Pada 19 Mei 2008, Dr Mahathir isytihar keluar UMNO. Hari ini tanggal 28 Mac 2009 beliau menyatakan hasrat untuk masuk semula UMNO, persoalannya bila. Menurut beliau, itu bergantung kepada beberapa perkembangan dalam UMNO sendiri.
Beliau akhirnya menghadiri persidangan tengahari tadi kerana pemilihan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden memberi harapan kepada beliau untuk UMNO berubah.
Dr Mahathir Akan Sertai Semula Umno
Mantan Perdana Menteri dan Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau akan kembali menyertai Umno.
Katanya, beliau akan mengumumkan tarikh itu pada satu masa yang sesuai 'selepas beberapa perkembangan'.
"Saya kena isi borang, lambat sikit. Saya akan beritahu kemudian. Saya sedang menunggu beberapa perkembangan," katanya kepada pemberita selepas hadir mengikuti hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Pada 19 Mei tahun lepas, Dr Mahathir dalam satu ceramah di Alor Star mengisytiharkan dirinya keluar dari Umno kerana hilang keyakinan terhadap parti itu.
Dr Mahathir dilihat memasuki Dewan Merdeka bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada pukul 12.30 tengah hari sewaktu ucapan penggulungan oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kehadiran beliau disambut tepukan gemuruh oleh para perwakilan yang turut berdiri untuk memberikan penghormatan.
Dr Mahathir juga kelihatan menganggukkan kepala bagaikan bersetuju apabila Muhyiddin meluahkan harapan untuk melihat bekas Perdana Menteri itu kembali menyertai Umno secara rasmi.
Muhyiddin juga berkata kedatangan Dr Mahathir seolah-olah mengiktiraf barisan kepimpinan Umno yang baru dengan disambut tepukan gemuruh para perwakilan.
Dr Mahathir kemudian turun ke pentas utama dan bersalam-salaman dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno dan kemudian menjulang tangan bersama-sama Abdullah, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin.
Sementara itu, ketika ditanya mengapa beliau menghadiri persidangan berkenaan selepas memutuskan untuk tidak berbuat demikian, Dr Mahathir berkata pemilihan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden telah memberi keyakinan kepadanya bahawa perubahan yang diharapkan akan berlaku.
"Pasal itu, pemilihan Muhyiddin meyakinkan saya ada perubahan," katanya.
Beliau juga tidak menolak bahawa barisan kepimpinan baru Umno memberi gambaran baik bahawa parti itu akan berubah ke tahap yang lebih cemerlang berbanding sebelum ini.
"Saya ingat ada harapan baik untuk masa depan," katanya.
Dr Mahathir menerusi laman blognya, CheDet.com, sebelum ini menyatakan bahawa beliau tidak akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2008 kerana berpendapat bahawa Pemuda UMNO secara langsung dan terbuka merestui politik rasuah.
"Inilah sebab-sebabnya saya tidak hadir. Saya rasa diri saya akan tercemar jika saya berada dalam majlis yang disertai oleh orang yang mendukung amalan rasuah," katanya di dalam blog itu.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata Umno harus berjuang untuk rakyat dan bukannya untuk orang tertentu di dalam parti jika ia mahu kembali kukuh dan diterima semula.
"Tanpa rakyat, Umno tidak boleh menang. Pengukuhan Umno serta penerimaannya oleh rakyat terpulang kepada perjalanan masa hadapannya. Apakah ia betul-betul berjuang untuk rakyat atau untuk orang tertentu," katanya.
Dr Mahathir turut bersetuju dengan saranan supaya sistem kuota dihapuskan bagi pemilihan Umno dan digantikan dengan sistem satu anggota.
Namun, katanya, apa yang lebih penting adalah supaya anggota-anggota Umno tidak mengamalkan politik wang.
"Kalau boleh diadakan di mana semua pihak boleh membuat pilihan, itu memang baik. Tapi apa sistem yang kita buat, kalau tukar 10 kali pun, kalau ahli-ahli Umno lebih utamakan wang untuk diri sendiri, Umno akan hancur," katanya.
Ditanya mengenai peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib, Dr Mahathir berkata: "Peralihan ini berkaitan Presiden Umno, yang lagi satu (peralihan) berkenaan dengan Perdana Menteri. Itu saya harap akan dilakukan."
Dr Mahathir juga menafikan bahawa beliau akan dilantik sebagai penasihat kerajaan bagi menghadapi cabaran mendatang.
"Kalau tanya pendapat, bolehlah. Macam Pak Lah jugak, dia kata dia boleh beri pendapat, saya pun boleh beri pendapat saja," katanya.
Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan barisan kepimpinan Umno yang baru, Mahathir berkata: "Ada yang tak menyenangkan hati juga...."
Sementara itu, anak lelaki ketiga Dr Mahathir, Datuk Mukhriz berharap bapanya akan kembali semula menyertai Umno secepat mungkin setelah meninggalkan parti itu sejak Mei tahun lepas.
"Itu yang kita nanti-nantikan. Memang ayah saya sebelum ini telah berjanji bahawa pada hari Datuk Seri Najib mengambil alih presiden parti, maka beliau akan menyerah borang untuk menjadi ahli.
"Alhamdullilah itu (Najib menjadi presiden) telah menjadi kenyataan. Jadi kita rasa begitu senang hati dengan perkembangan terbaru ini.(Bagaimanapun) saya tidak pengaruhi ayah saya untuk berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas berakhirnya perhimpunan agung Umno 2008 di sini.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula menyifatkan kehadiran Dr Mahathir pada hari terakhir perhimpunan itu sebagai satu kelebihan dan keterbukaan Umno yang tidak ada pada parti pembangkang.
"Saya rasa begitu terharu kerana Umno ada caranya sendiri dan hari ini jelas dari segi keramatnya Umno, dengan izin Allah, merapatkan barisan kita, bukan sahaja barisan-barisan baru tetapi dari segi kehadiran Tun Mahathir sendiri yang tergerak untuk bersama-sama dengan kita hari ini.
"Inilah kelebihan yang ada pada Umno dan saya sebagai Naib Presiden baru dilantik, saya tengok asas-asasnya telah pun dibina.
Sekarang ini terserah kepada pemimpin-pemimpin yang telah diamanahkan ini untuk menjalankan tugas," katanya.
BERNAMA
MAHATHIR TUKAR FIKIRAN DAN PENDIRIAN LAGI
Labels:
rasuah politik. politik wang,
Tun Dr Mahathir,
UMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Da tua macam budak2 . Kejap keluar UMNO kejap masuk .... Agaknya dah sewel kot