

Demo bantah SPRM di Menara Dato Onn, MT mesyuarat
KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno kini sedang bermesyuarat dengan sekumpulan ahli dipercayai, anggota Pemuda dan Putera, mengadakan ‘demonstrasi’ membantah tindakan Lembaga Disiplin dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam soal membanteras gejala politik wang.
Mereka menyerahkan memorandum bantahan terhadap tindakan SPRM, yang didakwa keterlaluan dan kasar semasa menyoal siasat 39 orang berhubung politik wang di Pahang baru-baru ini.
Jurucakap kumpulan berkenaan, Zuraidi Abdul Rahim iaitu perwakilan dari Baling berkata, tindakan SPRM itu telah mencemarkan imej mereka.
Beliau mendakwa mewakili kira-kira 2,500 anggota Pemuda.
“Dua atau tiga orang daripada mereka telah membuat laporan polis,” kata beliau kepada wartawan di sini malam ini.
Kumpulan itu berhimpun di pekarangan Menara Dato Onn di sini dengan membawa sepanduk tertera mesej “Lembaga disiplin sudah nyanyuk”, “Jangan ambil hak ahli Umno” dan “Kami menolak SPRM, boleh blah”.
Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di Menara Dato Onn kira-kira pukul 8.40 malam untuk mempengerusikan mesyuarat MT.
Sebelum mempengerusikan mesyuarat MT beliau melancarkan sistem pendaftaran keahlian Umno atas talian di lobi Menara Dato Onn.
Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak turut hadir. Semalam, salah seorang daripada 39 orang terbabit, Hilmi Kamaruzzman memfailkan laporan polis di Balai Polis Damansara kerana mendakwa didera oleh pegawai penyiasat SPRM semasa disoal siasat.
Tambah Zuraidi, pucuk pimpinan parti perlu memandang serius mengenai perkara tersebut dan meneliti penubuhan SPRM.
Katanya, masalah parti harus diselesaikan di peringkat dalaman.
“Soal parti hanya parti yang tentukan, bukan pihak ketiga,” katanya.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta anggota MT.
Kumpulan itu beredar dari kawasan Menara Dato Onn selepas Abdullah dan timbalannya memasuki lif untuk ke dewan mesyuarat.
=====================
Friday, January 30, 2009
Pemuda Umno bantah kekerasan SPRM
Kira-kira 30 anggota Pemuda dan Putera Umno menyerahkan memorandum membantah dakwaan insiden penderaan seorang pemimpin parti itu di tangan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Memorandum itu diserahkan kepada Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, timbalannya Datuk Seri Najib Razak dan barisan ahli Majlis Tertinggi (MT) sebelum mesyuarat majlis itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.
Menurut Bernama, jurucakap kumpulan itu Zuraidi Abdul Rahim berkata penubuhan SPRM menyebabkan lebih ramai anggota parti ditahan atas tuduhan rasuah dan pegawai-pegawai SPRM "sering menggunakan kekerasan ketika menyoal siasat suspek."
"Penubuhan SPRM bukan untuk memukul, membelasah ketika disoal siasat.
"Kira-kira 39 orang telah dipanggil untuk disoal siasat, yang ditahan tidak pasti tetapi ada dua hingga tiga orang buat laporan polis.
"Kami ada bukti mengenai kejadian ini melalui salinan laporan polis salah seorang anggota parti yang turut kami lampirkan dalam memorandum itu," katanya kepada media di bangunan itu.
Dalam laporan polisnya kelmarin, seorang ahli jawatankuasa bahagian Maran, Pahang mendakwa dipukul sepanjang empat hari ditahan reman di pejabat SPRM Kuantan pada mulai 23 Januari dalam siasatan berhubung politik wang.
Penahanan Halimi Kamaruzzaman itu didakwa berkaitan siasatan terhadap anggota MT dan ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria.
Pemimpin Umno itu bagaimanapun beliau menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan Norza.
Menurut laporan polisnya, Halimi mendakwa tiga pegawai SPRM termasuk seorang ketua unit menumbuk "kepala, perut dan bahunya bertubi-tubi".
Halimi juga mendakwa beliau ditendang di bahagian rusuk, dipaksa bertelanjang dan berguling-guling di atas lantai dalam keadaan berbogel.
"Pegawai yang dikatakan ketua unit (siasatan) ini telah mencekik saya sehingga saya tidak dapat bernafas sambil menolak saya ke dinding," laporannya di balai polis Damansara, Petaling Jaya dipetik.
"Mereka telah mengugut saya bahawa isteri saya akan ditangkap dan dibogelkan jika saya tidak membuat pengakuan bahawa Datuk Norza Zakaria-lah yang menyuruh saya untuk memberi duit kepada ahli-ahli Umno yang terbabit," dakwanya lagi dalam aduan polis tersebut.
"Seorang pegawai telah mengugut untuk meletakkan puntung rokok yang dihisapnya pada kemaluan saya."
Menurut agensi berita itu lagi, Zuraidi menambah, anggota-anggota Umno dari seluruh negara berharap tiada campur tangan pihak luar terutamanya SPRM dalam urusan parti itu agar hak kebebasan bersuara dalam kalangan anggota parti dapat dikembalikan.
"Hal parti hanya parti yang menentukan, kita tidak mahu ada orang ketiga yang campur tangan dalam hal ini," katanya.
Sebelum itu, mereka berkumpul di lobi bangunan itu bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail agar sayap-sayap utama Umno termasuk Pemuda dan Putera dibubarkan bagi mengekang gejala politik wang.
AHLI UMNO MUDAH LUPA TENTANG SPRM
INSIDENT MATA LEBAM TIADA SIAPA YANG BERSALAH KATA SPRM
Dr Mahathir kata pada ketika kes ini masih panas ialah "Anwar cederakan dirinya sendiri". Kini setelah beberapa tahun berlalu penjelasannya masih tidak berubah, iaitu "tiada siapa yang bersalah". Mungkin jika ditanya "Semi value" mungkin ia berkata "kehendak Tuhan"sama seperti ia berhujah ketika menjadi menteri kerjaraya jika terdapat sebarang korasakan kepada infarstruktur awam. 

Gani, Musa tidak lakukan jenayah - SPRM
Tiga anggota panel bebas yang bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya mendapati Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah berhubung insiden yang menyebabkan lebam mata Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
"Setelah mengkaji dengan teliti dan mendalam, majoriti ahli-ahli panel memperakukan bahawa Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara dan Tan Sri Musa Datuk Haji Hassan, Ketua Polis Negara tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah sepertimana yang didakwa oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim," kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM juga berpendapat tidak wujud sebarang kes jenayah terhadap kedua-duanya.
Menurut SPRM, panel tersebut terdiri daripada bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan, yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya oleh Peguamcara Negara.
Mereka ialah bekas hakim Mahkamah Rayuan Dato' Abdul Kadir Sulaiman dan Dato' Mohamad Noor Abdullah serta bekas hakim Mahkamah Persekutuan Dato' Wira Mohd Noor Ahmad.
Anwar, pada Julai tahun lepas, mendakwa Abdul Gani dan Musa memalsukan bukti atau keterangan siasatan kes kecederaan Ketua Pembangkang itu suatu masa dahulu.
Menurut kenyataan itu, SPRM memandang berat dakwaan yang dibuat Anwar kononnya Suruhanjaya itu tidak mengambil tindakan terhadap Peguam Negara dan Ketua Polis Negara ekoran aduannya itu.
Ekoran aduan itu, SPRM (ketika itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah) telah menjalankan siasatan terperinci dan telus selama dua bulan bermula 2 Julai 2008 dengan mengambil kira Abdul Gani dan Musa sebagai subjek utama siasatan.
Siasatan itu merakamkan percakapan saksi-saksi termasuklah Anwar sendiri yang dibuat secara teratur oleh peguamnya.
Memandangkan kes itu amat sensitif, berprofil tinggi dan berkepentingan awam, Suruhanjaya itu mencadangkan tiga anggota panel bebas dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk mengkaji dan membuat perakuan terhadap kes itu.
Harakahdaily
Laporan Polis Anwar Tentang Mata Lebam


