Nur Amalina Che Bakri mencatat sejarah apabila pada 26 Mac 2005 diisytiharkan sebagai pelajar terbaik SPM 2004.
Anak kelahiran Kelantan ini telah berjaya mengondol 17 1A dan telah ditaja oleh Bank Negara untuk mengikuti kursus A level di Cheltenham College UK dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Universiti Edinburgh, kini dalam tahun kedua kuliah perubatan.
Azali Azlan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) telah mendapat 20 1A dan satu 2A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 mengatasi rekod 17 1A yang dipegang Nur Amalina Che Bakri dari SMK Ulu Tiram, Johor Bahru sejak 2004.
Pada tahun ini, walaupun tidak dapat memecah rekod yang dipegang oleh Azali Azlan 21 A, namun Nik Nur Madiha mampu melakukan yang terbaik bagi diri beliau dan keluarganya dengan meraih 20A dalam SPM 2008. Ikuti serba sedikit tentang pelajar yang telah membawa tuah kepada keluarganya, semoga anda membawa tuah kepada mereka-mereka yang istimewa dalam hidup anda.
Anak nelayan 20A
“Ayah dan ibu saya bukan orang berada. Ibu bekerja sebagai tukang sapu di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan ayah pula bekerja sebagai nelayan.
“Ia menjadi tanggungjawab saya untuk membalas budi kedua-dua mereka, selain mahu mengubah nasib keluarga,” kata Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, 18, yang memperoleh keputusan cemerlang 20A termasuk satu 2A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 yang diumumkan, semalam.
Pelajar Sekolah Maahad Muhammadi (Perempuan) ini berkat, dia bercita-cita melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah dan sentiasa mengamalkan bacaan al-Quran serta solat hajat sebagai petua kejayaannya.
Anak jati perkampungan nelayan, Kampung Parang Puting, dekat Pantai Sabak ini, berkata demikian selepas menerima keputusan peperiksaan yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Mohd Amar Nik Abdullah yang berkunjung ke sekolah terbabit, semalam.
Anak sulung daripada empat adik beradik itu berkata, kecemerlangan dalam SPM hadiah paling bermakna buat kedua-dua ibu bapanya, Nik Mohd Kamal Husin, 42, dan Mariani Omar, 40.
Nik Nur Madihah mendapat 1A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Kesusasteraan Melayu, Geografi, Bahasa Arab Tinggi dan Matematik Tambahan.
Selain itu dia memperoleh 1A bagi mata pelajaran Perdagangan, Prinsip Perakaunan, Ekonomi Asas, Fizik, Kimia, Tasawwur Islam, Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, English for Science and Technology dan serta 2A bagi subjek Biologi.
Kecemerlangan Nik Nur Madihah bermula sejak di sekolah rendah lagi apabila mendapat 5A bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 9A bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2006.
Mymetro
-------------------------------------------------------------------------------------
Inilah Rumah Saya
Hidup tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa.
Siapa sangka rumah yang kelihatan hampir roboh ini menyimpan sebutir permata berharga yang bakal menyinar suatu hari nanti.
Bahkan tidak seorang juga yang terfikir bahawa permata yang berlindung di rumah ini telah mencipta sejarah dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin. Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.
Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.
Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006, bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.
Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.
Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu yang menjadi tempatnya untuk berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.
Utusan
------------------------------------------------------------------------------------------------
Pelajar cemerlang SPM 2008 dapat rumah bernilai RM130,000
Kejayaan pelajar cemerlang negara SPM 2008, Nik Nor Madihah Nik Mohamad Kamal, 18 dari Maahad Muhammadi Perempuan turut dikongsi bersama kerajaan negeri.
Beliau mendapat 20A (19A1, 1A2) dan menjadi kebangsaan kepada kerajaan negeri serta rakyat Kelantan.
Kejayaan itu merupakan rekod kedua di alaf baru apabila pelajar sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan muncul sebagai pelajar terbaik SPM peringkat kebangsaan.
Tiga tahun lalu, pelajar sekolah yang sama Siti Fatimah Mukhtar muncul sebagai pelajar cemerlang negara apabila mendapat 18A (17A1 dan 1A2).
Hari ini anak nelayan dari Kampung Sabak dikunjungi Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, petang Khamis lalu telah dikunjungi anggota Exco kerajaan negeri, Wan Ubaidah Omar.Image
Sebagai menghargai kejayaan tersebut Menteri Besar menawarkan satu lot dan rumah kepada keluarga nelayan tersebut bagi membolehkannya tinggal dalam keadaan lebih selesa.
Seorang lagi pelajar, Nor Farah Aisyah Nazim, 18 juga dari Maahad Muhammadi Perempuan turut memperolehi keputusan cemerlang 17A.
Apa yang menggembirakan lot dan rumah bernilai RM130,000 sumbangan kerajaan negeri kepada keluarga cemerlang itu akan dibina Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di Taman Perumahan Kurnia Jaya.
Menteri Besar ditemani Setiausaha Sulit Khasnya, Mohd Rusdi Abdullah mengunjungi rumah pelajar terbabit di Kampung Parang Punting, dekat Sabak.
Pada kunjungan tersebut Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada keluarga terbabit.
Bercakap kepada pemberita selepas itu Menteri Besar mengalu-alukan pihak luar yang berhajat untuk membantu keluarga terbabit khususnya Nik Nur Madihah.
Image "Tak kiralah siapapun berhajat untuk memberi bantuan, bantulah," ujarnya.
Beliau turut mencadangkan pelajar cemerlang berkenaan melanjut pengajian ke Timur Tengah bagi membolehkan menguasai bahasa Arab dengan mudah dan cepat.
Sementara itu, ibu Nik Nur Madihah, Noraini Omar, 42 mengucap terima kasih kepada kerajaan negeri yang bersedia menawarkan lot dan rumah baru kepada mereka.
Katanya, walaupun anak sulung itu pernah berazam untuk membeli rumah bagi keperluan keluarga apabila bekerja nanti, namun Allah telah mengurniakannya lebih awal hasil kecemerlangannya.
"Terima kasih banyak-banyak, saya tak tahu apa nak diucapkan lagi, ini pun dah banyak sumbangan yang diberikan," ujarnya.
Salmah Mat Husain | Foto Rizal Tahir/ mj / HARAKAHDAILY
---------------------------------------------------------------------------------------
Madihah dapat rumah baru
Pencapaian cemerlang pelajar miskin, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 ternyata cukup manis untuk dikecapi bersama keluarga apabila hadiah dan bantuan juga mula datang mencurah.
Selepas menerima lebih RM4,000 daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Yayasan Nelayan Malaysia (Yanim) semalam, hari ini Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengunjungi keluarganya memberi penghargaan sebanyak RM5,000.
Selain itu, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menyerahkan seunit komputer riba dianggarkan bernilai lebih RM2,000.
Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Hussin turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 manakala Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Datuk Husam Musa sebanyak RM500.
Tanpa diduga hari ini, kerajaan negeri membayangkan akan menyediakan rumah baru dianggarkan bernilai lebih RM100,000 yang akan dibangunkan oleh PKINK.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Anual Bakhri Haron memberitahu, ia dijangka dibangunkan di atas tapak di Taman Perumahan Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa yang akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.
‘‘Pemberian itu adalah untuk membantu meringankan beban keluarga mereka di samping sebagai penghargaan kepada kejayaannya yang turut mengharumkan negeri,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi Nik Abdul Aziz yang memberi sumbangan peribadi kepada keluarga terbabit.
Nik Nur Madihah, 18, anak seorang nelayan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini mencatat sejarah negeri ini apabila memperoleh 20A dalam peperiksaan SPM 2008.
Kejayaan itu menjadikan pelajar tersebut antara pelajar cemerlang dengan mendapat 19 1A dan satu 2A.
Dia dan keluarga tinggal di sebuah rumah sewa dua bilik yang agak daif dengan bayaran RM90 sebulan di Kampung Parang Puting dekat sini.
Ketika bercakap kepada pemberita, Nik Abdul Aziz berkata, kejayaan pelajar sekolah di bawah pentadbiran Yayasan Islam Kelantan itu memperlihatkan bahawa pelajar sekolah agama tidak terkebelakang.
Katanya, ia telah dibuktikan berulang kali di mana mereka tidak terkebelakang dalam aspek pengajian moden yang diimbangi dengan agama.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Othman Che Mat berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan untuk membiayai bayaran sewa rumah keluarga tersebut yang telah tertunggak selama setahun.
‘‘Kami difahamkan keluarga ini gagal membayar sewa rumah selama setahun. Oleh itu melalui Skim Sewaan Kemiskinan Bandar, tunggakan itu tidak perlu lagi dibayar kerana akan ditanggung sepenuhnya oleh jabatan.
‘‘Bagaimanapun kami perlu berbincang dengan pihak kementerian terlebih dahulu kerana selain skim tersebut banyak lagi bantuan boleh diberikan termasuk insentif kewangan lain,’’ katanya ketika ditemui.
Utusan
-------------------------------------------------------------------------------------
Jordan atau Oxford pilihan Nik Nur Madihah
Jordan atau United Kingdom (UK). Itulah dilema yang dihadapi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal.
Nik Nur Madihah yang memperoleh 20A dalam peperiksaan SPM itu berkata beliau perlu berfikir panjang sama ada ke Timur Tengah menyambung pelajaran dalam bidang keagamaan, atau mendalami ilmu fizik yang diminatinya di United Kingdom (UK).
Beliau berkata, pelbagai tawaran biasiswa, termasuk daripada MARA, Bank Negara Malaysia dan Petronas yang diterimanya akan diperhalusi bersama keluarga dan gurunya sebelum diputuskan dalam masa terdekat.
"Saya memang berminat untuk belajar ilmu agama di Timur Tengah, tetapi pada masa yang sama, saya juga minat mempelajari fizik.
"Mereka yang lebih arif termasuk seorang profesor fizik dari sebuah universiti tempatan pula, mencadangkan saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford dalam bidang fizik.
"Apa pun, saya akan membuat pilihan terbaik untuk masa depan dan juga kepentingan keluarga," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau sebelum itu menerima surat tawaran biasiswa tajaan penuh daripada Pengarah MARA Kelantan, Abd Rahim Taha yang mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar di kediamannya di Pengkalan Chepa, di sini.
Menurut Abd Rahim, MARA sebelum ini menawarkan biasiswa kepada Nik Nur Madihah ke UK untuk menyambung pelajaran di peringkat A Level sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang fizik.
Namun, katanya, MARA kini memberi peluang kepada pelajar itu memilih sama ada ke Jordan untuk pengajian agama Islam atau UK, dan memberi jaminan biasiswa akan diteruskan sekiranya Nik Nur Madihah ingin menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi termasuk Doktor Falsafah.
Bapa Nik Nur Madihah, Mohd Kamal Hussein, 41, seorang nelayan, dan ibunya Mariani Omar, 42, memberi kebebasan penuh kepadanya untuk membuat keputusan berhubung tawaran berkenaan.
Nik Nur Madihah, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini mencatat sejarah apabila memperoleh 20A (19 1A dan satu A2) dalam peperiksaan SPM tahun lalu.
BERNAMA
SEMOGA NIK NUR MADIHAH MENJADI IKON PARA REMAJA KITA
Labels:
Azali Azlan,
Nik Nur Madiha,
Nur Amalina Che Bakri
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Comments :
Post a Comment