
Bahasa Melayu di Malaysia, satu gambaran kabur - Pak Samad
(Foto: Sasterawan Negara menerima
pengiktirafan dari PAS ketika berlangsung Muktamar PAS ke 55 di Shah Alam.)
Sungguhpun Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak berucap sepenuhnya menggunakan Bahasa Melayu pada majlis penganugerahan ijazah doktor kehormat oleh Universiti Kajian Luar Beijing (BFSU) kepadanya semasa kunjungannya ke China baru-baru ini , ia belum dapat diterjemahkan bahawa terdapat bayangan beliau bersedia mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu.
Demikian antara pandangan yang diutarakan Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said sebagai 'signal' yang boleh disampaikan kepada kerajaan Malaysia apabila Najib berucap dalam Bahasa Melayu di sebuah negara yang mengutamakan bahasa ibunda sebagai bahasa rasmi dalam segala urusan.
Jelas pejuang bahasa yang dianugerahkan Tokoh Bahasa pada Muktamar PAS ke-55 ini sewaktu dihubungi Harakahdaily, memandangkan Najib menerima ijazah doktor kehormat yang dikurniakan kepadanya, sudah tentu beliau menggunakan Bahasa Melayu dalam ucapannya.
"Penerimaan dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia belum lagi menentukan itu akan dilakukannya di Malaysia. Selain itu saya juga melihat gambaran yang agak kabur.
"Di Malaysia ini, Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri memberi kenyataan kadang-kadang kita dapati seolah-olah akan mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu. Tetapi kadang-kadang kita nampak seolah-olah ada keraguan akan menghapuskan PPSMI ini" tegasnya.
mks/Nyza Ayob/harakahdaily
LAKONAN DI LUAR NEGARA
PERSATUAN-PERSATUAN SIVIL MALAYSIA KELUAR KENYATAAN DAN PUNGUT TANDATANGAN MENGENAI RESOLUSI PAS HARAMKAN SISTER IN ISLAM (DWIBAHASA)
Para Pencinta kebenaran dan Pengamal Demokrasi, sila jawab dan berhujah secara ilmiah agar kebenaran tertegak dan pembohongan tumpas.
PENYATAAN BERSAMA OLEH PERSATUAN-PERSATUAN SIVIL MALAYSIA TERHADAP RESOLUSI PAS UNTUK MENGHARAMKAN SISTERS IN ISLAM
Kami penandatangan di bawah amat terganggu dengan usul Parti Islam Semalaysia (PAS) yang mahu agar Sisters in Islam (SIS) diharamkan dan ahli-ahlinya dipaksa menjalani proses pemulihan jika aktivitinya didapati bertentangan dengan Shariah Islam. Pada hemat kami, dengan membuat usul sebegini, PAS telah pun membuat anggapan bahawa SIS harus diharamkan dan aktivitinya dihentikan.
Kami menghormati kebebasan ahli-ahli PAS untuk berpesatuan dan menyuarakan pandangan mereka. Sedemikian juga, ahli-ahli SIS atau ahli mana-mana pertubuhan lain harus diberikan jaminan atas kebebasan yang sama. Dalam hal-hal kepentingan awam, tiada satu individu atau pertubuhan pun yang boleh memonopoli hak menyuarakan pandangan. Desakan untuk mengharamkan SIS dan memaksa ahli-ahlinya menjalani proses pemulihan adalah suatu tindakan yang mencabul kebebasan-kebebasan yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Telah banyak terdapat undang-undang anti-kebebasan bersuara di Malaysia, justeru desakan PAS sebegini akan mengakibatkan ruang perdebatan awam yang sememangnya kecil menjadi terus tertutup.
Bagi menjadikan Malaysia lebih matang dalam mengamalkan demokrasi yang kita aspirasikan, amatlah penting agar konsep kepelbagaian dilindungi dan terus dipupuk, dan ini termasuklah kepelbagaian pandangan. Oleh demikian, adalah sangat penting kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, samada terhadap ahli-ahli PAS atau mana-mana pertubuhan atau individu lain, dihormati.
Desakan untuk mengambil tindakan terhadap SIS yang boleh mengakibatkan pengharamannya adalah tidak sejajar dengan retorik PAS yang mahukan Malaysia yang demokratik dan inklusif. Sebaliknya, desakan ini sama sekali tidak demokratik. Kami ingin menekankan bahawa walaupun ahli-ahli PAS berhak menyuarakan pandangan mereka, namun desakan untuk mengharamkan SIS tidak boleh diterima langsung. Secara prinsipnya, tidak harus timbul persoalan untuk mengharamkan mana-mana pertubuhan hanya kerana tidak bersetuju dengan pandangan pertubuhan tersebut. Kepelbagaian pandangan mestilah dihormati dan sebarang perselisihan pendapat hendaklah diselesaikan dengan perbincangan yang matang dan membina.
Dengan ini, kami mendesak PAS untuk menimbangkan semula pendiriannya dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menarik semula usul terhadap tindakan ke arah pengharaman SIS.
JOINT STATEMENT BY MALAYSIAN CIVIL SOCIETY ON PAS RESOLUTION TO BAN SISTERS IN ISLAM
We the undersigned are deeply disturbed by the call on the part of the Pan-Malaysian Islamic Party (PAS) to have Sisters in Islam (SIS) banned and its members rehabilitated should its activities be determined to be contrary to the Islamic shariah. It is apparent to us that in making the call in the manner that it has, PAS has already formed the view that SIS should be banned and its activities brought to an end.
While we respect the freedom of members of PAS to associate in a manner that they consider appropriate or warranted as well as their freedom to express a view in association on such matters as they see fit, the members of SIS, or any other organization for that matter, are equally guaranteed those freedoms. No one person or organization has a monopoly over the right to express views on matter of public importance. The call to silence SIS and send its members for rehabilitation is an act of violence against those freedoms and their constitutional underpinnings. It also lends itself to further closure of the already narrow space of public discourse and debate that a slew of anti-expression laws have allowed Malaysians.
For Malaysia to mature into the democracy that Malaysians aspire to, it is vital that diversity, even of views, be protected and nurtured. Respect for the freedoms guaranteed to all Malaysians by the Federal Constitution, be they members of PAS or any other organization or simply individuals, is crucial to this endeavor.
The demand for action against SIS culminating in a ban is not easily reconciled with PAS public rhetoric in favour of a more democratic and inclusive Malaysia. On the contrary, the demand is wholly anti-democratic. We reiterate that though members of PAS are entitled to their views, the call for the banning of SIS is wholly unacceptable. As a matter of principle, the question of banning any organization purely for their views should not arise at all. Differences of views must be respected and, if at all, be resolved through constructive engagement.
In view of this, we urge PAS to reconsider its position and take such steps as are necessary to retract the call for action against SIS.
RAPAT DAN LURUSKAN SAF LAKSANA BUNYANUM MARSUS

Dua berita yang dipetik dari harakahDaily.net yang menarik untuk renungan bersama.
PAS tidak tolak profesional-YDP Marang /SU PAS Terengganu
Mahfuz cadang Husam, Mohd Sabu dilantik jawatan utama PAS
PAS tidak tolak profesional
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Haji Yahya Ali berkata kemenangan Ustaz Nasaruddin Mat Isa mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PAS dalam pemilihan parti di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-55 bukan bermakna PAS menolak golongan profesional.
Sebaliknya, kata Yahya kedua-dua calon yang tewas kepada Ustaz Nasaruddin iaitu Dato' Paduka Husam Musa dan Haji Mohamad Sabu turut memperolehi pencalonan yang tinggi dari perwakilan.
"Tidak timbul soal PAS menolak golongan profesional dengan kemenangan Ustaz Nasharuddin mempertahankan jawatannya (Timbalan Presiden PAS).
"Dua calon yang tidak menang seperti Dato' Husam dan Mohamad Sabu pun dapat pencalonan yang tinggi dari perwakilan PAS," ujarnya ketika dihubungi, semalam.
Beliau selaku Yang Dipertua PAS Marang berpendapat pemilihan jawatankuasa baru PAS bagi sesi 2009/2011 merupakan gandingan mantap serta kombinasi yang baik antara golongan ulama dan profesional.
Katanya, keputusan perwakilan membuktikan kematangan ahli PAS memilih kepimpinan parti yang bakal menerajui perubahan.
Yahya berharap agar tidak ada lagi mana-mana pihak sengaja mensensasikan isu kononnya terdapat dua kumpulan dalam PAS iaitu golongan ulama dan profesional.
Menurutnya, dalam PAS semua yang bertanding adalah baik dan bagus serta tidak mempunyai kepentingan peribadi.
"Bagi kita (PAS), semua yang bertanding itu baik dan bagus-bagus belaka. Hasrat perwakilan pula untuk memilih yang terbaik,"ujarnya.
Katanya, pertandingan dalam PAS tidak seperti yang berlaku dalam pemilihan parti Umno yang menggunakan politik wang atau rasuah. Khairul Azlam Mohammad/azm/mks/harakahdaily
------------------------------------------------------------------------------------
Mahfuz cadang Husam, Mohd Sabu dilantik jawatan utama PAS
Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar mencadangkan agar Dato' Husam Musa dan Mohamad Sabu diberikan jawatan yang penting dalam Dewan Harian PAS Pusat.
Mahfuz menegaskan kedua-dua pemimpin tersebut merupakan aset penting dalam PAS dan tidak seharusnya ia dipersia-siakan.
Jika keduanya tidak diberikan jawatan-jawatan penting ia pastinya akan merugikan parti, jelas beliau.
"Saya mencadangkan agar Dato' Husam dan Mohamad sabu diberikan jawatan penting dalam Dewan Harian.
"Mereka berdua merupakan aset penting kepada parti dan ia merugikan jika kita tidak melantik keduanya memegang apa-apa jawatan penting," tegas Mahfuz.
Mahfuz juga menjelaskan, kedua tokoh tersebut merupakan public figure yang mampu menarik sokongan terhadap PAS.
Kedua-dua tokoh tersebut juga tegas beliau, mampu mengukuhkan kepimpinan PAS jika diberikan jawatan penting dalam Dewan Harian.
Mengulas perkara yang sama, seorang lagi Naib Presiden, Salahuddin Ayob turut sependapat dengan Mahfuz yang mahukan kedua tokoh penting PAS itu diberikan jawatan penting dalam parti.
Salahuddin menegaskan, beliau akan berusaha memastikan Husam dan Mohamad Sabu diberikan jawatan penting dalam Dewan Harian PAS Pusat.
"Kedua tokoh tersebut masih sangat-sangat diperlukan oleh PAS, jadi perlu keduanya dilantik jawatan penting dalam Dewan Harian.
"Andai kita membiarkan keduanya tanpa jawatan ibarat membiarkan kilauan permata malap kerana tidak tahu menjaganya," tegas Salahuddin.
Beliau juga menegaskan kedua tokoh penting itu mampu mengukuhkan kepimpinan PAS untuk menguatkan lagi Pakatan Rakyat dan memastikan kemenangan dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.
Dato' Husam Musa dan Mohamad Sabu sebelum ini merupakan Naib Presiden PAS.
mr/Irwan Muhammad Zain/harakahdaily
MENDEPANI CABARAN LIKU PERJUANGAN
Muktamar PAS Labuh Tirai Dengan Tekad Keterbukaan Islam
Oleh Syed Azwan Syed Ali
Muktamar Tahunan PAS Ke-55 melabuhkan tirainya hari ini dengan pucuk pimpinan parti itu bertekad membuka pintu toleransinya kepada mana-mana pihak dalam menegakkan syiar Islam.
Foto: YAB MB Selangor menjadi tuan rumah kepada majlis makan malam buat para perwakilan Muktamar PAS ke 55 di kediaman beliau, Shah Alam.
Ini merujuk kepada perbincangan PAS dengan Umno dan kemungkinan penubuhan kerajaan perpaduan yang mendapat tentangan terbuka beberapa perwakilan dan pemimpin daripada ketiga-tiga sayap parti.
Mereka khuatir jika kepimpinan parti tersasar daripada landasan parti dan bimbang sekiranya parti mengulangi kesilapan lalu iaitu ketika parti itu menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1974 sebelum keluar daripadanya empat tahun kemudian.
Keterbukaan itu juga dikhuatiri menjejaskan hubungan PAS dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Namun sepertimana ditegaskan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din, adalah berdosa sekiranya seseorang itu tidak mematuhi pemimpin selagi pemimpin itu tidak melanggar syarak.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungan menegaskan perjuangan menegakkan syiar Islam yang menjadi landasan perjuangan parti perlu merentasi sempadan politik sekalipun dengan musuh.
Dalam meyakinkan perwakilan, tokoh ulama itu berkata perjuangan menegakkan syiar Islam boleh dilakukan melalui muzakarah dan persefahaman (sepertimana dilakukan dalam pakatan pembangkang), malah berperang.
Namun jalan terbaik dalam menegakkan syiar agama adalah melalui perdamaian, kata Abdul Hadi merujuk kepada keterbukaan pucuk pimpinan parti dalam soal pembentukan kerajaan perpaduan.
"Di sini perlu kesabaran, jangan kita tutup pintu langsung hingga bercanggah dengan perintah Allah," kata Abdul Hadi sambil meminta ahli parti itu bersatu dan menangkis cubaan lawan untuk memecah-belahkan mereka.
Katanya, apa yang penting adalah bagi setiap ahli untuk membezakan musuh sebenar dengan musuh direka cipta yang dibuat beberapa pihak dengan mewujudkan istilah ulama promuzakarah dan profesional propakatan.
Hakikat ini meningggalkan dua cabaran kepada kepimpinan PAS terutama Abdul Hadi untuk meyakinkan ahli PAS dan sekutunya dalam pakatan pembangkang tentang sejauh mana keterbukaan itu akan menguntungkan semua pihak.
Sikap keterbukaan pimpinan PAS itu turut menimbulkan kekhuatiran di kalangan Kelab Penyokong PAS yang ahlinya terdiri daripada bukan Islam.
"Mereka bertanya adakah PAS meninggalkan mereka dan menjadi kawan setia Umno," kata wakil kelab penyokong PAS Vincent Lee merujuk kepada rundingan sulit dengan Umno yang disifatkan mengguriskan perasaan penyokong bukan Islam dan DAP selaku sekutu PAS.
Cabaran kedua Abdul Hadi adalah untuk membetulkan persepsi di kalangan ahli PAS tentang dakwaan wujudnya dua golongan dalam PAS yang mungkin merapuhkan kekuatan parti itu jika tidak ditangani dengan sebaik-baiknya.
Namun seperti kata Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasaruddin Hassan Tantawi, dalam ucapan penggulungannya yang membawa maksud jangan kerana kebencian kepada Umno menyebabkan dakwah Islam tidak sampai kepada mereka.
Bernama
JAWATAN TERTINGGI PAS DIPIKUL OLEH ULAMA
PAS Kekalkan Tradisi Memilih Ulama Bagi Jawatan Tertinggi Parti
SHAH ALAM, 6 Jun (Bernama) -- Nasharudin Mat Isa mengekalkan jawatan Timbalan Presiden
PAS dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memenangi salah satu daripada jawatan Naib Presiden sebagai tradisi parti itu mengekalkan pemilihan golongan ulama bagi jawatan tertinggi.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga seorang ulama, sebelum ini menang tanpa bertanding untuk mengekalkan jawatan Presiden PAS.
Dalam keputusan pemilihan hari ini, Nasharudin meraih 480 undi menewaskan pencabar terdekat iaitu bekas Naib Presiden Datuk Husam Musa yang meraih 281 undi dan seorang lagi bekas Naib Presiden yang turut bertanding, Mohamad Sabu (261 undi) pada Muktamar Tahunan ke-55 parti itu di sini, Sabtu.
Bagi jawatan Naib Presiden, Tuan Ibrahim mendapat undi tertinggi iaitu 871, diikuti bekas Ketua Dewan Pemuda Salahuddin Ayub (824 undi) dan Ketua Penerangan Datuk Mahfuz Omar (636 undi).
Pemilihan pada kali ini menyaksikan jawatan Naib Presiden turut diwakili Salahuddin dari kalangan profesional dan Mahfuz yang merupakan seorang aktivis.
Bekas menteri besar Perak semasa pakatan pembangkang memerintah, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin pula terpilih sebagai salah seorang daripada 18 Anggota Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat mendapat jumlah tertinggi dengan 854 undi.
AJK parti yang lain ialah Idris Ahmad (799 undi), Datuk Kamarudin Jaffar (769 undi), Datuk Seri Azizan Abd Razak (653 undi), Datuk Dr Hasan Mohd Ali (642 undi), Dr Mohd Hatta Md Ramli (638 undi), Abdul Ghani Samsudin (637 undi) dan Datuk Abu Bakar Chik (622 undi).
Mereka juga termasuk Mohamed Hanipa Maidin (619 undi), Datuk Ir Amiruddin Hamzah (606 undi), Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali (589 undi), Abd Ghani Abdul Rahman (584 undi), Dr Zulkefly Ahmad (576 undi), Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (530 undi), Hashim Jasin (522 undi), Mazlan Aliman (513 undi), Taib Azamudden Md Taib (508 undi) dan Dr Mujahid Yusof Rawa (448 undi).
Jawatan Pengerusi Tetap kekal disandang oleh Abu Kasim Abdullah yang menang tanpa bertanding manakala Timbalan Pengerusi Tetap dimenangi oleh Hussin Ismail yang juga penyandang dengan 609 undi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Datuk Mustafa Ali berkata kiraan semula undi tidak diadakan berikutan perbezaan jumlah undi yang agak besar di antara calon-calon yang bertanding bagi merebut jawatan utama dalam pemilihan jawatan tertinggi parti PAS kali ini.
Beliau berkata tahap kerahsiaan yang diamalkan pada pemilihan tersebut juga agak tinggi di mana tiada kebocoran yang dilaporkan berlaku, malah anggota jawatankuasa juga diingatkan supaya tidak menerima sebarang panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) malam semalam.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas ketika diminta memberikan komen bahawa berdasarkan kepada calon yang menang, menunjukkan bahawa pemilihan kali ini didominasi oleh golongan ulama.
"Saya tidak boleh memberikan sebarang komen...sebarang analisis itu anda yang perlu nilai. Saya tidak nampak garis pemisah di antara ulama dan profesional," katanya pada sidang media selepas mengumumkan keputusan itu.
Mustafa berkata liputan yang diberikan oleh media pada muktamar kali ini secara umumnya adalah liputan yang adil sambil berharap ia (liputan) dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.
BERNAMA
