Pray For MH370

Pray For MH370

PERPADUAN PEMANGKIN KHAIRA UMMAH

Jangan Ambil Ringan Aspek Perpaduan - Titah Agong


KUALA LUMPUR, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menyeru rakyat supaya menghayati sejarah kehidupan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang meletakkan kepentingan kesatuan dan perpaduan di kalangan manusia sebagai asas kecemerlangan dan pemangkin khaira ummah (umat yang berkualiti dan baik).


Baginda bertitah usaha untuk menyatupadukan masyarakat adalah usaha yang berterusan sejajar dan bertepatan dengan tuntuan serta cabaran pada alaf ke-21 ini.


"Oleh yang demikian, segala dasar dan polisi yang dirangka ke arah menjadikan negara ini dan seluruh rakyat sebagai komuniti negara maju pada masa hadapan tidak akan tercapai jika aspek kesatuan atau perpaduan ini diambil ringan semua pihak.


"Apabila sebahagian umat manusia dijangkiti sikap tamak dan mementingkan diri serta tidak lagi mempedulikan nilai-nilai mulia dalam mengejar kepentingan duniawi, maka berlakulah pelbagai bentuk malapetaka dan kemusnahan yang menimpa hidup manusia lantaran kemurkaan Allah S.W.T," titah baginda.


Tuanku Mizan bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Dataran Merdeka di sini hari ini. Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Dalam sambutan bertemakan 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah', baginda bertitah penghayatan Islam yang telah diterjemahkan melalui sejarah kegemilangannya membuktikan bahawa umat manusia pernah bersatu di atas paksi kebenaran pada suatu ketika dahulu.


Pada masa itu wujud suasana keharmonian, kestabilan dan kesefahaman, titah baginda.


Tuanku Mizan bertitah Islam juga mengharamkan sebarang bentuk penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan diskriminasi sebaliknya menganjurkan keamanan, hak kesamarataan dan saling membantu.


Baginda bertitah Islam juga mewajibkan perlindungan dan hak sama rata ke atas setiap lapisan masyarakat Islam dan bukan Islam.


Tuanku Mizan juga menyeru umat Islam di negara ini supaya sama-sama berusaha dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan dengan meningkatkan penghayatan terhadap kitab suci Al-Quran dan sunnah Rasulullah sehingga menjadi umat yang bersatu padu, terbilang dan mapan mendepani cabaran semasa.


Pada majlis itu, baginda juga berkenan menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada enam penerima.


Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2009 yang buat julung kalinya diperkenalkan pada sambutan kali ini ialah Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Sidek Baba yang membawa pulang RM50,000 dan plak.


Penerima Anugerah Maulidur Rasul pula ialah Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maamor Osman, Pengarah Urusan Syarikat Laksamana Nusantara Sdn Bhd, Mortadha Abdullah, Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia Mohd Yunus Pathi Mohd, pelajar Muhammad Ahmad Zahid dan kanak-kanak istimewa yang kurang upaya dari bahagian pinggang ke bawah, Muhammad Haziq Samrat.


Kelima-lima mereka menerima wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM22,000 dan plak.


Sambutan hari ini bermula dengan perarakan sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang terdiri daripada kontinjen jabatan kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan institut latihan dan wakil masjid membabitkan kira-kira 100,000 peserta.


Sambutan kali ini turut dihiasi dengan persembahan nasyid dan lagu-lagu ketuhanan, penceritaan kisah-kisah nabi, sketsa dan pukulan kompang oleh artis-artis tempatan seperti Hijjaz, Waheeda, Yassin, kumpulan Kopratasa dan kumpulan Al-Gebra.


Di SEREMBAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengetuai lebih 9,000 peserta perarakan Maulidul Rasul peringkat negeri di padang Majlis Perbandaran Seremban di sini pagi ini.


Turut hadir ialah Tengku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Razak Mansor dan anggota Exco.


Sebanyak 62 kontinjen daripada jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta serta orang ramai menyertai perarakan mengelilingi bandar ini sambil membawa sepanduk dan berselawat.


Terdahulu, Tuanku Muhriz dalam titahnya menyeru umat Islam di negeri ini supaya berazam menjadi anggota masyarakat yang berimam, berilmu dan berkemahiran serta taat menyempurnakan ajaran Islam dan juga sunnah Rasulullah.


"Sesungguhnya kita hendaklah menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh dan teladan untuk keharmonian, kesempurnaan dan memperolehi kejayaan di dunia dan di akhirat," titah baginda.


Menteri Besar pula mengingatkan umat Islam supaya memainkan peranan yang membina dan mengekalkan keimanan serta nilai kerohanian dan persaudaraan sejati agar dapat menyumbang secara positif kepada pembangunan ummah.


"Janganlah sekali-kali bersedih atau berputus asa jika usaha dan perjuangan untuk memajukan diri sendiri tidak dihargai, tetapi bersedihlah apabila bangsa dan diri kita tidak lagi mempunyai maruah dan harga diri," katanya dan menurutnya dengan itu umat Islam perlu menguasai pelbagai ilmu dan memperkukuhkan ekonomi.


Di KUALA TERENGGANU, sambutan Maulidur Rasul dimulakan dengan perarakan sejauh 1.2 kilometer dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ke Stadium Negeri di Jalan Sultan Mahmud.


Sebanyak 92 kontinjen daripada jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, pasukan berunifom, pelajar sekolah, pertubuhan badan bukan kerajaan dan swasta melibatkan 3,680 orang mengambil bahagian dalam perarakan itu.


Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu Tengku Sri Panglima Raja Tengku Badrulzaman Sultan Mahmud berkenan merasmikan sambutan itu di Stadium Negeri dan melancarkan Bulan Dakwah peringkat negeri.


Menteri Beasr Datuk Ahmad Said dalam ucapannya pada majlis itu antara lain menyeru setiap lapisan masyarakat agar menjadikan sambutan itu sebagai wacana untuk menjadikan diri, bangsa dan agama ke arah yang lebih baik.


Katanya adalah menjadi tanggungjawab setiap individu untuk menjalankan kewajipan setelah segala kemudahan dan prasarana disediakan oleh kerajaan.


Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob mengetuai lebih 7,000 peserta perarakan Maulidul Rasul peringkat negeri dari Stadium Hang Tuah ke Masjid Al-Azim di sini.


Turut serta dalam perarakan sejauh 3.5 kilometer itu ialah Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Othman Muhamad dan anggota Exco kerajaan negeri.


Perarakan yang bermula pukul 8 pagi itu melibatkan 142 kontinjen yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar sekolah dan intitusi pengajian tinggi.


Mohd Ali ketika berucap pada majlis itu, meminta umat Islam mengutamakan perpaduan ummah bagi memastikan kestabilan ekonomi, ketenteraman awam dan politik yang berterusan.


Di ALOR SETAR, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru umat Islam kembali kepada penghayatan ajaran agama dalam menghadapi kesukaran dan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t.


"Ombak perpecahan agak mengganas, namun umat Islam perlu bangun berpasakkan keyakinan dengan janji pasti Allah melalui lidah Rasulullah, bahawa Islam sentiasa berada di puncak keagungan.


"Pakej kehidupan tidak akan harmonis jika tersilap tafsir apa erti agama, tidak menghayati keagungan sunnah dan menyisih serta meminggirkannya dari kehidupan," titah baginda pada majlis pelancaran sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Kolej Universiti Insaniah, di sini hari ini.


Baginda bertitah umat Islam perlu mendaulatkan agama dan menyemarakkan sunnah dalam setiap aspek kehidupan bermula daripada diri sendiri, keluarga, institusi dan masyarakat.


Di KOTA KINABALU, lebih 7,000 umat Islam menyertai Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah dalam perarakan dari Padang Merdeka ke Bangunan Majlis Ugama Islam (Muis) di Sembulan, dekat sini.


Sebanyak 83 kontinjen dari jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta serta orang ramai menyertai perarakan itu sambil membawa sepanduk dan berselawat.


Ahmadshah diiringi isteri Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar kemudiannya merasmikan perhimpunan sambutan maulidur rasul peringkat negeri di Dewan Saadah, Wisma Muis.


Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dalam ucapannya pada majlis itu menggesa umat Islam supaya menghayati kejayaan umat Islam terdahulu dalam menjana kegemilangan pertumbuhan ekonomi sehingga menjadikan mereka umat yang kuat dan sentiasa bersatu dalam menangani apa juga permasalahan yang timbul.

Beliau berkata kemelut ekonomi global yang melanda seluruh dunia sekarang memberikan satu mesej penting bahawa kedudukan ekonomi perlu mantap dan kukuh jika umat Islam ingin terus menikmati kemakmuran dan kesejahteraan hidup yang berkekalan.

Di KOTA BAHARU, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra berangkat menyertai sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri yang diadakan di Masjid Muhammadi di sini, malam tadi.

Baginda sebelum itu mendengar ceramah keagamaan sebelum bersama-sama lebih 1,000 jemaah menunaikan solat Isyak.

Di KUANTAN, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah umat Islam perlu kembali kepada doktrin wahyu dalam semua urusan kehidupan termasuk berkaitan hal ehwal politik, pentadbiran negara dan ekonomi.

Baginda bertitah, umat Islam hari ini berpecah belah kerana mereka tidak berpegang kepada doktrin wahyu sebaliknya mengutamakan kepentingan individu dan agenda peribadi.


"Hanya melalui kesatuan yang ampuh dapat mencetuskan umat yang terbaik dan terbilang.


"Penghayatan sepenuhnya kepada sunnah dan al-Quran menjadi prasyarat penting untuk melahirkan umat yang berwibawa," titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul dan pelancaran Bulan Dakwah peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.


Turut hadir pada majlis yang disertai 2,000 orang itu ialah Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

BERNAMA

Di sana adakah lagi yang paling aula dan afdhal selain sambutan Maulidur Rasul

Comments :

0 comments to “PERPADUAN PEMANGKIN KHAIRA UMMAH”
 

x

Photobucket

e


Popular Posts

Followers


View My Stats

pautan lain

  • - Mesyuarat Agung Khas AMALNITA perihatin Pelancaran Tabung PDS AMALNITA dan anda
    8 years ago
  • "Paciaru" atau breakfast. - Yb Meru bersama Mr.Maniam turun padang memantau jalan2 berlubang di susur keluar highway Setia Alam ke Jln Meru dan Jln Korporat Kawasan Meru ...
    8 years ago

Ab

zwani.com myspace graphic comments

x

Photobucket









Recent Comment

ISLAMICITY

SEARCH THE TRUTH

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com