Pemuda diingat pilih pemimpin berwibawa
Oleh Azmi Md Deros
BINCANG: Hishammuddin mendengar sesuatu yang diperkatakan Mohd Rawi (kiri) pada majlis perjumpaan dengan pemimpin Pemuda Umno Kedah di Gurun, semalam. |
Calon mesti mampu bantu perkukuh parti: Hishammuddin
GURUN: Ahli Pemuda Umno diingatkan supaya menggunakan sebaik-baiknya peluang pada pemilihan peringkat cawangan, bahagian dan pusat pada tahun ini untuk mengetengahkan pemimpin yang berwibawa dan mampu menggalas tanggungjawab besar pergerakan itu selaras dengan kedudukannya sebagai sayap kanan parti.
Ketua Pergerakan itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata mereka perlu bijak menilai keperibadian pemimpin yang mahu ditonjolkan supaya sesiapa saja yang diangkat bukan hanya mengejar jawatan, sebaliknya dapat menyumbang untuk membantu memperkukuhkan parti yang tercalar berikutan keputusan mengecewakan pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
"Inilah peluang untuk ahli menilai calon yang mahu mereka ketengahkan untuk memimpin Pergerakan Pemuda Umno. Biar Pemuda sendiri yang menentukan pemimpin yang mereka mahu baik pada peringkat cawangan, bahagian atau pusat.
"Saya juga mengingatkan bahawa rakyat sudah bosan dengan tuduhan sama ada dari segi persepsi atau realiti bahawa wang ringgit menjadi pertimbangan pemimpin kita dan kedudukan menjadi perkara yang membelenggu terhadap persepsi orang ramai terhadap kita.
"Kita jangan beri peluang atau ruang untuk calon seperti ini kerana yang akan menentukan pemimpin ialah kita sendiri di peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemimpin Pemuda Umno negeri di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pemuda Umno Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuah, Mohd Rawi Abdul Hamid.
Comments :
Post a Comment