PM tidak sahkan MH370 dirampas, misi diteruskan ke dua koridor baru
OLEH MOHD FARHAN DARWIS/malaysian Insider/Admin
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mengesahkan laporan
media berhubung pesawat MH370 dirampas dan pencarian pesawat ini sedang
memasuki fasa baru ke arah dua koridor baru di utara Malaysia dan satu
lagi di selatan negara ini.
Koridor utara adalah menuju ke Turkmenistan, Kazakhstan serta utara
Thailand manakala koridor selatan ialah di Indonesia dan selatan Lautan
Hindi.
Perdana menteri berkata demikian pada sidang medianya sebentar tadi.
Pada sidang media itu, Najib yang membaca teks tanpa menerima sebarang
soalan media, berkata Malaysia akan terus meningkatkan usaha mencari dan
berharap maklumat baru yang diperolehi akan membawa kepada satu langkah
mendekati penemuan pesawat itu.
Najib berkata, komunikasi terakhir MH370 dengan satelit adalah pada
8.11 pagi waktu tempatan Sabtu lalu (hari kehilangan pesawat) di Selat
Melaka.
Katanya, penyiasatan menunjukkan pergerakan penumpang kapal terbang itu
dan hubungan telekomunikasi dibuat dengan sengaja namun beliau menolak
ia satu rampasan.
Najib berkata, berdasarkan data daripada radar yang dikesan oleh
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kerajaan mengesahkan pesawat yang
ditunjukkan dalam data asal adalah MH370.
Katanya, ia diperolehi berdasarkan kerja forensik yang dibuat oleh FAA,
NTSB, AAIB dan pihak berkuasa Malaysia yang bekerja secara berasingan
ke atas data yang sama.
"Berdasarkan data baru itu, kali terkahir komunikasi disahkan antara
pesawat dengan satelit adalah pada 8.11 pagi waktu Malaysia hari Sabtu, 8
Mac," katanya.
Beliau berkata, pasukan penyiasat kemudian membuat pengiraan yang akan
menentukan sejauh mana pesawat itu boleh terbang selepas perhubungan
terakhir itu dan ia akan membantu kita membuat pencarian.
Katanya, berdasarkan jenis data satelit yang ada, ia bagaimanapun tidak
boleh mengesahkan tempat pesawat itu membuat hubungan terakhir dengan
satelit.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan data baru ini, pihak berkuasa
penerbangan Malaysia dan rakan-rakan antarabangsanya percaya kapal
terbang itu boleh berada di dua koridor iaitu koridor utara dari
sempadan Kazakhstan dan Tukministan dan utara Thailand atau koridor
selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
Najib berkata, berdasarkan perkembangan terkini ini, pihak berkuasa
Malaysia memfokuskan penyiasatan mereka ke atas anak kapal dan
penumpang.
"Walaupun ada laporan media yang mengatakan pesawat ini dirampas, saya
ingin jelaskan kami masih menyiasat semua kemungkinan yang menyebabkan
MH370 menyimpang dari laluan asalnya," katanya.
Katanya, data baru daripada satelit itu mempunyai kesan besar ke atas bentuk dan bidang operasi pencarian.
"Kami menghentikan pencarian di Laut China Selatan dan menilai semula penempatan aset kita," katanya.
MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk 12
anak kapal hilang daripada radar selepas sejam berlepas dari Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dalam perjalanan ke Beijing.
Setakat ini, 15 negara menyertai misi mencari dan menyelamat pesawat
berkenaan sejak seminggu lalu di kawasan Laut China Selatan, Selat
Melaka dan kini diperluas di kawasan Laut Andaman dan Lautan Hindi.
Antara negara terlibat dalam misi berkenaan termasuk Amerika Syarikat,
Vietnam, Australia, China, India dan Singapura. – 15 Mac, 2014.
Comments :
Post a Comment