Sumber: Suara Selangor Maju Pameran Senibina Haiwan ‘Antara Naluri dan Kehidupan’ Bermula Hari Ini | | | |
SHAH ALAM, 29 April – Muzium Sultan Alam Shah di sini mengadakan pameran Senibina Haiwan ‘Antara Naluri dan Kehidupan’ bagi memberi peluang kepada pengunjung khususnya warga Selangor untuk menghayati dan memelihara keunikan senibina haiwan.
Pameran yang baru bermula hari ini dirasmikan Dato' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, petang tadi.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Tarmedi Omar.
Tan Sri Abdul Khalid ketika ditemui berkata pameran selama tiga bulan itu bukan sahaja unik malah dapat memberi ilmu kepada pengunjung terutamanya di kalangan pelajar.
“Saya harap pameran ini dapat menarik minat pelajar-pelajar senibina yang ingin mengkaji mengenai keupayaan haiwan untuk membina struktur rumah dan sarang,” katanya yang turut meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat pameran.
Sementara itu, pelbagai aktiviti menarik sepanjang pameran berlangsung antaranya Pertunjukan Orang Lebah, Teka Rasa Madu, Kuiz Pameran Senibina Haiwan, Kursus Taksidemi, Pertandingan Menulis Esei, Jejak Maklumat dan Teka Suai Padan Gambar.
Orang ramai khususnya warga Selangor dipelawa mengunjungi pameran ini yang akan berakhir 29 Julai depan.
Pameran dibuka setiap hari Selasa hingga Ahad bermula pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang dan masuk adalah percuma. – MURIZA ABDUL HAMID
Comments :
Post a Comment