Pray For MH370

Pray For MH370

KOLEKSI BERITA MENARIK ISU PKFZ

Dikutip beberapa laporan Bernama yang berkisar di sekeliling isu PKFZ.


Skandal PKFZ telah berlarutan selama 10 tahun sejak diluluskan oleh kabinet pada 1999. Yang pasti SPRM atau dulunya BPR membisu seribu bahasa.

Yang menarik antaranya ialah Dr Khir Toyo menyebut Kerajaan BN ketika itu tidak mempunyai kepentingan dalam projek berkenaan sekadar meluluskan permohonan tanah oleh KPPL.

Beliau tidak menyebut bagaimana individu yang sama terlibat dengan KPPL dan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB). Beliau juga tidak menyentuh bahawa Allahyarham Datuk Zakaria ADUN Selat Klang ketika itu, yang mana Pulau Lumut adalah di bawah DUN Selat Klang ketika itu merupakan ahli Lembaga Pengarah dan salah seorang Kontraktor Klang Port Authority (KPA).

*K'jaan BN Selangor Tiada Kepentingan Dalam PKFZ - Dr Khir

*Isu Nilai Tanah Projek PKFZ Antara Penjelasan Dituntut PAC

*'Kami Ada Pasukan Yang Baik Dalam Lembaga LPK Dan PKFZ' - Pengerusi LPK

*Selangor Cadang Letak Exco Sebagai Ahli Lembaga Pengarah LPK


Isu Nilai Tanah Projek PKFZ Antara Penjelasan Dituntut PAC


Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini meneruskan siasatan berhubung skandal Projek Zon Pelabuhan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dengan menuntut penjelasan daripada Lembaga Pelabuhan Klang (PKA), operator bagi projek berkenaan, bagi beberapa isu berbangkit.

Timbalan Pengerusi PAC Dr Tan Seng Giaw berkata PAC menetapkan dua hari untuk mendengar penjelasan dari PKA, termasuk kontroversi membabitkan kos tanah projek mega itu.

"Kita juga minta PKA beritahu siapakah yang membuat keputusan untuk tidak menghiraukan cadangan Peguam Negara yang mengatakan bahawa tanah di Pulau Indah itu perlu diambil alih oleh kerajaan.

"Kerana sebelum ambil alih tanah, kerajaan akan guna Akta Pengambilalihan Tanah di bawah Seksyen 4 yang mengatakan bahawa (harga) tanah tidak boleh dispekulasi. Jadi kita hendak tahu siapa yang membuat keputusan itu untuk tidak guna Seksyen 4 (Akta Pengambilalihan Tanah)," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Skandal PKFZ telah berlarutan selama 10 tahun sejak diluluskan oleh kabinet pada 1999. Ia kini berhadapan kontroversi ekoran peningkatan kos projek kepada RM7.453 bilion, termasuk faedah, berbanding kos asal sebanyak RM1.957 bilion.

Pembelian tanah bagi projek itu di Pulau Indah oleh PKA juga menjadi isu apabila operator projek itu membeli hak tanah pada harga RM25 satu kaki persegi kerana tanah itu dikatakan mempunyai nilai istimewa, walaupun Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada Ogos 2001 menetapkan nilainya pada RM10.16 satu kaki persegi (psf) berdasarkan pengambilalihan wajib.

Selain itu Tan berkata, mesyuarat hari ini juga menuntut PKA menjelaskan sebab penarikan Pihak Berkuasa Zon Bebas Jebel Ali (JAFZA) daripada menguruskan projek itu, yang dibuat secara mengejut.

Mesyuarat itu yang berlangsung kira-kira dua jam setengah akan disambung esok dengan PAC dijangka menuntut beberapa penjelasan terhadap isu berkaitan daripada pihak yang sama.

Tan tidak menolak kemungkinan PAC akan memanggil beberapa individu lain, termasuk Peguam Negara untuk memberi penjelasan berhubung isu berkenaan.

-- BERNAMA
------------------------------------------------------------------------------------------------

K'jaan BN Selangor Tiada Kepentingan Dalam PKFZ - Dr Khir


SHAH ALAM, 29 Mei (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) di Selangor tidak mempunyai kepentingan dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang membabitkan kos awal sebanyak RM1.85 bilion, kata bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Malah, katanya pelantikan Datuk Abdul Rahman Palil sebagai Pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL) iaitu pemilik tapak projek PKFZ, bukan dibuat atas kapasiti beliau sebagai Exco Negeri ketika itu.

Sebaliknya, Dr Mohamad Khir berkata Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa itu dilantik sebagai Pengerusi oleh KPPL yang mempunyai kira-kira 2,500 ahli dan sebahagian besarnya nelayan.

"Pengambilan tanah dan penjualan tanah untuk tapak PKFZ tiada kaitan secara langsung dengan kerajaan negeri. Malah isu ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco ketika itu," kata beliau kepada pemberita di sini, Jumaat.

Dr Mohamad Khir berkata kerajaan negeri memberikan tanah itu kepada KPPL selepas dimohon antara 1995 dan 1997 dan KPPL mengadakan kerjasama membangunkan tanah itu dengan Kumpulan Dimensi Sdn Bhd (KDSB).

Beliau berkata tanah seluas 404 hektar itu diambil mengikut Seksyen 3(1)(b) Kanun Tanah Negara yang membolehkan tanah itu diambil untuk peniagaan.

Katanya KDSB menjual tanah itu kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk dijadikan tapak PKFZ pada harga RM25 sekaki persegi dengan mengambil kira kos pembangunan asas seperti menambak tanah, membina perparitan, jalan, jambatan, paip dan bekalan air yang telah dilaksanakan.

"Tanah ini dijual lebih mahal kerana mengambil kira semua kos... tanah ini asalnya berlumpur dan berair yang tidak sesuai untuk pembangunan.

"Kerajaan negeri ketika itu tidak terbabit secara langsung dengan pembelian ini kerana ia membabitkan urusan antara KDSB dengan LPK," katanya.

PKFZ milik LPK yang lokasinya bersebelahan Pelabuhan Barat di Pulau Indah, dibangunkan untuk menjadi hab serantau bagi eksport dan pindah kapal barangan pekilangan membabitkan kos RM1.85 bilion.

Sebelum ini, kerajaan mengarahkan siasatan penuh terhadap projek PKFZ kerana dakwaan wujud penyelewengan dalam pelaksanaannya yang bernilai RM4.6 bilion, sekali gus menyebabkan projek gagal dan menjadi 'gajah putih'.

-- BERNAMA
====================================================================

'Kami Ada Pasukan Yang Baik Dalam Lembaga LPK Dan PKFZ' - Pengerusi LPK


SHAH ALAM, 8 Jun (Bernama) -- Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datuk Lee Hwa Beng hari ini berkata beliau sudah mempunyai pasukan yang baik dalam lembaga LPK dan PKFZ Sdn Bhd bagi memantau perkembangan dalam isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Kami mempunyai wakil daripada Kementerian Pengangkutan, Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Lembaga Kemajuan Industri dan juga kerajaan negeri Selangor dalam kedua-dua lembaga itu (bagi memantau dan mengkaji perkembangan di dalam PKFZ dan masalah yang dihadapi)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Wakil kerajaan negeri Selangor dari jawatankuasa Unit Perancang EKonomi Datuk (UPE) Datuk Noordin Sulaiman dan Norazmie Biron, berada di dalam lembaga LPK dan PKFZ Sdn Bhd.

PKFZ milik LPK yang lokasinya terletak bersebelahan Pelabuhan Barat di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, dibangunkan untuk menjadi hab serantau bagi eksport dan pindah kapal barangan perkilangan yang membabitkan kos RM1.85 bilion.

Sebelum ini, kerajaan Persekutuan mengarahkan siasatan penuh terhadap projek PKFZ kerana dakwaan wujud penyelewengan dalam pelaksanaannya yang bernilai RM4.6 bilion, sekali gus menyebabkan projek itu gagal dan menjadi gajah putih.

Sementara itu, Lee juga memperjelas laporan pada 7 Jun yang melaporkan beliau sebagai berkata bahawa seorang akauntan dan pernah menjadi pengerusi syarikat logistik senaraian awam sebelum meletakkan jawatan, beliau arif dalam perniagaan itu daripada orang lain di LPK.

Kenyataan beliau merujuk kepada laporan bertarikh 7 Jun 2009 yang dikeluarkan Bernama bertajuk "Tidak Perlu Anggota Exco Dalam Lembaga LPK - Pengerusi LPK".

"Saya ingin menyatakan bahawa kenyataan saya telah disalah lapor. Apa yang saya katakan ialah sebagai seorang akauntan dan bekas pengerusi syarikat logistik senaraian awam, saya tentu tahu urusan itu. Saya tidak berkata bahawa "saya arif dalam perniagaan itu lebih baik daripada orang lain," beliau menjelaskan.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini bahawa kerajaan negeri mempunyai hak untuk menempatkan seorang Exco dalam lembaga pengarah LPK, kerana satu kerusi diperuntukkan kepada wakil kerajaan negeri.

-- BERNAMA
=====================================================================
Selangor Cadang Letak Exco Sebagai Ahli Lembaga Pengarah LPK

SHAH ALAM, 3 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Selangor bercadang menempatkan seorang daripada exconya yang akan ditentukan kelak sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang bertujuan memantau perkembangan terkini isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri mempunyai hak untuk berbuat demikian berikutan satu kerusi ahli lembaga pengarah LPK memang telah dikhaskan untuk wakil dari kerajaan negeri.

"Pengarah UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri) Datuk Noordin Sulaiman sebelum ini menduduki kerusi itu tetapi tempohya sudah tamat dua bulan lepas, sebab itu kita akan namakan seorang anggota exco untuk jadi ahli lembaga pengarah LPK.

"Ia adalah sebagai usaha untuk mengetahui perkembangan PKFZ dan masalah atau pembangunan Pelabuhan Klang secara total," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Meningkatkan Pendidikan Sekolah-Sekolah Tamil Selangor di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri menyokong penubuhan PKFZ di Selangor kerana ia akan mempertingkatkan urus niaga perdagangan antarabangsa di negeri itu.

Selain itu katanya, penubuhan PKFZ akan menggalakkan banyak lagi pembinaan kilang yang tidak dikenakan cukai dan secara tidak langsung akan mempertingkatkan permintaan untuk pekerja di kawasan Klang.

"Ia juga akan dapat bangunkan industri tertentu seperti industri makanan halal yang dapat kita salurkan dan kita bangunkan daripada PKFZ," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri merancang untuk mengambil alih pengurusan PKFZ berikutan isu yang timbul berhubung pelaksanaannya, Abdul Khalid berkata: "Kerajaan negeri boleh ambil alih sekiranya kerajaan persekutuan memansuhkan akses kos pembangunan."

PKFZ milik LPK yang lokasinya terletak bersebelahan Pelabuhan Barat di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, dibangunkan untuk menjadi hab serantau bagi eksport dan pindah kapal barangan perkilangan yang membabitkan kos RM1.85 bilion.

Sebelum ini, kerajaan Persekutuan mengarahkan siasatan penuh terhadap projek PKFZ kerana dakwaan wujud penyelewengan dalam pelaksanaannya yang bernilai RM4.6 bilion, sekali gus menyebabkan projek itu gagal dan menjadi gajah putih.

-- BERNAMA

Read More “KOLEKSI BERITA MENARIK ISU PKFZ”  »»

UCAPTAMA KETUA DEWAN ULAMA

Ucaptama Ketua Dewan Ulama PAS Pusat di Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat Kali ke-48








MENERUSKAN PERJUANGAN PARA NABI

1.Mukadimah

Tuan Pengerusi Tetap, Pemerhati-Pemerhati Kehormat, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Timbalan dan Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, saudara Setiausaha dan Bendahari Dewan Ulama PAS Pusat, Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulama PAS Pusat, Pengarah bersama Urusetia Panitia Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat kali ke-48, para perwakilan dan pemerhati yang dirahmati Allah sekalian,

Pertamanya marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran yang tiada taranya ke hadrat Allah SWT atas segala kurniaan kesihatan, kemudahan dan yang penting nikmat berjuang Islam. Kita berkumpul di dewan yang mulia ini bagi meneruskan agenda dan tanggungjawab kita dalam Parti Islam Se-Malaysia PAS sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan PAS.

Muktamar kali ke-48 ini seharusnya dijadikan medan bagi kita bermuhasabah, bercermin diri dan meningkatkan ikhlas kita kepada Allah SWT, menumpukan lebih banyak masa bagi meninggikan kalimah Allah Taala disamping berusaha melumpuhkan sebarang bentuk kekusutan, perasaan tidak baik dan bangga diri.

2. Kepimpinan ulama menelusuri sirah anbiya

Realiti para rasul yang diceritakan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. adalah pemimpin-peminpin utama negara yang memimpin politik umat manusia di zamannya. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Nabi-nabi adalah pemimpin-pemimpin politik bani Israel." - Hadis riwayat Al-Bukhari & Muslim

Antara rasul-rasul yang menjadi pemimpin nombor 1 negara ialah Nabi Sulaiman a.s. dan Nabi Daud a.s yang memerintah Palestin, Nabi Musa a.s selepas menjatuhkan Firaun di Mesir, nabi-nabi yang lebih dahulu termasuk Nabi Adam a.s, Nabi Nuh a.s dan lain-lain. Disana terdapat nabi yang memimpin sekalipun bukan menjadi pemimpin nombor 1, seperti Nabi Yusuf a.s.

Tuntasnya, rasul-rasul yang diceritakan secara terperinci oleh Al-Quran karim adalah pemimpin-pemimpin politik umat di zamannya, dan bukan menjadi penasihat suci sebagaimana peranan pendeta agama dalam gambaran-gambaran sejarah Barat.

Pemimpin-pemimpin politik bermaksud, mereka secara langsung menjadi pencorak kepada kepimpinan negara dan mempunyai kuasa menentukan, bukan sebagaimana penasihat yang hanya berkuasa menasihati tanpa kuasa pemutus.

Jika nabi-nabi tidak boleh berbuat demikian, atau tidak dihalang berbuat demikian, mereka akan menjadi pemimpin pembangkang sebagaimana Nabi Ibrahim, Yahya, Zakaria, Nabi Isa a.s dan lain-lain. Firman Allah yang bermaksud:

"Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah s.a.w. itu contoh yang terbaik." - Hadis riwayat Al-Bukhari & Muslim.

Antara teladan yang terpenting ialah, Rasulullah s.a.w. bukan sahaja ketua ibadat seperti imam solat, tetapi Rasulullah s.a.w. adalah ketua politik sama ada sebelum hijrah ketika menentang pemerintahan Quraisy di Makkah dan selepas Hijrah ketika menjadi ketua negara menerajui negara Madinah.

Rasulullah s.a.w. dan para rasul terdahulu bukan menjadi penasihat politik, mereka adalah pemimpin politik dalam erti kata pemutus pada hala tuju organisasi islam, menentukan mana yang boleh mana yang tidak boleh dan mereka bukannya menjadi penasihat yang bersifat pemberitahu tetapi tidak mempunyai kuasa dan autoriti menyuruh dan melarang.

Selepas wafatnya Rasulullah s.a.w., maka tiada lagi nabi selepasnya. Maka yang menjadi galang ganti kepada tugasan baginda s.a.w. sebagai pemimpin politik atau pemimpin organisasi umat islam ialah golongan ulama. Oleh itu yang memegang teraju pemerintahan di zaman selepas Rasulullah s.a.w. ialah di kalangan fuqaha sahabat iaitu sahabat nabi yang memahami hukum hakam yang dibawa oleh nabi s.a.w..

Sememangnya sahabat khulafak ar-Rasyidin berdampingan dengan nabi SAW dalam tempoh yang lama seperti Saidina Abu Bakar yang merupakan khalifah pertama, tetapi perlantikan mereka sebagai khalifah selepas itu bukan atas dasar tersebut, tetapi atas dasar keulamakannya atau keilmuannya tentang hasil daripada perdsampingan mereka dengan Nabi Muhammad SAW. Kepentingan ilmu agama dalam memenuhi prasyarat menjadi pemimpin organisasi Islam jelas tergambar melalui kata-kata Saidina Umar Al-Khattab yang bermaksud

"Dalamilah ilmu agama sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin"

Disamping faktor yang boleh membentuk keperibadian yang baik, faktor yang lebih utama daripada itu ialah faktor memastikan hala tuju negara Islam dan gerakan islam di kedudukan selari dengan kehendak wahyu Ilahi. Bagi mencapai tujuan tersebut, kefahaman mereka terhadap maksud dan kehendak wahyu menjadikan mereka golongan berkelayakan memegang tampuk tersebut.

Kedapatan khilafah dan gerakan Islam yang tidak terpimpin oleh ulamak. Ianya tidak boleh dijadikan hujah kerana panduan dalam kepimpinan dan ge rakan Islam ialah sumber hukum itu sendiri bukan realiti umat Islam yang kita kagumi.Dr Wahbah Al-Zuhaily dalam karanganya (Al-Fiqh Al-Islami,Jld 8,hlmn 303) menyatakan kesepakatan ulamak tentang syarat alim atau ulamak sebagai pemerintah.

Adalah hamper mustahil sesuatu organisasi Islam boleh melakasanakan Islam tanpa mendapat garis panduan daripada Ulamak.Jika panduan ualamak dianggap sebagai nasihat yang boleh diterima dan ditolak,di sini pada kebanyakkan keadaan akan mewujudkan pertembungan antara ulamak dan pemimpin.

Nyatalah bahawa kepimpinan Ulamak bukanlah idea daripada Ulamak, pemuda atau golongan tertentu dalam parti,tetapi asal mata air kepimpinan Ulamak ini adalah gagasan daripada Islam itu sendiri. Ianya adalah mata rantai 'kepimpinan Anbiyak'.

Sekalipun PAS bukan parti yang memerintah negara.Tetapi realiti politik semasa pada hari ini memerlukan PAS dipimpin Ulamak bagi memastikan pergerakan, dasar perlaksanaan, keputusan-keputusan segera selari dengan kehendak Islam terutama Al-Siyasah Al-Syariyyah.

Para perwakilan sekalian,

3. Pengukuhan Ukhuwah Anggota Jemaah

Dalam usaha untuk memantapkan kepimpinan Ulamak, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab semua pihak terutamanya para Ulamak untuk meningkatkan kefaham terhadap prinsip ukhuwah dalam berjemaah.Prinsip yang telah sedia diamalkan oleh kita terutamanya, para Ulamak dan pendokongnya perlu disebarluaskan sehingga setiap ahli bukan sahaja beramal dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat"(Al-Hujarat: 10)

Terdapat 3 isu utama yang dikemukakan oleh Allah s.w.t. Ia bukan sahaja memberikan fokus tentang orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.Tetapi menekankan kepada bahagian kedua dari ayat itu yang menjadi tujuan utama ukhuwah iaitu hendaklah melakukan islah antara sesama mereka dan bahagian ketiga menyeru agar sentiasa bertaqwa kepaa Allah s.w.t.

Profesor Dr Wahbah Al-Zuhaily dalam tafsir Al-Munirnya menerangkan beberapa perkara pokok, antaranya: Ayat ini mempunyai kaitan dengan ayat sebelumnya iaitu ayat 9 Surah Al-Hujarat yang meminta umat Islam melakukan islah kepada 2 kumpulan yang berperang (bergaduh).

Begitu juga dengan prinsip ukhuwah yang lebih kuat dan teguh dari persaudaraan atas dasar keturunan. Istilah Islam dalam menurut ayat ini dikaitkan dengan melakukan pendamaian jika terdapat dikalangan umat yang bertelingkah. Jika mereka masih ingin meneruskan pertelingkahan, ingtakan mereka agar segera bertaqwa kepada Allah taala.

Persoalannya, adakah persaudaraan yang dibina dalam PAS telah mencapai tahap itu atau dalam erti kata lain seumpama aur dengan tebing atau isi dengan kuku? atau ianya hanya bersifat luaran dan menunggu isu-isu yang datang terutamanya oleh musuh kita sehingga kita bercerai-berai daripada berpegang kepada tali Allah taala.

Saya dengan ini menyeru semua perwakilan dan pemerhati agar mengambil perhatian tentang perkara ukhuwwah ini sehingga hubungan kita dengan sesama ahli bertambah erat sehingga membawa kepada bersatu bertambah mutu, ibarat kata pepatah Melayu. Biarlah persahabatan kita tetap kukuh, utuh dan tidak retak walaupun terdapat percubaan di sana sini bagi meruntuhkan ukhuwwah yang telah terbina sejak lebih setengah abad yang lalu.

Keikhlasan yang ditunjukkan oleh tuan-tuan guru kita semasa menubuhkan PAS, keikhlasan para pemuda kita semasa memperkasakan kepimpinan ulamak lebih 25 tahun yang lalu sepatutnya memberikan kepada kita keinsafan agar kita, para ulamak menjadi pembawa obor ukhuwwah Islamiyyah, tanpa mengenal penat dan lelah.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,

4. Terus taat dan wala' dalam berjemaah

Prinsip ini perlu diingatkan sepanjang masa agar kita yang diamanahkan sebaai pemegang obor Nabi-nabi dan Rasul-rasul terus berpegang kepada prinsip taat. Allah Ta'ala menjelaskan dengan tegas kewajipan memberikan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya tanpa kompromi. Taat kepada pemimpin selagi mana mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasullullah dan kepada ulul amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." (Surah An-Nisa' : 59)

Hadis Nabi SAW yang menjadi penyandar kepada ayat ini sangat jelas mengajar kita agar tidak memberikan ketaatan kepada perkara maksiat dan kejahatan.

Maksudnya: "Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat" (Muttafaqun alaih) Jangan kita tertipu dan dipermainkan oleh nafsu kita sehingga mengutamakan kepentingan peribadi, keperluan semasa dan andaian kita sahaja sehingga prinsip taat tidak terlaksana.

Prinsip di atas perlu difahamkan kepada seluruh ahli kita agar ahli kita mendapat maklumat dan penghayatan yang jelas tentang 2 prinsip utama di atas.

Dalam hal ini, kita dibolehkan berbeza pendapat dalam perkara furu' (cabang) tetapi selepas sesuatu keputusan dibuat, kita tiada pilihan lagi kecuali taat dan patuh kepada keputusan itu, walaupun mungkin bertentangan dengan pandangan kita.

Sabda Nabi SAW:

Maksudnya: "Sesungguhnya tangan Allah bersama jemaah dan sesungguhnya syaitan mengajar orang yang meninggalkan jemaah" (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Begitu juga, Allah SWT berfirman:

Maksudnya: Allah berfirman, "Kami akan menguatkan tenaga dan daya usahamu dengan saudaramu (Harun), dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu. Dengan membawa ayat-ayat keterangan kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang." (Al- Qasas: 35)

Memang benar ketaatan terhadap makhluk itu ada batasnya. Tetapi jika alasan yang diberikan adalah berasaskan nafsu atau kepentingan peribadi semata-mata, maka akan sampai masanya kita semua akan dikalahkan oleh musuh kita.

Ingatlah wahai saudaraku akan 3 petikan dari ayat Al-Quran surah At-Talaq ayat 3, surah Al-Fath ayat 10, dan Al-Hajj ayat 11.

Maksudnya: "Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya, Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu". (At-Talaq: 3)

Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad- untuk berjuang menentang musuh), mereka hanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah menguasai keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberikan kepadanya pahala yang besar". (Al-Fath: 10)

"Maksudnya: Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendiriannya yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufuran). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata". (Al-Hajj: 11)

Ibnu Hajar di dalam Tahzib Attahzib menegaskan bahawa Al-Imam Al-Auzaie dinobatkan sebagai tokoh masyarakat kerana bertindak sebagai pemimpin mereka dan guru mereka. Salah seorang guru Al-Imam Al-Bukhari iaitu Sheikh Khalid bin Abdullah Al-Wasiti juga diletakkan sebagai pemimpin kepada orang awam.

Para alim ulamak ini terjun dalam masyarakat dan politik demi kepentingan rakyat dan orang awam. Lihat sahaja kekalahan Imam Ahmad bin Hanbal ketika berdepan dengan kerajaan Mu'tazilah yang berusaha memesongkan akidah ummah dengan bid'ah dakwaan Al-Quran sebagai makhluk.

Apa yang menarik, dalam usaha memimpin masyarakat dan rakyat, tokoh-tokoh ulamak besar ini telah mengunakan kuasa amal jamaie untuk merentasi sempadan dakwah dan meraih kejayaan dengan penyusunan ketumbukkan yang kukuh ini.

Hal ini diperkukuhkan oleh firman Allah SWT:

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata". (Surah Yusuf: 108)

Ibnu Qayyim menegaskan: "Ayat ini menjelaskan sesiapa yang mengikuti aku, dia hendaklah turut berdakwah ke jalan Allah sebagaimana aku berdakwah".

Al-Kalbi berpendapat: "Setiap orang yang mengikut Rasulullah SAW bertanggungjawab untuk berdakwah kepada apa yang diserukan kepadanya oleh Baginda Rasulullah SAW".

Salafussalih menubuhkan jemaah setelah memahami tuntutan ini. Lihatlah sahabat Rasulullah SAW iaitu Hisyam bin Hakim bin Hizam Al Qarsyi RA, Az-Zahri berkata:

Maksudnya: "Beliau (Hisyam) menyeru kepada perkara kebaikan bersama-sama dengan segolongan lelaki yang bersamanya". (Tahzib At-Tahzib)

Persoalannya, apakah amal jamaie cukup dengan hadir pada setiap kali muktamar? Menjadi peminat setia kepada ceramah yang dianjurkan? Membiarkan petugas kita siang dan malam bekerja untuk jemaah sedangkan kita amat susah untuk mencari masa lapang bagi menafkahkan sedikit masa demi perjuangan Islam.

Pengalaman gerakan Islam di Malaysia menunjukkan kejayaan kita dalam memperjuangkan Islam yang syumul adalah hasil dari keikhlasan, kesungguhan dan kesediaan pemimpin kita menyerahkan jiwa raga, masa, dan wang ringgit bagi perjuangan ini.

Apakah kita sanggup dan bersedia menjadi pemerhati sehingga ke penghujung hayat kita? Di manakah kefahaman kita terhadap amal jamaie diletakkan? Inilah perkara utama yang patut difikirkan dan diambil tindakan segera, agar prinsip amal jamaie tidak hanya menjadi bahan silibus usrah tanpa amalan.

5. Kepimpinan secara jamaie.

Dalam seminar sempena Jubli Perak Kepimpinan Ulamak pada 28 Jamadil Awal 1430 bersamaan 23 Mei 2009 yang lalu, disebutkan peri pentingnya kepimpinan secara jamaie. Memang pimpinan utama umat seharusnya dari kalangan ulamak. Kepimpinan ulamak pula hendaklah terdiri dari para mujtahid. Oleh kerana kekurangan dalam aspek itu, ditambah pula dengan berkembangnya ilmu, maka konsep kepimpinan jamaie adalah sesuatu yang sangat baik dilaksanakan dalam jemaah.

Maksudnya jamaah dipimpin oleh gabungan para ulamak dan lainnya agar sesuatu keputusan yang ingin diambil datangnya dari tasawur yang jelas tentang sesuatu perkara. Kita perlukan pakar ekonomi, ahli politik, tokoh undang-undang dan anggota lainnya bagi memastikan kepimpinan kita dapat memberikan pandangan dalam semua bidang hasil gabungan semua pihak.

Adalah amat malang jika terdapat setengah pihak merasakan mereka tidak layak menjadi ahli dalam kepimpinan jamaie kerana kononnya bukan dari golongan ulamak. Masyarakat yang kompleks, citarasa yang pelbagai, suasana yang tidak menentu menjadikan kepimpinan jamaie anjuran PAS menjadi sangat relevan dan mendepani zamannya dalam memberikan pandangan, menentukan halatuju dan mengilhamkan satu harapan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sidang muktamirin dan muktamirat sekalian,

6. Menekuni gagasan tahalluf siyasiy

Bagi merencanakan program yang lebih baik, tersusun dan jitu, para ulamak terutamanya diharapkan akan dapat membentuk pemikiran baru dalam bidang tahalluf siyasiyy sehingga pemikiran Islam kontemporari, berasaskan akar tunjang al-Quran dan al-hadis, dipayungi oleh pandangan ulamak salaf dan khalaf, membentuk satu bayangan idea yang dapat membayangi keperluan muslim dan non-muslim di negara kita.

Pengalaman PAS semasa membentuk kerajaan campuran, membentuk kerjasama dengan parti-parti kecil, menyelamatkan golongan terbuang dalam Umno sehingga membentuk Angkatan Perpaduan Ummah, mencetuskan GERAK dan Barisan Alternatif dan terkini menganjurkan Pakatan Rakyat.

Pengetahan idea kerajaan perpaduan dan akan ada lagi untuk gagasan seterusnya merupakan satu indikator besar bahawa ulamak dalam PAS tidak pernah ketandusan idea dalam merealisasikan tahalluf siyasiy.

Kepelbagaian bentuk dan pendekatan yang disebutkan di atas menolak pandangan setengah pihak bahawa ulamak PAS adalah beku, jumud, tidak bermaya, tidak pro-aktif dan pelbagai tohmahan yang cuba merosakkkan penampilan ulamak dalam arus politik semasa.

Dengan ini, Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru supaya semua pengalaman yang disebutkan di atas diteliti, diperhalusi sehingga terserlah keupayaan kepimpinan ulamak dalam menempuh abad-abad yang mendatang. Kertas tahalluf siyasiy sepatutnya dibincangkan dalam program usrah,tamrin, dan wacana yang diadakan oleh pelbagai peringkat kepimpinan PAS sehingga selepas ini ucapan yang kurang waras tidak lagi dikeluarkan oleh pelbagai pihak terutamanya para petugas dan ahli.

7. Garis Panduan Pelaksanaan Islam di Negeri Pakatan Rakyat.

Dewan Ulamak PAS Pusat dimaklumkan bahawa PAS Pusat telah membentuk Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai pihak yang akan membantu PAS di peringkat negeri melaksanakan Islam dalam pelbagai bentuk mengikut keperluan dan kesesuaian setempat.

Memang tidak dapat dinafikan suasana antara negeri-negeri di Malaysia agak berbeza. Negeri Kedah berbeza dengan Kelantan. Perak dan Selangor banyak bezanya. Terengganu juga terdapat banyak perbezaan berbanding negeri lain.

Perlu diingat bahawa antara ciri utama ajaran Islam itu ialah adanya unsur thabat(tetap) dan murunah(fleksibel). Maka, adalah baiknya kita mula senaraikan unsur-unsur murunah yang terdapat dalam ajaran Islam itu untuk dipilih, diolah dan seterusnya dilaksanakan di semua negeri selepas memahami perbezaan undang-undang dan suasana masyarakat setempat.

Yang menjadi masalah kepada sebahagian dari ahli kita ialah kurang kesabaran sehingga apabila kita menang sahaja, terus menghujani kepimpinan dengan persoalan di mana hudud? Qisas? Di mana itu dan di mana ini? Mengapa tidak buat itu, mengapa buat begini? Dan sebagainya sehingga kadang-kadang kita lupa yang kita menjadi kerajaan bukan lagi pembangkang. Bidang kuasa kita terhad, bukannya bebas.

Maka dengan ini, walau apapun alasan dan niat kita, kita masih belum terlambat untuk menyusun semula pentadbiran negeri di bawah kekuasaan kita dengan landasan yang lebih jelas, penyusunan secara lebih tertib dan mengikut awlawiyat, sehingga para penyokong dan ahli kita tahu ke mana hendak dibawa kerajaan kita, bila akan tercapai cita-cita Islam yang kita bawa, mengapa perkara tertentu tidak dapat dilaksanakan dan seterusnya.

Tempoh setahun yang dilalui sudah cukup memberikan kefahaman kepada kita untuk terus bergerak dengan lebih perkasa, keyakinan yang lebih tinggi, kebijaksanaan yang lebih matang untuk meneruskan amanah yang diberikan, sesuai dengan janji dan manifesto pilihan raya yang kita taburkan semasa berkempen secara jamaie atas tiket PAS dan Pakatan Rakyat.

Perwakilan dan pemerhati yang dirahmati Allah.

8. Hubungan dengan non-muslim

Satu lagi isu yang disebut sebagai belum selesai ialah hubungan dengan non-muslim. Dewan Ulamak PAS Pusat yang telah diberikan tanggungjawab bagi membantu PAS terutamanya Majlis Syura Ulamak perlu mengemukakan pandangan baru dan terkini terhadap isu hubungan dengan non-muslim dari pelbagai sudut. Apakah kita perlu terikat dengan tafsiran ulamak silam sahaja dalam isu ini atau kita perlu melihat kepada perkara waqi'ie dan realiti yang ada di Malaysia pada hari ini.

Kita merupakan Parti Islam di dunia pada zaman moden moden ini mengeluarkan pandangan keharusan menerima wanita sebagai pengundi dan bertanding dalam pilihan raya, sedangkan negara di Asia Barat masih lagi membincangkan keharusan mengundi apatah lagi menjadi calon, maka ulamak PAS mempunyai khibrah dan pengalaman untuk menentukan beberapa perkara dasar dalam berinteraksi dengan non-muslim di negara ini.

Saya yakin jika kita dapat mengemukakan garis panduan yang baik, seluruh persatuan dan parti Islam di dunia akan mengambil kira pandangan kita apabila mereka berdepan dengan masalah yang sama di negara masing-masing. Isu seperti yang manakah adat dan yang manakah agama sehingga kita sebagai rakyat Malaysia dapat menyertai perayaan adapt mereka dan mengelak dari menyertai perayaan agama mereka. Apakah yang haram dilakukan oleh rakyat diharuskan pula kepada pimpinan negeri dan negara kerana maslahah atau ianya tetap haram di sisi Islam.

9. Mengukuh hubungan dengan semua pihak

Memang tidak dapat dinafikan bahawa adalah sebuah parti politik Islam. Selain itu seluruh dunia tahu bagawa PAS juga sebuah Harakah Islamiyyah, gerakan Islam yang menjadikan dakwah dan tarbiyah sebagai tunjang utama gerakkannya.

Adalah amat malang jika terdapat segolongan ahli dan pendokong PAS yang tidak mahu berinteraksi apa lagi meneruskan agenda dakwah kepada non muslim dan agenda amar makruf nahi mungkar kepada saudara sesama Islam.

Ibarat kata-kata hikmat Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat,"Kita akan membubarkan PAS jika Umno bersedia hendak mengamalkan Islam dalam hidup bernegara dan masyarakat."

Kita juga berpegang dengan kata-kata hikmah Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang : "kita melawan Umno bukan kerana nama dia Umno, tetapi kerana Umno mengekalkan peraturan dan perlembagaan penjajah."

Sekalipun kita menentang umno, misi dakwah serta amar makruf nahi mungkar tetap disasarkan kepada mereka. Terutamanya pada masa ini, sehingga mereka faham dan akhirnya bersama kita dalam perjuangan ini.

Kita yakin dan percaya walau sejahat atau sefasiq mana pun manusia beragama Islam, mereka tetap berpeluang untuk menerima hidayah dari Allah subhanahu wataala untuk kembali ke pangkal jalan, sesuai dengan doa yang mereka selalu ucapkan 18 kali sehari semalam, "tunjukkan kami jalan yang lurus(benar)."

Hadirin dan hadirat sidang perwakilan dan pemerhati sekalian,

10. Memperkasakan ulamak

Kita mendengar cakap yang kurang enak mengatakan ulamak ingin membolot kepimpinan PAS, tidak mahu berkompromi dengan professional dan macam-macam lagi. Di luar sana, ada di kalangan ahli dan penyokong yang mempertikaikan keupayaan ulamak dalam memimpin dan mentadbir.

Perlu dijelaskan di sini, beberapa kategori ulamak antaranya :


ada ulamak yang berilmu tinggi tetapi tidak cekap mentadbir,
ada ulamak yang berilmu dan cekap mentadbir,
ada ulamak yang kurang ilmu tetapi cekap mentadbir,
ada ulamak yang kurang segalanya,

maka, saya menyarankan agar para ulamak perlu meneruskan usaha meningkatkan ilmu agama dan pengurusan sehingga mereka menjadi golongan kedua iaitu mempunyai ilmu yang tinggi dan tahu mentadbir.

Usaha inilah dinamakan memprofesionalkan ulamak. Jika ulamak, dalam keadaan tertentu masih belum dapat mentadbir dengan baik, adalah menjadi tugas rakan-rakan professional dalam PAS atau ulamak yang kurang ilmunya tetapi boleh mentadbir bersama-sama mendokong kepimpinan ulamak.

Kita tidak ada masa bagi melayan media yang memainkan peranan bagi melemahkan saf kita terutamanya dalam suasana genting para perwakilan ingin membuat keputusan bagi meneruskan agenda perubahan dan persediaan menambah bilangan kerusi di peringkat Dun dan parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

Maka dengan ini, beberapa agenda utama bagi memperkasakan ulamak perlu diberikan perhatian seperti berikut :-

1. Memahami isu dan hal semasa

Adalah malang jika kita hanya berupaya membaca kitab, mentafsirkan alQuran dan hadis dengan banyak tetapi apabila dikemukakan isu-isu semasa terutamanya dalam isu ekonomi, politik, dan social, kita membisu. Al-Quran mengajar kita supaya bertanya kepada pakarnya sebagaimana firman Allah subhanahu wataala :

Maksudnya : "Oleh itu bertanyalah kamu ( wahai golongan Musyrik) kepada orangorang yang berpengetahuan agamajika kamu tidak mengetahui" (Surah an-Nahl : 43)

Begitulah dengan ulamak. Kita tidak boleh lari dari ahli sejarah, politik, ekonomi dan kemasyarakatan kerana mereka memiliki ilmui yang tinggi dalam hal-ahal yang disebutkan. Jika kita dapat terus mengadakan majlis-majlis wacana tentang isu semasa, masalah masyarakat, maka kita akan dapat menjelaskan segala isu yang berkaitan menurut perspektif agama berdasarkan Al-Quran dan hadis.

2) Mengaitkan ilmu dalam kitab dengan hal semasa

Ulamak juga akan menjadi lebih perkasa dan berada di hadapan jika kita mampu menerangkan hujah-hujah yang terdapat dalam kitab-kitab turath berdasarkan keperluan semasa.

Sebagai contoh bagaimana ingin disesuaikan kitab al-Kharaj Abu Yusuf dalam konteks bajet negara? Bagaimana tafsiran baru tafsiran Siyasah Syar'iyyah ibnu Taimiyah dalam konteks di Malaysia?

Memang kita boleh melakukan kerja mudah dengan mengambil dan menaqal pandangan ulamak semasa seperti syeikhul Azhar, Prof Dr Yusuf alQaradhawi, dan lainnya, tetapi mereka tidak berada di medan yang sebenar seperti yang kita alami, mereka tidak menjadi Menteri Besar dan exco dan mereka tidak berdepan dengan non muslim secara terus. Di sinilah letaknya kelebihan kita dan akan terus menjadi kekuatan kita jika kita dapat lakukan cara yang terbaik. Sebab itulah dalam ucapan muktamar yang lalu saya menekankan pentingnya ulamak pelapis kita terus belajar sehingga ke peringkat yang lebih tinggi sehingga ilmu itu dapat diadun dengan baik dan membuahkan hasil yang baik pula untuk kepentingan agama dan perjuangan.

Kami akan pergi dan di tangan tuan-tuanlah PAS akan dikemudikan pada suatu hari nanti, insya-Allah.

3) Meyakinkan ahli dengan idea-idea baru

Sebagai sebuah dewan yang tinggi dalam PAS, kita juga perlu mengikuti perkembangan dalaman parti dan seterusnya membantu kepimpinan dalam mengeluarkan, mempromosikan dan seterusnya mempertahankan idea-idea yang dikemukakan oleh kepimpinan parti.

Sebagai contoh terdekat, ketika YB Datuk Seri Tuan Guru Presiden mengemukakan idea kerajaan perpaduan. Sepatutnya ulamak adalah golongan utama yang menjalankan penyelidikan dan melihat sejauhmana idea ini tersurat dalam lipatan sejarah. Sejauhmana pengalaman dalam negara lain di dunia. Sejarah menunjukkan bagaimana presiden kita mempunyai pembacaan yang luas, ijtihad politik yang tinggi yang memerlukan sokongan kita.

Selepas sedikit kajian dibuat, didapati Afrika Selatan dan Indonesia adalah antara negara yang awal mengamalkan konsep negara perpaduan selepas United Kingdom pada suatu masa dahulu selepas Perang Dunia Pertama .

Penjelasan dari perspektif syarak yang digabungkan dengan pendapat cendekiawan politik semasa akan dapat membantu mengukuhkan idea Presiden yang juga seorang ulamak. Ini sekadar contoh apa yang berlaku pada sesi yang lalu.

4) Pembantu yang dapat membina imej

Sebagai sebuah parti yang sedang meningkat maju kita juga memerlukan pembantu yang dapat meningkatkan imej kepimpinan dan Dewan Ulamak. Maka dalam konteks inilah, kehadiran pelbagai golongan sebagai pembantu Dewan Ulamak seperti pakar komputer, pengajian media dan komunikasi, ahli sumber manusia dan pembangunan manusia amat diperlukan.

Mereka diharap dapat membantu menaikkan imej ulamak terutamanya Dewan Ulamak di peringkat pusat dan negeri sehingga mencapai kedudukan yang baik dan sihat dalam pemikiran masyarakat Malaysia yang muslim dan non-muslim.

5 ) Menyampaikan idea dalam media PAS

Saya tekankan hari ini kerana dengan kecanggihan teknologi sekarang ini, terdapat segolongan kecil dari penyokong PAS yang cuba memperkecilkan dan yang lebih teruk lagi menidakkan sumbangan dalam memajukan parti kita.

Yang lebih malang mereka menggunakan teknologi canggih seperti ruangan blog, facebook, list group, selain media elektronik lain untuk memburukkan peribadi, menyerang ulamak, atas nama kebebasan yang melulu tanpa batasan akhlak dan syarak.

Penutup

Hadirin dan hadirat sidang perwakilan dan pemerhati sekalian,

Secara ringkasnya, sebelum saya merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat kali ini, suka saya mengingatkan sekali lagi betapa pentingnya ulamak meneruskan perjuangan para nabi. Untuk membolehkan kita berjuang sebagai pewaris nabi-nabi, kita hendaklah terlebih dahulu melengkapkan diri dengan ketokohan ulamak dalam segenap aspek dan sanggup memimpin perubahan dalam diri kita daripada malas membaca kepada sentiasa membaca, daripada terlalu banyak bercakap kepada bercakap dan mendengar. Para ulamak perlu memberikan ruang masa untuk melakukan kajian dan jangan rehat daripada melakukan kajian-kajian ilmiah untuk kepentingan agama.

Jika kita mempunyai kualiti seorang pemimpin barulah kita akan dapat menjadi pemimpin yang baik dan diterima umum. Gunakanlah pengalaman kita semasa menjadi ahli dewan undangan negeri, semasa memimpin persatuan, NGO dan lainnya sehingga kita dilihat mempunyai kualiti kepimpinan walaupun biasanya ulamak memiliki ciri itu lebih dari sebahagian yang lain.

Dengan lafaz Bismillah, saya dengan ini merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-48.

Selamat bermuktamar.


Takbir !...Allahu akbar
Takbir !...Allahu akbar
Takbir !...Allahu akbar

Akhukum fil Islam,

Muhammad Daud Iraqi / azm/Harakahdaily

Read More “UCAPTAMA KETUA DEWAN ULAMA”  »»

SYEIKH MARWAN CERITA PERIHAL ZIONIS, UMAT ISLAM DAN RAKYAT PALESTIN

Orang PAS adalah saudara kami dunia akhirat - Wakil Hamas


"Saya amat berterima kasih kepada saudara-saudara saya di Malaysia, terutama dari PAS kerana telah banyak membantu kami di Gaza Palestin yang bukan sedikit jumlahnya," tegas Syeikh Marwan dalam ceramah perdana bersama Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat di Stadium Malawati Shah Alam, sempena Muktamar PAS ke 55 baru-baru ini.

Menurutnya, sejarah pencerobohan rejim Yahudi ke atas bumi Palestin bukanlah perkara baru, malah sejak lama kerana ia adalah perkara yang Allah S.W.T. sebut dalam kitab suci al-Quran.

Katanya, jika Islam memerintah dunia, maka ia akan sentiasa membawa keadilan kepada semua, tetapi selain Islam sudah tentu penindasan akan terus berlaku tanpa mengenal orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak termasuk harta benda awam menjadi korban seperti apa yang berlaku di Gaza, Palestin.

Walaupun perang senjata telah berkahir, tetapi rakyat Palestin menghadapi perang baru iaitu dikepung dengan tembok besar yang menyusahkan rakyat hingga terpaksa menyeberangi jalan-jalan liku, katanya.

Tidak cukup dengan itu katanya, tentera Zionis menggali lubang-lubang besar di bawah masjidil Aqsa dengan merosakkan kubur-kubur sebahagian para sahabat dan keadaan masjid berkenaan dalam bahaya.

"Kita juga tidak lupa bagaimana mereka memusnahkan masjid, universiti, sekolah, kilang-kilang yang menjadi tempat bekerja, rumah-rumah kediaman, membunuh ahli-ahli parlimen serta tokoh-tokoh pimpinan Hamas termasuk percubaan membunuh Perdana Menteri, Ismail Haniyyeh dengan segala peralatan canggih, sama helikopter, kereta kebal, mortar dan sebagainya.

"Saya secara peribadi amat berdukacita dengan sebahagian negara Arab dan umat Islam, kerana mereka hanya menjadi penonton kepada kejadian yang besar dalam sejarah tamadun manusia," tegas Syeikh Marwan. Mereka lupa tambah beliau, bahawa Masjidil Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam, tiga masjid utama yang disebut oleh baginda Rasulullah untuk dikunjungi, apa yang penting umat Islam perlu sedar bahawa Yahudi bukan sahaja menjadi musuh kepada Arab, akan tetapi menjadi musuh kepada semua bangsa manusia di dunia ini.

mns/Zainudin Hashim/harakahdaily

Read More “SYEIKH MARWAN CERITA PERIHAL ZIONIS, UMAT ISLAM DAN RAKYAT PALESTIN”  »»

LAKONAN DI LUAR NEGARA

Bahasa Melayu di Malaysia, satu gambaran kabur - Pak Samad

(Foto: Sasterawan Negara menerima
pengiktirafan dari PAS ketika berlangsung Muktamar PAS ke 55 di Shah Alam.)

Sungguhpun Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak berucap sepenuhnya menggunakan Bahasa Melayu pada majlis penganugerahan ijazah doktor kehormat oleh Universiti Kajian Luar Beijing (BFSU) kepadanya semasa kunjungannya ke China baru-baru ini , ia belum dapat diterjemahkan bahawa terdapat bayangan beliau bersedia mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu.

Demikian antara pandangan yang diutarakan Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said sebagai 'signal' yang boleh disampaikan kepada kerajaan Malaysia apabila Najib berucap dalam Bahasa Melayu di sebuah negara yang mengutamakan bahasa ibunda sebagai bahasa rasmi dalam segala urusan.

Jelas pejuang bahasa yang dianugerahkan Tokoh Bahasa pada Muktamar PAS ke-55 ini sewaktu dihubungi Harakahdaily, memandangkan Najib menerima ijazah doktor kehormat yang dikurniakan kepadanya, sudah tentu beliau menggunakan Bahasa Melayu dalam ucapannya.

"Penerimaan dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia belum lagi menentukan itu akan dilakukannya di Malaysia. Selain itu saya juga melihat gambaran yang agak kabur.

"Di Malaysia ini, Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri memberi kenyataan kadang-kadang kita dapati seolah-olah akan mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu. Tetapi kadang-kadang kita nampak seolah-olah ada keraguan akan menghapuskan PPSMI ini" tegasnya.

mks/Nyza Ayob/harakahdaily

Read More “LAKONAN DI LUAR NEGARA”  »»

PERSATUAN-PERSATUAN SIVIL MALAYSIA KELUAR KENYATAAN DAN PUNGUT TANDATANGAN MENGENAI RESOLUSI PAS HARAMKAN SISTER IN ISLAM (DWIBAHASA)

Para Pencinta kebenaran dan Pengamal Demokrasi, sila jawab dan berhujah secara ilmiah agar kebenaran tertegak dan pembohongan tumpas.



PENYATAAN BERSAMA OLEH PERSATUAN-PERSATUAN SIVIL MALAYSIA TERHADAP RESOLUSI PAS UNTUK MENGHARAMKAN SISTERS IN ISLAM


Kami penandatangan di bawah amat terganggu dengan usul Parti Islam Semalaysia (PAS) yang mahu agar Sisters in Islam (SIS) diharamkan dan ahli-ahlinya dipaksa menjalani proses pemulihan jika aktivitinya didapati bertentangan dengan Shariah Islam. Pada hemat kami, dengan membuat usul sebegini, PAS telah pun membuat anggapan bahawa SIS harus diharamkan dan aktivitinya dihentikan.

Kami menghormati kebebasan ahli-ahli PAS untuk berpesatuan dan menyuarakan pandangan mereka. Sedemikian juga, ahli-ahli SIS atau ahli mana-mana pertubuhan lain harus diberikan jaminan atas kebebasan yang sama. Dalam hal-hal kepentingan awam, tiada satu individu atau pertubuhan pun yang boleh memonopoli hak menyuarakan pandangan. Desakan untuk mengharamkan SIS dan memaksa ahli-ahlinya menjalani proses pemulihan adalah suatu tindakan yang mencabul kebebasan-kebebasan yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Telah banyak terdapat undang-undang anti-kebebasan bersuara di Malaysia, justeru desakan PAS sebegini akan mengakibatkan ruang perdebatan awam yang sememangnya kecil menjadi terus tertutup.

Bagi menjadikan Malaysia lebih matang dalam mengamalkan demokrasi yang kita aspirasikan, amatlah penting agar konsep kepelbagaian dilindungi dan terus dipupuk, dan ini termasuklah kepelbagaian pandangan. Oleh demikian, adalah sangat penting kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, samada terhadap ahli-ahli PAS atau mana-mana pertubuhan atau individu lain, dihormati.

Desakan untuk mengambil tindakan terhadap SIS yang boleh mengakibatkan pengharamannya adalah tidak sejajar dengan retorik PAS yang mahukan Malaysia yang demokratik dan inklusif. Sebaliknya, desakan ini sama sekali tidak demokratik. Kami ingin menekankan bahawa walaupun ahli-ahli PAS berhak menyuarakan pandangan mereka, namun desakan untuk mengharamkan SIS tidak boleh diterima langsung. Secara prinsipnya, tidak harus timbul persoalan untuk mengharamkan mana-mana pertubuhan hanya kerana tidak bersetuju dengan pandangan pertubuhan tersebut. Kepelbagaian pandangan mestilah dihormati dan sebarang perselisihan pendapat hendaklah diselesaikan dengan perbincangan yang matang dan membina.

Dengan ini, kami mendesak PAS untuk menimbangkan semula pendiriannya dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menarik semula usul terhadap tindakan ke arah pengharaman SIS.

JOINT STATEMENT BY MALAYSIAN CIVIL SOCIETY ON PAS RESOLUTION TO BAN SISTERS IN ISLAM


We the undersigned are deeply disturbed by the call on the part of the Pan-Malaysian Islamic Party (PAS) to have Sisters in Islam (SIS) banned and its members rehabilitated should its activities be determined to be contrary to the Islamic shariah. It is apparent to us that in making the call in the manner that it has, PAS has already formed the view that SIS should be banned and its activities brought to an end.

While we respect the freedom of members of PAS to associate in a manner that they consider appropriate or warranted as well as their freedom to express a view in association on such matters as they see fit, the members of SIS, or any other organization for that matter, are equally guaranteed those freedoms. No one person or organization has a monopoly over the right to express views on matter of public importance. The call to silence SIS and send its members for rehabilitation is an act of violence against those freedoms and their constitutional underpinnings. It also lends itself to further closure of the already narrow space of public discourse and debate that a slew of anti-expression laws have allowed Malaysians.

For Malaysia to mature into the democracy that Malaysians aspire to, it is vital that diversity, even of views, be protected and nurtured. Respect for the freedoms guaranteed to all Malaysians by the Federal Constitution, be they members of PAS or any other organization or simply individuals, is crucial to this endeavor.

The demand for action against SIS culminating in a ban is not easily reconciled with PAS public rhetoric in favour of a more democratic and inclusive Malaysia. On the contrary, the demand is wholly anti-democratic. We reiterate that though members of PAS are entitled to their views, the call for the banning of SIS is wholly unacceptable. As a matter of principle, the question of banning any organization purely for their views should not arise at all. Differences of views must be respected and, if at all, be resolved through constructive engagement.

In view of this, we urge PAS to reconsider its position and take such steps as are necessary to retract the call for action against SIS.

Read More “PERSATUAN-PERSATUAN SIVIL MALAYSIA KELUAR KENYATAAN DAN PUNGUT TANDATANGAN MENGENAI RESOLUSI PAS HARAMKAN SISTER IN ISLAM (DWIBAHASA)”  »»
 

x

Photobucket

e


Popular Posts

Followers


View My Stats

pautan lain

  • - Add caption *Relawan AMALNITA sedia bersama....*
    10 years ago
  • Shopping Back To School. - Oleh kerana 2 petugas kaunter demam dlm Program Jom Shopping Back To School DUN Meru, maka Yb Meru dan Dato Ketua Kampung membantu mengambil...
    10 years ago

Ab

zwani.com myspace graphic comments

x

Photobucket









Recent Comment

ISLAMICITY

SEARCH THE TRUTH

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com