Pray For MH370

Pray For MH370

WAWANCARA SUARA SELANGOR MAJU BERSAMA YAB TAN SRI KHALID

Tan Sri Abdul Khalid Mahu Gunakan Pengalaman Dalam Sektor Korporat Majukan Selangor




oleh Muriza Abd Hamid




Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lahir pada tahun 1946 di Jeram, Selangor dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Ekonomi dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Queensland, Australia pada 1975.


Beliau pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan di Permodalan Nasional Berhad (PNB) termasuk Ketua Eksekutif Kumpulan dan sehingga 2003 merupakan Ketua Eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad.

Tan Sri Abdul Khalid yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 13 Mac lalu, adalah juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Merupakan Menteri Besar Selangor yang ke-14, menggantikan Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan menjadi menteri besar pertama bukan daripada parti komponen Barisan Nasional (BN).

Wakil Suara Selangor Maju dan Berita Harian baru-baru ini berpeluang bertemu beliau di pejabatnya bagi mendapatkan komen dan pandangan berhubung perlantikan beliau sebagai Menteri Besar dan rancangan-rancangan yang akan diperkenalkan di Selangor. Ikuti temubual tersebut.

Sebelum ini Tan Sri pernah bekerja sebagai guru, pensyarah, pegawai kredit, pegawai kewangan korporat dan jawatan tertinggi dalam PNB dan Guthrie. Bagaimana penerimaan Tan Sri setelah dilantik menjadi Menteri Besar Selangor?


Saya rasa ini satu cabaran baru bagi saya tetapi akhirnya bagaimana kita boleh menggemblengkan kumpulan tenaga yang boleh menyokong kepimpinan kita untuk melaksanakan satu-satu visi dan program.


Pada saya adalah satu cabaran yang baru … bagaimana kita menyesuaikan diri kita untuk mereka sama-sama menyokong objektif kita.

Ada setengah tu doktor, ada setengah tu arkitek, setengah tu NGO (badan bukan kerajaan), bagaimana kamu hendak menggemblengkan kumpulan ini sebagai satu pasukan untuk bekerja di Selangor.

Jika dulu Tan Sri lebih kepada pentadbiran tapi sekarang ini sudah masuk politik, jadi apa pandangan Tan Sri berhubung perkara ini?


Politik pun perlu mempunyai pentadbiran yang efisien.


khalidintvw_001

Tan Sri selalu sebut dalam perjumpaan, Tan Sri bukan dari latar belakang politik. Kenapa Tan Sri berkata begitu?

Kita berpolitik untuk mencari penyelesaian rakyat. Dan mencari penyelesaian rakyat mesti diterjemahkan dengan program yang dapat menolong rakyat, program yang dapat menyelesaikan masalah rakyat.

Bagaimana mencari satu-satu idea baru yang boleh diketengahkan kepada rakyat dan program-program itu mesti diterjemahkan dengan cara proses pentadbiran. Kalau kita berpolitik hanya kita tanya ya kerana saya akan lakukan perkara–perkara ini, mesti ada administrative program.

Jadi kalau kita hanya satu saja yang kita boleh fikirkan janji tetapi tidak kita selesaikan maknanya kita akhir (nya) berpolitik dan masyarakat mungkin tidak percaya kepada orang politik yang mempunyai janji-janji yang tak boleh dimakbulkan atau ditunaikan.

Tan Sri, berbalik kepada perlantikan yang sepatutnya pada 22 Mac, tapi terlewat 2 hari. Ia sudah selesai tapi mungkin akan ada timbul sedikit masalah nanti?

Mesti ada kalau kita mencantumkan tiga kumpulan. Ketiga-tiga kumpulan itu mesti ada dia punya wastelist dan akhirnya kita akan dapat sesuaikan dengan kehendak mereka untuk tujuan bersama-sama bekerja untuk tujuan pembangunan.

Tapi yang paling saya rasa puas hati ialah orang-orang yang dipilih oleh parti-parti yang sepakat mempunyai latar belakang yang boleh kita ketengahkan umpamanya Teresa yang berkelulusan sarjana dalam sains politik kemudian Dato’ Dr Hassan Ali, memiliki sarjana sains perancangan bandar juga motivasi keagamaan dan ada yang dapat MBA, ada yang dapat engineering.

Malah ada yang berkelulusan dentist dan kesemuanya saya rasa mempunyai kepakaran dan kebolehan yang kita satukan untuk tujuan maklumat dan menolong kita mencapai cita-cita, objektif membangunkan Selangor dengan lebih baik lagi. Ada tiga daripada Pas, satu Dato’ Dr Hassan Ali, satu saudara Iskandar Abdul Samad yang mempunyai latar belakang arkitek. Manakala Dr Halimah Ali pula seorang doktor.

Dari segi pembahagian Melayu dengan bukan Melayu?

Pembahagian Melayu termasuk menteri besar, enam Melayu, empat Cina dan seorang India. Ia melambangkan struktur demografi di Selangor. Selangor mempunyai 52 peratus Melayu, 32 peratus Cina dan 10 peratus India.

Tan Sri, kalau kita lihat barisan Exco kebanyakan mereka datang dari kawasan urban, tidak ada betul-betul dari kawasan luar bandar. Apa pendapat Tan Sri?

Sebenarnya tidak ada non urban area di Selangor, dasar untuk kita memilih bukan dari mana dia datang tapi kebolehan dia sebab Selangor ni adalah sebuah negeri, maknanya bukan nak kata besar sangat. Kalau dari Shah Alam ke tempat-tempat lain lebih kurang satu jam, paling lama satu jam 20 minit dah sampai. Paling jauh Sabak Bernam. Saiz negeri tidak menjadi satu masalah.

Enam puluh peratus daripada Selangor juga adalah kawasan perbandaran. Jadi kalau orang kaji betul-betul (perkara ini). Klang saja ada hampir satu juta penduduk.

Pada saya, saya kena memilih orang yang boleh membawa masyarakat desa, masyarakat luar bandar ke bandar ataupun masih lagi mengekalkan keadaan luar bandar tetapi mempunyai ciri-ciri perbandaran.

Jadi maknanya ekonominya moden bukan saja boleh menanam tapi juga dari segi pembungkusan, dia boleh bawa lori, dia boleh eksport ke luar negeri apa semua. Kalau dia bela ikan, dia ada tempat nak salai ikan, ada tempat nak buat pembungkusan.

Soalan anda kenapa kita tak pilih orang-orang di sana, tak payah pilih sebab kita akan membawa orang-orang kita ini ke arah satu peringkat moden yg lebih urban. Moden tu perkataan tak berapa betul tapi urban.

Urban ini maknanya mempunyai kepadatan yang tinggi dan kemudahan prasarana yang cukup.

Bagaimana dengan jawatan Timbalan Menteri Besar?

Saya bersetuju dengan pandangan DYMM Sultan Selangor, buat masa ini yang perlu ialah menyediakan satu pasukan untuk mengurus negeri Selangor dan timbalan, bukan satu perkara atau kriteria yang terpenting dalam pengurusan tersebut.

Oleh yang demikian DYMM Sultan berpendapat buat kerja dahulu dan tahu macam mana selok belok. Kalau perlukan penambahan barulah kita boleh usahakan.

Jadi pada Tuanku, beliau tidak nampak keperluan buat masa sekarang dan saya setuju dengan pandangan itu.

Jadi pada pandangan Tan Sri perlu atau tidak jawatan Timbalan Menteri Besar?

Jawatan itu hanya menyelesaikan isu politik bukan menyelesaikan isu pentadbiran. Umpamanya selama tak sampai 7 tahun Selangor ditadbir sebelum saya, tidak ada timbalan. Jadi maknanya tak ada kesan kepada pentadbiran.

Maksudnya SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) sahaja sudah mencukupi untuk membantu Menteri Besar?

Tidak, SUK itu berasingan. Maknanya Menteri Besar dan Exco yang 10 orang dah cukup sebab dalam undang-undang Ordinan Negeri Selangor peranan timbalan hanya menyokong kerja Menteri Besar tapi tidak ada kuasa seperti Menteri Besar. Maknanya ia hanya menyokong kerja Menteri Besar.

Kejayaan sesebuah negeri ini selalunya diukur dalam tempoh 100 hari. Tan Sri yakin dapat melepasi tempoh itu?

Yakin tak yakin saya kena buat. Saya nampak banyak perkara yang kita lakukan dapat menolong memajukan Selangor. Saya sendiri mempunyai beberapa pengalaman dalam sektor korporat yang boleh saya gunakan.

Saya juga pelaksana, maknanya dalam pengalaman saya, saya boleh melaksanakan projek-projek yang bila dilakukan boleh dilaksanakan, jadi tidak timbul masalah lain dari segi memahami strategi dan juga melaksanakan strategi. Jadi saya boleh buat dua-dua dan saya tahu apa akhirnya yang mesti saya lakukan.

Apakah yang Tan Sri akan lakukan?

Salah satu yang perlu saya lakukan ialah menyelesaikan masalah pengangguran belia yang berumur 21 hingga 35 tahun.

Saya tidak nampak mengapa belia yang duduk di negeri Selangor tidak boleh mendapat pekerjaan. Ini kerana negeri Selangor mempunyai lebih 1.5 juta orang dari luar negara datang bekerja di Selangor.

Satu daripada objektif kita pada jangka panjang ialah mengurangkan pergantungan kita dengan pekerja asing. Jadi ia satu jawapan yang mesti kita lakukan, kita mesti kurangkan. Ini bermakna semua belia kita ini mesti dilatih untuk mendapat kemahiran supaya mereka dapat bekerja. Jika mereka mendapat pekerjaan maknanya pekerjaan itu akan dapat mengurangkan beban kita untuk mencari pekerja-pekerja asing.

Walau bagaimanapun strategi kita mesti betul sebab kalau belia hendak jadi buruh kasar maknanya rugilah kita sebab pekerja-pekerja asing sanggup bekerja sebagai buruh kasar dengan gaji yang lebih rendah. Oleh sebab itu, kita mencari latihan-latihan yang sesuai untuk belia-belia kita supaya mereka mendapat kemahiran. Umpamanya sebagai contoh, kalau belia kita dilatih jadi pakar dalam kimpalan, pendapatan mereka adalah pendapatan buruh mahir dan biasanya pada peringkat antarabangsa gajinya melebihi USD2,000 ke USD3,000 sebulan.

Kalau itu berlaku maknanya kita sudah dapat tingkatkan buruh kita. Dengan cara itu kita akan naikkan taraf belia-belia kita walaupun dia tidak lulus dan tidak boleh masuk universiti. Tapi yang universiti hanya 20 peratus, yang 80 peratus yang kita buat.

Kalau itu berhasil maknanya pendapatan per kapita negeri Selangor akan bertambah dan jurang pendapatan antara mereka yang berada dan tidak berada pun dapat dikurangkan.

Jadi saudara akan tanya macam mana kita boleh menyelesaikan. Salah satu cara yang saya nak cadangkan kalau kita ada 1.5 juta pekerja asing yang duduk di negeri Selangor, saya minta setiap majikan bayar saya RM100 setahun dan maknanya RM10 sebulan untuk saya gunakan bagi melatih belia-belia ini sebagai usaha untuk mengurangkan tekanan buruh asing. Saya dapat mengutip RM150 juta setahun. Dari segi skill saya kena ajar. Itu sebab saya kena ada dana untuk mengajar latihan itu semua.

Kalau kita dah ada duit maknanya kita boleh panggil dalam negeri atau luar negeri untuk datang beri pelajaran. Cuba kita perhatikan dia punya konsep sekarang kita kata kita ada masalah dan ini akan menyelesaikan banyak masalah. Kalau ramai belia tak bekerja maknanya harapan untuk masalah sosial lebih tinggi.

Kalau kita dapat kurangkan pendatang haram dan digantikan dengan pekerja-pekerja mahir kita akan dapat menyelesaikan masalah sosial. Jadi kedua-dua projek ini mengatasi masalah belia ini dan menyelesaikan banyak masalah-masalah sampingan.

Kita akan ada beberapa peringkat bila mereka masuk latihan. Kita akan tanya keupayaan dan kemahiran mereka. Jadi kita ada senarai pekerjaan. Ada setengah tu nak jadi pengatur cara, ada setengah tu nak jadi pembawa kapal. Jadi kita sesuaikanlah.

Biasanya pekerjaan-pekerjaan ini lebih daripada buruh kasar. Jadi kita aturkan dia tapi kalau dia dapat pendapatan kurang daripada RM2,000 maknanya kemahiran dia tak diterima. Kalau pekerja mahir dapat kurang dari RM2,000 maknanya ada sesuatu yang tak kena.

Bila semua orang, belia kita dapat gaji RM2,000 atau lebih maknanya dia telah menambah pendapatan per kapita keluarga kita.

Selangor sahaja yang boleh buat projek ini kalau setengah negeri tidak boleh, sebab setengah tu tidak cukup pekerjaan, tidak cukup industri.


khalidintvw_002

Tan Sri pakar dalam hal pelaburan. Apakah langkah Tan Sri untuk menarik dan mengekalkan pelaburan?

Sudah ramai yang berminat untuk bekerjasama dengan saya bagi mencari jalan untuk melabur di Selangor sebagai satu loncatan ke China atau India. Maknanya dia punya pasaran di China dan India dia nak gunakan Selangor sebagai pangkalan mereka. Kalau dia buat produk, dia buat di sini dan akan dipasarkan ke China atau India. Ataupun dia bawa produk dari China dan India ke mari dan diproses di sini dan dihantar ke luar negeri.

Tan Sri sudah bertemu dengan bermacam–macam pegawai, di Selangor sekarang ni macam mana?

Selangor mempunyai kumpulan dana yang sesuai untuk menjadi tapak yang baik dalam pembangunannya. Walau bagaimanapun pegawai-pegawai kerajaan mesti melengkapkan diri mereka dengan apa yang dipanggil business economic.

Business economic ialah berbeza dari pentadbiran. Umpamanya kalau kita belajar business economic kita tanya bagaimana kita hendak buat satu penswastaan. Kita akan tanya apa manfaat daripada penswastaan itu.

Untuk siapa dan siapa yang terlibat? Jadi dia akan buat kira-kira kalau penswastaan air siapa yang buat. Satu usahawan, apa yang mereka dapat, kedua negeri, apa yang negeri dapat dan ketiga apa yang penduduk dapat. Ketiga-tiga mesti ambil kira. Tapi sekarang kalau pentadbir biasa dia tak buat kira-kira itu. Asal dapat undang-undang lulus, kuasa lulus dia tandatangan. Dia tidak tanya berapa sen dia dapat? Berapa untung?

Jadi pegawai kerajaan juga bertanggungjawab untuk menyemak balik. Sekarang banyak pegawai kerajaan yang bertanggungjawab sama ada minit setuju sama ada undang-undang betul tapi dia tidak masuk kira-kira the business economic.

Setakat ini di mana peringkat semakan?

Semakan hanya sini. Kalau undang-undang betul, usahawan betul, perjanjian betul bagus la.

Tidak memberi penekanan kepada keuntungan?


Sebab rakyat tidak ada kena mengena dalam perjanjian tersebut. Tapi sebenarnya rakyat yang akan dapat kebaikan atau keburukan dari perjanjian tersebut. Itu antara sebab.

Bagaimana dengan Exco, dari portfolio mereka ada yang kelihatan seolah-olah bertindih contohnya seperti kerajaan tempatan diberikan kepada Exco lain?

Kadang-kadang orang ingat semua serupa sahaja macam maintenance.

Kadang-kadang semua hendak cantumkan satu. Macam Selangor ni sudah the real estate. Maintenance saja sudah berbilion, dia punya bisnes bukan kecil.Orang nampak benda ni bertindih tapi sebenarnya tidak. Umpamanya Rodziah Ismail yang memegang portfolio Sains Teknologi dan Inovasi tapi saya suruh juga Ronnie Liu untuk kajian dan penyelidikan.

Kadang-kadang bertindih tapi sebenarnya tidak. Dia ada teknologi untuk lain, dia ni boleh jadi hal lain. Jadi kadang-kadang kita suruh Exco tu bersaing dari segi pemikiran dan cara kerja.

Dalam pemodenan pertanian kadang-kadang kalau kita nak modenkan pertanian kita juga mesti mencari usahawan yang boleh memodenkan pertanian. Jadi petani sahaja dia tak boleh. Jadi itu sebab saya masukkan pembangunan usahawan sebab dia kena beli lori, jual kat pasar malam. Pembangunan usahawan itu sama pentingnya dan sumber alam tu pula macam mana dia nak guna tanah, air dan sebagainya. Itu sebab kita perhatikan Selangor ni kita campur-campurkan.

Bagaimana pula dengan isu kilang haram?

Kalau selalu orang buat kilang haram akan timbul persoalan adakah ini merupakan satu usaha rasuah. Maknanya asyik pejam mata tak nampak kilang haram jadi timbul beberapa masalah pula.

Itu sebab kita perhatikan Selangor ini, kadang-kadang orang tengok Perak pun tidak ada kilang haram, Pulau Pinang pun tidak ada kilang haram. Lepas tu kalau kita nak membersihkan sungai Selangor saya dapati banyak kilang-kilang di tepi Sungai Selangor dan kebanyakan mereka tidak dapat lesen dan kalau kita nak bersihkan Sungai Selangor kita kena selesaikan masalah ini.

Jadi sebab orang ini baru, jadi orang banyaklah soal. Saya telah tengok masalah ini besar bukannya kecil maknanya di kawasan Shah Alam sahaja boleh jadi ada hampir 1,000 kilang-kilang.

Bagaimana pula dengan alam sekitar?

Alam sekitar ini sememangnya bermasalah. Satunya ialah masalah green lung maknanya tempat yang hijau, kawasan hijau. Saya akan menentukan kawasan hijau tidak boleh dicerobohi lagi. Itu penting bukan sebab kerana hijau sahaja kerana kawasan hijau adalah kawasan yang memberi kita air-air yang bertakung. Kalau kita hapuskan kawasan hijau, Selangor akan menerima masalah yang terbesar dari segi kekurangan air.

Jadi maknanya kawasan hijau itu bukan kerana cantik sahaja kerana ia adalah potensi, iaitu aset ekonomi yang kita mesti simpan.Dan saya juga akan cuba menyelesaikan masalah-masalah perumahan di lereng bukit. Tapi saya belum dapat laporan. Saya akan berjumpa dengan arkitek-arkitek yang mana mereka membuat design-design itu. Saya akan tanya mereka adakah mereka ini buat sesuai. Arkitek pun ada dia punya etika dan tidak boleh membuat reka bentuk yang boleh merosakkan alam sekitar.

Tan Sri sendiri ada pengalaman dalam bidang perladangan (Guthrie). Apa yang kita perhatikan masalah alam sekitar sekarang ini termasuklah bidang perladangan sendiri di mana cara perladangan dulu mengancam alam sekitar. Apa komen Tan Sri mengenai hal ini?

Itu kita akan ajar, sebab tu kita buat moden. Kita akan panggil pengalaman-pengalaman dari Sime Darby, Guthrie, Golden Hope untuk menolong mereka. Tapi yang baiknya di Selangor ini dah kurang ladang-ladang tersebut. Tapi berkurang pun macam mana dia menggunakan ladang tersebut untuk dijadikan kawasan perumahan dan pertanian moden.

Perkara ini mesti dilihat dengan lebih baik lagipun sekarang pengguna sangat sensitif. Dia menggunakan bahan-bahan beracun ini akan menyebabkan petani tidak mendapat nilai yang sebaik-baiknya. Jadi kita akan beritahu petani, pengguna sanggup bayar premium untuk makanan-makanan yang dikatakan dijaga dengan betul. Jadi kita kena latih petani-petani.

Kami mewakili jutaan penduduk di Selangor ingin tahu sejauh mana janji-janji manifesto sebelum ini?

Kita EXCO akan kaji apa yang kita janji dan kita buat satu daripada janji mengenai air. Tapi saya akan tengok bagaimana penswastaan air ini dapat kita dapat usahakan supaya hasilnya akan boleh kita kembalikan kepada rakyat.

Bagaimana pula dengan pemindahan air dari Pahang?

Masih berlaku dan kita akan teruskan sebab itu menunjukkan Selangor tidak cukup air dalam masa lima tahun yang akan datang.

Comments :

1
lan said...
on 

Salam Dr YB,
saya terbaca mengenai TanSri Khalid enggan melawat ke lebuhraya Grand Saga di mana benteng konkrit itu dibuat untuk melihat sendiri situasi sebenar yang berlaku di sana.

Saya yang bukan penduduk di sana berasa terkilan mengapa TS mengambil sikap tidak mahu turun padang dan mendengar rintihan penduduk di situ. Mungkin ada sebab beliau sendiri tetapi apalah salahnya mengambil sedikir masa sahaja untuk bersama rakyat menunjukkan rasa prihatin kepada mereka

saya berharap penjelasan dapat diberi kenapa TS enggan ke sana dan seterusnya dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan baru mereka ini. Jika tidak, dalam PRU seterusnya, rakyat pasti akan meragui kepimpinan kini

terima kasih YB

 

x

Photobucket

e


Popular Posts

Followers


View My Stats

pautan lain

  • - Add caption *Relawan AMALNITA sedia bersama....*
    8 years ago
  • Shopping Back To School. - Oleh kerana 2 petugas kaunter demam dlm Program Jom Shopping Back To School DUN Meru, maka Yb Meru dan Dato Ketua Kampung membantu mengambil...
    9 years ago

Ab

zwani.com myspace graphic comments

x

Photobucket









Recent Comment

ISLAMICITY

SEARCH THE TRUTH

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com