Pray For MH370

Pray For MH370

MENCABUT NYAWA SENDIRI TANDA KURANG SQ DAN EQ

Membunuh diri (suicide) boleh dikategorikan sebagai cubaan membunuh diri jika tidak berjaya (attempted suicide or failed attempted suicide or para suicide) dan membunuh diri. Kadangkala agamapun tidak dapat menghalang seorang insan untuk berputus asa terhadap Rahmat ALlah jika ia seorang Muslim yang jahil tentang agamanya atau berpenyakit mental-emosi.

Banyak kes cubaan membunuh diri berlaku kerana mahukan perhatian pasangan tetapi malangnya bertukar menjadi bunuh diri kerana terlebih dos atau pasangan tidak sampai di tempat kejadian tepat pada masa yang dijanjikan.( Foto Dr Nor Hayati)

Ada juga kes bunuh diri dek kerana pengaruh jin yang telah meresap ke dalam tubuh mangsa dan "diri" mangsa dikawal oleh jin atau syaitan.

Bunuh diri dibawah pengaruh sama ada bahan tertentu seperti dadah atau arak merupakan sebab biasa bagi


Kartun Bunuh Diri

*Memprofil Mangsa Bunuh Diri


*Agama Boleh Bendung Cubaan Bunuh Diri



Agama Boleh Bendung Cubaan Bunuh Diri
Oleh Melati Mohd Ariff

Dr Nor Hayati Ali, penyiasat utama Daftar Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia (NSRM). Beliau juga merupakan pakar perunding dan ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kajang.


Krisis bunuh diri mungkin menimpa individu yang mengalami penderitaan emosi atau fizikal.

Bagi golongan ini, mereka tidak lagi sanggup menanggung penderitaan atau yakin tidak ada lagi jalan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi. Mereka juga mungkin merasakan masalah itu tidak akan berakhir.


Dr Nor Hayati menjelaskan bahawa individu yang sudah tidak sanggup menanggung penderitaan berada dalam situasi di mana penderitaan emosi atau fizikal sudah sampai kepada paras yang dia tidak lagi sanggup menahannya.

"Bagi golongan ini mereka percaya tidak ada jalan penyelesaian bagi derita emosi atau fizikal yang dialami, mereka sudah tidak nampak jalan keluar untuk merungkai masalah yang mendatangkan penderitaan kepada mereka.

"Individu yang mengalami derita emosi atau fizikal yang agak lama pula menjangka keadaan yang mendatangkan penderitaan tidak akan berubah dengan sendiri.

"Ini mencerminkan rasa putus asa yang juga pencetus risiko bunuh diri," kata Dr Nor Hayati dalam wawancara dengan Bernama di pejabatnya di Hospital Kajang baru-baru ini.

PERANAN AGAMA

Pakar psikiatri ini berpendapat pegangan agama dan keimanan individu boleh melindungi seseorang itu daripada terdorong untuk membunuh diri.

"Agama menekankan tingkah laku yang soleh dengan kepercayaan bahawa Tuhan akan sentiasa bersama kita dalam apa jua keadaan. Ini sudah tentunya menjadi penawar kepada sebarang perasaan kecewa atau putus asa.

"Bagaimanapun, sekiranya seseorang pesakit itu mengalami kecelaruan mental atau satu kejadian kehidupan yang amat hebat, ini mungkin akan menjejaskan kemampuannya untuk membuat pilihan," jelasnya.

Pada peringkat ini, kata Dr Nor Hayati, anggota keluarga, kawan rapat serta masyarakat mempunyai peranan utama untuk memastikan individu berkenaan tidak merasa terpinggir atau disisih.

"Individu ini amat memerlukan perhatian dan bantuan segera," katanya.

MENCEGAH BUNUH DIRI

Dr Nor Hayati menjelaskan seterusnya bahawa kajian telah menunjukkan satu daripada kaedah pencegahan bunuh diri yang berpotensi yang boleh diketengahkan dikenali sebagai latihan 'gatekeeper'.

'Gatekeepers', katanya adalah mereka yang mungkin bertembung atau bersemuka dengan individu yang mahu membunuh diri, dalam urusan kerja mereka seharian seperti pegawai polis, guru agama, pegawai penjara, guru dan kakitangan sekolah, pekerja kebajikan dan doktor.

Sering kali, individu berkenaan menerima latihan yang sedikit atau tidak mendapat sebarang latihan khusus dalam mengenal pasti risiko bunuh diri dan bagaimana mereka boleh membantu individu tertentu.

"Latihan Gatekeeper ini bukan sahaja membabitkan maklumat mengenai cara menilai risiko serta pengendalian segera individu yang mempunyai naluri bunuh diri.

"Ia juga secara umumnya menyediakan maklumat mengenai perujukan serta bantuan yang boleh diperoleh daripada perkhidmatan lain dalam kalangan masyarakat mereka, termasuk rawatan untuk kemurungan, ketagihan arak dan penyalahgunaan najis dadah," katanya.

Dr Nor Hayati turut memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah-langkah perlu ke arah pencegahan bunuh diri, satu daripadanya ialah dengan menggalakkan pihak media supaya menyiarkan laporan yang lebih bertanggungjawab.

"Individu yang mungkin terdahulunya pernah menyimpan niat untuk membunuh diri tetapi menukar fikiran apabila memikirkan kesan negatifnya, boleh terpengaruh apabila melihat satu-satu kes bunuh diri yang dipaparkan oleh media dengan begitu hebat, seolah-olah tindakan membunuh diri itu diterima media," katanya.

Fenomena ini dipanggil sebagai "peniru bunuh diri" atau "kesan berjangkit".

Oleh itu adalah amat penting bagi akhbar tidak menjadikan bunuh diri sebagai satu berita sensasi atau menyiarkan laporan yang terlalu terperinci mengenai kes cubaan bunuh diri atau kes bunuh diri, katanya.

MINDA ANDA KESIHATAN ANDA

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan kesihatan sebagai keadaan lengkap fizikal, mental dan kesejahteraan sosial dan bukan semata-mata tiada penyakit.

Justeru, menurut Dr Nor Hayati, kesihatan mental yang merujuk kepada fungsi minda adalah komponen penting kesihatan seseorang individu.

"Individu yang mempunyai kesihatan mental yang baik sering merasa seronok dengan dirinya. Mereka juga merasa senang dengan orang lain termasuk dalam jalinan hubungan peribadi serta mampu memenuhi tuntutan hidup," jelasnya.

Beliau berkata individu yang mempunyai kesihatan mental yang tidak memuaskan biasanya merasa tidak gembira, berada dalam keadaan lemah dan sangsi dengan kehidupan semasa juga masa depan mereka.

Katanya individu itu juga mempunyai rasa harga diri yang rendah di samping merasa diri terpinggir daripada masyarakat.

Individu-individu berkenaan juga merasa terhimpit dengan kejadian kehidupan yang buruk dan sering merasa tekanan hidup yang tidak dapat dikawal.

"Kemurungan adalah penyakit fizikal yang menjejaskan otak, menyebabkan ketidakseimbangan kimia di kawasan yang mengawal fungsi biologikal dan sosial," katanya.

Menurut beliau, kajian dalam "kualiti kehidupan" menunjukkan kemurungan mempunyai impak yang lebih serius ke atas kemampuan seseorang untuk berfungsi, seperti mengingati sesuatu, membuat keputusan atau pergi bekerja apabila dibandingkan dengan penyakit kronik yang lain.

Dr Nor Hayati berkata jika seseorang itu terlalu uzur untuk mengenal pasti kesulitan yang dialaminya, keluarga dan rakan individu itu disarankan agar membantu beliau mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

DAPATKAN RAWATAN

Dr Nor Hayati juga mengakui bahawa persepsi negatif terhadap orang yang mengalami kesukaran kesihatan mental mungkin menyebabkan orang berkenaan enggan tampil mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, keadaan itu dijangka beransur-ansur berubah kerana lebih banyak bukti saintifik menunjukkan kecelaruan mental mempunyai asas biologikal di dalam otak, dan ia bukan setakat 'kelemahan kerohanian'.

"Dalam kebanyakan kes, mereka boleh didiagnos dan dirawat. Kebanyakan kemudahan kesihatan di Malaysia mempunyai pelbagai jenis ubatan yang boleh digunakan untuk merawat kemurungan. Jika dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh mendatangkan penderitaan bukan sahaja kepada individu berkenaan tetapi juga keluarga dan masyarakat," katanya.

Dr Nor Hayati menasihatkan: "Sekiranya orang yang berhasrat mahu membunuh diri datang kepada anda untuk mendapatkan bantuan, kemungkinannya individu itu percaya anda adalah lebih penyayang dan anda lebih mengetahui bagaimana cara untuk menghadapi kesukaran hidup.

"Mereka juga mungkin menjangkakan bahawa anda mampu untuk merahsiakan apa yang mereka ingin kongsikan. Walaupun apa yang diluahkan kepada anda mungkin begitu teruk dan negatif, individu itu tetap mempunyai pandangan yang positif terhadap anda."

Menurut beliau terdapat banyak langkah kecil yang dapat kita lakukan untuk membantu mereka yang mahu membunuh diri dan untuk memudahkan mereka mendapatkan bantuan.

"Biarpun kecil, langkah-langkah ini boleh menyelamatkan banyak nyawa dan mengurangkan penderitaan manusia," kata Dr Nor Hayati.

MASING-MASING BERPERANAN

Dalam menangani isu bunuh diri, Dr Nor Hayati percaya setiap orang mempunyai peranan untuk dimainkan.

Beliau turut menyokong usaha Kementerian Kesihatan yang menjalin kerjasama dengan agensi-agensi lain yang menawarkan bantuan kepada mereka yang mahu membunuh diri seperti pertubuhan bukan kerajaan 'The Befrienders'.

"Dengan lebih banyak data dihasilkan oleh NSRM, diharapkan kita dapat menyebarkan pemahaman asas terhadap faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang sakit mental.

"Maklumat itu juga boleh membantu memahami faktor yang menyebabkan meningkatnya risiko untuk seseorang itu membunuh diri di Malaysia," katanya.

Menurut Dr Nor Hayati, pengetahuan tertentu perlu juga disediakan mengenai ke mana orang yang berisiko tinggi perlu dihantar untuk mendapatkan penilaian dan rawatan lanjut serta pentingnya menjalani rawatan susulan.

"Membantu orang untuk mempelajari kemahiran menyelesaikan masalah dan konflik serta mengendalikan pertelingkahan tanpa membabitkan sebarang unsur ganas juga menyumbang kepada pencegahan bunuh diri," jelas beliau.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Memprofil Mangsa Bunuh Diri


Dr Nor Hayati Ali, penyiasat utama Daftar Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia (NSRM). Beliau juga merupakan pakar perunding dan ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kajang.


Hakikat satu kajian! Daripada 113 kes bunuh diri yang dilaporkan di Malaysia dalam tempoh Julai-Disember 2007, 82 ialah lelaki dan 41 daripadanya sudah berumah tangga.

Bilangan yang mengejutkan ini didokumenkan oleh Daftar Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia (NSRM) untuk tempoh enam bulan itu.

Bagi individu berkenaan, peristiwa hidup yang paling lazim menghimpit perasaan mereka ialah masalah dengan pasangan intim mereka. Kejadian kehidupan lain ialah masalah kewangan, perundangan dan yang berkaitan dengan kerja.

Ini berbeza sekali dengan mangsa bunuh diri wanita, kerana berdasarkan analisis gender, 16 daripada 31 yang direkodkan adalah bujang sementara sembilan yang lain sudah berkahwin.

"Kebiasaannya, lelaki lebih nekad apabila mahu membunuh diri. Wanita tidak begitu, jadi mereka ini masih boleh diselamatkan. Bagaimanapun, trend ini perlu dikaji dengan lebih mendalam dan diperhatikan untuk tempoh yang lebih panjang.

"Laporan sulung NSRM ini hanya meliputi tempoh enam bulan," demikian kata Dr Nor Hayati Ali, penyiasat utama NSRM dalam wawancara dengan Bernama di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau turut memberi contoh, data dari Amerika dan Taiwan menunjukkan bahawa bukanlah status 'berkahwin' yang menjadi risiko, tetapi masalah rumah tangga seperti perpisahan sementara atau perceraian yang akan meningkatkan risiko itu.

Dr Nor Hayati menjelaskan bahawa data yang terkandung di dalam laporan NSRM 2007 dikumpulkan melalui usaha bersepadu membabitkan jabatan forensik di hospital di bawah Kementerian Kesihatan.

Dr Nor Hayati berkata data itu secara beransur-ansur akan diperluas untuk meliputi hospital di bawah Kementerian Pelajaran.

OPERASI NSRM

Menurut beliau, NSRM ditubuhkan secara rasmi pada awal 2007 untuk mengumpul data kematian akibat "tindakan mencederakan diri sendiri secara sengaja dan membawa maut" menerusi rangkaian perkhidmatan forensik.

Ia membabitkan pelbagai peringkat kakitangan di jabatan forensik atau unit masing-masing dan kes akan disahkan oleh Pakar Perubatan Forensik.

Pengumpulan data yang dibuat pada 2007 adalah cubaan awal, jelasnya.

Projek NRSM ini, kata Dr Nor Hayati dapat diusahakan setelah menerima peruntukan penyelidikan daripada Kementerian Kesihatan pada tahun yang sama. Ia ditaja oleh Perkhidmatan Perubatan Forensik serta Perkhidmatan Psikiatri dan Kesihatan Mental. Kepakaran teknikal pula disediakan oleh Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC).

Pada 2008, Institut Penyelidikan Tingkah Laku Kesihatan menyertai usaha ini untuk melakukan penyelidikan lanjut dalam bidang berkaitan.

"Matlamat NSRM ialah untuk menyediakan statistik lengkap bunuh diri di Malaysia dengan mewujudkan satu sistem di seluruh negara bagi merekod data mengenai mangsa bunuh diri di negara ini.

"Maklumat ini penting bagi pengendalian urusan kesihatan dan mengenal pasti bidang yang perlu diberi perhatian oleh penyedia perkhidmatan kesihatan," kata Dr Nor Hayati yang juga Pakar Perunding Psikiatri dan Ketua Jabatan, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kajang.

ANALISIS DATA

Menurut Dr Nor Hayati, berdasarkan 113 kes yang didokumen oleh NSRM, kebanyakan mangsa bunuh diri (95 orang atau 87 peratus) ialah rakyat Malaysia sementara selebihnya orang asing termasuk warga negara Nepal (3), Indonesia (6), Filipina (1), Singapura (1) and Myanmar (1).

Dalam kalangan rakyat Malaysia itu, katanya, kaum Cina paling ramai, (47 orang atau 43 peratus), diikuti India (31 orang atau 27 peratus) dan Melayu (12 orang atau 11 peratus) diikuti kumpulan pribumi dari Malaysia Timur (sembilan orang atau 8 peratus) dan lain-lain (10 orang atau sembilan peratus).

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa angka-angka yang dipetik ialah "angka mutlak" yang tidak setepat "kadar bunuh diri".

Menurut beliau lagi, data daripada penyelidikan terdahulu secara konsisten menunjukkan kadar bunuh diri paling tinggi dalam kalangan masyarakat India, ekoran daripada kes bunuh diri yang tinggi di sebalik jumlah penduduknya yang lebih kecil.

"Kadar bunuh diri hanya boleh dikira apabila kita mempunyai data untuk satu tahun penuh yang NSRM boleh sediakan daripada data 2008," katanya.

Dr Nor Hayati memberitahu Bernama bahawa berdasarkan Laporan NSRM 2007, majoriti mangsa bunuh diri (57 peratus) ialah mereka yang bekerja, sementara 27 peratus lagi menganggur.

Selebihnya sama ada bekerja separuh masa atau pekerja sambilan, bersara, menerima pencen ilat sementara 3 peratus lagi adalah suri rumah, katanya.

LAGI DATA

Menurut Dr Nor Hayati, analisis NSRM seterusnya menunjukkan sembilan pelajar (enam perempuan dan tiga lelaki) ialah dalam kalangan 113 mangsa bunuh diri.

"Hanya seorang Melayu, berusia 22 tahun sementara yang lainnya lima berketurunan India, dua Iban dan seorang Murut (umur antara 12 hingga 17 tahun).

"Masalah sekolah dikatakan sebagai punca bunuh diri di dalam dua kes, masalah pasangan intim di dalam dua lagi kes, sementara yang lainnya, tidak ada kejadian kehidupan yang dikenal pasti," tambahnya.

Kata beliau, daripada 113 kes bunuh diri, 88 peratus "Meninggal Dunia Ketika Dibawa" (BID) oleh polis untuk pemeriksaan bedah siasat, 11 peratus meninggal dunia di wad dan 1 peratus meninggal dunia di jabatan kecemasan.

"Mereka yang meninggal dunia di wad dan unit kecemasan ialah mereka yang melalui proses pemulihan semula (resusitasi) dan kebanyakan daripada kes ini menggunakan kaedah pengambilan racun.

"Mereka tidak menemui ajal serta merta dan dihantar ke hospital oleh waris mereka. Bagaimanapun, akibat komplikasi tindakan membunuh diri itu, organ penting di dalam tubuh mereka gagal berfungsi dan ini kemudian menyebabkan mereka meninggal dunia," jelasnya.

FAKTA BUNUH DIRI

Seramai 73 daripada 113 mangsa bunuh diri di kediaman sendiri dengan seorang lagi berbuat demikian di rumah teman wanitanya sementara seorang yang lain, di rumah jirannya.

Lokasi lain termasuk ladang, bangunan komersil, sekolah, tanah perkuburan dan jalan raya/lebuh raya.

"Kemungkinan besar sebab mereka membunuh diri di kediaman sendiri, mungkin kerana akses mudah dan jaminan tiada gangguan. "Memandangkan kejadian kehidupan yang paling lazim ialah masalah pasangan intim, kediaman sendiri mungkin menjadi lokasi pilihan membunuh diri kerana di situlah keperitan masalah ini paling teruk dirasakan," kata Dr Nor Hayati.

KAEDAH BUNUH DIRI

Dari segi kaedah bunuh diri, data NSRM melaporkan kaedah bunuh diri yang menjadi pilihan dalam kalangan rakyat Malaysia ialah menggantung diri, menjerut dan kelemasan.

Daripada 113 kes, 58 (47 lelaki, 11 wanita) menemui ajal dengan kaedah yang disebutkan tadi, diikuti meminum racun serangga (11 lelaki, 7 wanita) dan melompat dari tempat tinggi (10 lelaki, 6 wanita).

Kaedah lain bunuh diri yang dianalisis termasuk terdedah kepada gas dan wap lain (asap, api), mati lemas, melompat atau berbaring di hadapan objek yang bergerak, objek tajam dan refal atau senapang patah.

"Dari segi kaedah dibandingkan kaum, data menunjukkan kaedah membunuh diri paling lazim bagi semua kumpulan etnik (Cina, India dan Melayu) ialah dengan menggantung diri.

"Ini mungkin kerana akses mudah dan senang untuk menggantung diri. Kaedah kedua paling lazim yang dipilih oleh mangsa bunuh diri keturunan Cina dan Melayu ialah terjun dari tempat tinggi. Mangsa bunuh diri keturunan India pula lebih cenderung meracun diri," kata Dr Nor Hayati.

Beliau berkata berdasarkan temu ramah dengan 'pemberi maklumat', 72 kes daripada 113 tidak menunjukkan sebarang tanda atau memberitahu sesiapa yang mereka mahu menamatkan riwayat hidup mereka.

Menurut beliau lagi, hanya 20 peratus ada menyatakan niat untuk membunuh diri dan kaedah yang paling kerap digunakan ialah secara lisan.

Tambahnya, jumlah kes mungkin nampak kecil kerana NSRM memberi fokus kepada kes-kes yang mempunyai "banyak bukti" yang menunjukkan kecederaan itu dilakukan sendiri.

Beliau berkata terdapat juga kes yang "niat tidak dapat ditentukan" yang tidak dimasukkan ke dalam pangkalan data.

"Data mengenai kategori kematian ini mungkin boleh dikumpul pada masa depan sekiranya Malaysia mempunyai sistem melapor kematian bukan semula jadi peringkat kebangsaan.

"Di samping itu, dengan penambahbaikan beransur-ansur khidmat forensik, sebagai contoh dengan mempunyai kakitangan yang dilantik untuk mengendalikan dokumentasi kematian serta prasarana lebih baik seperti menyediakan tempat khas untuk keluarga di temu bual dan kualiti data boleh diperbaik," jelasnya.

FAKTOR BERISIKO UNTUK BUNUH DIRI

Menurut Dr Nor Hayati, berdasarkan kajian terdahulu mengenai kematian akibat membunuh diri, beberapa faktor berisiko dikenalpasti mempunyai kaitan dengan risiko bunuh diri, iaitu sejarah cubaan bunuh diri, penyalahgunaan dadah, penyakit fizikal yang kronik, penyakit mental dan peristiwa hidup yang penting.

"Ramai individu mengalami faktor berisiko yang disebutkan tadi tanpa menimbang mahu membunuh diri. Justeru, faktor berisiko ini berguna untuk mengenal pasti kumpulan sasaran untuk program pencegahan bunuh diri tetapi bukan menentukan individu mana dalam kalangan kumpulan itu yang akhirnya akan maut akibat membunuh diri.

"Kes-kes yang dikenalpasti NSRM pada 2007 menunjukkan kebanyakan mangsa bunuh diri tidak mempunyai sebarang sejarah cubaan bunuh diri terdahulunya," katanya.

"Ini mungkin kerana hakikat ramai di antara pemberi maklumat atau waris tidak berhubung rapat dengan simati dan tidak tahu-menahu tentang tingkah laku atau cubaannya untuk membunuh diri sebelum itu," katanya.

PENYAKIT MENTAL DAN FIZIKAL

Menurut Dr Nor Hayati, apabila membandingkan pelbagai jenis punca, kecelaruan mental secara konsistennya ditemui dalam kes mereka yang berjaya membunuh diri.

Jelasnya banyak kajian mengenalpasti kecelaruan mood terutamanya kemurungan sebagai kecelaruan paling banyak dialami oleh mereka yang menemui ajal dengan membunuh diri, dari 30 hingga 70 peratus.

"Kecelaruan lain yang banyak dikesan dalam kalangan mereka yang berjaya membunuh diri berbanding penduduk am termasuk penyalahgunaan dadah dan skizofrenia.

"Malahan bagi individu yang memang menghidapi gangguan mental, gejala penyakit itu tidak semestinya menjadi penyebab utama mereka membunuh diri," jelasnya.

Sebaliknya, kata Dr Nor Hayati, kadar bunuh diri yang tinggi dalam kalangan pesakit psikiatri dikaitkan dengan faktor sosial, umpamanya, kerap menyendiri dan penyalahgunaan dadah berbahaya.

Katanya, dari satu sudut lain, aspek didiagnos dengan masalah kesihatan mental mungkin ada kaitan.

KESAN NEGATIF PELABELAN

Kajian mengenai stigma, jelas beliau, mencadangkan bahawa reaksi terhadap orang lain serta peminggiran masyarakat yang berpunca daripada pelabelan negatif mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental adalah amat penting.

Menurutnya, keengganan dilabel sebagai "sakit mental" mungkin menjelaskan mengapa hanya 7.1 peratus mangsa bunuh diri dilapor mengidap sakit mental, dua lagi mangsa mengalami kemurungan dan seorang mengidap skizofrenia.

Dr Nor Hayati berkata meskipun sesetengah pemberi maklumat menyedari mangsa suka menyendiri atau 'tidak boleh bekerja dengan betul' sebelum kematian mereka, mangsa tidak mendapatkan sebarang rawatan formal psikiatri.

Majoriti mangsa bunuh diri (79 atau 69.9 peratus) dilapor tidak mempunyai sejarah keluarga penyakit mental.

Beliau menjelaskan bahawa bagi penyakit fizikal, kajian di Amerika Syarikat menunjukkan hubungan kuat wujud antara penyakit 'terminal' atau yang boleh membawa maut dengan bunuh diri. Bagaimanapun, menderita penyakit terminal bukanlah punca yang mencukupi untuk membunuh diri.

Kumpulan individu berkenaan, kata Dr Nor Hayati, mengalami kemurungan, berpunca akibat dipinggirkan masyarakat dan tekanan menghidap penyakit terminal.

"Meskipun NSRM cuba bertanyakan kepada pemberi maklumat berhubung kehadiran penyakit fizikal, ia hanya dilaporkan dalam 6.2 peratus kes dan itu pun sebenarnya penyakit kronik, contoh diabetes dan penyakit jantung," katanya.

-- BERNAMA

Comments :

0 comments to “MENCABUT NYAWA SENDIRI TANDA KURANG SQ DAN EQ”
 

x

Photobucket

e


Popular Posts

Followers


View My Stats

pautan lain

  • - Mesyuarat Agung Khas AMALNITA perihatin Pelancaran Tabung PDS AMALNITA dan anda
    8 years ago
  • "Paciaru" atau breakfast. - Yb Meru bersama Mr.Maniam turun padang memantau jalan2 berlubang di susur keluar highway Setia Alam ke Jln Meru dan Jln Korporat Kawasan Meru ...
    8 years ago

Ab

zwani.com myspace graphic comments

x

Photobucket









Recent Comment

ISLAMICITY

SEARCH THE TRUTH

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com