Rekod kehadiran ADUN pembangkang di sidang DUN baru-baru ini amat mengecewakan. Ini mungkin kerana mereka sudah terbiasa dengan sidang DUN yang sangat "RINGKAS" serta "PENDEK" dek kerana tiada perbahasan dilakukan dan semua Ahli pakat setuju belaka.
ADUN BN perlu menghadiri kursus supaya lebih memahami tugas sebagai pembuat undang-undang di DUN menurut Speaker YB Teng.
Speaker kecewa prestasi ADUN BN S'gor
Speaker DUN Selangor Teng Chang Khim kecewa dengan prestasi wakil rakyat BN yang dilihat tidak berminat untuk membahaskan usul-usul yang dibentangkan dalam sesi mesyuarat kali ini.
Teng yang juga kecewa dengan rekod kehadiran ADUN pembangkang itu berkata, mereka perlu menghadiri kursus supaya lebih memahami tugas sebagai pembuat undang-undang di DUN.
"Jelas kelihatan mutu perbahasan ADUN Pakatan Rakyat meningkat. Sementara yang menghampakan adalah pembangkang (BN), yang nampaknya tidak berminat membahaskan usul-usul serta rang undang-undang yang dibentangkan," kata Teng lagi.
Beberapa usul, termasuk usul menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock diluluskan sebulat suara tanpa kehadiran pembangkang.
Usul berkenaan diluluskan hari ini selepas kebanyakan ahli-ahli pembangkang bertindak keluar dewan.
Bercakap dalam sidang media selepas sidang dewan ditangguhkan petang ini, Teng menjelasnya, wakil BN juga perlu "memperbaiki prestasi mereka" dalam sidang seterusnya yang dijangka diadakan Mac depan.
Difahamkan, antara yang bakal menjadi perhatian dalam sesi itu adalah pembentangan rang undang-undang berkaitan kebebasan maklumat - menjadikan Selangor negeri pertama menggunapakai undang-undang tersebut.
Teng juga berkata, BN mungkin perlu mengadakan kursus untuk wakil rakyatnya supaya lebih memahami fungsi mereka sebagai pembangkang di DUN berkenaan.
"Mungkin pihak BN perlu mengadakan kursus untuk mereka kerana agaknya mereka sudah lama menjadi pemerintah, selama 50 tahun. Sekiranya memerlukan bantuan saya memberi kursus, saya sudi memberikannya.
"Selama ini mungkin mereka telah mengabaikan tugas mereka sebagai ADUN dan pembuat undang-undang di dewan negeri," katanya lagi.
Salhan K Ahmad/MALAYSIAKINI
ADUN BN SELANGOR PERLU DIKURSUSKAN
TIMB KETUA PEMBANGKANG SELANGOR AKAN DIHADAPKAN KE JAWATANKUASA HAK -KEBEBASAN
Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri biarpun semua ahli dewan diberi imuniti, tidak bererti ahli-ahli boleh mencemar reputasi mana-mana ADUN dengan fakta yang tidak berasas dan menyalahgunakan kuasa imuniti.
DUN S'gor lulus usul siasat wakil BN
Persidangan DUN Selangor hari ini meluluskan usul supaya timbalan ketua pembangkangnya Datuk Mohd Satim Diman disiasat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung kenyataannya mengenai menteri besar semasa membahaskan Bajet Selangor 2010.
Usul itu yang dibawa oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diluluskan oleh Speaker DUN Teng Chang Khim.
Teng, ketika meluluskan usul itu, berkata mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri biarpun semua ahli dewan diberi imuniti, tidak bererti ahli-ahli boleh mencemar reputasi mana-mana ADUN dengan fakta yang tidak berasas dan menyalahgunakan kuasa imuniti.
Katanya, jika kenyataan yang dibuat oleh Satim pada 11 Nov lepas itu tidak sahih dan tidak berasas, jawatankuasa itu hendaklah mencadangkan tindakan yang sewajarnya kepada dewan.
Ketika membentangkan usul itu, Abdul Khalid berkata jawatankuasa itu perlu menyiasat kesahihan kenyataan Satim iaitu Bajet 2010 dibentangkan dalam keadaan rakyat keseluruhannya sangsi dengan kebolehan menteri besar.
"Ini bertolak dengan kegagalan (Abdul Khalid) membayar kemudahan pinjaman Bank Islam berjumlah RM66.6 juta (US$18.5 juta) yang dibuat pada tahun 1998 bagi tujuan pembelian saham Kumpulan Guthrie Bhd.
"Ini adalah pembelian opsyen 200 juta saham atau 20 peratus daripada kumpulan Guthrie. Ini membuktikan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar tidak hemat dan gagal menguruskan kewangan sendiri," kata Abdul Khalid.
Beliau berkata kenyataan ADUN Sri Serdang itu tidak sahih dan tidak ada bukti yang kukuh dan lebih kepada cercaan kepada seorang ahli dewan dan, menurutnya, soal pinjaman membeli saham itu kini masih lagi dalam prosiding mahkamah.
BERNAMA
ISU TAULIAH BERCERAMAH DAN MEMBACA KHUTBAH DI SIDANG DUN SELANGOR
Setakat ini seramai 977 khatib yang bertauliah untuk "membaca" teks khutbah di Selangor. Laporan sepenuhnya di SINI
Menjawab pertanyaan mulut ADUN Bangi, Shafie Abu Bakar mengenai usaha untuk memudahkan pentauliahan dikeluarkan JAIS, Hasan Ali menjawab tiada jalan pintas untuk memperolehinya kerana prosedur yang ketat dan perlu melalui Jawatankuasa Khas.
Jawatankuasa Khas itu dipengerusikan oleh Pengarah JAIS yang juga merupakan setiausaha kepada Mais dan Timbalannya iailah Mufti kita yang berada dalam jawatankuasa tersebut.
Pengarah Jias, Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata pengecualian tauliah kepada mereka yang ingin mengadakan ceramah atau khutbah di Selangor hanya diberikan kepada golongan tertentu antaranya ulama, mufti negeri, jawatankuasa fatwa, hakim mahkamah atau pendaftar mahkamah syariah serta menteri atau exco yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal agama Islam. Selanjutnya di SINI
"Tindakan Jais baru-baru ini tidak gambarkan seiring jalan antara kerajaan Pakatan Rakyat dengan Jais. Hari ini kita dianggap sama sahaja seperti pentadbiran (BN) dulu dengan menghalang dan menangkap ulama daripada berceramah." ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib berkata. Cerita sepenuhnya di SINI
SELANGOR BUAT SIRI PENDEDAHAN PENYELEWENGAN
Inilah satu-satunya sebab UMNO/BN cukup takut dengan Pakatan Rakyat dan mahu seboleh-bolehnya menamatkan pemerintahan PR khususnya di Selangor secepat mungkin. Lagi lama PR bertapak lagi banyak pendedahan tentang salahguna kuasa, penyelewengan serta salah laku mereka diketahui rakyat.
S'gor dedah info rahsia pertama
Kerajaan Selangor mendedahkan dokumen satu daripada tiga projek - dikategorikan rahsia oleh kerajaan BN sebelum ini - yang memperincikan perpindahan hak milik tanah rakyat di Bukit Cerakah, Shah Alam kepada pemaju menyebabkan lebih 700 penduduk miskin kehilangan tanah mereka.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pendedahaan maklumat berkenaan berkaitan projek Bandar Alam Perdana, yang sebelum ini dikawal bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), bertujuan untuk memberi gambaran sebenar projek berkenaan.
Beliau mendedahkan maklumat itu hari ini berdasarkan bidang kuasanya sebagai menteri besar Selangor seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 2(C) OSA.
Tambahnya, pendedahan melalui risalah yang akan diedarkan kepada masyarakat umum itu juga akan membolehkan petani dan pemilik tanah seluas 17,000 ekar itu mengambil tindakan ke atas pemaju terlibat.
"Sebelum ini mereka tidak boleh ambil tindakan sebab tidak tahu kedudukan sebenar," katanya dalam sidang media selepas persidangan DUN.
Abdul Khalid menjelaskan, pemilik tanah berkenaan, yang merupakan penduduk miskin, pada asalnya telah diberikan sebanyak tiga ekar tanah pertanian setiap seorang untuk diusahakan dengan tanaman kelapa sawit.
Katanya lagi, pemilik tanah menyerahkan tanah mereka kepada seorang pemaju yang menukarkan status tanah menjadi tanah komersil untuk dimajukan menjadi projek perumahan Bandar Alam Perdana.
Tambahnya, petani-petani tersebut telah dijanjikan untuk dibayar RM360,000 bagi tanah berkenaan
"Akhirnya pemilik tanah hilang tanah sebab pemaju cagarkan kepada bank, dan 30,000 pembeli rumah tidak mendapat rumah yang dijanjikan," katanya.
"Siapa menteri besar terlibat, siapa usahawan terlibat, semua kita masukkan dalam risalah ini, ada disertakan gambar juga takut salah orang."
Ketika ditanya, Abdul Khalid bagaimanapun gagal mengesahkan sama ada berlaku penyelewengan atau salah guna kuasa oleh mana-mana pihak dalam projek tersebut.
"Tujuan (pendedahan) untuk memberi maklumat. Terpulang kepada kita untuk tahu, dulu tanah pertanian, sekarang kalau kita pergi ke tempat situ, projek terbengkalai," katanya.
Katanya lagi, pendedahan ini salah satu daripada usaha untuk membincangkan enakmen baru mengenai kebebasan maklumat di DUN itu nanti.
Jelasnya lagi, risalah itu bertajuk 'Rancangan Revolusi Hijau dan Bandar Alam Perdana: Tanah Hilang, Rumah Tak Dapat' akan mula diedarkan kepada orang ramai pada Isnin depan.
Ia juga akan mula dimuatkan di laman web rasmi kerajaan negeri itu esok.
Semalam, Abdul Khalid berkata, kerajaan Selangor akan mendedahkan tiga dokumen berkaitan projek pembangunan di negeri itu yang didakwa telah menguntungkan syarikat-syarikat tertentu bawah pentadbiran BN.
Dua risalah rahsia dijadual didedahkan masing-masing pada 13 dan 16 November ini.
Salhan K Ahmad/MALAYSIAKINI
ARTIKEL 71(1) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN LINDUNGI SELCAT
Artikel 71 (1) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan prosiding yang dibuat dalam sidang DUN, tidak boleh dibangkitkan di mahkamah.
Saman Selcat tindakan sia-sia - Chang Khim
SHAH ALAM 11 Nov. - Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat), Teng Chang Khim menganggap tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) memfailkan saman terhadap jawatankuasa itu sebagai sia-sia.
Katanya, Artikel 71 (1) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan prosiding yang dibuat dalam sidang DUN, tidak boleh dibangkitkan di mahkamah.
Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor berkata, ketiga-tiga ADUN itu juga tidak layak memfailkan saman terhadap Selcat kerana mereka tidak pernah dipanggil memberi keterangan.
”Jika mereka mahu memfailkan saman, mereka sepatutnya memfailkan ia terhadap semua wakil rakyat termasuk diri mereka sendiri kerana tidak membantah ketika Selcat ditubuhkan dulu,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Annex di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan tiga ADUN BN semalam yang memfailkan saman terhadap 10 pihak, menuntut supaya satu deklarasi bahawa penubuhan Selcat dan prosidingnya adalah batal dan tidak sah serta tidak mempunyai sebarang kesan.
Tiga ADUN tersebut ialah ADUN Sungai Air Tawar, Datuk Raja Ideris Raja Ahmad; ADUN Morib, Hasiman Sidon dan ADUN Kuala Kubu Baru, Wong Koon Mun.
Selangorkini
BADROL DITEMPATKAN DI BARISAN PEMBANGKANG

Kedudukan Badrul Dalam Dewan Negeri Selangor Diubah
SHAH ALAM, 9 Nov - Susulan Mesyuarat Ketiga Sidang Dewan Negeri yang bermula hari ini, Speaker Teng Chang Khim bertindak menukarkan tempat duduk ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah dalam dewan ke tempat pembangkang kerajaan negeri.
Ini berikutan mengikut amalan dewan apabila wakil rakyat itu menyertai pihak pembangkang iaitu Barisan Nasional, maka tempatnya perlu ditukarkan agar berjauhan bersama penyokong pembangkang.
“Disebabkan beliau telah pun mengumumkan bahawa beliau keluar daripada parti Keadilan dan juga sebagai akan menjadi Adun Bebas yang memihak kepada Barisan Nasional, maka mengikut amalan dalam dewan saya tukarkan tempat duduk beliau supaya jauh daripada pihak penyokong kerajaan”, kata Teng Chang Khim
Beliau bercakap kepada Tv Selangor selepas diminta mengulas kedudukan Badrul dalam Sidang Dewan Negeri Selangor yang bermula hari ini.
Badrul sebelum ini bertindak keluar dari Parti Keadilan Rakyat dan menyertai parti bebas dan menyokong Umno-Barisan Nasional.
MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN/Selangorkini
"MERAKYATKAN DEWAN NEGERI" TEMA SAMBUTAN ULANGTAHUN KE-50

Sambutan ulangtahun ke-50 Dewan Negeri Selangor simbol demokratik rakyat
SHAH ALAM, 8 Julai - Dewan Negeri Selangor hari ini meraikan sambutan ulangtahun yang ke-50, bertemakan “Merakyatkan Dewan Negeri”.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pemilihan tema itu bertujuan memberi peluang demokratik kepada rakyat untuk mengambil bahagian dalam proses perundangan dan perbincangan mengenai dasar pentadbiran kerajaan Negeri.
“Tema ini dipilih dengan tujuan memperluaskan penyertaan demokratik rakyat dalam proses perundangan dan perbincangan dalam dasar dan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Tan Sri Abdul Khalid berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat kedua penggal kedua sidang Dewan Negeri Selangor ke-12, tengah hari tadi.
Katanya, pelbagai acara sambutan telah diatur selama setahun, bermula hari ini hingga 8 Julai, tahun depan.
Antaranya, Konvensyen Demokrasi dan Badan Perundangan, Debat Siswa, Penerbitan Buku Sejarah Dewan Negeri, Penerbitan Video Dewan Negeri, Pameran Badan Perundangan, Menaiktaraf website Dewan, dan menjadikan Dewan institusi pendidikan rakyat.
Pada persidangan Dewan Selangor kali ini, Jawatankuasa Induk Sambutan 50 tahun, turut mengundang semua Speaker dan Timbalan Speaker dari negeri lain.
Speaker dan Timbalan Speaker yang hadir ialah dari negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah. Mereka juga dijemput menghadiri majlis santapan Di Raja malam ini.
Speaker Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail ketika ditemui berkata, pengendalian dewan Selangor dilihat lebih banyak memberi peluang kepada ahli untuk berbahas.
“Banyak manfaat dan pengalaman mengikut sidang ini apatah lagi ia di ketuai oleh antara speaker yang berpengalaman dalam Malaysia, konfiden, dan perubahan yang banyak dibuat seperti perubahan masa soal jawab daripada 1 jam kepada 1 setengah jam, jadi saya kira ini benda yang baik di buat di Selangor,” katanya.
Speaker Pulau Pinang, Abdul Halim Hussain pula berpendapat, sidang ini adalah bagus dijadikan pengalaman terutama dalam penekanan sistem demokrasi yang diperkatakan.
“Kita lihat ini perkembangan yang bagus di dewan, demokrasi yang di nyatakan oleh Tan Sri Khalid, patut dikaji bersama dan perlu diuar-uarkan , lebih lagi kepada generasi muda, pelajar untuk memahami proses demokrasi,” katanya.
ATIQAH YAACOB-TVSELANGOR/selangorkini
ADUN SEKINCHAN SAHUT CABARAN JADI AGEN HARTANAH (DWIBAHASA)


ADUN SG PANJANG CABAR ADUN SEKINCHAN
Dr Khir Toyo menafikan yang "ISTANA" beliau bernilai RM24 juta." Jika Ng fikir rumah saya bernilai RM24 juta, maka saya mempelawa Ng sebagai agen untuk menjual rumah tersebut."
"Ng boleh ambil 50% dari hasil jualan -RM12 juta dan saya ambil bahagian saya untuk membeli rumah yang lebih baik di tempat lain seperti Bukit Damansara. Ng boleh guna wang dari bahagian dia untuk kerja kebajikan" kata Mohd Khir.
Sementara itu Ng ketika ditemui di Bangunan SUK berkata " Saya harap dapat surat perlantikan sebagai agen hartanah untuk Mohd Khir serta kunci rumah berkenaan secara resmi."
Menurut Ng beliau telah mendapat 3 orang pembeli yang sanggup membayar lebih dari RM8 juta secara tunai serta merta tanpa walaupun melihat bahagian dalam serta "finishing" rumah berkenaan.
Mengenai dakwaan Mohd Khir yang beliau telah membuat pinjaman bank sebanyak RM3.5 juta untuk membeli rumah berkenaan, Ng berkata:" Berdasarkan kiraan saya, Khir mempunyai bayaran bulanan kepada bank sebanyak RM16,709.54 (dikira pada kadar faedah 4% setahun)."
Sebagai ketua pembangkang dan ahli Dewan Undangan Negeri, mantan MB itu hanya berpendapatan RM8,000.00 sebulan, jadi bagaimana mungkin ia mampu membayar Rm16,709.54 selain dari menyewa sebuah lagi rumah, pada waktu yang sama memiliki hartanah berkenaan, tanya Ng yang bersedia menghadapi sebarang tindakan undang-undang dari ahli politik UMNO tersebut.
"Ia tidak munasabah dan masuk akal kerana seorang Menteri Besar dilarang melibatkan diri dengan sebarang perniagaan dan gaji seorang MB seperti yang didedahkan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanyalah RM48,000.00 sebulan" ulas Ng.
"Jika anda darab RM48,000 dengan 12 selama 8 tahun Khir Toyo sebagai Menteri Besar Selangor tanpa mengambilkira perbelanjaan lain, Khir hanya mampu mengumpul RM4.6 juta sahaja" kata Ng.
Agen Hartanah menganggarkan harga pasaran tanah di sekitar kawasan ekslusif (SEk 7 Shah Alam) berkenaan di antara RM110 dan RM150 bagi setiap sekaki persegi.
Dokumen dari Jabatan Tanah dan Galian Selangor menunjukkan bahawa Khir telah membeli 2 lot di kawasan tersebut pada Julai dan September 2007, dan telah membayar RM2.9 juta serta RM900 ribu masing-masing seluas 52,221 kaki persegi serta 20,427 kaki persegi , yang mana harga ini jauh di bawah harga pasaran.
Agen Hartanah juga menyebut kos sebuah rumah di kawasan berkenaan bergantung pada "built-up area" atau keluasan kawasan binaan serta kualiti "fitting" dalam rumah.
Dengan "finishing" berkualiti tinggi, sebuah rumah terletak di kawasan berkenaan boleh bernilai sehingga RM500.00 per kaki persegi.
Dengan menggunakan standard di atas, ini bermakna "ISTANA KHIR" bernilai RM13 juta walaupun hanya separuh dari 52,221 kaki persegi diperbuat dari kualiti "finishing" yang terbaik.
==================================================================================
Mohd Khir denied that the property was worth RM24 million. "If Ng thinks that the house costs RM24 million, then I invite him to be my agent and sell the house," he said.
"He can take 50% of the earnings – RM12 million -- and I can take my portion and buy a better house somewhere else like Bukit Damansara. He should use his share to do some welfare work," he said.
"I hope to get my appointment letter [as property agent for Mohd Khir] and the keys to the house to make it official," Ng said when met at the state secretariat today.
He added that he had lined up three buyers who were willing to pay more than RM8 million upfront for the property even without looking at the finishings inside the house.
On Mohd Khir's claim that he took an RM3.5 million bank loan to buy the house, Ng said: "Based on my calculations, he would have a monthly loan repayment of RM16,709.54 every month (calculated at 4% interest per annum) ."
As state opposition leader and assemblyman, the former mentri besar earns only RM8,000, so how is it possible for him to pay this amount in addition to renting another house and maintaining this property? he asked, adding that he was ready to face any lawsuit from the Umno politician.
"It just does not add up, because an MB cannot be involved in any business and an MB’s monthly salary according to the revelation by Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim is about RM48,000 a month," said Ng.
"If you multiply this by 12 months, for eight years that he served as MB, without taking into account other expenditures, he would have earned RM4.6 million," he said
Property agents estimate that the price of land in that exclusive neighbourhood is between RM110 and RM150 per sq feet.
Documents from the Selangor Land and Mines Department show that Mohd Khir had purchased two lots in the area in July and September 2007, and paid RM2.9 million and RM900,000 for 31,794 sq feet and 20,427 sq feet respectively, which is way below market price.
The agents also said that the cost of a house in the area depends on the built-up area and the quality of fittings in the house.
With top quality finishing, a home in that area can cost up to RM500 per square feet.
Using this as a benchmark, this means that "Istana Khir" would cost RM13 million even if only half of its 52,221 sq feet was built up with the best quality fittings.
Sumber: sun2surf
JAWATANKUASA KHAS PANTAU PENTADBIRAN SELANGOR
Penubuhan Jawatankuasa khas mampu meringankan tanggungjawab Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT), selain dapat membantu memperkasakan dewan dalam memantau pentadbiran kerajaan secara efektif.
Tiga jawatankuasa tersebut terdiri daripada:
Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pejabat Daerah dan Tanah (JPK-PADAT),
Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan (JPK-PBT)
Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (JPK-ABAS).
Tiga Jawatankuasa Khas Pantau Selangor
Tiga jawatankuasa khas baharu ditubuhkan bagi membantu Dewan Undangan Negeri Selangor menjalankan pemantauan ke atas pentadbiran kerajaan negeri.
Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chan Kim berkata tiga jawatankuasa tersebut terdiri daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pejabat Daerah dan Tanah (JPK-PADAT), Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan (JPK-PBT) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (JPK-ABAS).
“Ini adalah tiga jawatankuasa baharu yang dipilih selain empat jawatankuasa sedia ada iaitu Jawatankuasa Kira-kira Awam, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Jawatankuasa Peraturan Tetap dan Jawatankuasa Selcat,” katanya penubuhannya dapat meringankan tanggungjawab Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT), selain dapat membantu memperkasakan dewan dalam memantau pentadbiran kerajaan secara efektif.
Menurutnya, JPK-PADAT dijangka dipengerusikan oleh ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim sementara ahli jawatankuasanya terdiri daripada Dr Rani Osman, Mat Suhaimi Shafie, Gan Pei Nei, Mohd Nasir Hashim, Yap Ee Wah dan Dato Mohd Shamsuddin Lias.
ADUN Taman Medan, Haniza Talha pula bertindak sebagai pengerusi JPK-PBT manakala ahli jawatankuasanya diwakili oleh Dr Shafie Abu Bakar, Lee Ying Ha, Amirudin Shari, Tan Choon Swee, Dato’ Karim Mansor dan Hasiman Sidom.
Sementara itu, ADUN Hulu Kelang, Sa’ari Sungib pula dilantik sebagai pengerusi JPK-ABAS.
Katanya, Lau Weng San, Muthiah a/l Maria Pillay, Khasim Abdul Aziz, Hannah Yeoh Tseow Suan, Dato’ Mohamad Satim Diman dan Dato’ Amiruddin Setro antara adun yang mewakili jawatankuasa tersebut.
Menurut Teng, pelantikan kesemua ahli jawatankuasa telah dimaklumkan kepada Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim minggu lalu sebelum pembebasan Manoharan.
MURIZA ABDUL HAMID/Selangorkini Online


