Pray For MH370

Pray For MH370

KOLEKSI BERITA MENARIK ISU PKFZ

Dikutip beberapa laporan Bernama yang berkisar di sekeliling isu PKFZ.


Skandal PKFZ telah berlarutan selama 10 tahun sejak diluluskan oleh kabinet pada 1999. Yang pasti SPRM atau dulunya BPR membisu seribu bahasa.

Yang menarik antaranya ialah Dr Khir Toyo menyebut Kerajaan BN ketika itu tidak mempunyai kepentingan dalam projek berkenaan sekadar meluluskan permohonan tanah oleh KPPL.

Beliau tidak menyebut bagaimana individu yang sama terlibat dengan KPPL dan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB). Beliau juga tidak menyentuh bahawa Allahyarham Datuk Zakaria ADUN Selat Klang ketika itu, yang mana Pulau Lumut adalah di bawah DUN Selat Klang ketika itu merupakan ahli Lembaga Pengarah dan salah seorang Kontraktor Klang Port Authority (KPA).

*K'jaan BN Selangor Tiada Kepentingan Dalam PKFZ - Dr Khir

*Isu Nilai Tanah Projek PKFZ Antara Penjelasan Dituntut PAC

*'Kami Ada Pasukan Yang Baik Dalam Lembaga LPK Dan PKFZ' - Pengerusi LPK

*Selangor Cadang Letak Exco Sebagai Ahli Lembaga Pengarah LPK


Isu Nilai Tanah Projek PKFZ Antara Penjelasan Dituntut PAC


Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini meneruskan siasatan berhubung skandal Projek Zon Pelabuhan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dengan menuntut penjelasan daripada Lembaga Pelabuhan Klang (PKA), operator bagi projek berkenaan, bagi beberapa isu berbangkit.

Timbalan Pengerusi PAC Dr Tan Seng Giaw berkata PAC menetapkan dua hari untuk mendengar penjelasan dari PKA, termasuk kontroversi membabitkan kos tanah projek mega itu.

"Kita juga minta PKA beritahu siapakah yang membuat keputusan untuk tidak menghiraukan cadangan Peguam Negara yang mengatakan bahawa tanah di Pulau Indah itu perlu diambil alih oleh kerajaan.

"Kerana sebelum ambil alih tanah, kerajaan akan guna Akta Pengambilalihan Tanah di bawah Seksyen 4 yang mengatakan bahawa (harga) tanah tidak boleh dispekulasi. Jadi kita hendak tahu siapa yang membuat keputusan itu untuk tidak guna Seksyen 4 (Akta Pengambilalihan Tanah)," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Skandal PKFZ telah berlarutan selama 10 tahun sejak diluluskan oleh kabinet pada 1999. Ia kini berhadapan kontroversi ekoran peningkatan kos projek kepada RM7.453 bilion, termasuk faedah, berbanding kos asal sebanyak RM1.957 bilion.

Pembelian tanah bagi projek itu di Pulau Indah oleh PKA juga menjadi isu apabila operator projek itu membeli hak tanah pada harga RM25 satu kaki persegi kerana tanah itu dikatakan mempunyai nilai istimewa, walaupun Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada Ogos 2001 menetapkan nilainya pada RM10.16 satu kaki persegi (psf) berdasarkan pengambilalihan wajib.

Selain itu Tan berkata, mesyuarat hari ini juga menuntut PKA menjelaskan sebab penarikan Pihak Berkuasa Zon Bebas Jebel Ali (JAFZA) daripada menguruskan projek itu, yang dibuat secara mengejut.

Mesyuarat itu yang berlangsung kira-kira dua jam setengah akan disambung esok dengan PAC dijangka menuntut beberapa penjelasan terhadap isu berkaitan daripada pihak yang sama.

Tan tidak menolak kemungkinan PAC akan memanggil beberapa individu lain, termasuk Peguam Negara untuk memberi penjelasan berhubung isu berkenaan.

-- BERNAMA
------------------------------------------------------------------------------------------------

K'jaan BN Selangor Tiada Kepentingan Dalam PKFZ - Dr Khir


SHAH ALAM, 29 Mei (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) di Selangor tidak mempunyai kepentingan dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang membabitkan kos awal sebanyak RM1.85 bilion, kata bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Malah, katanya pelantikan Datuk Abdul Rahman Palil sebagai Pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL) iaitu pemilik tapak projek PKFZ, bukan dibuat atas kapasiti beliau sebagai Exco Negeri ketika itu.

Sebaliknya, Dr Mohamad Khir berkata Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa itu dilantik sebagai Pengerusi oleh KPPL yang mempunyai kira-kira 2,500 ahli dan sebahagian besarnya nelayan.

"Pengambilan tanah dan penjualan tanah untuk tapak PKFZ tiada kaitan secara langsung dengan kerajaan negeri. Malah isu ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco ketika itu," kata beliau kepada pemberita di sini, Jumaat.

Dr Mohamad Khir berkata kerajaan negeri memberikan tanah itu kepada KPPL selepas dimohon antara 1995 dan 1997 dan KPPL mengadakan kerjasama membangunkan tanah itu dengan Kumpulan Dimensi Sdn Bhd (KDSB).

Beliau berkata tanah seluas 404 hektar itu diambil mengikut Seksyen 3(1)(b) Kanun Tanah Negara yang membolehkan tanah itu diambil untuk peniagaan.

Katanya KDSB menjual tanah itu kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk dijadikan tapak PKFZ pada harga RM25 sekaki persegi dengan mengambil kira kos pembangunan asas seperti menambak tanah, membina perparitan, jalan, jambatan, paip dan bekalan air yang telah dilaksanakan.

"Tanah ini dijual lebih mahal kerana mengambil kira semua kos... tanah ini asalnya berlumpur dan berair yang tidak sesuai untuk pembangunan.

"Kerajaan negeri ketika itu tidak terbabit secara langsung dengan pembelian ini kerana ia membabitkan urusan antara KDSB dengan LPK," katanya.

PKFZ milik LPK yang lokasinya bersebelahan Pelabuhan Barat di Pulau Indah, dibangunkan untuk menjadi hab serantau bagi eksport dan pindah kapal barangan pekilangan membabitkan kos RM1.85 bilion.

Sebelum ini, kerajaan mengarahkan siasatan penuh terhadap projek PKFZ kerana dakwaan wujud penyelewengan dalam pelaksanaannya yang bernilai RM4.6 bilion, sekali gus menyebabkan projek gagal dan menjadi 'gajah putih'.

-- BERNAMA
====================================================================

'Kami Ada Pasukan Yang Baik Dalam Lembaga LPK Dan PKFZ' - Pengerusi LPK


SHAH ALAM, 8 Jun (Bernama) -- Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datuk Lee Hwa Beng hari ini berkata beliau sudah mempunyai pasukan yang baik dalam lembaga LPK dan PKFZ Sdn Bhd bagi memantau perkembangan dalam isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Kami mempunyai wakil daripada Kementerian Pengangkutan, Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Lembaga Kemajuan Industri dan juga kerajaan negeri Selangor dalam kedua-dua lembaga itu (bagi memantau dan mengkaji perkembangan di dalam PKFZ dan masalah yang dihadapi)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Wakil kerajaan negeri Selangor dari jawatankuasa Unit Perancang EKonomi Datuk (UPE) Datuk Noordin Sulaiman dan Norazmie Biron, berada di dalam lembaga LPK dan PKFZ Sdn Bhd.

PKFZ milik LPK yang lokasinya terletak bersebelahan Pelabuhan Barat di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, dibangunkan untuk menjadi hab serantau bagi eksport dan pindah kapal barangan perkilangan yang membabitkan kos RM1.85 bilion.

Sebelum ini, kerajaan Persekutuan mengarahkan siasatan penuh terhadap projek PKFZ kerana dakwaan wujud penyelewengan dalam pelaksanaannya yang bernilai RM4.6 bilion, sekali gus menyebabkan projek itu gagal dan menjadi gajah putih.

Sementara itu, Lee juga memperjelas laporan pada 7 Jun yang melaporkan beliau sebagai berkata bahawa seorang akauntan dan pernah menjadi pengerusi syarikat logistik senaraian awam sebelum meletakkan jawatan, beliau arif dalam perniagaan itu daripada orang lain di LPK.

Kenyataan beliau merujuk kepada laporan bertarikh 7 Jun 2009 yang dikeluarkan Bernama bertajuk "Tidak Perlu Anggota Exco Dalam Lembaga LPK - Pengerusi LPK".

"Saya ingin menyatakan bahawa kenyataan saya telah disalah lapor. Apa yang saya katakan ialah sebagai seorang akauntan dan bekas pengerusi syarikat logistik senaraian awam, saya tentu tahu urusan itu. Saya tidak berkata bahawa "saya arif dalam perniagaan itu lebih baik daripada orang lain," beliau menjelaskan.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini bahawa kerajaan negeri mempunyai hak untuk menempatkan seorang Exco dalam lembaga pengarah LPK, kerana satu kerusi diperuntukkan kepada wakil kerajaan negeri.

-- BERNAMA
=====================================================================
Selangor Cadang Letak Exco Sebagai Ahli Lembaga Pengarah LPK

SHAH ALAM, 3 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Selangor bercadang menempatkan seorang daripada exconya yang akan ditentukan kelak sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang bertujuan memantau perkembangan terkini isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri mempunyai hak untuk berbuat demikian berikutan satu kerusi ahli lembaga pengarah LPK memang telah dikhaskan untuk wakil dari kerajaan negeri.

"Pengarah UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri) Datuk Noordin Sulaiman sebelum ini menduduki kerusi itu tetapi tempohya sudah tamat dua bulan lepas, sebab itu kita akan namakan seorang anggota exco untuk jadi ahli lembaga pengarah LPK.

"Ia adalah sebagai usaha untuk mengetahui perkembangan PKFZ dan masalah atau pembangunan Pelabuhan Klang secara total," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Meningkatkan Pendidikan Sekolah-Sekolah Tamil Selangor di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri menyokong penubuhan PKFZ di Selangor kerana ia akan mempertingkatkan urus niaga perdagangan antarabangsa di negeri itu.

Selain itu katanya, penubuhan PKFZ akan menggalakkan banyak lagi pembinaan kilang yang tidak dikenakan cukai dan secara tidak langsung akan mempertingkatkan permintaan untuk pekerja di kawasan Klang.

"Ia juga akan dapat bangunkan industri tertentu seperti industri makanan halal yang dapat kita salurkan dan kita bangunkan daripada PKFZ," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri merancang untuk mengambil alih pengurusan PKFZ berikutan isu yang timbul berhubung pelaksanaannya, Abdul Khalid berkata: "Kerajaan negeri boleh ambil alih sekiranya kerajaan persekutuan memansuhkan akses kos pembangunan."

PKFZ milik LPK yang lokasinya terletak bersebelahan Pelabuhan Barat di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, dibangunkan untuk menjadi hab serantau bagi eksport dan pindah kapal barangan perkilangan yang membabitkan kos RM1.85 bilion.

Sebelum ini, kerajaan Persekutuan mengarahkan siasatan penuh terhadap projek PKFZ kerana dakwaan wujud penyelewengan dalam pelaksanaannya yang bernilai RM4.6 bilion, sekali gus menyebabkan projek itu gagal dan menjadi gajah putih.

-- BERNAMA

Comments :

0 comments to “KOLEKSI BERITA MENARIK ISU PKFZ”
 

x

Photobucket

e


Popular Posts

Followers


View My Stats

pautan lain

  • - Mesyuarat Agung Khas AMALNITA perihatin Pelancaran Tabung PDS AMALNITA dan anda
    8 years ago
  • "Paciaru" atau breakfast. - Yb Meru bersama Mr.Maniam turun padang memantau jalan2 berlubang di susur keluar highway Setia Alam ke Jln Meru dan Jln Korporat Kawasan Meru ...
    8 years ago

Ab

zwani.com myspace graphic comments

x

Photobucket









Recent Comment

ISLAMICITY

SEARCH THE TRUTH

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com