Pray For MH370

Pray For MH370

ISMA UMUMKAN AKAN LETAK CALON PRU 13

BANGI, 2 Feb. - Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman hari ini mengumumkan pendirian ISMA untuk terlibat dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Menurut beliau, ISMA akan menghantar calon-calon untuk bertanding di kawasan-kawasan yang dikenalpasti berpotensi dan selari dengan dasar serta tujuan penglibatan politik ISMA.

Pendirian ini dinyatakan dalam satu sidang media yang diadakan di sini petang tadi. <

Ustaz Abdullah berkata, keputusan ini diambil oleh Majlis Syura ISMA setelah mengadakan perbincangan yang mendalam dan mengambil kira senario politik semasa serta pelbagai kajian dan bacaan politik yang menjangkakan negara akan menghadapi situasi ketidakstabilan politik nanti.

“Kita berhasrat untuk menyelamatkan undi-undi umat Islam agar pergi ke calon-calon yang beragama Islam dan berwibawa.

“Kita tidak mahu undi-undi ini menjadi peluru sesat yang akhirnya membunuh masa depan umat Islam sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata, perincian mengenai di mana dan berapa bilangan kawasan yang akan ditandingi oleh calon-calon daripada ISMA akan dimaklumkan kelak.

Ustaz Abdullah menyatakan harapan agar masyarakat Islam dapat memberi sokongan yang padu terhadap usaha murni ISMA serta memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada calon-calon yang akan dikemukakan kelak.

Berikut adalah kenyataan penuh ISMA berhubung penglibatan ISMA dalam PRU ke-13 yang telah dibacakan oleh Ustaz Abdullah Zaik:

Segala puji dipanjatkan kepada Allah s.w.t, Pemilik alam semesta. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi kita Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Berdasarkan bacaan terkini senario politik semasa, setelah menela’ah pelbagai kajian dan bacaan politik, negara dijangka akan menuju ke situasi ketidakstabilan politik  yang juga akan turut menjejaskan aspek-aspek yang lain.

Kedua, kedudukan politik orang Melayu dan umat Islam yang semakin goyah dan tercabar akibat perpecahan, menyebabkan kuasa menentukan arah masa depan negara berada di tangan orang lain.

Ketiga, menyedari politik adalah percaturan antara kuasa-kuasa dan pengaruh-pengaruh  yang berbagai-bagai latar belakang dan berkepentingan, ketiadaan penglibatan yang aktif di pihak NGO Islam yang perihatin akan menyebabkan kepentingan Islam dan umat Islam akan terpinggir.

Atas tiga faktor utama tersebut, ISMA telah mengamanahkan Biro Politik ISMA yang diketuai oleh Tuan Hj Aminuddin Yahaya untuk mengkaji sejauhmana ISMA perlu atau patut terlibat dalam PRU ke-13 ini.

Satu kertas cadangan telah dikemukakan ke Jawatankuasa Pusat ISMA (JKP ISMA) untuk diteliti. Berpandukan usul daripada JKP tersebut, Majlis Syura ISMA yang dipengerusikan oleh Tuan Hj Sharipuddin Ab Kadir pada 26 Januari 2013 telah membincangkan cadangan penglibatan ISMA dalam PRU ke-13.

Hasil perbincangan yang meluas dan mendalam oleh Majlis Syura ISMA, telah mencapai keputusan sebulat suara bahawa ISMA perlu terlibat dalam PRU ke-13 dengan menghantar calon di kawasan-kawasan yang dikenalpasti berpotensi dan selari dengan dasar serta tujuan penglibatan politik ISMA.

Kita ingin menegaskan bahawa kita berhasrat untuk menyelamatkan undi-undi umat Islam agar pergi ke calon-calon yang beragama Islam dan berwibawa. Kita tidak mahu undi-undi ini menjadi peluru sesat yang akhirnya membunuh masa depan umat Islam sendiri. Perincian mengenai di mana dan berapa bilangan kawasan yang akan ditandingi akan dimaklumkan dalam siaran media akan datang.

Tujuan penglibatan ISMA dalam PRU ke-13 antara lain ialah;

    Untuk memastikan kerukunan hidup masyarakat berbilang kaum berteraskan lunas perlembagaan yang saling menghormati hak satu sama lain berterusan.

    Untuk memastikan teras kenegaraan yang berpaksikan Islam, Melayu dan Raja terus dihormati.

    Terlibat sama dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara tidak terjejas walau apapun keputusan PRU ke-13 akan datang.

    Memberi sumbangan dalam memastikan masa depan politik Malaysia yang lebih Islamik

    Membantu mengukuhkan kedudukan politik orang Islam demi masa depan agama bangsa dan negara.
Sumber: http://www.ismaweb.net/v4/2013/02/isma-akan-libatkan-diri-dalam-pru-ke-13/

Read More “ISMA UMUMKAN AKAN LETAK CALON PRU 13”  »»

PROF MADYA DR AGUS YUSOFF: KEDUDUKAN SENGIT DAN SEIMBANG

 Setelah penelitian dibuat kepada data yang ada, kedudukan sekarang adalah sengit kata Prof Madya Datuk Dr Agus.
"Setiap parti masih mempunyai peluang yang seimbang untuk menang dengan kedudukan sekarang saya dapati BN selesa di 96 kerusi dan PR di 68 kerusi. Selebihnya 58 kerusi lagi adalah kawasan menarik untuk diperhatikan kerana secara umumnya kerusi-kerusi tersebut mempunyai komposisi pengundi bukan Melayu yang agak ramai iaitu sekitar 20 peratus" ujar beliau.



Agus Yusoff.:..  Kedudukan menjelang PRU 13 Setiap parti masih ada peluang yang seimbang untuk menang'..

PROF Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, anak kelahiran Machang, Kelantan, antara pensyarah sains politik yang telah menggunakan banyak masa akademiknya untuk mengkaji perkembangan politik, selain mengkaji pola pengundi dan perkembangan pilihan raya di Malaysia dan Indonesia.

Selain tokoh akademik, beliau lebih dikenali sebagai penganalisis politik yang mempunyai kelas yang tersendiri dan penilaian terhadap perkembangan politik tanah air malah hasil kajiannya sentiasa mendapat rujukan pelbagai pihak khususnya ahli politik dan pihak berkepentingan terutamanya menjelang pilihan raya umum tahun ini.

Ikuti temu bual eksklusif Sinar Harian Online bersama beliau bagi mendapatkan gambaran sebenar politik negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

SINAR HARIAN ONLINE: Sebagai seorang penganalisis dan pemerhati politik, apakah telahan Prof berhubung peluang pembangkang untuk mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Malaysia?

AGUS: Jika melihat kepada ramalan dari hasil kajian yang dibuat oleh beberapa penganalisis sebelum ini, kedua-dua parti yang bersaing iaitu Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang yang sama rata.

Prof (Ulung Datuk) Dr. Shamsul Amri Baharudin meramalkan BN akan menang dengan 120 kerusi, Penasihat DAP, Lim Kit Siang meramalkan PR akan menang dengan 125 kerusi, bekas Ketua Ekonomi Bank Islam memberikan peluang yang lebih baik kepada PR, dan begitulah juga dengan banyak kajian lain yang telah diberikan oleh para pengkaji dan penganalisis, lebih kurang seimbang sahaja peluangnya.

Tidak ada seorang pun penganalisis yang berani meramalkan mana-mana parti yang bersaing dapat memenangi dengan dua pertiga majoriti sepertimana yang biasa kita dengar sebelum ini.

Bagi saya pula, setelah penelitian dibuat kepada data yang ada, kedudukan sekarang adalah sengit.

Setiap parti masih mempunyai peluang yang seimbang untuk menang dengan kedudukan sekarang saya dapati BN selesa di 96 kerusi dan PR di 68 kerusi.

Selebihnya 58 kerusi lagi adalah kawasan menarik untuk diperhatikan kerana secara umumnya kerusi-kerusi tersebut mempunyai komposisi pengundi bukan Melayu yang agak ramai iaitu sekitar 20 peratus.


Kelebihan dan kekurangan BN-PR

SINAR HARIAN ONLINE: Oleh kerana Malaysia satu-satunya negara Komanwel yang belum pernah menukar Kerajaan Persekutuan sejak lebih 50 tahun lalu, adakah Prof menjangkakan peralihan kuasa itu akan berlaku sepertimana yang berlaku di negara-negara jiran yang lain?

AGUS: Saya telah nyatakan bahawa, kedudukan setiap parti yang bersaing sekarang ini sengit dan masing-masing parti belum menunjukkan “winning posture” yang jelas bahawa mereka akan memenangi pilihan raya ini.

Banyak aspek lain yang perlu diberikan perhatian. Saya perhatikan isu-isu kempen, kekuatan jentera parti, janji-janji politik parti, kredibiliti calon, dan imej parti adalah seimbang. Masing-masing ada kekuatan dan kelemahan.

Jika dilihat dari aspek kewangan dan media, saya fikir kekuatan BN melebihi PR dalam soal ini. Tetapi kelebihan BN tidak jauh kerana sekarang ini yang menentukan kemenangan sesebuah parti tidak bergantung semata-mata kepada 3M ('money', 'machinery' dan media) sepertimana dahulunya, tetapi adalah sikap pengundi.

Inilah yang menarik untuk dikaji iaitu tentang sikap pengundi muda, pengundi bandar, pengundi kelas menengah, pengundi kampung, pengundi wanita, pengundi atas pagar, pengundi diam, pengundi Melayu dan bukan Melayu.

Dengan banyaknya faktor yang masih perlu diambil kira dan senario yang ada sekarang, terlalu awal untuk bercakap tentang perubahan kerajaan.

Satu yang saya pasti ialah jika kerajaan BN masih lagi dapat mengekalkan keselesaan hidup rakyat, maka peluang “status quo” kekal adalah tinggi.



Tsunami 2008 PRU13 berbeza

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula tsunami politik 2008, sejauh mana Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan berjaya melenyapkan gelombang itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti?

AGUS: Tsunami 2008 dengan PRU 2013 adalah berbeza. Tsunami 2008 datang tanpa dijangka dan di luar dugaan. Dalam PRU ini, apa juga keputusannya rakyat telah menjangkakannya kerana tidak ada satu parti pun yang akan menang dengan majoriti yang besar.

Apakah kepimpinan Perdana Menteri dapat melenyapkan tsunami 2008 dalam PRU ini? Saya tidak fikir semudah itu kerana seperti yang saya katakan tadi, semuanya adalah seimbang.

Apatah lagi dalam banyak program transformasi yang diumumkan oleh PM, rakyat masih belum menikmati lagi kejayaan dari program tersebut, cumanya dapat menerima beberapa bantuan sosial yang diberi secara “one-off” sahaja. Saya tidak fikir sekadar bantuan “one-off” dapat melenyapkan tsunami 2008.

SINAR HARIAN ONLINE: Ada pihak mengatakan, tsunami 2008 itu berlaku disebabkan rakyat kecewa dengan kepincangan yang berlaku dalam BN, khususnya Umno baik dari segi salah guna kuasa, rasuah, sabotaj calon PRU12, politik wang dan perebutan kuasa. Oleh sebab itu, rakyat beralih arah kepada pembangkang untuk memberi pengajaran kepada BN supaya insaf dan perbaiki kelemahan parti. Sejauh mana pandangan itu mempunyai asasnya?

AGUS: Semua pandangan di atas mempunyai asasnya dan saling berkait antara satu sama lain.  Namun, masih ada empat lagi faktor besar yang menyumbang kepada berlakunya tsunami 2008.

Pertama ialah kemarahan rakyat kepada kenaikan kos hidup disebabkan oleh tindakan kerajaan waktu itu menaikkan harga minyak dalam kadar yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin pun sebelum ini.

Kedua, pengaruh media alternatif yang cukup luar biasa dalam mempengaruhi pengundi muda dan kelas menengah untuk menolak kerajaan.

Ketika itu, kerajaan BN tidak memberikan perhatian yang besar sangat kepada pengaruh dan keberkesanan media ini berbanding dengan sekarang ini.

Ketiga, faktor calon BN yang menimbulkan ketidakpuasan hati pemimpin dalam BN sendiri. Hal ini panjang untuk dihuraikan tetapi telah dibahaskan dengan baik oleh ramai penganalisis sebelum ini.

Satu lagi faktor yang mempunyai persamaan dengan kedudukan BN sekarang ialah tentang janji-janji politik.

Jika pada 2008, rakyat menaruh harapan yang menggunung tinggi kepada slogan bekerja bersama saya, menghapuskan rasuah, dasar pembangunan koridor bagi setiap wilayah, sekarang ini rakyat juga meletakkan harapan yang tinggi kepada kejayaan pelaksanaan gagasan 1Malaysia, NKRA dan pelbagai program transformasi kerajaan.

Jika pada 2008, harapan tinggi rakyat gagal diterjemahkan dengan baik oleh kerajaan, saya fikir rakyat juga sedang menilai dengan penuh teliti kejayaan pelaksanaan dasar kerajaan seperti yang saya tadi.


SINAR HARIAN ONLINE: Pembangkang sangat sinonim dengan budaya himpunan jalanan dan demonstrasi di negara ini, yang terbaru ialah Himpunan Kebangkitan Rakyat atau #KL112 di Stadium Merdeka yang telah mencatatkan sejarah apabila ia berlangsung dengan aman, tanpa provokasi pihak tertentu dan tanpa keganasan yang melampau. Adakah ia petanda awal Umno-BN akan berkubur pada PRU13 apabila majoriti yang menyertainya adalah orang Melayu?

AGUS: Saya tidak nampak kaitan sebuah perhimpunan  Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung aman dengan petanda bahawa kerajaan BN akan berkubur dalam PRU13 nanti. Jika perhimpunan berlangsung aman, maka itulah yang kita harapkan dan itulah yang kita mahu.

Biarpun majoriti yang hadir dalam  Himpunan Kebangkitan Rakyat adalah orang Melayu, data yang kumpulan penyelidik saya kutip mendapati majoriti orang Melayu di desa, di tanah rancangan, hatta di bandar masih bersama dengan BN.

Yang menjadi masalah kepada BN sekarang ialah sokongan bukan Melayu kepada PR sekarang ini padu, satu kelainan ketara dari sikap pengundian mereka sebelum PRU 2008.
Jadi, masalahnya sekarang ialah BN menghadapi krisis keyakinan dari bukan Melayu, bukannya orang Melayu.



'One-off' hanya gula-gula sementara

SINAR HARIAN ONLINE: Sejak akhir-akhir ini Datuk Seri Najib dilihat mendahului pembangkang dengan mengguna pakai idea pembangkang yang diubah suai berhubung program kebajikan seperti BR1M, Bantuan Awal Persekolahan, rebat telefon pintar, PR1MA dan sebagainya. Adakah BN ketandusan idea untuk memikat hati pengundi dengan mengubahsuai idea pembangkang dan menjadikan BN semakin popular. Sejauh mana ia memberi kesan kepada sokongan dan menyumbang kepada peningkatan undi pada PRU13 nanti?

AGUS: Menerima pakai idea pembangkang untuk memberikan bantuan kepada rakyat adalah sesuatu yang baik. Sekurang-kurangnya kerajaan bersedia untuk melaksanakan apa juga idea pembangkang yang baik untuk kesejahteraan rakyat.

Persoalannya bukan itu pada saya. Yang penting dijawab ialah sejauh manakah idea pembangkang itu baik?  Dan sejauh manakah bantuan 'one-off' itu memberi kesan positif pada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat?

Saya harus nyatakan tawaran mana-mana parti yang berbentuk 'one-off' itu hanya sekadar gula-gula sementara kepada rakyat bagi mendapat sokongan dalam pilihan raya. Langkah PR yang menjanjikan banyak ‘barang percuma’ sekiranya memerintah dan selepas itu cuba diikuti rapat oleh BN bukanlah dasar ekonomi yang baik.

Saya kira dasar seperti itu tidak adil pada ekonomi negara yang memerlukan banyak wang untuk membayar hutang luar dan menyediakan pembangunan fizikal kepada rakyat.

Saya harap selepas PRU13 nanti, dasar ekonomi negara dan sistem percukaian negara perlu disusun semula supaya kerajaan boleh berlaku adil kepada semuanya sama ada kepada rakyat mahupun ekonomi negara.

Terakhir yang perlu saya jawab ialah sejauh manakah bantuan di atas mempengaruhi sokongan pengundi?  Saya tidak nampak memberikan kesan yang signifikan. Rakyat tidak lagi ghairah dengan bantuan tersebut sehingga ada yang sudah menganggap itu sebagai tanggungjawab kerajaan untuk memberikannya.

Rakyat yang tidak menyokong kerajaan juga sudah diberitahu supaya ambil sahaja bantuan yang diberi kerajaan, tetapi undi jangan bagi. Kesedaran politik rakyat kita sudah semakin banyak berubah.


SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana Prof melihat keterdesakan BN dan PR dalam meraih sokongan hingga menjadikan politik samseng sebagai salah satu cara untuk menjajah minda pengundi dan menyekat kebebasan menyampaikan dakyah masing-masing kepada rakyat.

AGUS: Rakyat tanpa mengira dari parti apa pun tidak boleh menerima politik samseng. Jadi, bagi mana-mana parti yang menggunakan taktik ini, yakinilah itu bukannya yang rakyat mahu.

Oleh itu, harapnya kita sama-samalah meraikan perbezaan parti dan pendapat dengan penuh semangat demokrasi. Buat apa takut pada parti lawan sehingga perlu kepada politik samseng? Saya tidak nampak relevannya sikap seperti ini untuk mendapatkan undi rakyat.



Maksimumkan isu

SINAR HARIAN ONLINE: Politik menghalalkan cara untuk mencapai matlamat. Sejauh manakah Prof melihat pelbagai isu kontroversi yang ditimbulkan pelbagai pihak, baik kerajaan mahupun pembangkang. Adakah mereka ingin menjadikannya sebagai polemik hingga pilihan raya nanti?

AGUS: Isu hudud, isu kalimah ALLAH, isu cincin, isu rasuah, isu Teoh Beng Hock, isu air di Lembah Klang dan Kelantan dan apa juga isu yang boleh dipolitikkan akan digunakan sampai ke tahap maksimum untuk mempengaruhi rakyat dalam kempen pilihan raya nanti.

Ini kerana isu adalah sentimen yang boleh mempengaruhi pemikiran pengundi. Saya tidak ada masalah dengan penggunaan isu-isu dalam kempen politik, tetapi masalahnya ialah apabila ada isu yang digunakan itu adalah bersifat peribadi dan mengaibkan. Inilah yang tidak baiknya sehingga menampakkan sikap politik kita yang jauh dari matang.

Oleh sebab itulah, saya melihat ahli politik negara kita ini, adalah antara yang terkuat mentalnya di dunia. Ini kerana untuk terjun dalam arena politik negara, maka mereka mesti bersedia bukan hanya sekadar menadah telinga untuk mendengar pujian dan cacian, tetapi juga bersedia untuk ditelanjangkan dan diaibkan.

Saya sendiri jika ditanya bersediakah untuk terjun dalam dunia politik praktis, saya akan segera jawab tidak mahu dan tidak mungkin kerana saya tidak mempunyai kekuatan itu.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula dengan layanan kerajaan kepada pembangkang dari segi kebebasan bersuara menerusi media arus perdana sepertimana yang diamalkan di Eropah dan negara barat yang lain? Permintaan Presiden Pas untuk menjelaskan Amanat Haji Hadi menerusi stesen tv kawalan kerajaan hingga ke hari ini menjadi persoalan dan pembangkang melihat BN tidak mengamal dasar demokrasi yang luhur dalam hal ini.

AGUS: Saya tidak lihat pembangkang mempunyai peluang untuk mendapat liputan berita yang baik dalam media perdana di negara kita. Sebab itulah ramai sarjana mengatakan pilihan raya di negara kita ini bebas tetapi tidak adil.

Bebas kerana kita adakan pilihan raya secara berkala apabila tiba masanya dan kita boleh terlibat dalam politik tanpa banyak gangguan, tetapi tidak adil kerana media massa perdana dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan.

Mujurnya, bagi mengimbangi penguasaan media perdana kerajaan, wujud media alternatif yang membolehkan parti pembangkang turut bermain ‘politik dalam ruangan.’

Tetapi melihat dari sudut yang lain, saya dapati media pembangkang juga mensensasikan berita sama seperti media kerajaan sahaja.  Itu sudah menjadi tahap profesionalisme kewartawanan berlesen yang ada di negara kita.

Mengenai kebenaran untuk (Presiden Pas Datuk Seri) Tuan Guru Haji Hadi (Awang) muncul di TV kerajaan bagi menjelaskan isu Amanatnya, saya sudah nyatakan sebelum ini bahawa Pas perlu mencari alternatif lain bagi membolehkan Tuan Guru Haji Hadi memberi penjelasannya secara langsung, iaitu melalui media online.

Hujah saya ialah untuk menamatkan Amanat Hadi ini dari terus dipolemikkan. Hujah orang kampung tidak boleh menontonnya jika diadakan secara langsung melalui TV online kerana tidak ada kemudahan internet di rumah.

Telah saya jawab dengan menyatakan perkara ini boleh dimuat naik dalam Youtube atau jualkan sahaja kaset sepertimana amalan Pas sebelum ini.

Saya kira, itu jawapan kepada kekangan yang ada. Tetapi nampaknya cadangan saya tidak diterima. Jika begitu, maka kesemuanya, baik di pihak BN atau PR, sama-sama akan mempolitikkan apa juga isu asalkan di akhirnya akan mendapat laba politik daripadanya.


Sidang Parlimen lebih segar

SINAR HARIAN ONLINE: Pada pandangan Prof, sejauh mana pembangkang mempamerkan kualiti perdebatan yang diharapkan di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri (Dun)?

AGUS: Pembangkang memainkan peranan yang efektif di Parlimen dan Dun (jika di Dun, ini termasuklah peranan wakil rakyat BN sebagai pembangkang di negeri yang dikuasai oleh PR). Mereka banyak menimbulkan isu-isu substantif yang wajar diberi perhatian oleh rakyat dan juga kerajaan. Tindakan mereka di Parlimen dan Dun, suka atau tidak suka telah membuatkan rakyat kita celik politik hari ini.

Masalahnya adalah dari segi masa perbahasan yang singkat. Masalahnya adalah dari segi mutu perbahasan sesetengah ahli parlimen yang menjadikan Parlimen seperti pasar ikan atau pasar malam. Harus diingat, yang menjadikan sidang Parlimen itu kecoh bukan hanya dari parti pembangkang sahaja, tetapi juga di pihak kerajaan. Ada ketikanya mencelah tanpa izin, ada ketikanya tidak ikut peraturan Dewan, ada ketikanya menggunakan 'point of order' di tempat yang tidak betul.

Tapi keseluruhannya, saya lihat Parlimen kita lebih segar dengan adanya pembangkang yang kuat. Cuma yang perlu kita fikirkan ialah bagaimana hendak munculkan pembangkang yang sihat?



SINAR HARIAN ONLINE: Apakah yang dapat Prof rumuskan berhubung landskap politik di negara ini? Adakah masih di takuk lama atau sudah berganjak kepada politik baru sepertimana yang dikatakan Datuk Saifuddin Abdullah?

AGUS: Politik kita masih di takuk lama. Di kala dunia bercakap tentang keterbukaan, politik kita masih lagi dipenuhi dengan fitnah memfitnah, caci memaki, benci membenci dan keengganan elit politik untuk berubah. Kempen mereka masih lagi dengan tawaran lama, tanpa ada satu tawaran baru yang lebih menarik. Ini saya lihat kekurangan utama yang ada pemimpin BN khususnya, mungkin kerana sudah cukup selesa setelah sekian lama berada di tampuk kuasa.

Selain itu, di kala kita bercakap tentang hak-hak asasi rakyat, pemimpin kita meminda undang-undang tetapi di akhirnya tidak banyak pun perubahan substantif yang dibuat ke atas undang-undang tersebut. Ia sekadar menukar minuman lama ke dalam botol baru sahaja.

Begitu juga dengan pemimpin pembangkang, banyak juga yang masih belum selesai dari segi tingkah laku mereka. Apabila berceramah, mereka akan menimbulkan kebencian dan menyumpah seranah orang. Ini bukan jiwa seorang pemimpin yang besar. Bercakap juga dengan modal idea yang tidak berkembang dengan isu-isu lama yang sudah luput.

Pendekatan politik Datuk Saifuddin Abdullah luar biasa pada saya. Jiwa besar beliau yang memahami aspirasi generasi kini akan menjadikan beliau relevan dalam politik negara dan beliau berada dalam kelasnya yang tersendiri. Semoganya selepas PRU13 nanti akan muncul ramai pemimpin seperti Datuk Saifuddin Abdullah dalam pentas politik negara.


Saifuddin ikon politik

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah kerana Prof berkawan rapat dengan Datuk Saifuddin menyebabkan Prof berkata demikian?

AGUS: Saya mengenali Datuk Saifuddin dan beliau mengenali saya, tapi kami tidak pernah berbincang soal politik secara bersama.  Saya berkata demikian kerana saya tahu ramai anak muda mengangkat beliau sebagai ikon politik yang negara mahukan, bukan kerana beliau BN atau timbalan menteri, tetapi kerana pendekatan politiknya yang mahu membawa perubahan minda kepada ahli-ahli politik.
Saya setuju dengan beliau dalam soal ini, menerima yang baik itu sebagai baik dan yang buruk itu sebagai buruk.-SINAR HARIAN ON line

Read More “PROF MADYA DR AGUS YUSOFF: KEDUDUKAN SENGIT DAN SEIMBANG”  »»

"POLITIK" BERKAHWIN DENGAN "WANG"

Read More “"POLITIK" BERKAHWIN DENGAN "WANG" ”  »»

DUN SELAT KLANG KREATIF SAMBUT MAULIDUR RASUL DN PERASMIAN SPIES D'VILLAGE

Read More “DUN SELAT KLANG KREATIF SAMBUT MAULIDUR RASUL DN PERASMIAN SPIES D'VILLAGE ”  »»

cara BERFIKIR BN: HARGA AIR MURAH PUNCA KRISIS AIR

KUALA LUMPUR, 31 Jan — Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata harga air yang murah punca kepada krisis bekalan air terputus berlaku di negeri Selangor baru-baru ini serta menegaskan hal tersebut menunjukkan penting bagi kerajaan melakukan penstrukturan tenaga dan air bagi memastikan kedua-dua bekalan utama tersebut tidak mengalami masalah pada masa depan.

Menurut beliau, langkah kerajaan negeri memberikan harga air yang murah bukanlah sesuatu kaedah terbaik kerana ia hanya akan menyebabkan kepada lebih banyak pembaziran.

“Krisis di Selangor baru-baru ini adalah salah satu contoh akibat buruk yang berlaku dan menyebabkan ratusan ribuan rakyat menerima kesannya.

“Air murah yang diberikan hanya menyebabkan pembaziran kerana orang ramai yang tidak menghargai dan menggunakannya secara berlebihan,” kata Chin dalam satu majlis anjuran Institut Strategi Dan Kepimpinan Asia pagi tadi.

Chin juga menyatakan pemberian air murah akan menyebabkan kerajaan terpaksa meningkatkan subsidi dan pada masa sama ia juga akan menyebabkan pembaziran dana awam.

“Apabila penggunaan air meningkat, kerajaan pada masa sama terpaksa meningkatkan subsidi.

“Apabila ditambah subsidi ini, penggunaan dana awam juga tidak dapat digunakan dengan sebaiknya,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Chin mengulangi penstrukturan tenaga dan air sangat penting serta memberikan amaran supaya ianya tidak dipolitikkan kerana isu ini adalah demi kepentingan rakyat Malaysia sendiri.
Awal bulan ini, ribuan pengguna di Lembah Klang terputus bekalan air berikutan kerosakan sistem pam tambahan di Rumah Pam Wangsa Maju.

Gangguan air tersebut antara yang terburuk sejak Pakatan Rakyat mengambil alih negeri Selangor.

Walaubagaimanapun, Putrajaya menuduh keengganan kerajaan negeri Selangor membina loji rawatan Langat 2 sebagai punca krisis tersebut memandangkan sistem pengepaman sedia ada tidak mampu permintaan pengguna yang semakin meningkat.

Dalam perkembangan terkini, kerajaan negeri Selangor bercadang untuk mengambil alih perkhidmatan air dari syarikat konsesi air di negeri itu dalam tempoh 14 hari.

Dalam surat yang ditulis kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air tersebut, kerajaan negeri memaklumkan bahawa pengambilalihan perkhidmatan industri air akan diteruskan dalam tempoh 14 hari sekiranya pihak kementerian tidak memberi sebarang maklumbalas.

Pertikaian berhubung isu air di Selangor mula mendapat perhatian apabila pembinaan Loji Langat 2 dihentikan kerajaan PR Selangor sebaik sahaja menawan negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum 2008.
Sumber; Malaysian Insider
.................................................
 Isu Air: Peter Chin bidas kerajaan Selangor
2013/01/31
PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air hari ini membidas kerajaan Selangor yang dilihat lebih berminat mempolitikkan isu bekalan air daripada membantu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menyelesaikan masalah berkaitan bekalan air.

Menterinya, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, berkata tindakan Selangor membuat pengumuman mengenai punca gangguan bekalan air baru-baru ini adalah tidak wajar dan membelakangkan badan kawal selia perkhidmatan air negara, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Beliau berkata kerajaan negeri Selangor seharusnya menyerahkan tanggungjawab membuat siasatan mengenai punca sebenar kejadian kepada SPAN, dan menumpukan perhatian bagi membantu Syabas, yang 30 peratus dimiliki kerajaan negeri.


"Kerajaan Persekutuan (sebaliknya), dan bukan Selangor; yang mengarahkan Syabas melaksanakan serta-merta, kerja-kerja pemasangan paip pintasan untuk menyelesaikan gangguan bekalan yang dihadapi penduduk beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini," katanya semasa membacakan kenyataan media di sini.

Katanya Kerajaan Pusat juga mengarahkan Syabas melaksanakan kerja-kerja menaik taraf Rumah Pam Wangsa Maju bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan air di masa hadapan, kerana kerja pembinaan rumah pam baru oleh kerajaan negeri menggunakan pinjaman kerajaan persekutuan hanya akan siap pada tahun 2015.

Peter Chin berkata Kerajaan Pusat menerusi SPAN juga sedang meneliti beberapa langkah mitigasi tambahan yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko gangguan bekalan air yang serius sementara menunggu pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 disiapkan.

Beliau berkata kerajaan negeri juga enggan memberi kebenaran bagi membaiki bumbung kolam air di Loji Rawatan Air Sungai Langat yang berada dalam keadaan kritikal, walaupun peruntukannya sudah disediakan Syabas.
"Sekiranya bumbung kolam air itu runtuh, sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk sekitar Ulu Langat dan sebahagian Kuala Lumpur akan mengalami ganguan bekalan air yang boleh berterusan mencecah berbulan lamanya," katanya.

Katanya situasi ini merupakan sebahagian daripada halangan yang dihadapi kerajaan pusat ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor dalam memastikan rakyat mendapat bekalan air mencukupi tanpa ganguan.

"Oleh itu saya serahkan kepada rakyat utnuk menilai sama ada kerajaan negeri Selangor benar-benar serius untuk menyelesaikan masalah rakyat atau lebih berminat untuk mempolitikkan isu air ini dengan mengaitkan masalah ini dengan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor," katanya. - BERNAMA

Read More “cara BERFIKIR BN: HARGA AIR MURAH PUNCA KRISIS AIR”  »»

MAHAZALIM TAKUT DENGAN BAYANG2 MULA SEBAR KHABAR ANGIN

  Anda nilai sendiri ucapan bekas seorang negarawan "wira" dan berbagai lagi gelaran yang pernah diberikan kepada beliau.


Mahathir: Pembangkang tangkap lawan jika berkuasa
   

Pakatan pembangkang akan bertindak terhadap pesaing politiknya sebaik sahaja ia berkuasa, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, mereka akan mengambil tindakan terhadap orang yang tidak baik dengan mereka atau yang mereka rasa tidak baik dengan mereka.

Berucap di Kuala Lumpur hari ini, Dr Mahathir berkata, terdapat desas-desus bahawa kerajaan persekutuan yang dikuasai Pakatan, akan menangkap orang seperti itu, termasuk dirinya sendiri.

Bekas perdana menteri itu berkata, ada yang mengatakan beliau harus meninggalkan Malaysia sebelum keputusan pilihan raya diumumkan.

"Itu perkara pertama yang mereka (Pakatan) akan lakukan (apabila berkuasa) ialah menutup semua lapangan terbang supaya tidak ada pesawat persendirian boleh berlepas.

"Tetapi saya tidak fikir mereka akan berbuat demikian. Pembangkang adalah orang baik. Mereka mungkin menangkap orang dan mendakwa mereka."

Mahathir secara berseloroh berkata, beliau gembira Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak lagi wujud dan bahawa Pakatan, yang menentang undang-undang tersebut, tidak boleh sebarangan menyumbat orang ke dalam penjara jika ia berkuasa.

"Tanpa ISA, saya berasa lebih selesa," katanya.

Sumber: malaysiakini

Read More “MAHAZALIM TAKUT DENGAN BAYANG2 MULA SEBAR KHABAR ANGIN”  »»

ISU YANG MENGHANTUI PRU13



 Pengerusi SPR menyatakan terdapat 242,294 pengundi pos terdiri daripada 147,681 anggota tentera dan 94,613 anggota polis. Jumlah ini tidak termasuk mereka yang berada dalam kategori lain. Sehingga pertengahan tahun 2012, Talent Corporation menganggarkan seramai tidak kurang 700 ribu pekerja Malaysia bekerja di luar negara.

  SPR telah mengumumkan hak mengundi secara pos bagi mereka yang layak tetapi tidak dapat hadir kerana bekerja dan tinggal di luar negara. Permohonan mengundi secara pos ini dibuka bermula 21 Januari 2013 hingga tarikh pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, yang boleh dibuat pada bila-bila masa sebelum terbubar sendiri tidak lebih tiga bulan daripada sekarang.

Mereka yang termasuk dalam kategori tersebut boleh memohon mengundi secara pos dengan empat syarat khusus: i) warganegara Malaysia, ii) pemilih berdaftar, iii) menetap di luar negara, kecuali di Singapura, selatan Thailand, Brunei dan Kalimantan Indonesia dan iv) pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum tarikh pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang berkuat-kuasa


Menuju PRU-13: Pengundi tidak hadir ― Amin Ahmad
January 30, 2013

30 JAN ― Antara persoalan penting yang sering dibincangkan setiap kali menjelang pilihan raya ialah tentang pengundi tidak hadir.

Umumnya, berdasarkan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, semua nama yang diperakukan (digazet) di dalam Daftar Pemilih Induk atau Daftar Pemilih berhak mengundi.

Mengikut undang-undang pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mendaftarkan dua jenis pemilih iaitu pemilih biasa dan pengundi tidak hadir (PTH). Dalam artikel lalu saya telah menjelaskan tentang pemilih biasa. Artikel kali ini akan cuba membincangkan tentang PTH.

 Impak Pengundi Tidak Hadir

Secara mudahnya, PTH ialah pengundi berdaftar yang tidak dapat berada di kawasan pengundiannya pada hari pengundian kerana sebab tertentu yang dianggap munasabah oleh SPR membenarkannya memohon kelayakan mengundi secara pos.

Dalam Peraturan 2 Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, mereka yang dikategorikan sebagai PTH termasuklah anggota tentera dan pasangannya; anggota perkhidmatan awam yang telah ditugaskan di luar negara dan pasangan yang menetap bersamanya; serta pelajar sepenuh masa yang menuntut di luar negara dan pasangan yang menetap bersamanya. Selain daripada ini, Peraturan 3 Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 juga boleh dirujuk.

Dalam satu kenyataan lain, SPR menjelaskan terdapat 112 kategori lain turut disenarai layak untuk mendapatkan kemudahan mengundi secara pos, seperti petugas media, juruelektrik, penerbit dan lain-lain.

Setakat suku pertama tahun lalu, Pengerusi SPR menyatakan terdapat 242,294 pengundi pos terdiri daripada 147,681 anggota tentera dan 94,613 anggota polis. Jumlah ini tidak termasuk mereka yang berada dalam kategori lain. Sehingga pertengahan tahun 2012, Talent Corporation menganggarkan seramai tidak kurang 700 ribu pekerja Malaysia bekerja di luar negara.

Secara kasarnya bolehlah dikatakan bahawa terdapat lebih satu juta rakyat Malaysia yang mungkin akan mengundi secara pos. Jumlah ini tentulah tidak kecil. Ia pasti boleh menentukan kedudukan di banyak kerusi yang dipertandingkan.

 Pertikaian

Namun pertikaian timbul apabila rakyat Malaysia yang layak mengundi tetapi tidak dapat hadir pada hari pengundian kerana bekerja di luar negara tidak dikategorikan layak menjadi pengundi pos. Ia dilihat menjengkelkan kerana hak yang dijamin melalui perlembagaan persekutuan boleh dinafikan oleh peraturan pilihan raya.

Selain daripada kelayakan mengundi, kesahihan undi pos juga sering dipertikaikan. Bahkan terdapat kenyataan serius daripada sejumlah pihak tentang “pencemaran” terhadap undi pos ini. Ada dakwaan kertas undi pos yang tidak ditanda telah diambil dan ditanda oleh pihak lain.

Setakat ini belum dapat dipastikan sejauh mana kesahihan dakwaan yang dibuat kerana belum ada sebarang siasatan telah dijalankan. Sekiranya ada siasatan dibuat maka ia patut dihebahkan untuk mengurangkan persepsi negatif rentetan dakwaan yang dibuat.

Sekiranya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan untuk menyiasat “pencemaran undi pos”, maka ia mesti dilaksanakan. Semua pihak berhak mendapat sebuah kerajaan yang dipilih secara berintegriti.

 Perkembangan

Dalam cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Penambahbaikan Pilihan Raya, SPR telah diminta untuk mengubah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003. Sayangnya cadangan ini dibuat hanya selepas SPR menjalankan proses pendaftaran pengundi di luar negara selama enam bulan di mana tidak sampai 500 pengundi yang layak mendaftarkan diri.

Seharusnya hal ini diuruskan lebih awal memandangkan semua perubahan dan penambahan yang dibuat terhadap peraturan ini memerlukan kelulusan Yang di-Pertuan Agong serta dengan seberapa segera dimajukan ke Dewan Rakyat untuk dibahas.

Dalam perkembangan terkini, meskipun boleh dikatakan agak lewat, SPR telah mengumumkan hak mengundi secara pos bagi mereka yang layak tetapi tidak dapat hadir kerana bekerja dan tinggal di luar negara. Permohonan mengundi secara pos ini dibuka bermula 21 Januari 2013 hingga tarikh pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, yang boleh dibuat pada bila-bila masa sebelum terbubar sendiri tidak lebih tiga bulan daripada sekarang.

Mereka yang termasuk dalam kategori tersebut boleh memohon mengundi secara pos dengan empat syarat khusus: i) warganegara Malaysia, ii) pemilih berdaftar, iii) menetap di luar negara, kecuali di Singapura, selatan Thailand, Brunei dan Kalimantan Indonesia dan iv) pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum tarikh pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang berkuat-kuasa.

Saya berharap warga Malaysia yang telah mendaftar sebagai pemilih tetapi bekerja di luar negara akan memanfaatkan kemudahan ini. Ambillah sedikit masa untuk membaca maklumat berkenaan ini di laman web SPR atau berhubung dengan pihak berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

 Proses dan pemerhatian undi pos

Selepas urusan penamaan calon, kertas undi pos akan dicetak dan dihantar kepada pemilih berdaftar bersama sampul khas dengan satu borang akuan identiti (Borang 2) dan juga satu panduan tatacara pengundian pos.

Tempat pengeluaran undi pos ini akan diwartakan dan ejen calon atau parti bertanding boleh hadir. Sepatutnya ejen akan menanda nama-nama mereka yang telah diedarkan kertas undi pos ini agar tidak berlaku pengundian berulang oleh pemilih yang sama.

Kertas undi yang telah ditanda bersama borang akuan identiti (yang turut ditandatangani seorang saksi) mestilah sampai kepada Pegawai Pengurus di bahagian pilihan raya berkenaan sebelum pukul 5 petang hari pengundian.

Ejen calon atau parti boleh hadir ketika undi pos dibuka dan dikira. Ia mengambil masa lebih lama kerana nombor siri pada sampul, kertas undi dan borang akuan identiti akan disemak. Sepatutnya ketiga-tiga dokumen ini mempunyai nombor siri yang sama.

Pengundi pos akan mengundi lebih awal kerana perlu memulangkan kembali kertas undi. Pengundi pos di kalangan tentera dan polis yang perlu bertugas pada hari pengundian juga akan membuang undi lebih awal. Ejen calon boleh hadir untuk melihat proses pengundian di kem-kem tentera atau tempat lain yang sesuai.

 Pemerhatian pilihan raya

Sebagai pemerhati pilihan raya, peranan menyeluruh IDEAS serta organisasi lain yang dilantik agak terhad, terutama berkaitan pengundi pos di luar negara. Namun kami mengalu-alukan aduan orang ramai, termasuk para pemilih di luar negara, sekiranya terdapat sebarang masalah yang dihadapi. Ini penting untuk direkodkan. Selain itu, sekiranya semua berjalan lancar, kami juga mahukan maklumat berkenaan. Pemerhatian yang dibuat tidak bertujuan mencatatkan hanya perkara-perkara negatif semata-mata.

Semasa tempoh kempen dan juga hari pengundian pos dijalankan, pemerhatian akan cuba dibuat di beberapa lokasi terpilih.

Sebenarnya, dalam banyak keadaan peranan ejen parti adalah penting. Mereka berpeluang untuk memastikan proses yang dibuat lancar dan mengikut peraturan pilihan raya. Berkaitan hal ini, pihak calon dan parti yang bertanding perlu melatih ejen parti untuk bertindak dengan cekap serta hemah untuk memastikan integriti pilihan raya terpelihara. Sumber: Malaysian Insider Post berkaitan Bersih 2.0 dan 3.0 memang patutt

Read More “ISU YANG MENGHANTUI PRU13”  »»

PENGAWAL KUNCI AIR, BILAL JENAZAH ANTARA PENERIMA ANUGERAH

Nazri


Hj Mokhtar

ust Bashir
KLANG, 28 JAN: Dua petugas Pengawal Kunci Air Sungai Bertik, Sungai Udang dan Kampung Delek menerima Penghargaan Jasamu Tetap Dikenang Sepanjang Zaman dalam Sambutan Maulidur Rasul 1434/2013 Peringkat DUN Selat Klang di sini.

Pengawal Kunci Air Sungai Udang dan Kampung Delek, Hasanuddin Selamat dan Pengawal Kunci Air Sungai Bertik, Mohd Nazri Jailani merupakan antara 51 penerima penghargaan sempena sambutan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.
Penghargaan tersebut diberikan atas peranan dan jasa besar yang dimainkan mereka bagi mengelak banjir besar melanda kampung-kampung sekitar Sungai Udang dan Sungai Bertik.

Demikian menurut Dr Halimah Ali ketika menyampaikan ucapannya di majlis sambutan yang diadakan di Masjid Nurul Amin, Kampung Delek di sini.

“Kalau tidak kerana mereka, tentu kita masyarakat di sini kerap hadapi banjir, oleh itu jasa mereka sangat besar,” kata beliau yang juga merupakan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

Sementara itu Nazir Masjid Nurul Amin, Basir Bakar yang turut menerima penghargaan berkata, menganggap penghargaan yang diterimanya itu sebagai pendorong untuk beliau lebih bersemangat dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat Kampung Delek.

“Terima kasih kerana berikan sumbangan ini, sesungguhnya tugas yang saya jalankan adalah amanah dari Allah dan masyarakat kampung ini,” kata Basir.

Manakala Pengerusi Surau Hj Mokhtar, Mokhtar Ahmad pula memberitahu, penghargaan yang diterimanya menjadikan beliau lebih bersemangat untuk menegakkan syiar Islam di Selat Klang.

Dalam majlis itu seramai 51 orang yang terdiri daripada Nazir Masjid, Pengerusi Surau, Siak, Bilal, Bilal Jenazah dan Pengawal Kunci Air dari seluruh Dun Selat Klang diberikan penghargaan.

Sebelum itu, dianggarkan hampir dua ribu penduduk Kampung Delek dan kampung-kampung berhampiran hadir dalam majlis sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan ‘Ya Rasullullah, Kami Sayang dan Taat Padamu’.

Majlis itu dimulakan dengan perarakkan 914 perserta dari 31 kontingen badan bukan kerajaan (NGO), sekolah, masjid dan surau dari seluruh Selat Klang sejauh hampir dua Kilometer sebelum berakhir di perkarangan Masjid Nurul Amin.

Dalam majlis tersebut pelbagai program menarik turut diadakan seperti program Adik dan Al-Quran Bersama Ustaz Zamri ‘Mantop’ atau nama sebenarnya Zamri Zainuddin, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, Bicara Ilmu oleh Ustaz Dr Zulkifli, Marhaban dan lain-lain lagi.

Sumber: Mediaselangorku

Read More “PENGAWAL KUNCI AIR, BILAL JENAZAH ANTARA PENERIMA ANUGERAH”  »»

MYKAD PASPOR MASUK TEMPAT MENGUNDI


Memang benar bahagian 12 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mengenai kerakyatan menyebut:-

Kerakyatan Persekutuan pada dan kemudian daripada hari yang ditetapkan itu orang-orang yang tersebut di bawah ini hendaklah menjadi rakyat Persekutuan:

(a)Mana-mana rakyat Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu sama ada diperanakkan dahulu, atau pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan.

(b)Mana-mana rakyat British yang diperanakkan di Negeri-negeri Selat sama ada dahulu, atau pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan.

(c)Mana-mana orang yang diperanakkan dahulu, pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan itu dalam mana-mana negeri yang sekarang akan terkandung dalam Persekutuan dan bertabiat bercakap bahasa Melayu dan mengikut adat resam Melayu.

(d)Mana-mana orang yang lain diperanakkan dahulu, atau pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan dalam mana-mana negeri yang akan terkandung dalam Persekutuan yang ibu bapa kedua-duanya diperanakkan dalam mana-mana negeri itu dan pada masa diperanakkan itu telah atau akan tinggal tetap dalam negeri-negeri itu.

(e)Mana-mana orang yang bapanya pada tarikh diperanakkan orang itu ia sedia menjadi rakyat Persekutuan.

Kerakyatan Secara Permohonan:

(a)Ia telah diperanakkan dan telah tinggal dalam mana-mana negeri-negeri dalam Persekutuan selama 8 daripada 12 tahun terdahulu daripada permintaannya.

(b)Telah tinggal 15 tahun daripada 20 tahun awal daripada permintaannya dengan syarat berperangai baik, mempunyai pengetahuan yang cukup tentang bahasa Melayu atau Inggeris, membuat pengakuan akan tinggal tetap dan mengangkat sumpah taat setia kepada Persekutuan.

Isunya sekarang :

(1) Kenapa pemberian IC dibuat menjelang PILIHANRAYA UMUM bagi tujuan membolehkan hak mengundi, dan tidak dibuat sebelum atau selepas PRU?

(2) Kenapa pemberian IC   diberi kepada individu yang tidak cukup syarat-syarat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan?

(3) Kenapa pemberian IC diberi kepada individu secara pukal termasuk kepada mereka yang tidak pernah memohon. Dengan kata lain, IC dianugerahkan bukan dipohon.

Mengapa RCI untuk satu Malaysia tidak boleh? — A Kadir Jasin menyokong RCI untuk menyiasat pemberian warganegara kepada kaum Cina dan India. Kadir Jasin malah membuat analogi anjing.

Ada yang menggelarkannya sebagai Projek IC dan ada yang mengenalinya dengan nama Projek M. Namun apa juga gelarannya, berikut merupakan perkara yang diperolehi daripada siasatan suruhanjaya diraja ke atas isu imigran Sabah – khususnya operasi sulit yang memberi peluang kepada warga asing untuk mengundi dan menggulingkan kerajaan pimpinan PBS Sabah.

Sekurang-kurang terdapat dua operasi sulit yang dikenal pasti.

G17 (atau Kumpulan 17) dan Ops Durian Buruk. Butirannya di SINI.

Read More “MYKAD PASPOR MASUK TEMPAT MENGUNDI”  »»

TGNA (82 THN) MENYANTUNI KARPAL SINGH (72THN)













 
JELUTONG: Bagi menyatakan kesatuan dan hubungan erat dalam Pakatan Rakyat, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengunjungi pengerusi DAP Karpal Singh di Pulau Pinang.


TG Nik Aziz tiba di kediaman Karpal pada kira-kira jam 3 petang dan meluangkan masa selama 20 minit di kawasan yang meriah dengan sambutan Thaipusam, di Jalan Scotland, lapor wartawan Malaysiakini di Pulau Pinang, Sosan Loone.

Aziz dalam rangka lawatan ke Pulau Pinang untuk memenuhi beberapa program anjuran PAS di negeri itu.
Dalam kunjungan itu, Nik Aziz turut memotong kek yang disediakan Karpal sebagai tanda ulangtahun kelahirannya ke-82, sambil disaksikan pemimpin DAP, PAS dan PKR.

Karpal yang gembira dengan kehadiran Nik Aziz itu berkata beliau terkejut kerana pemimpin PAS itu tiba 30 minit lebih awal.

"Kehadirannya memberi mesej yang kuat bahawa kesatuan kami tetap utuh walau dengan apa yang telah berlaku.

"Kami memahami dan menerima perbezaan antara satu sama lain," katanya.

Sumber berita: harakahdaily/malaysiakini
Sumber foto : goole image/ picasa

Read More “TGNA (82 THN) MENYANTUNI KARPAL SINGH (72THN)”  »»
 

x

Photobucket

e


Popular Posts

Followers


View My Stats

pautan lain

  • - Mesyuarat Agung Khas AMALNITA perihatin Pelancaran Tabung PDS AMALNITA dan anda
    8 years ago
  • "Paciaru" atau breakfast. - Yb Meru bersama Mr.Maniam turun padang memantau jalan2 berlubang di susur keluar highway Setia Alam ke Jln Meru dan Jln Korporat Kawasan Meru ...
    8 years ago

Ab

zwani.com myspace graphic comments

x

Photobucket









Recent Comment

ISLAMICITY

SEARCH THE TRUTH

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com