Kerajaan Negeri Selangor pimpinan YAB Tan Sri Abdul Khalid belum lagi membuat keputusan sama ada untuk memberi diskaun atau menghapuskan denda serta saman yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan kepada pemilik kenderaan. Beliau memberi beberapa alasan yang saya fikir cukup bijaksana, antaranya, pertama mesyuarat Exco belum membincangkan perkara itu, kedua masa diperlukan untuk mengkaji bagaimana kesan dari aspek keadilan, tindakan yang akan diambil terhadap pemilik kenderaan yang telah menjelaskan kompaun atau saman dan ketiga kerajaan negeri lebih berminat untuk mengurangkan penderitaan rakyat termasuk tidak menaikkan kadar kompaun dan saman di samping menyediakan lebih banyak tempat letak kenderaan.
Izinkan saya mengulas jawapan YAB yang ketiga. Di bandar seperti Klang yang mana tempat letak kereta adalah terhad jumlahnya, jalan penyelesaian perlu dicari bagi mengatasi masalah pemandu meletakkan kenderaan mereka di tempat yang bukan dikhaskan seperti di Jalan Tengku Kelana kerana ini menyumbang ke arah kesesakan lalu lintas. Di tempat-tempat membeli belah, dek kerana kekurangan ruang kosong untuk dijadikan tempat letak kereta, Majlis Perbandaran Klang harus membina tempat letak kereta bertingkat.
Dicadangkan, pihak berwajib yang mengurus selia parking meter, hendaklah menyelenggara mesin dengan baik agar tidak menyusahkan pengguna seperti timbul masalah mesin "menelan" duit atau duit tersangkut. Pungutan duit siling haruslah dilakukan berdasarkan pengalaman (statistik) yang mana kawasan sibuk, perlu dilakukan pungutan dua tiga kali sehari bagi mengelakkan duit tersekat. Jangan jadi seperti ATM mesin di bank-bank selepas waktu pejabat yang tidak diselenggara dengan baik dan sentiasa memaparkan " MESIN TERGENDALA SEBENTAR, HARAP MAAF". Walhal mesin itu rosak sepanjang malam.
Kejadian mesin parking meter tidak berfungsi dengan baik apabila hendak digunakan, boleh mengakibatkan kerosakan yang lebih teruk lagi. Ini kerana sinergi antara kesesakan lalu lintas dan parking meter "menelan duit" atau duit tersangkut menyebabkan pengguna tertekan (stressful) dan cepat hilang kawalan diri lantas memukul-mukul, menggoncang, atau menumbuk parking meter.
Kakitangan penguatkuasa PBT seperti MPK hendaklah menggunakan budi bicara apabila hendak menyaman pemilik kenderaan terutama di kawasan seperti di hadapan bank, pejabat pos atau klinik yang mana kadangkala pemilik kenderaan hendak cepat menunaikan sesuatu urusan tetapi tiada tempat letak kereta yang kosong ketika itu, lantas diletaknya kereta pada tempat yang tidak sepatutnya digunakan untuk parking.
Saya fikir, kompaun untuk kesalahan parking yang mencecah RM50 ke RM70 agak tinggi. Ini kerana jumlah berkenaan tidak setimpal dengan kesalahan yang dibuat. Seperkara lagi, kesalahan meletak kereta biasanya berulang dan kerap berlaku pada individu yang sama. Bayangkan jika empat kali dalam sebulan kena saman, terasa juga agaknya poket bocor.
PARKING PROBLEM?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Comments :
Post a Comment