plural of man is always called men,
Then shouldn't the plural of pan be called pen?
If I speak of my foot and show you my feet,
And I give you a boot, would a pair be called beet?
If one is a tooth and a whole set are teeth,
Why shouldn't the plural of booth be called beeth?
Then one may be that, and three would be those,
Yet hat in the plural would never be hose,
And the plural of cat is cats, not cose.
We speak of a brother and also of brethren,
But though we say mother, we never say methren.
Then the masculine pronouns are he, his and him,
But imagine the feminine: she, shis and shim!
Let's face it - English is a crazy language.
There is no egg in eggplant nor ham in hamburger;
neither apple nor pine in pineapple.
English muffins weren't invented in England .
We take English for granted, but if we explore its paradoxes,
we find that quicksand can work slowly, boxing rings are square,
and a guinea pig is neither from Guinea nor is it a pig.
And why is it that writers write but fingers don't fing,
grocers don't groce and hammers don't ham?
Doesn't it seem crazy that you can make amends but not one amend.
If you have a bunch of odds and ends
and get rid of all but one of them, what do you call it?
If teachers taught, why didn't preachers praught?
If a vegetarian eats vegetables, what does a humanitarian eat?
Sometimes I think all the folks who grew up speaking English
should be committed to an asylum for the verbally insane.
In what other language do people recite at a play and play at a recital?
We ship by truck but send cargo by ship.
We have noses that run and feet that smell.
We park in a driveway and drive in a parkway.
And how can a slim chance and a fat chance be the same,
while a wise man and a wise guy are opposites?
You have to marvel at the unique lunacy of a language
in which your house can burn up as it burns
down, in which you fill in a form by filling it out,
and in which an alarm goes off by going on.
And, in closing, if Father is Pop, how come Mother's not Mop?
AND IF PEOPLE FROM POLAND ARE CALLED POLES THEN
PEOPLE FROM HOLLAND SHOULD BE HOLES AND THE GERMANS, GERMS
UNFORTUNATELY, SCIENTISTS CALL US HUMAN AS HOMO SAPEIN
GREEK CALL THEIR FORMER SCHOOLS AS ALMA MATTER
IT IS ALL VERY CONFUSING FOR THE GREY MATTER OF KIDDIES, LADS AND LASSES.
BELAJAR PELBAGAI BAHASA DI KURSUS KHAS
Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman tidak belajar pelbagai bahasa melalui sains dan matematik tetapi beliau belajar pelbagi bahasa dengan mengikuti pelbagai kursus bahasa secara khusus. Dengan kemahiran menguasai pelbagai bahasa maka beliau mampu menimba ilmu dari pelbagai bidang dan negara.
Isu PPSMI ialah mempelajari bahasa Inggeris melalui pengajaran dan pembelajaran subjek sains dan matematik di sekolah rendah kepada kanak-kanak yang belum mampu menguasai bahasa Inggeris. Kanak-kanak ini perlu memahami konsep sains dan matematik selain mepelajari gramar serta tatabahasa Inggeris.
Yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran.
Jangan jadikan anak-anak kita "handicap" kepada mereka yang telah PRO dalam bahasa Inggeris. Siapa yang handicap? Anak-anak luar bandar. Siapa yang PRO? Anak-anak orang kaya yang mampu ke tadika berbahasa Inggeris seperti "Twinkle", "Seri Kenanga", "Bunga Raya". "Jack and Jill". Berapakah yuran bulanan tadika elit di atas? Purata RM150-RM300/= sebulan
Tutur tujuh bahasa dunia
PROFIL: Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman
INFO: Tempat Shahabudeen belajar bahasa
# Bahasa Russia: Pusat Kebudayaan dan Sains Russia di Ampang.
# Bahasa Arab dengan Ustaz Syed Taufik Jamalullail berketurunan Yaman di Ampang.
Umur: 28 tahun
Bapa: Kamarul Jaman, 52
Ibu: Mumtaj Begum, 48.
Asal: Alor Star, Kedah
Adik beradik:
# Dr Habiba Nazeera Begum, 28,
# Mohamed Ismail, 24,
# Noor Aishah, 20,
# Mohamed Firdous, 19.
Pendidikan:
# Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah (1995-1999).
# Sekolah Rendah Haji Mohd Shariff, Kedah (1989-1994).
Kemahiran bahasa:
# Bahasa Malaysia
# Tamil
# Bahasa Inggeris
# Mandarin
# Arab
# Jerman
# Russia
Selain bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil, turut kuasai bahasa Jerman, Russia, Mandarin dan Arab
SEMAKIN banyak bahasa yang diketahui, semakin banyak ilmu diperoleh. Ia kelebihan yang jelas menguntungkan sesiapa saja kerana kemahiran itu membolehkan seseorang berada di mana-mana pelusuk dunia dalam keadaan mudah dan selesa.
Pokok pangkalnya ialah tidak akan berlaku masalah komunikasi disebabkan kesukaran memahami bahasa tempat dikunjungi, bahkan ia sebenarnya lebih mudah tanpa perlu menggunakan bantuan orang tengah atau penterjemah.
Namun, tidak ramai yang sanggup menghabiskan masa mempelajari banyak bahasa, cuma sekadar bahasa ibunda seperti bahasa Malaysia dan Inggeris.
Bagi anak muda ini, Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman, 29, beliau menganggap keperluan itu satu cabaran dan menjadikannya sebagai satu keseronokan melayari hidup kerana memberi banyak pengetahuan, apatah lagi kini lebih fokus kepada perniagaan pada peringkat global.
Walaupun usianya masih muda, anak kelahiran Alor Star, Kedah ini mengakui penguasaan pelbagai bahasa dunia adalah 'modal' membawanya merantau ke seluruh pelusuk dunia mencari pengalaman dan ilmu perniagaan.
Kini, Shahabudeen menguasai tujuh bahasa dan terus berminat untuk menambah ilmu yang ada.
Selain bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil, beliau juga menguasai bahasa Jerman, Russia, Mandarin dan terkini sedang belajar bahasa Arab. Tujuh bahasa yang dikuasai itu membolehkannya merantau ke semua negara yang menggunakan bahasa berkenaan tanpa berhadapan masalah komunikasi.
"Ia menyeronokkan. Walaupun tidak sampai ke tahap pakar bahasa, ia memadai sekiranya jika faham, boleh bertutur dalam perbualan asas kerana kelebihan ini sangat menguntungkan ketika berurusan dengan mana-mana individu.
"Paling penting ialah sentiasa berkomunikasi, mempraktikkan ilmu itu, menonton filem atau rancangan televisyen dalam bahasa asing. Cuba praktikkan, cuba faham apa yang diperkatakan," katanya.
Beliau menggunakan kelebihan itu sebagai modal menjalankan perniagaan iaitu membawa rombongan peniaga Melayu ke China dan Vietnam. Kini lebih terarah ke Korea Selatan dalam usaha mengembangkan peluang perniagaan.
Mengakui beliau gemarkan penguasaan bahasa, keluarganya memang menggalakkan beliau menguasai bahasa asas iaitu bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil manakala bahasa Jerman dan Mandarin dipelajari ketika masih menuntut.
"Perlu diakui, bahasa Mandarin boleh dianggap bahasa utama dunia berdasarkan penduduk China yang kini melebihi 1.3 bilion orang.
"Jika kita dapat menguasai bahasa itu, ia sudah pasti memudahkan kita menjalankan urusan perniagaan di negara itu," katanya.
Shahbudeen berkata, ketika di China, beliau banyak menggunakan peluang bergaul dengan peniaga di sana untuk mempraktikkan kemahiran bahasa.
"Pendekatan yang saya ambil itu secara tidak langsung membantu saya rapat dengan mereka," katanya.
Berikutan boleh menguasai bahasa Mandarin, katanya, beliau lebih mudah berurusan dengan peniaga di negara itu tanpa perlu menggunakan khidmat orang tengah.
Selain itu, ia juga boleh mengelakkan beliau daripada ditipu dan memudahkan urusan tawar menawar.
Selepas memperoleh rakan perniagaan yang ramai di China, Shahabudeen menggunakan kelebihan itu untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai selok belok urusan perniagaan di negara berkenaan dengan pemborong Bumiputera di negara ini.
"Saya mengadakan kursus khas untuk mereka yang minat berurusan di China. Saya memperkenalkan "Kursus Memborong di China" dan "Rombongan Memborong ke China" berjaya membuka jalan kepada pemborong Melayu untuk menjadi pemborong terus dari sumber sama ada dari China, Vietnam, India, Korea Selatan atau negara lain," katanya.
Hasilnya, beliau melatih hampir 200 pemborong Melayu dan terdapat kira-kira 40 pemborong yang berjaya menjadi pemborong di China.
"Ini satu ibadat untuk umat Islam iaitu berkongsi ilmu dan saya cuma jalankan sebahagian kecil daripada amanah itu. Sebab itu saya galakkan pemborong Melayu supaya jangan segan untuk mempelajari bahasa asing. Peringkat awal memang kekok, tetapi ia akan berubah menjadi satu keseronokan.
"Saya pernah merantau seorang diri ke Eropah pada 2006 sebelum ke New Zealand, 2007 dan Russia pada tahun lalu untuk mencari ilmu serta peluang memasarkan perniagaan. Pada usia 19 tahun, saya sudah mula menjalankan urusan mengimport pelbagai produk dari Bangkok, Thailand dan Vietnam," katanya.
Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my/ berita harian online
KONGRES KEBUDAYAAN LULUSKAN 10 RESOLUSI TERMASUK MANSUHKAN PPSMI
Kongres dua hari telah dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Kongres Melayu mahu PPSMI dibatalkan
Pertemuan bersejarah cendekiawan Melayu dalam kongres kebudayaan kedua hari ini meluluskan 10 resolusi penting, termasuk membawa akibat pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Deraf resolusi-resolusi yang menyentuh pelbagai bidang termasuk pendidikan, politik, keperlembagaan, ekonomi dan agama diedarkan di hujung pertemuan dua hari di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur.
"Kami mendesak hanya satu bahasa kebangsaan tunggal dilaksanakan dalam seluruh sistem pendidikan dari tahap rendah hingga universiti demi perpaduan bangsa, keutuhan negara dan kemajuan seluruh kapisan masyarakat; pelaksanaan dasar pengajaran selain bahasa kebangsaan akan melemahkan maruah bangsa, menjatuhkan martabat negara dan menanam perpecahan antara kaum dan lapisan masyarakat; segala tindakan berkaitan bahasa kebangsaan mestilah selaras peruntukan semua perundangan negara," resolusi kelima dipetik.
Sementara resolusi keenam mengenai 'bahasa, kesusasteraan dan kesenian' berbunyi:
"Dasar bahasa dalam pendidikan mestilah dikembalikan kepada dasar yang berkuatkuasa sebelum 2003 sebagai bahasa pengantar di seluruh sistem pendidikan daripada tahap rendah kepada tahap universiti."
Kongres kedua itu yang diadakan selepas pertemuan pertama pada Disember 1957 juga menegaskan kembali peri pentingnya sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi didaulatkan kerana kedua-dua unsur itu "bahagian sempurna dan utuh bagi kerajaan Malaysia."
"Institusi raja dan Majlis Raja-raja adalah menjadi bahagian utuh daripada sistem pemerintahan Malaysia, maka segala kemuliaan dan kuasa yang termaktub sebagai 'pemerintah tertinggi' mestilah dipelihara dan dijunjung tinggi oleh semua pihak," kata profesor Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Datuk Dr Zainal Kling sewaktu membacakan resolusi mengenai politik.
Kongres itu, yang turut mendapat inspirasi resolusi Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1970 - yang menghasilkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan - turut menentang gagasan multikulturalisme yang dianggap "mengancam dan meruntuhkan seluruh sistem kebudayaan bangsa."
Sewaktu membentangkan hujahnya di kongres tersebut semalam, Dr Zainal berkata gagasan itu yang disebarkan oleh golongan sosialis dan Marxis menggalakkan kebangkitan penentangan kumpulan-kumpulan budaya kecil terhadap dasar-dasar kerajaan.
Tindakan seumpama ini, tambahnya, seperti gagasan Ketuanan Rakyat yang diseru oleh pakatan pembangkang dan idea-idea perjuangan hak asasi manusia yang dibawa NGO boleh menghancurkan negara.
"Kebudayaan Melayu-Bumiputera adalah visi dan kerangka budaya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menjadi landasan pembangunan dan kemajuan kebudayaan Malaysia, maka dengan itu, kami menolak segala gagasan dan tafisran yang berkait dengan multikulturalisme sebagai kerangka pemikiran dan pembangunan kebudayaan kebangsaan Malaysia yang akan mengancam dan meruntuhkan seluruh sistem kebudayaan bangsa," resolusi pertama dipetik.
Kongres menyokong kembali tiga prinsip asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebagai landasan utama kemajuan kebudayaan nasional:
kebudayaan kebangsaan mesti berasaskan kebudayaan pribumi di rantau Alam Melayu,
unsur-unsur kebudayaan lain boleh disesuaikan dengan kebudayaan kebangsaan, dan
Islam adalah unsur utama dalam kebudayaan kebangsaan.
Kumpulan cendekiawan Melayu ini juga melahirkan kebimbangan berhubung pindaan perlembagaan negara secara sewenang- wenangnya yang boleh mendorong kemuliaan raja, kepentingan rakyat, hak istimewa Melayu dan hak asasi semua rakyat dilemahkan dan diremehkan.
"Keluhuran perlembagaan dan dasar-dasar utama negara yakni dasar pendidikan, dasar kebudayaan, Rukun Negara dan dasar bahasa kebangsaan dikembalikan sebagai asas tindakan semasa terutama Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mencapai keseimbangan ekonomi antara kaum," dokumen setebal lapan halaman itu dipetik.
Mereka juga mendesak agar semua kakitangan pentadbiran awam dan penggubal undang-undang "mesti diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan (Melayu) yang baik dan fasih demi pencapaian keadilan dalam masyarakat."
Kongres mencadangkan media filem dimanfaatkan sepenuhnya untuk meneguhkan jati diri bangsa dan menyaring keselamatan bangsa dan negara, selain mendesak kerajaan mengawal kerencaman pemikiran Islam yang boleh menggugat kedudukan agama dan Melayu sebagai "bangsa penakrif" Malaysia.
Kongres ini dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Ia ditutup dengan rasmi oleh Pengerusi Bernama, Datuk Seri Annuar Zaini.
Pautan yang berkaitan Kongres isu PPSMI bertajuk hanya 4% pelajar kuasai BI melalui PPSMI
Fathi Aris Omar/ malaysiakini
DR MAHATHIR MASIH KELIRU DENGAN PPSMI
Dr Mahathir keliru atau Para Pegawai Pak Menteri Pelajaran yang keliru isu PPSMI
Video Dr Mahathir mempertahankan PPSMI.
Saya ingin mencadangkan sama ada Dr M diundang untuk membentangkan kertas kerja beliau di KUIS pada 14/03/09 atau semua set kertas kerja pakar-pakar dihadiahkan kepada Dr Mahathir agar beliau faham kenapa GMP mahu PPSMI dimansuhkan.
Jika kita mahu berbincang tentang sesuatu, pertama dan utama, semua pihak hendaklah memahami skop perbincangan, kerangka hujah, bukti dan pendapat serta maksud definisi penting dalam tajuk perbincangan. Jika tidak ada keseragaman di atas, sebagai contoh, Dr Mahathir mahukan pembelajaran sains dalam bahasa Inggeris kerana sukar untuk menterjemah pada kecepatan yang dapat menyaingi pertumbuhan serta perkembangan dalam bidang sains.
Persoalannya, adakah pelajar sekolah rendah dan menengah rendah sudak perlu merujuk kepada jurnal dan bahan penyelidikan dalam mata pelajaran sians PMR atau UPSR?
Kita tidak menafikan pentingnya bahasa Inggeris atau apa jua bahasa sekalipun, kerana kita akur serta menginsafi pentingnya mempelajari dan mengausai bahasa kedua, ketiga hatta kesepuluh sekalipun.
PPSMI DAN SEMANGAT KERANDA 152
Perjuangan kami hari ini tidak mendapat sokongan padu daripada orang Melayu sendiri termasuk daripada kepimpinan Gerakan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kerana mereka tidak memahami asas perjuangan pejuang bahasa dalam menentang PPSMI menurut Baha Zain.Pejuang bahasa tetap tolak PPSMI
BAHA ZAIN (pix)
SEMAKIN banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang menentang pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) seperti dapat dilihat melalui beberapa pernyataan secara terbuka, demonstrasi, laporan polis serta tindakan undang-undang yang akan diambil.
Di tengah-tengah kehangatan perjuangan pejuang bahasa untuk memartabatkan bahasa Melayu bagi memastikan haknya dipertahankan dan diletakkan di tempatnya seperti tertera dalam Perlembagaan Negara, ada suara di kalangan orang Melayu sendiri yang mempersoalkan tindakan pejuang bahasa, seolah-olah mereka melakukan suatu jenayah bangsa.
Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Datuk Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain, mengakui pejuang bahasa menerima tekanan daripada pelbagai pihak dalam usaha mereka memartabatkan semula bahasa Melayu di negara ini, berbanding ketika mereka mengadakan tunjuk perasaan pada 3 Mac 1967.
“Tunjuk perasaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada masa itu hebat kerana mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat termasuk kalangan penjawat awam, polis, guru dan orang politik iaitu Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail yang ketika itu Pengarah DBP dan juga exco Umno.
“Bagaimanapun perjuangan kami hari ini tidak mendapat sokongan padu daripada orang Melayu sendiri termasuk daripada kepimpinan Gerakan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kerana mereka tidak memahami asas perjuangan pejuang bahasa dalam menentang PPSMI,” katanya ketika dihubungi Sastera.
Sungguhpun demikian, Baha Zain antara individu yang terbabit dalam demonstrasi Keranda 152 iaitu jolokan nama yang diberikan oleh Sasterawan Negara (SN), Allahyarham Datuk (Dr) Usman Awang, tetap berpuas hati dengan gerakan menentang PPSMI, meskipun terbahagi kepada beberapa kumpulan.
“Kehadiran beberapa kumpulan ini bukan petanda kami berpecah, sebaliknya ia menunjukkan adanya gelombang penentangan yang kuat kerana kami semua sedar akan akibat daripada dasar PPSMI yang akan memberi kesan besar dan membunuh bahasa Melayu akhirnya,” ujarnya.
Beliau tidak menafikan perjuangan pejuang bahasa yang digerakkan beberapa individu yang berani dan komited terhadap usaha memartabat dan mendaulatkan bahasa Melayu mendapat sokongan beberapa ilmuwan, bertambah perit dengan situasi lebih memihak kepada kerajaan, tetapi ia tidak bermakna mereka akan berhenti daripada memperjuangkannya.
“Jika penentangan Keranda 152 dulu ekoran Fasal 152, Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 yang diluluskan Parlimen memberi pengiktirafan kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi, sekarang bukan lagi masalah akta, tetapi dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui PPSMI,” jelasnya.
Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu khususnya pejuang bahasa apabila ia diluluskan di Parlimen dalam masa lima hari kerana ia memperkukuhkan lagi kedudukan bahasa Inggeris yang memang gajah oleh sebab kuasa ekonomi, politik dan ketenteraan di belakangnya.
Perkara ini dinyatakan dalam Keranda 152 - Bahasa Kita - Air Mata & Maruah Kita diterbitkan Persatuan Linguistik Malaysia pada 2002 bagi memperingati peristiwa bersejarah terbabit, selain ekoran dasar PPSMI (2003), turut menyebut hujah mantan Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, berhubung perkara terbabit.
Pada petang 3 Mac sebelum Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 diluluskan Dewan Rakyat Malaysia malam itu, lebih 120 pertubuhan Melayu dari seluruh negara serta orang perseorangan mengadakan rapat umum di DBP, menentangnya.
Penentangan Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 kerana tidak mengikut sepenuhnya kehendak dan semangat Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 selain melanggar janji yang sudah dibuat pemimpin Umno berhubung pendaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal pada 1967.
Bukan saja kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi tidak dilucutkan pada 1967 seperti dijanjikan akan dikaji semula selepas 10 tahun merdeka, malah diperkukuhkan dan tuntutan beberapa anggota Parlimen bukan Melayu agar meliberalkan lagi dasar penggunaan bahasa kaum mereka turut dilayan.
Berhubung dakwaan sesetengah pihak yang melihat pejuang bahasa yang menentang PPSMI sebagai tidak menguasai bahasa Inggeris dan menafikan keupayaan orang Melayu berkemahiran dalam bahasa terbabit, Baha Zain menolaknya kerana hakikatnya kelompok terbabit menjalani sistem pendidikan penjajah, tetapi tetap sayang kepada bahasa mereka.
“Nilai sendiri kebenaran hakikat ini kerana apakah mereka lupa tokoh seperti Prof Diraja Ungku Aziz, Tan Sri A Aziz Abdul Rahman, Prof Abu Bakar Hamid, Datuk Zainal Abidin Abdul Wahid dan Dr Shahril Md Zain adalah pakar bidang dan penguasaan bahasa Inggeris mereka jauh lebih hebat daripada kelompok yang melemparkan tuduhan,” jelasnya.
Malam di Balai Budaya
Malam itu di Balai Budaya
Api dan Air Mata
Malam itu di Balai Budaya
Seorang guru tua berbicara
‘Berarak ke Parlimen, aku di muka’
Malam itu di Balai Budaya
Seorang peguam muda berteriak
‘Ayuh, mari kita berarak’
Malam itu di Balai Budaya
Para pelajar berikrar
“Dada kami sedia dibakar’
Malam itulah juga
Parlimen jadi pertanda
Memenggal leher BAHASA
USMAN aWANG
3 Mac 1967
Dipetik daripada Antologi Sajak Keranda 152
Oleh Salbiah Ani
dahiya@bharian.com.my
VIDEO PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK (PPSM) DI JEPUN
Dedikasi untuk Para Penyokong dan Pencinta PPSMI, semoga memberi sedikit motivasi yang tidak akan basi buat anda serta generasi mendatang.
As with the UK, Japan is experiencing a lack of take-up in science education. Find out how the government there is managing to reverse this problematic trend as we explore how the subject is taught at schools across the country.
Faced with a lack of scientists at both university and industry level, the Japanese government has prioritised the development of creative approaches to science education. Some of their initiatives have been in partnership with the Miraikan Museum which works with schools at all levels to help teachers motivate their students in science.
In addition, 100 so-called Super Science High Schools have been created across Japan, with each of them asked to design their own science-focused curriculum. We talk to science teachers and pupils at Tokyo Tech SSHS and Koenji Junior High School in Tokyo, spend time in the physics and chemistry laboratories, and meet the head of Tokyo Tech, who is also an eminent professor.
AWANG SARIYAN BIDAS PIHAK PRO PPSMI
Tak perlu mencari jalan berliku pertahan PPSMI
Prof Dr Awang Sariyan
Saya bersyukur akhirnya pernyataan hati nurani rakyat yang prihatin kepada kedudukan dan peranan dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan dapat disembahkan kepada Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong.
Saya menyertai ucap sembah menjunjung kasih seluruh pejuang bahasa kepada baginda atas keprihatinan baginda terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai salah satu pancang dan tunjang kenegaraan.
Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada penggerak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang berjaya merakyatkan dan memasyarakatkan perjuangan bahasa kebangsaan sehingga bangkit kesedaran massa tentang peranan bahasa Melayu sebagai salah asas pembinaan negara, sebagaimana yang diputuskan dan dilaksanakan sejak kemerdekaan.
Saya tidak berminat mengulas soal teknis tentang apa-apa yang berlaku dalam cara penyampaian memorandum perjuangan rakyat itu, kerana yang jauh lebih penting ialah memfokuskan perhatian kepada agenda negara dalam soal mempertahankan kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam pembangunan negara.
Asas paling utama bantahan pejuang bahasa dan mereka yang faham serta menghayati peruntukan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu ialah bahawa kuasa eksekutif wajib menghormati keputusan badan Penggubal undang-undang, iaitu Parlimen.
Jelas bahawa pelaksanaan PPSMI bercanggah dan menyeleweng daripada undang-undang tentang bahasa Melayu yang telah dimaktubkan. Atas asas ini sahaja kerajaan tidak perlu mencari jalan panjang lagi berliku-liku untuk mencari kewajaran mempertahankan dan meneruskan PPSMI.
Apa-apa jua alasan dan hujah untuk mempertahankan dan meneruskan PPSMI dan dasar lain yang seumpama itu terbatal dengan sendirinya apabila kita menggunakan premis undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan.
Oleh itu, seruan Perdana Menteri supaya disegerakan keputusan yang wajar (pasti yang berdasarkan undang-undang negara) tentang PPSMI perlu dilaksanakan oleh badan eksekutif (jemaah menteri).
Polemik yang bersifat pinggiran seperti pencarian dalang di balik perhimpunan membantah PPSMI tidak memberikan faedah apa-apa pun jua, selain semata-mata menayangkan nafsu menjaga kuasa dan memusuhi golongan yang tidak sekelompok dengan pihak berkenaan.
Dapatkah orang yang sihat akalnya menerima tohmah bahawa tokoh seperti Dato' Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Dato' A Samad Said serta tokoh-tokoh lain yang sepanjang hayatnya tidak hidup atas kurniaan kontrak dan perniagaan sanggup didalangi oleh mana-mana pihak untuk ke hadapan dalam perjuangan menjaga martabat bahasa Melayu?
Yang dapat dibayangkan ialah bahawa kesungguhan hendak mempertahankan dan meneruskan PPSMI itu barangkali ada kaitannya dengan kepentingan agihan kontrak dan habuan yang telah dibuat dalam aspek prasarana pelaksanaan PPSMI. Wallahu a'lam.
Demikian juga, berkali-kali disebut bahawa mengapa sesudah enam tahun pelaksanaannya baru kini timbul penentangan dan hujah bahawa PPSMI menyalahi Perlembagaan dan Akta Pendidikan, seolah-olah pejuang bahasa sengaja menanti saat tertentu dengan niat tertentu untuk menjatuhkan orang yang merasakan dirinya begitu penting. Sahlah bahawa orang yang berhujah demikian sama ada baru bangkit daripada lena yang panjang atau diserang penyakit pelupa yang kronik.
Seawal pengumuman dasar PPSMI pada tahun 2002, individu dan badan-badan bukan kerajaan, dan bahkan parti politik tertentu atau bahagian dalam parti kepemimpinan kerajaan sendiri telah mengadakan seminar, konvensyen, forum, pertemuan dengan pemimpin pelbagai pihak, hatta kedua-dua orang Perdana Menteri, penyerahan memorandum dan hasil kajian empiris, penggunaan media cetak dan media elektronik.
Para pejuang bahasa dengan penuh adab dan kesantunan mencuba menggunakan saluran intelektual dan yang dikatakan "saluran betul" oleh pihak-pihak yang kononnya sangat beradab selama bertahun-tahun, tetapi tidak tampak reaksi yang meyakinkan daripada kerajaan, malah pernyataan demi pernyataan pihak berkuasa cenderung untuk meneruskan dasar yang bercanggah dengan undang-undang negara dan kepentingan negara itu.
Menteri Pelajaran yang ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan sendiri dan atas kapasitinya sebagai Ketua Pemuda Umno telah dikunjungi oleh pimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia di pejabatnya di Jalan Dato' Onn dan telah memperlihatkan keprihatinan pada waktu itu.
Pada hemat saya, kini bukan masanya untuk kita saling mendakwa tentang cara dan kenapa timbul bantahan, atau ada tidaknya dalang di balik bantahan terhadap PPSMI. Fikirkanlah asas proses pembinaan negara yang telah dirancang sejak awal, malah sebelum kemerdekaan, menurut acuan yang munasabah bagi negara kita. Salah satu asas itu ialah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan.
Marilah kita menjadi bangsa yang tahu menghormati warisan tamadun bangsa yang telah berakar teguh sejak berabad-abad lamanya. Manfaatkanlah apa-apa jua unsur daripada tamadun luar, termasuk penguasaan bahasa-bahasa asing, tetapi usahlah menjadi bangsa yang rakus akan kemajuan kebendaan sehingga kehilangan roh bangsa dan negara.
Bukalah mata kita seluas-luasnya bagaimana negara-negara maju di seluruh dunia yang tetap mengutamakan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai wahana komunikasi dalam bidang-bidang kehidupan bertamadun mereka, meskipun tidak meremehkan bahasa asing yang bermanfaat sebagai alat sokongan kemajuan negara mereka.
------
Prof Dr Awang Sariyan ialah Penyandang Kursi Pengajian Melayu-China Beijing Foreign Studies University
Sumber: Harakahdaily
MUHASABAH DIRI: ADAKAH ANDA MEMILIKI SAHAM DALAM PPSMI



Perjuangan Keranda 152





TEKS MEMORANDUM GMP KEPADA DYMM YDP AGUNG
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun.
Adapun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 hari bulan Januari 2009. Alhamdulillah sejak itu sambutannya di seluruh negara sangat memberangsangkan.
MENGAPA KAMI SEKALIAN MEMBANTAH PPSMI
Patik sekalian membantah PPSMI dan meminta kerajaan memansuhkannya atas beberapa sebab utama seperti yang kami jelaskan berikut:
1. Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu (iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia) di sekolah kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak Kemerdekaan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, kemudian Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya Akta Pendidikan 1996, telah mencapai kejayaan yang luar biasa dan tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius.
Banyak pelajar kita, beratus ribu banyaknya, malah lebih 3 juta (dari tahun 1957 hingga tahun 2003) telah berjaya mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa mereka sendiri dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.
Semua orang tahu akan kejayaan dasar yang asal itu dan banyak bukti tentang kejayaan itu dapat kami tunjukkan tetapi kami tidaklah berhasrat untuk membebankan pembaca dengan datanya yang agak banyak dan panjang.
2. Tidakkah orang yang membuat keputusan yang tidak munasabah itu sedar bahawa hasil daripada dasar pelajaran kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama, ratusan ribu pelajar kita (seperti yang tersebut di atas) pandai sains dan matematik dalam bahasa sendiri, dan ribuan daripada mereka berjaya menjadi profesor yang mengajar sains dan matematik di peringkat pengajian tinggi dalam bahasa sendiri, menjadi ahli sains, jurutera, pakar-pakar perubatan, pandai berbincang, mengarang buku sains, menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris (kalau perlu)?
Tidakkah mereka tahu bahawa sebelum tahun 2003 jumlah tesis Sarjana Sains (M. Sc.) dalam bidang sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih 2,000 (dua ribu buah) manakala tesis Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih kurang 400 buah?
3. Maka kami berasa amat hairan dan terperanjat mengapa dasar yang sudah baik dan berjaya itu, dasar yang tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius itu, tiba-tiba dimusnahkan dan digantikan dengan PPSMI?
4. Keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dibuat dengan mengejut tanpa apa-apa perbincangan, tanpa apa-apa perundingan dengan pakar-pakar pendidikan dan bahasa, tanpa memikirkan baik buruknya terhadap bahasa Melayu dan terhadap pelajar dan guru yang telah cukup biasa mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (atau dalam bahasa ibunda di Sekolah Jenis-Kebangsaan Cina dan Tamil) selama lebih 37 tahun!
Tiba-tiba anak-anak kita yang tidak mengetahui bahasa Inggeris sepatah pun, kebanyakannya dari kawasan luar bandar, dipaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa yang mereka tidak tahu itu. Beberapa orang ahli bahasa di Barat menganggap bahawa ini adalah contoh dasar English linguistic imperialism atau dasar penjajahan bahasa Inggeris yang berlaku di beberapa banyak negara bekas jajahan British, menyebabkan kebanyakan bangsa peribumi atau negara itu tidak maju sains dan teknologi.
5. Antara sebab yang dikemukakan oleh pihak yang cuba mempertahankan PPSMI ialah: Kalau orang Melayu atau pelajar Melayu mahu pandai dan maju dalam bidang sains dan matematik mereka hendaklah mempelajarinya dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu. Mengapakah setelah lebih 37 tahun pendapat yang salah dan karut ini digunakan untuk mengubah dasar asal dan menggantikannya dengan dasar PPSMI? Tidak ada bukti ilmu dan empiris yang kukuh untuk mempertahankan alasan itu.
Hampir semua bangsa dan negara yang maju sains dan teknologi mengajar sains di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda mereka masing-masing. Sekadar menyebut beberapa contoh, Negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, Indonesia, semua negara Eropah (termasuk Britain), Rusia dan negara-negara Skandinavia tidak mengajar sains dan teknologi dalam bahasa asing.
6. Kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, baik di peringkat menengah dan peringkat tinggi, mahupun di peringkat sekolah rendah, tidak maju sains dan teknologi. Negara Brunei Darussalam tidak menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di universiti dan kita tahu negara itu tidak maju sains dan teknologi, yakni negara itu tidak sama taraf kemajuan sains dan teknologinya dengan negara seperti Jepun, Korea dan negara China atau Taiwan.
Korea Utara adalah negara kuasa nuklear. Negara itu tidak mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Begitu juga, di Filipina, negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia atau Asean, tidak menggunakan bahasa Filipina untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi, dan kita tahun negara itu tidak merupakan negara maju sains dan teknologi.
Kebanyakan eksport Filipina, menurut seorang ahli ekonomi Filipina, ialah pembantu rumah dan pekerja biasa; kelebihan mereka ialah, mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di peringkat rendah.
7. Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri.
Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu.
Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.
Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.
8. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bukti kegagalan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun dipaksakan kepada pelajar itu.
9. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau BM/BI. Ini juga bukti kegagalan pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris kepada pelajar berbahasa Melayu.
10. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 8 dan 9 di atas menunjukkan peratus pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. [Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai "otak" atau minat untuk belajar atau memahami sains atau matematik; puncanya ialah, mereka tidak memahami soalan yang dibuat dalam bahasa Inggeris, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun].
HASIL KAJIAN
11. Hasil kajian sebenar dan bebas yang dilakukan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan selain Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar.
Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%. Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MPRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang merudum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.
12. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato' Isahak Haron dari UPSI Januari 2008), terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7,236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.
APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?
13. Perkara yang sangat merunsingkan kami ialah, dalam percubaannya untuk mempertahankan PPSMI dan membuktikan bahawa dasar PPSMI itu 'sudah berjaya' atau 'akan berjaya', para pegawai di Kementerian Pelajaran cuba menurunkan markah lulus mata pelajaran sains dan matematik sehinggakan murid yang mendapat markah 30% dianggap sudah boleh lulus (yakni mendapat markah B dan C).
Kalau cara yang 'mengelat' ini digunakan untuk mengatakan bahawa jumlah pelajar yang lulus dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin meningkat alamatlah mutu pelajaran pelajar kita dalam bidang ini akan menurun, tidak tinggi. Sebelum tahun 2003 semasa sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu mutu pelajaran dalam mata pelajaran ini tidak direndahkan atau dengan kata lain, markah lulusnya tidak diturunkan.
GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS
14. Kami tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. GMP juga bukan 'gila bahasa Melayu'. Kami cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong.
Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.
15. Hal yang sangat menghairankan kami dan orang yang berilmu di mana-mana sahaja ialah, 'pendapat' atau 'teori' yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu.
Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik. Kajian yang disebut para perenggan 7 di atas mengesahkan perkara ini.
16. GMP telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (foreign language) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah I hingga Tingkatan V.
Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.
17. Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia, khususnya di kawasan induknya, iaitu kawasan Melayu-Indonesia.
Akhir kalam, patik sekalian, dengan penuh takzim, dengan harapan yang tinggi, memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku, Raja Yang Berdaulat dan Ketua Perlembagaan Negara Malaysia, sudi apalah kiranya Duli Tuanku berkenan menerima Warkah Memorandum ini.
Atas limpah berkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perutusan patik sekalian menghadap Tuanku untuk mempersembahkan Memorandum ini ke bawah Duli Tuanku, patik sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga, dan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Duli Tuanku Dilimpahi rahmat dan hidayah sebagai Ketua kepada Perlembagaan Negara Malaysia.
Sekianlah patik sekalian persembahkan. Wa billahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Patik sekalian yang berdatang sembah.
Rakyat Malaysia
Sumber: Harakahdaily