Nyza Ayob | Foto Nasir Sudin Thu | May 22, 08 | 6:20:54 am MYT | |
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Hrkh) - Yayasan Amal Malaysia antara Badan Bukan Kerajaan(NGO) yang akan menyertai misi kemanusiaan ke Wilayah Sichuan, China bagi membantu mangsa gempa bumi di wilayah tersebut. Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sewaktu ditemui di Kedutaan Republik China, Jalan Ampang petang semalam. Jelas Khalid, hasrat bagi menghantar sukarelawan itu telah disampaikan kepada Duta China di Malaysia, Cheng Yang Hua dalam pertemuan singkat beliau di Kedutaan Republik China itu. Turut serta dalam pertemuan tersebut ialah Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong; Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu serta Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok. Khalid menjelaskan pihak kerajaan negeri akan membiayai tambang pengangkutan serta tempat tinggal bagi sukarelawan yang terdiri daripada doktor dan jururawat bagi memberi bantuan rawatan dan perubatan bagi mangsa gempa bumi. Katanya, pihak kerajaan negeri menunggu tarikh yang akan ditentukan oleh pihak Kedutaan Republik China bagi membolehkan misi kemanusiaan tersebut dapat dilaksanakan. Dalam pada itu, Khalid turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan rakyat di Wilayah Sichuan yang terlibat dalam gempa bumi tersebut. Sementara itu, Elizabeth menyatakan kumpulan sukarelawan yang berada di China akan membuat penilaian apakah bantuan selanjutnya dapat disumbangkan oleh kerajaan negeri Selangor. "Cadangan tersebut akan disampaikan kepada pemerintah negeri China. Selepas itu kita akan membuat lampiran bagaimana kita dapat menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi. Misi pertama kita ialah menyampaikan bantuan perubatan. "Seterusnya kami akan membuat satu kawasan supaya ia dapat dibangunkan kembali dengan bantuan kerajaan Selangor. Cadangan kami itu diterima dengan baik oleh pihak kedutaan,"katanya. Tambahnya, seterusnya beliau akan mengadakan perbincangan secara langsung dengan pihak yang akan menguruskan misi kemanusiaan tersebut. - mks. |
YAYASAN AMAL SERTAI MISI KEMANUSIAAN KE CHINA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Comments :
Post a Comment