
PAS tertakluk kepada perjanjian yang telah dipersetujui dalam Pakatan Rakyat (PR). Semua parti dalam PR telah bersetuju, jika berlaku pilihan raya kecil, calon yang bertanding mestilah daripada parti yang bertanding pada pilihan raya umum sebelumnya.
PAS Pusat Tolak Kehendak Pemudanya Mahu PAS Bertanding Di Penanti
PAS Pusat menolak hasrat Pemuda PAS Pulau Pinang supaya PAS meletak calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Penanti.
"Ini kerana PAS tertakluk kepada perjanjian yang telah dipersetujui dalam Pakatan Rakyat (PR). Semua parti dalam PR telah bersetuju, jika berlaku pilihan raya kecil, calon yang bertanding mestilah daripada parti yang bertanding pada pilihan raya umum sebelum itu," kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali (foto kanan atas).
Kerusi Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohammad Fairus Khairuddin yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinnag.
PKR telah mengumumkan calon mereka untuk bertanding di Penanti iaitu Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56.(foto kiri bawah)
Selain PKR, calon bebas, Aminah Abdullah, 56, (foto kiri atas) bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, turut menyatakan hasrat untuk bertanding.
Barisan Nasional (BN) belum menamakan calon mereka.
Bernama
PENGARAH PR PAS PUSAT TOLAK KEHENDAK PEMUDA MAHU BERTANDING DI PENANTI
PRK N12 PENANTI PADA 31 MEI 09
"Pengundi dalam bahagian pilihan raya Penanti boleh membuat semakan melalui laman web SPR iaitu www.spr.gov.my atau melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan :
menaip SPR SEMAK NO KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888 mulai 8 Mei ini.
Selain itu, para pengundi juga boleh menelefon ibu pejabat SPR di Putrajaya di talian 03-8885 6500 dan Pejabat Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang di talian 04-261 7692
Pilihan Raya Kecil Penanti 31 Mei
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri N.12 Penanti, Pulau Pinang pada 23 Mei ini, dan jika ada pertandingan hari mengundi pada 31 Mei.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tarikh keluar writ ditetapkan pada hari ini manakala tarikh notis dikeluarkan pada Khamis ini.
"SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 17 April berhubung dengan kekosongan kerusi bahagian pilihan raya N.12 Penanti berikutan peletakan jawatan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan Mohammad Fairus Khairuddin melalui suratnya bertarikh 19 Mac 2009.
"Sehubungan ini, setelah meneliti pemakluman oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang serta salinan surat peletakan jawatan oleh ADUN berkenaan yang dilampirkan bersama pemakluman tersebut maka SPR dengan ini bersetuju bahawa kerusi bahagian pilihan raya DUN N.12 Penanti adalah disahkan kosong berkuat kuasa 17 April lalu," katanya pada sidang akhbar yang dipetik Bernama di sini hari ini.
Mohammad Fairus, 33, daripada KeADILan mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 April lalu dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan.
Beliau sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah.
Khamis lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun menjelaskan ia tidak ada asas untuk mendakwa beliau.
Pada pilihan raya umum tahun lalu, Mohammad Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi.
Abdul Aziz berkata Daftar Pemilih yang akan digunakan pada pilihan raya ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) tahun lepas yang dikemaskini sehingga 16 April lalu, yang mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.
Daripada jumlah itu, katanya 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain bangsa.
Beliau berkata SPR mensasarkan kira-kira 80 peratus jumlah pengundi yang akan keluar mengundi pada hari tersebut memandangkan hari mengundi adalah hari Ahad, di mana sebanyak 82.1 peratus pengundi keluar mengundi untuk kawasan itu pada pilihan raya umum lalu.
Katanya SPR akan menggunakan Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi manakala bagi urusan pengundian pos, proses pengeluaran dan pengiraan di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah.
mk/HarakahdailyN12
