Sumber: Suara Selangor Maju
SHAH ALAM, 1 Mei – Kerajaan negeri sedang mengkaji pelaksanaan cuti bersalin selama 90 hari bagi pekerja wanita, kata Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Ia satu pengiktirafan kepada kaum wanita yang kini terlibat sepenuhnya di dalam tenaga kerja kita. Pada masa sama, kerajaan juga sedang mengkaji untuk menambah cuti untuk bapa bagi menggalakkan mereka menjalankan tanggungjawab mereka membimbing keluarga yang bahagia,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2008 di Dataran Kemerdekaan dekat sini pagi tadi.
Program itu dianjurkan bersama kerajaan negeri dan Majlis Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Hadir sama, Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud dan Setiausaha Agung MTUC, G.Rajasekaran.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga menyedari ramai pekerja mengalami kesukaran khasnya yang masih lagi memperolehi pendapatan kurang RM1,500.
“Pelbagai faktor harus diambil kira, sama ada sikap majikan yang ingin mengaut keuntungan yang luar biasa sehingga meminggirkan nasib pekerja ataupun faktor kemahiran pekerja kita,” katanya.
Tambah beliau, sebagai menghargai sumbangan dan jasa pekerja dan pemimpin pekerja, kerajaan negeri sedang mengkaji cadangan menamakan sebuah jalan yang sesuai di negeri ini sempena nama mendiang V.David, mantan Setiausaha MTUC.
Abdul Khalid juga berkata kerajaan negeri juga dalam proses melaksanakan janji-janji pilihan raya. Antaranya pengguna air individu akan mendapat bekalan 20 meter padu percuma bermula 1 Jun ini bagi meringankan beban yang ditanggung rakyat. – NOOR ALLIA KASSIM
Comments :
Post a Comment